Bukan sekali dua mitos Melayu pemalas dijaja kepada khalayak kononnya untuk memotivasikan orang Melayu meniru sikap rajin bangsa-bangsa lain di dunia. Tetapi bukan sekali dua juga mitos ini dimusnahkan pelbagai pihak hinggalah beberapa rakan penulis The Patriots. Dan untuk memastikan mitos ini benar-benar mati, ada satu kisah menarik yang dikongsikan Profesor John Miksic dari Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) berkenaan sumbangan orang Melayu terhadap pembangunan Singapura.
Menerusi
buku bertajuk ‘Singapore – The Silk Road of the Sea, 1300-1800’, ia berkisar
tentang kajian dan penyelidikan yang dibuat Prof Miksic terhadap 300,000
artifak dan kaitannya dengan masyarakat Melayu. Bila menyelusuri sejarah lama
Singapura, masih ada yang berpandangan ia merupakan sebuah perkampungan nelayan
yang mundur dan hanya mendapat kemajuan selepas diduduki British oleh Stamford
Raffles pada awal abad ke-19. Tetapi menerusi kajian ini, terdapat pelbagai
bidang yang berkaitan dengan masyarakat Melayu yang tidak diketahui umum.
Kebanyakan
artifak yang ditemui menceritakan sejarah perdagangan maritim negara itu dari
abad ke-14 hinggalah abad ke-19. Dalam temubualnya bersama Berita Mediacorp,
Prof Miksic berkata, “Jadi mereka membuat gerabak sendiri, mereka juga membuat
barang-barang dari logam, mereka mengolah tembaga untuk membuat kail untuk
tangkap ikan, mereka juga membuat barang-barang dari besi, mereka juga membawa
barang-barang seperti keris, tombak dan senjata tajam yang lain.”
Kebanyakan
artifak ini ditemui di 10 lokasi yang berbeza membabitkan ekspedisi ekskavasi
yang dijalankan beliau dalam tempoh 20 tahun. Antara penemuan menarik yang
menarik minat Prof Miksic ialah serpihan tembikar, logam dan batu-batu lama
seperti yang dinyatakan di bawah.
Rajah 1: Serpihan tembikar ini merupakan sebahagian daripada 300,000 artifak menarik yang ditemui Prof Miksic. Sumber: https://berita.mediacorp.sg/mobilem/singapura/masyarakat-melayu-malas-pakar-arkeologi-dedahkan-kajiannya/4018542.html
Artifak-artifak
ini membuktikan masyarakat Melayu bukanlah pemalas seperti yang dimomokkan
sesetengah pihak bahkan merupakan pembina kota dan tamadun. Tambahnya lagi, “Orang
Melayu memang dari dulu sudah terkenal sebagai orang awal yang membuat kota,
yang mendirikan bandar menjadikan satu sistem perhitungan untuk perdagangan. Orang-orang
Portugis yang pertama datang ke Brunei, mereka hairan melihat sistem yang
dipakai akauntan di Brunei untuk menghitung perdagangan. Jadi mereka
(orang-orang Melayu) sudah mempunyai kemahiran.”
Bila
ditanya kepentingan mengenali sejarah Singapura pada abad ke-14, Prof Miksic
menambah, “Ini merupakan satu kesempatan untuk kita melihat lebih dahulu lagi
bukan hanya melihat tempoh 200 tahun, tetapi melihat 200 tahun itu sebagai satu
tempoh dalam sejarah Singapura. Orang Inggeris bukan orang yang utama yang
bertempat di sini yang memainkan peranan utama, orang Melayu, Bugis, Jawa,
Minangkabau dan juga orang-orang Cina serta orang-orang India yang sudah lama
berdagang di sini.”
Bila
diminta mengulas sama ada figura Melayu yang paling terkenal tetapi masih
diperdebatkan berkenaan kewujudannya iaitu Laksamana Hang Tuah, Prof Miksic
membalas, “Saya yakin bahawa ada seorang laksamana yang wataknya, keperibadiannya
seperti Hang Tuah yang disebut dalam sejarah Melayu kerana ada seorang
laksamana yang disebutkan juga dari sumber dari Jepun pada abad-15 dan sumber
Portugis. Namanya tidak pernah disebutkan tetapi wataknya dan keperibadiannya
bahawa perwira itu bukan saja pandai tetapi juga mempunyai bakat untuk bertemu
dengan orang lain. Itu semunya terbukti dengan sumber-sumber lain, jadi pasti
ada orang seperti Hang Tuah.”
Rajah 2: Lampiran digital Hikayat Hang Tuah. Sumber: https://berita.mediacorp.sg/mobilem/singapura/masyarakat-melayu-malas-pakar-arkeologi-dedahkan-kajiannya/4018542.html
Prof Miksic turut menambah, “”Namanya tidak penting tetapi orang yang sepertinya yang jadi laksamana di mana dasar kegiatannya di Singapura ada disebut dalam Sejarah Melayu juga. Dan kami mendapat banyak sekali bukti arkeologi bahawa ada satu pelabuhan dengan armada laut yang cukup besar wujud di sini pada zaman Kesultanan Melayu Melaka.”
Berikutan kajiannya yang teliti itu, ia mendorong panel anugerah Hadiah Sejarah Singapura menganugerahkan hadiah tersebut kepada beliau pada tahun 2018. Prof Miksic bukan saja mendapat hadiah bernilai S$50,000 tetapi juga menerima penerima pertama anugerah yang julung kali diadakan itu.
RUJUKAN:
Abdul
Hamid, Ummu Rabbisyfina. (2018). Masyarakat Melayu malas? Pakar arkeologi
dedahkan kajiannya. Berita MEDIACORP. https://berita.mediacorp.sg/mobilem/singapura/masyarakat-melayu-malas-pakar-arkeologi-dedahkan-kajiannya/4018542.html




No comments yet