Semalam, 20 tahun yang lalu, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) melancarkan serangan udara ke atas Yugoslavia.
Peristiwa ini dah jarang disebut pada hari ini, tapi ia teramat signifikan. Ia mencorak hubungan antara US, Rusia dan China, dan boleh dikatakan sebagai tanda permulaan “Perang Dingin Baharu” (New Cold War) antara US dan Rusia-China.
Asbab serangan udara adalah untuk memaksa pemimpin Yugoslavia, Slobodan Milosevic untuk memberhentikan “pembersihan etnik” ke atas kaum Albania (atau Kosovar) di wilayah Kosovo, selatan Yugoslavia.
Milosevic ini juga antara dalang pembunuhan kejam terhadap kaum Bosniak di Srebrenica, Bosnia-Herzegovina pada tahun 1995. Sama seperti di Bosnia, pergolakan di Kosovo juga merupakan lanjutan daripada perpecahan Yugoslavia akibat penamatan Perang Dingin (1947-1991).
Yugoslavia pada asalnya ialah sebuah persekutuan yang merangkumi kaum Bosniak, Kosovar, Croatia, Slovenia, Serb, Montenegro dan Macedonia. Kaum-kaum ini masing-masing memiliki bahasa dan agama tersendiri: Bosniak dan Kosovar ialah Muslim, Croatia dan Slovenia ialah Kristian Katolik manakala Serb, Montenegro dan Macedonia ialah Kristian Ortodoks. Masing-masing tak ngam dengan satu sama lain.
Kaum-kaum ini hanya bersatu pada era Perang Dingin atas persamaan identiti rumpun bangsa Slav Selatan (Yugo-slav). Ideologi komunisme sedikit sebanyak mengaburi identiti etnik masing-masing dan membentuk perpaduan. Namun apabila Perang Dingin tamat, komunisme tidak lagi relevan dan kaum dalam Yugoslavia pun mula menuntut kemerdekaan.
Sebagai abang long dalam persekutuan Yugoslavia, Serbia cuba menghalang perpecahan tersebut dan melindungi kaum Serb yang bertebaran di wilayah selain Serbia. Di Bosnia-Herzegovina misalnya, Milosevic memberi sokongan kepada tentera Republik Srpska yang mewakili kaum Serb untuk memerangi kaum Bosniak. Kekejaman tentera Srpska dan Serbia memaksa kuasa-kuasa besar untuk bercampur tangan dan menamatkan Perang Bosnia pada Disember 1995.
2 tahun kemudian, giliran Kosovo pula kena tibai. Kosovo ialah wilayah di selatan Yugoslavia yang majoriti penduduknya terdiri daripada kaum Albania atau Kosovar. Mereka menubuhkan Tentera Pembebasan Kosovo (KLA) untuk memerdekakan Kosovo. Perang Kosovo meletus apabila KLA melancarkan serangan pada Februari 1998.
Demi melindungi kaum Serb di utara Kosovo dan juga untuk mempertahankan keutuhan wilayah Persekutuan Yugoslavia yang kini hanya tinggal Serbia, Montenegro dan Kosovo (Croatia, Slovenia, Bosnia dan Macedonia telah merdeka), Milosevic mengarahkan polis dan tentera untuk memadamkan pemberontakan dengan kejam sekali. Beribu-ribu Kosovar dibunuh dan menjadi pelarian.
Oleh itu, Milosevic kena condemn dengan negara-negara Barat khususnya US. Tapi Milosevic ada backup besar iaitu Rusia dan China. Rusia dan China sebagai anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mempunyai kuasa veto untuk menghalang sebarang resolusi yang cuba condemn Yugoslavia.
Ikatan Rusia dan Serbia dah bermula sejak abad ke-19. Rusia menganggap Serbia sebagai adik dalam rumpun bangsa Slav dan penganut Kristian Ortodoks. Kedudukan geografi Serbia di Semenanjung Balkan juga penting bagi keselamatan sempadan Rusia. Atas sebab itu Rusia mempertahankan Milosevic tak kira apa jua.
Melihat Rusia melindungi Milosevic, NATO yang dipimpin oleh US mengambil tindakan dengan melancarkan serangan udara tanpa kelulusan UN. Tujuan serangan adalah untuk melumpuhkan keupayaan ketenteraan Serbia dengan mensasarkan infrastruktur dan fasiliti ketenteraan. Disebabkan benda-benda itu semua terletak di bandar, maka pengorbanan orang awam di bandar-bandar utama Serbia tidak dapat dielakkan. Lebih kurang 500 orang awam Serbia terkorban dalam 78 hari serangan udara.
Semasa serangan udara berlaku, PM Rusia, Yevgeny Primakov berada dalam perjalanan ke US untuk tujuan lawatan rasmi. Apabila Primakov menerima berita serangan udara, Primakov melihat ia sebagai satu provokasi terhadap Rusia dan mengarahkan supaya pesawatnya berpatah balik serta merta, di atas Lautan Atlantik.
12 hari sebelum serangan udara (12 Mac 1999), 3 buah negara bekas anggota Pakatan Warsaw (pakatan ketenteraan yang ditubuhkan oleh Soviet Rusia semasa Perang Dingin untuk menyaingi NATO) iaitu Poland, Czech dan Hungary pula mengumumkan penyertaan mereka ke dalam NATO.
Rusia melihat penerimaan masuk negara bekas anggota Pakatan Warsaw sebagai pengkhianatan US terhadap janjinya untuk tidak membesarkan NATO selepas penamatan Perang Dingin. NATO ditubuhkan oleh US semasa Perang Dingin untuk membendung ancaman negara-negara Komunis terutamanya Soviet. Perang Dingin dah tamat, US bukan saja tidak membubarkan NATO malah mengembangkan ia. Fishy nak mampus, nampaknya NATO bukan mensasarkan komunisme tapi lebih kepada Rusia per se.
Peristiwa pembesaran NATO dan serangan udara ke atas Yugoslavia menghakis kewibawaan Presiden Rusia, Boris Yeltsin yang pro-Barat. 5 bulan kemudian, Yeltsin melantik Vladimir Putin sebagai PM dan sebagai pengganti dia bagi jawatan Presiden. Dalam ucapan bersara, Yeltsin menyatakan kekesalan atas “kenaifan” dia terhadap Barat dan memohon maaf daripada rakyat kerana gagal menjaga kepentingan geopolitik Rusia. Putin sebagai anak murid Primakov akan menggalas tanggungjawab untuk membendung NATO yang semakin mengancam ruang keselamatan Rusia.
Nak lagi serabut, kedutaan China di Belgrade, ibu negara Serbia pula dibom pada 7 Mei. 3 orang wartawan China yang berada dalam kedutaan maut dan 20 staf kedutaan cedera parah.
US kata silap target. China kata abah kau lah silap, senjata punya canggih boleh silap (pesawat yang mengebom kedutaan ialah B-2 Spirit dan bom dipandu oleh sistem JDAM yang terkenal dengan ketepatan). China melihat tindakan US lebih kepada provoksi dan “hukuman” ke atas China kerana bersama dengan Rusia dalam menyebelahi Serbia. Buat kali pertama sejak normalisasi hubungan US-China pada tahun 1972, rakyat China mengadakan demonstrasi anti-US besar-besaran mengutuk tindakan “imperialis” US.
Serangan udara NATO tamat selepas 78 hari apabila Milosevic bersetuju untuk berundur dari Kosovo pada 11 Jun 1999. Peristiwa serangan udara itu telah mengubah hubungan US, Rusia dan China buat selama-lamanya. Menyedari bahawa mereka tidak dapat menyaingi US tanpa sebuah pakatan ketenteraan, Rusia dan China meningkatkan kerjasama mereka dan menubuhkan Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) pada tahun 2001.
China belum pernah move on pasal pengeboman kedutaannya di Belgrade. Forum atas talian yang pada asalnya diwujudkan untuk mengutuk tindakan US dan NATO kini dah berkembang jadi “Qiangguo Luntan” (Strong Nation Forum) yang membincangkan segala topik berkaitan dengan kebangkitan China.
Bagi orang China, pengajaran dari tahun 1999 ialah: untuk mengelak diri daripada dibuli, China harus menjadi negara kuat (strong nation). Dan sejak tahun 1999, China meningkatkan perbelanjaan ketenteraanya dengan drastik. Tahun 2000 saja meningkat sebanyak 18%, dan tak pernah berhenti meningkat sejak itu. Keagresifan China ialah respon kepada keagresifan US.
Baik/jahat dalam politik antarabangsa adalah bersifat relatif. Penjahat bagi negara A ialah hero bagi negara B. Serangan udara 1999 membuat Rusia dan China melihat US sebagai syaitonirrojim, tapi di Kosovo, US dijunjung sebagai wira. Di Pristina, ibu negara Kosovo, patung Bill Clinton didirikan untuk mengenang jasa presiden US dalam membuat keputusan untuk menggerakkan NATO.
Kesemua negara bekas Pakatan Warsaw (Albania, Bulgaria, Czech, Slovakia, Hungary, Poland, Romania) telah menyertai NATO kerana serangan udara 1999 membuat mereka yakin NATO akan melindungi mereka daripada ancaman Rusia. Rusia melihat diri sebagai “victim” imperialisme US, tapi dia tak sedar negara-negara jirannya lagi benci dia daripada US.
Yugoslavia tidak lagi wujud pada hari ini. Kosovo mengisytiharkan kemerdekaan pada tahun 2008. Montenegro merdeka pada tahun 2006. Kesemua negara bekas Yugoslavia pun dah menyertai NATO kecuali Bosnia, Macedonia dan Serbia. Bosnia dan Macedonia dalam proses. Tinggal Serbia seorang-seorang yang masih setia dengan abang besarnya Rusia.
Another world was possible. Hubungan US-Rusia-China mungkin akan jadi berbeza sekiranya serangan udara 24 Mac 1999 tidak berlaku. Kerana serangan udara tersebut, dunia telah menjurus ke kancah Perang Dingin Baharu. Dan kita merasai kesannya.
**Nak lebih memahami geopolitik Rusia, boleh rujuk Bab “Masalah Pembesaran NATO” dan “Pan-Slavisme Moden” dalam Dunia Tanpa Tembok II.
Dunia Tanpa Tembok II boleh didapati di reruai The Patriots untuk PBAKL 2019.
Reruai: 4097-4098
Dewan Tun Razak 4, PWTC
Masa: 10.00 pagi – 9.00 Malam.
Tarikh: 29 Mac-7 April 2019
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih