Kebanyakan orang hanya sekadar tahu bahawa piramid itu merupakan satu binaan pencakar langit yang besar dan telah dibina beribu-ribu tahun lamanya serta masih kekal sehingga sekarang. Bahkan, saban hari dan saban tahun, pelancong berpusu-pusu datang ke tapak pra-sejarah ini untuk menyaksikan sendiri salah satu seven wonder of the world ini.
Piramid menjadi tumpuan pelacong seantero dunia dan menjadi salah satu sumber pendapatan utama negara Mesir. Secara peribadi, selaku orang yang pernah menziarahi piramid yang terletak di Giza, Mesir ini beberapa kali, saya sebenarnya masih dalam keadaan tertanya-tanya. Bagaimana manusia boleh terfikir untuk membina monument atau binaan yang gila seperti ini? Perasaan inkuiri yang membuak-buak mendorong kepada terhasilnya penulisan artikel ini.
1.) Tiga piramid (Khufu, Khafre, Menkaure) yang terletak di Giza Necropolis adalah Piramid yang paling diketahui ramai. Namun demikian, jumlah sebenar piramid yang telah ditemui di Mesir Kuno adalah sebanyak 140 buah!
2.) Piramid tertua dikenali dengan nama Piramid Djoser yang dibina di kawasan Necropolis, Saqqara pada sekitar abad ke-27 SM.
3.) Piramid Khufu (atau dikenali dengan nama Piramid Cheops) merupakan piramid yang terbesar. Ketinggiannya mencapai 146.50 meter. Namun demikian, disebabkan gempa yang berlaku, ketinggiannya sekarang berkurangan kepada 138.8 meter.
4.) Piramid Agung Giza memegang rekod sebagai binaan manusia tertinggi di dunia selama lebih dari 3000 tahun sehingga Katedral Lincoln dibina di England pada tahun 1311.
5.) Piramid Agung Giza merupakan salah satu seven wonder of the world tertua dan masih bertahan sehingga hari ini.
6.) Jumlah manusia yang terlibat dengan kerja-kerja pembikinan piramid mungkin berbeza menurut satu penyelidik dengan penyelidik yang lain. Namun secara purata, jumlahnya boleh mencecah sehingga 100 000 orang pekerja!
7.) Piramid Giza ‘dijaga’ oleh The Great Sphinx iaitu sebuah patung monolit (limestone) terbesar di dunia. Katanya, The Great Sphinx ini wajahnya sangat mirip kepada wajah Firaun Khafra.
8.) Kesemua piramid di Mesir dibina di tepian barat Sungai Nil yang merupakan lokasi terbenamnya matahari. Perkara ini dikaitkan dengan mitos alam roh atau orang mati dalam mitologi Mesir Kuno.
9.) Orang-orang Mesir Kuno memakamkan para bangsawan mereka di piramid bersama dengan barang-barang seharian para bangsawan tersebut hatta barang-barang perhiasan sekalipun. Hal ini demikian kerana, mereka percaya bahawa orang yang telah mati akan menggunakan kesemua barang tersebut di akhirat kelak.
10.) Arkitek pertama yang bertanggungjawab atas pembinaan Mesir ialah Imhotep. Seorang ahli matematik, arkitek dan juga doktor. Bahkan, dia dikatakan juga sebagai pereka kepada Piramid yang pertama ; Piramid Djoser.
11.) Para sejarawan masih berselisih pendapat tentang teknikal pemindahan batu-bata besar piramid. Namun kajian terkini didadapati bahawa batu-bata itu dibawa melalui sistem perairan di Sungai Nil.
12.) Ada cubaan untuk menghancurkan piramid di Giza oleh al-Aziz, penguasa Kurdi dan Sultan Ayyubiyah kedua Mesir pada abad ke-12. Namun, usaha ‘mulia’ ini terpaksa dihentikan kerana dia tidak sanggup memikul kerja yang berat ini. Walaubagaimanapun, dia berjaya juga meninggalkan ‘kenangan’ kecil di wajah Piramid Menkaure.
13.) Ketiga-tiga buah piramid di Giza itu tersusun sejajar dengan gugusan bintang Orion (Constellation of Orion) yang dikaitkan dengan Dewa Osiris, iaitu Dewa kepada Kelahiran dan Akhirat.
14.) Piramid Agung Giza (The Great Pyramid of Giza) dianggarkan dibina daripada 2 300 000 buah batu blok yang beratnya antara dua hingga 30 tan. Ada sesetengahnya yang sampai mencecah 50 tan!
15.) Piramid ini pada awalnya diliputi dengan batu kapur putih (limestone) yang halus. Batu tersebut memantulkan cahaya Matahari dan menyebabkan piramid kelihatan seperti bersinar-sinar dari kejauhan. Namun, batu tersebut hanya tinggal sebahagian kecil sahaja kerana mungkin musnah disebabkan oleh kejadian gempa bumi satu masa dahulu.
16.) Di sebalik suhu panas di Mesir yang sungguh luar biasa, suhu dalaman piramida sebenarnya tidak seperti di luar iaitu 20 Celcius (60 Fahrenheit).
17.) Ada pihak yang mengatakan bahawa piramid bukan dibina oleh golongan hamba tetapi buruh yang diberikan gaji.
18.) Walaupun piramid dan Mesir Kuno sering dikaitkan dengan tulisan Hieroglif , namun tiada sebarang tinggalan tulisan tersebut yang ditemukan di dalam binaan piramid
19.) Banyak ruangan atau bilik (chamber) yang masih belum dibongkar misterinya. Saban hari, akan ada sahaja penemuan baharu berkenaan dengan Piramid Agung Giza.
20.) Makam para pekerja yang membangun piramid yang mati ketika pembangunan piramid dijalankan terdapat di sekitar kawasan piramid sahaja. Sejauh ini, telah ditemukan kira-kira lebih daripada 600 buah makam dan pertama kali dijumpai oleh pelancong asing pada tahun 1990. Perkara ini menguatkan lagi teori bahawa piramid dibina oleh pekerja yang diberi upah dan gaji, bukan golongan budak atau hamba.
Sumber Rujukan:
- Jean Pierre, Bob Brier (2014), The Secret of The Great Pyramid : How One Man’s Obsession Led To The Solution of Ancient Egypt’s Greatest Mystery, HarperCollins Publisher Inc.
- Robert M.Schoch, Robert Aquinas McNally (2004), Voyages of The Pyramid Builders : The True Origins of The Pyramids From Lost Egypt to Ancient America, Penguin Putnam Inc.
- Andi Saputra (2017), 25 Fakta Menarik Tentang Piramida Mesir Yang Anda Mungkin Belum Ketahui.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih