Kebiasaannya dalam masa seminggu, perkataan ‘swafoto’ disebutkan dalam 365 000 buah hantaran di Facebook dan 150 000 cicipan di Twitter. Instagram pula mencacatkan sebanyak 50 juta hasil carian bagi tanda pagar perkataan tersebut.
Menurut bancian yang dilakukan oleh Luster PremiumWhite, satu jenama produk pemutihan gigi yang bertapak di Boston, seseorang itu boleh mengambil sebanyak 25 700 gambar swafoto sepanjang hayatnya. Sementara wanita berusia 16 hingga 25 tahun secara purata meluangkan sehingga 5 jam pada setiap minggu untuk mengambil swafoto.
Sekitar 95% orang belia mengakui pernah mengambil gambar swafoto sekurang-kurangnya sekali. Secara global pula, manusia mengambil sebanyak 93 juta gambar swafoto pada setiap hari.
Damon Brown, iaitu CEO dan pengasas-bersama syarikat tersebut berkata dalam sidang akhbar semasa membentangkan hasil banciannya itu, “Jika anda tidak mengambil swafoto semasa bercuti atau menyambut hari istimewa, seolah-olah hari tersebut tidak pernah berlalu.”
Agak sukar untuk dipastikan secara jelas bilakah trend mengambil swafoto ini bermula. Namun, Guardian mengandaikan bahawa ia bermula secara umum pada tahun 2010, tahun di mana iPhone4 mula dikeluarkan bersama ciri kamera hadapan.
Namun, statistik yang paling menggusarkan bukanlah bilangan swafoto yang diambil seperti yang dinyatakan di atas. Sebaliknya adalah angka kematian yang melibatkan swafoto. Kajian yang dijalankan oleh para penyelidik di All India Institute of Medical Sciences di New Delhi mendapati seramai 259 orang meninggal dunia akibat trend berkenaan, dari Oktober 2011 sehingga November 2017.
Angka ini bermula dengan hanya 2 orang sahaja pada tahun 2011, kemudian meningkat kepada 98 orang pada tahun 2016 sebelum pada tahun 2017, seramai 93 orang meninggal dunia akibat swafoto. Hasil kajian ini disiarkan di Journal of Family Medicine and Primary Care.
Walaupun secara umumnya wanita mengambil lebih banyak swafoto (61.6% dari keseluruhan swafoto yang diambil di New York adalah dari kaum wanita), hakikatnya kebanyakan yang meninggal dunia akibat trend ini adalah dari kaum lelaki (72% dari angka keseluruhan), melibatkan purata usia di bawah 30 tahun. Angka korban yang tertinggi berlaku di India iaitu seramai 159 orang terkorban sejak 2011, disusuli oleh Russia, Amerika Syarikat dan Pakistan.
Walau bagaimanapun, para penyelidik mendakwa bahawa angka sebenar berkemungkinan jauh lebih tinggi berbanding apa yang dinyatakan. Hal ini kerana swafoto lazimnya tidak dinamakan sebagai punca kematian. Sebagai contoh, jika seseorang mengambil swafoto semasa memandu dan kemudiannya maut ditimpa kemalangan, kematiannya akan dilaporkan sebagai nahas jalan raya dan bukannya berakibat dari swafoto.
Kebanyakan kematian yang melibatkan swafoto ini adalah dalam bentuk mati lemas, kebiasannya mangsa ditarik ombak pantai atau terjatuh daripada bot. Bentuk kematian kedua yang paling lazim adalah ‘kenderaan’ – misalnya mangsa terkorban semasa cuba mengambil swafoto di atas landasan keretapi, di hadapan keretapi yang sedang bergerak.
Ada juga kematian yang melibatkan kebakaran, terjatuh dari tempat tinggi dan malah, seramai 8 orang terkorban semasa mengambil swafoto bersama haiwan ganas. Amerika Syarikat pula mendahului dalam senara angka korban yang melibatkan senjata api – korban secara tidak sengaja tertembak diri sendiri semasa bergambar bersama senapang misalnya.
Berikut adalah beberapa perincian ringkas berkenaan kejadian maut yang melibatkan pengambilan gambar swafoto:
- Pada hujung Ogos 2015, seorang lelaki Cina berusia 25 tahun merakam swafoto di puncak air terjun di Longmen, Cina. Ketika matanya tertumpu sepenuhnya pada skrin telefon, beliau tersilap melangkah kaki lantas terjatuh dari ketinggian 100 kaki ke hutan belantara, mengakibatkannya mati di situ juga. Ketika pihak berkuasa menemukan jasadnya beberapa hari kemudian, telefon tersebut masih tergantung pada batang swafoto – mengandungi sekeping gambar yang memaparkan beliau sedang jatuh.
- Pada bulan berikutnya, seorang pelajar lelaki dari Russia yang berusia 17 tahun bertindak memanjat bangunan setinggi 9 tingkat berhampiran Moscow dan menggayakan aksi seolah-olah beliau sedang terjatuh. Ketika sedang beraksi, tangannya tergelincir mengakibatkan beliau terjatuh dan terus terkorban.
- Awal Januari 2016, seorang wanita berusia 19 tahun terjatuh dari bangunan 20 tingkat di Filipina dan meninggal dunia di situ juga. “Oleh kerana tidak berpuas hati dengan (hasil) gambar-gambar yang beliau ambil sebelum ini, beliau memutuskan untuk memanjat bangunan dan mengambil gambar di sana,” ujar rakan sekelasnya kepada akhbar tempatan.
- Seramai 3 orang pelajar kolej yang berusia 20 tahun dari India maut semasa cuba berswafoto di atas landasan keretapi – bergambar bersama keretapi yang sedang bergerak. Menurut seorang pelajar yang terselamat dari nahas berkenaan memaklumkan bahawa mereka berniat untuk merakam gambar yang boleh meraih banyak ‘sukaan’ di laman sosial.
- Terdapat juga insiden yang agak pelik berlaku. Misalnya, seorang lelaki Mexico berusia 21 tahun secara tidak sengaja tertembak kepalanya sendiri semasa sedang berswafoto bersama selaras senapang. Sementara itu di Rusisa pula, dua orang remaja maut ketika bergambar bersama grenad (bom tangan) hidup di Gunung Ural, apabila bom itu meletup tiba-tiba. Lelaki yang cuba berswafoto bersama kerbau-kerbau di Sepanyol maut kerana disodok oleh haiwan tersebut.
Kesemua kematian yang direkodkan tidaklah berpunca dari pengambilan swafoto itu sendiri. Sebaliknya ia disebabkan oleh sikap pengambilnya sendiri yang tidak memberikan perhatian kepada keadaan sekitar yang berbahaya. Angka ini seharusnya menjadi peringatan kepada sesiapa pun jua, terutama kepada para pelancong agar memberikan perhatian kepada keadaan sekeliling dan jangan hanya menumpu pada skrin telefon.
“Sebelum mengambil swafoto, setiap daripada kita seharusnya ingat bahawa (perbuatan) berlumba (meraih) jumlah ‘sukaan’ yang tinggi (dalam media sosial) boleh membawa kepada maut,” ujar seorang pegawai dalam Kementerian Dalam Negeri Russia kepada media al-Jazeera semasa membuat liputan tentang kejadian maut yang melibatkan swafoto di negara berkenaan
Swafoto itu sendiri bukanlah suatu perbuatan yang berbahaya. Akan tetapi, sikap kita semasa mengambil swafoto itulah yang mendatangkan risiko ancaman. Setiap individu perlu dididik supaya cakna tentang risiko bahaya yang ada pada sesebuah kawasan. Para penyelidik di US National Library of Medicine mencadangkan supaya ‘zon tanpa swafoto’ diperkenalkan di tempat-tempat berbahaya bagi mengurangkan angka korban ini. Antara tempat-tempat yang dimaksudkan adalah puncak gunung, bangunan tinggi dan pelbagai lagi tempat lazim di mana kematian yang melibatkan swafoto ini berlaku.
RUJUKAN
BBC News. (4
Oktober 2018). Selfie deaths: 259 people reported dead seeking the perfect
picture.
https://www.bbc.com/news/newsbeat-45745982
Brett Molina. (4
Oktober 2014). More than 250 people have died trying to take selfies, study
finds. CNBC.
https://www.cnbc.com/2018/10/04/more-than-250-people-have-died-taking-selfies-in-recent-years.html
Cailey Rizzo.
(22 September 2015). More people have died from selfies than shark attacks this
year. Mashable.
https://mashable.com/2015/09/21/selfie-deaths/#Y4ypxeQS5kqq
Doug Criss. (3
Oktober 2018). More than 250 people around world have died taking selfies since
2011. CNN.
https://edition.cnn.com/2018/10/03/health/selfie-deaths-trnd/index.html
Julia Glum. (22
September 2015). Millennials Selfies: Young Adults Will Take More Than 25 000
Pictures of Themselves During Their Lifetimes: Report. IB Times.
https://www.ibtimes.com/millennials-selfies-young-adults-will-take-more-25000-pictures-themselves-during-2108417
Nickolaus Hines.
(3 Februari 2016). Selfie Trend Put Into Perspective: The Total Number of
Selfie-Related Deaths Since 2014. All That Interesting.
https://allthatsinteresting.com/selfie-deaths
Zachary
Crockett. (29 Januari 2016). The Tragic Data Behind Selfie Fatalities.
Priceonomics.
https://priceonomics.com/the-tragic-data-behind-selfie-fatalities/
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih