Tahun 2021 memberikan petanda bahawasanya; peperangan antara Amerika Syarikat menentang puak-puak militan seperti Al-Qaeda dan Taliban yang berpusat di Afghanistan sudah pun mencapai usia 20 tahun (2001-2021).

Fakta ini memberikan ‘pengiktirafan’ kepada Perang Afghanistan sebagai peperangan paling lama yang pernah dihadapi oleh hegemoni besar dunia itu, selain Perang Iraq (8 tahun), Perang Vietnam (8 tahun), Perang Korea (3 tahun) dan Perang Bosnia (3 tahun).

Bermula pada bulan Oktober tahun 2001, kerajaan Amerika Syarikat (AS) pimpinan presidennya yang ke-43; George W. Bush telah melancarkan serangan pemula menerusi sebuah operasi ketenteraan yang dikenali sebagai ‘Operation Enduring Freedom’.

Beberapa hari sebelum operasi itu dilaksanakan, AS sebenarnya telah melancarkan operasi rahsia (covert operation) menerusi khidmat ‘Central Intelligence Agency’ (CIA) yang menggelar diri mereka sebagai ‘Jawbreaker’.

Unit Jawbreaker berperanan sebagai perisik yang dipertanggungjawabkan dalam membina rangkaian usahasama strategik dengan puak-puak anti Taliban tempatan; di samping merekrut mereka dari segi latihan ketenteraan dan persenjataan.

Ia bertujuan untuk mensabotaj kerajaan Taliban dari dalam, agar kerajaan itu dapat digulingkan segera; sekali gus akan mempermudahkan urusan AS dalam melancarkan serangan dan membawa masuk aset-aset ketenteraan serta anggota tentera.

Dalam pada itu, AS tidak berperang menentang pengganas secara bersendirian. Sebaliknya, mereka telah menjalinkan kerjasama dengan beberapa buah negara sekutu dari blok barat, khususnya United Kingdom (UK).

Jalinan kerjasama antara AS dan UK dibuat ketika pelancaran serangan udara pertama, iaitu pada 7 Oktober 2001; yang disasarkan terus ke atas beberapa buah kubu kuat Al-Qaeda dan Taliban yang berada di sekitar Afghanistan.

Kerjasama itu kemudiannya membentuk ‘International Security Assistance Force’ (ISAF), setelah ia diperluaskan lagi menerusi pakatan ‘North Atlantic Treaty Organization’ (NATO) dan negara-negara bukan NATO (non-NATO).

ISAF yang dibentuk oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), melibatkan keseluruhan negara anggota NATO seperti Kanada, Jerman, Perancis, Portugal, Itali dan pelbagai lagi, termasuk negara bukan NATO, antaranya; UAE, Kuwait, Bahrain, New Zealand, Australia, dan Singapura.
Malaysia turut terlibat di dalam misi kemanusiaan ketika Perang Afghanistan, melalui Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa Kumpulan Induk Kontinjen Malaysia (MALCON ISAF). Namun pasukan ini tidak terlibat dengan sebarang tugas kombat.

Menjelang bulan Disember 2001, Kerajaan Taliban (Islamic Emirate of Afghanistan) pimpinan Mohammed Omar selaku ‘supreme leader’ berjaya ditumbangkan sepenuhnya dan digantikan dengan kerajaan interim (2002 – 2004) yang dipimpin oleh Hamid Karzai.

Setelah itu, Afghanistan membentuk sebuah kerajaan baharu hasil dokongan AS dan Barat, yang dikenali sebagai ‘Islamic Republic of Afghanistan’.

Kerajaan Republik itu bertahan sehingga ke hari ini, setelah dipimpin oleh Presiden Hamid Karzai (2004 – 2014) dan Presiden Ashraf Ghani (2014 – kini).

Seperti yang kita ketahui, Perang Afghanistan telah berlarutan sehingga memasuki pentadbiran dua orang presiden AS; iaitu Presiden Barack Obama (2009-2016) dan Presiden Donald Trump (2016-2021), sebelum ditamatkan oleh Presiden Joe Biden seperti mana yang telah diumumkan pada bulan April tahun 2021.

Peperangan ini merangkumi dua buah operasi ketenteraan utama, yakni ‘Operation Enduring Freedom’ (7 Oktober 2001 – 31 Disember 2014) dan ‘Operasi Freedom Sentinel’ (1 Januari 2015 hingga 31 Ogos 2021).
Sebagai info, pada 2 Mei 2011; pasukan tentera AS telah berjaya membunuh pengasas Al-Qaeda iaitu Osama Bin Laden, ketika beliau dikatakan sedang bersembunyi di salah sebuah kubu Al-Qaeda yang terletak di Bandar Abbottabad, utara Pakistan.

Menurut kenyataan rasmi yang dipetik daripada White House, AS dan NATO akan membawa keluar kesemua anggota tentera mereka yang berpusat di Afghanistan secara berperingkat dan proses itu dijangka tamat sepenuhnya menjelang 31 Ogos 2021.

Setakat bulan April 2021; Perang Afghanistan telah meragut nyawa lebih daripada 241 000 orang. Daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya 71000 orang awam (civilian) dilaporkan terkorban, berdasarkan kajian yang diterbitkan oleh Brown University.

Pun begitu, angka tersebut tidak termasuk jutaan rakyat Afghanistan yang telah kehilangan tempat tinggal, sehingga memaksa mereka lari ke luar negara untuk menyelamatkan diri dan keluarga, lalu menjadi pelarian (refugee).

Berdasarkan rekod ‘United Nations High Comission for Refuge’ (UNHCR), seramai 2.6 juta rakyat Afghanistan telah berdaftar sebagai pelarian setakat tahun 2020. Ini menjadikan mereka sebagai pelarian ketiga terbesar dunia, di belakang pelarian Syria (6.7 juta) dan Venezuela (4 juta).

Amerika Syarikat selaku negara pencetus perang, turut menanggung impak buruk bila mana peperangan yang berlarutan selama 20 tahun itu telah mengorbankan seramai 2448 orang anggota tentera mereka, di samping 20 722 anggota mengalami pelbagai kecederaan.

Dari sudut ekonomi pula, Jabatan Negara Amerika Syarikat (U.S State Department) melaporkan bahawa; kerajaan AS telah membelanjakan wang pembayar cukai AS kira-kira USD$822 Bilion atau RM3.477 Trilion sepanjang bulan Oktober 2001 hingga September 2019.

Angka itu agak berbeza jika dibandingkan dengan dapatan kajian Brown University; yang mana jumlah keseluruhan pembiayaan kerajaan AS di dalam Perang Afghanistan adalah sebanyak USD $978 Bilion (RM4.137 Trilion), termasuk bantuan yang disalurkan kepada Pakistan.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Sekadar penulis amatur.

Comments are closed.