Pembelajaran Abad ke-21 (PAK-21) merupakan pendidikan yang menitikberatkan pelajar aktif dalam pembelajaran. Dalam PAK-21, guru hanya bertindak sebagai fasilitator dan pengurus bilik darjah supaya sesuai dengan persekitaran seperti di alam pekerjaan. PAK-21 lebih berpusatkan pelajar dalam setiap sesi pembelajaran.
Pada dasarnya, PAK-21 ini merupakan suatu pembelajaran yang menggunakan kaedah-kaedah terkini demi memastikan pelajar tidak pasif belajar di dalam kelas seperti zaman Pembelajaran “Spoon-feeding” atau suap sahaja semua info. Pelajar juga tidak lagi disuruh diam di dalam kelas, malahan pelajar Abad ke-21 perlu bergiat aktif di dalam bilik darjah sepanjang sesi pengajaran dan pemudahcara (PdPc) dilakukan. PAK-21 ini sangat penting untuk dilaksanakan kerana ia merangsang perubahan teknik pengajaran ke arah persediaan murid untuk menjadi asertif dan kompeten terutamanya dalam bidang pekerjaan kelak.
Sepanjang kurun ke-20, pelajar diterapkan dengan pembelajaran yang berasaskan tiga M iaitu membaca, menulis dan mengingat. Oleh yang demikian, pelajar abad ke-20 diajar untuk mengingat dan memahami konsep berdasarkan daripada pembacaan dan penulisan semata-mata. Bagi mengawal kelas abad ke-20, pelajar-pelajar tidak dibenarkan bercakap semasa proses pengajaran dan pembelajaran diadakan. Situasi ini menyebabkan pembelajaran bilik darjah abad ke-20 menjadi bosan dan menyebabkan pelajar tidak dapat fokus dalam kelas.
Natijahnya, pelajar menjadi malas untuk berusaha mencari sendiri informasi berkenaan dengan pembelajarannya, malahan mereka hanya menunggu sahaja maklumat disuap ke dalam minda mereka. Pelajar-pelajar yang dilahirkan tidak berdaya saing untuk diterima memasuki kursus-kursus idaman mereka di universiti kerana kurang nilai tambah yang sepatutnya diterapkan sepanjang masa pembelajaran, walaupun pelajar tersebut memperoleh keputusan yang cemerlang sehingga keputusannya 4.0 ataupun 3.92 di peringkat menengah tinggi (STPM).
Berbanding dengan pelajar abad ke-21, mereka perlu aktif di dalam kelas berbekalkan aktiviti-aktiviti yang bukan sahaja berteraskan 3M, malahan mereka dibimbing untuk melakukan aktiviti-aktiviti 4C. Aktiviti 4C ialah Communication (Komunikasi), Collaboration (Kolaborasi), Creativity (Kreativiti) dan Critical Thinking (pemikiran kritis). Aktiviti 4C ini menjadi teras kepada pembelajaran abad ke-21 ini di mana pelajar-pelajar semakin aktif dalam pembelajaran seharian serta digalakkan menggunakan teknologi terkini seperti teknologi pengkomputeran dan sebagainya.
Dalam komunikasi, pelajar diajarkan untuk bijak berkomunikasi dan memberikan idea mereka melalui proses sumbangsaran dan penekanan aspek sosial dititikberatkan bagi menjamin pelajar dapat berkomunikasi secara mapan. Dalam kelas Abad ke-21, guru akan bertindak sebagai fasilitator dengan bertanyakan soalan-soalan yang memerlukan pelajar memberikan idea yang terbaik dalam penjanaan pemikiran yang kritis dan kreatif. Selain itu, pelajar juga perlu membentangkan dapatan mereka kepada pelajar lain supaya komunikasi berkesan antara pelajar dapat dibentuk.
Seterusnya, secara kolaborasi pelajar akan bekerjasama antara satu sama lain untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh guru. Aktiviti berkumpulan ini dapat merangsang metakognitif pelajar
Iaitu kesedaran para pelajar terhadap perkara yang diketahui dan tidak diketahui semasa proses pembelajarannya. Dengan penekanan aktiviti dalam kumpulan ini, pelajar dapat meningkatkan lagi kemahiran-kemahiran lain yang boleh menjadi nilai tambah dalam diri mereka kelak seperti bertanggungjawab, menjadi pemimpin yang berjaya dan mempunyai semangat bersaing dengan sihat.
Kreativiti pula merupakan suatu elemen yang terpenting dalam kehidupan seharian kerana dengan ada kekreativitian sahaja yang boleh memacu kejayaan seseorang itu dalam bidang yang mereka ceburi. Dunia hari ini adalah dunia untuk orang-orang yang kreatif. Jika tiada kreativiti yang tinggi, Ikea tidak mampu menjual produknya dengan harga yang sangat kompetitif. Facebook dann Google pula akan bankrap dengan sewaan server dan data yang sangat mahal.
Namun begitu, mereka menjadi syarikat yang sangat kaya-raya disebabkan oleh kekreativitian mereka dalam bidang pengiklanan dan media sosial. Penyediaan pelajar dalam aktiviti di dalam kelas yang mana pelajar dibimbing untuk mencipta sesuatu yang baharu dapat membantu peningkatan kekereativitian generasi baharu di Malaysia dan kreativiti ini sangat penting dalam memastikan negara kita sentiasa dapat berdaya saing dengan rakyat-rakyat dari luar seperti Korea dan Jepun. Dengan penghasilan produk baharu ataupun pengubahsuaian produk sedia ada, hatta hanya di atas kertas sahaja, guru telah berjaya merangsang nilai kreativiti daripada pelajar mereka.
Pemikiran kritis juga merupakan elemen yang sangat penting dalam menentukan tahap kerasionalan pelajar yang disediakan. Pemikiran kritis ialah kebolehan seseorang untuk membuat penilaian terbaik terhadap sesuatu perkara termasuklah kebaikan dan kelemahan perkara tersebut. Pelajar diberi peluang untuk menilai hasil kerja kumpulan lain dan ahli kumpulannya sendiri. Dengan kebolehan mereka berfikir secara kritis, pelajar dapat menaiktaraf cara mereka mengkritik sesuatu ke arah kritikan yang membina.
Selain itu, pelajar dapat meningkatkan pemikiran kritis mereka dengan penerokaan pemikiran mereka untuk menilai idea-idea yang diterima secara rasional dan membuat pertimbangan sewajarnya dengan idea tersebut. Oleh yang demikian, pelajar boleh menjawab pelbagai soalan aras tinggi (soalan-soalan kemahiran berfikir aras tinggi atau KBAT) melalui pemikiran yang kritis dan dapat menyelesaikan pelbagai masalah yang mungkin timbul dalam dunia pekerjaan kelak.
Begitulah serba sedikit ringkasan PAK-21 yang perlu dilakukan oleh guru-guru sekolah dalam sesi PdPc dan teknik ini telahpun digalakkan oleh Pementerian Pendidikan Malaysia sejak 2014 lagi. Pelbagai kaedah dan cara boleh dilakukan seperti Kaedah Gallery Walk, Hot Seat, Forum dan sebagainya dalam pembelajaran aktif ini.
Justeru, pelajar yang lahir daripada pembelajaran aktif ini akan lebih bersedia dalam mengharungi gelombang Revolusi Perindustrian 4.0 di mana revolusi perindustrian 4.0 merupakan suatu zaman baharu dengan berkembangnya sistem pengkomputeran dan mesin menjadi semakin pintar. Kepintaran Buatan (Artificial Intelligent atau A.I.) ini menjadi teras kehidupan dan perindustrian hari ini kerana tanpa pengetahuan pengkomputeran yang tinggi, seseorang itu mungkin akan ketinggalan dalam pelbagai aspek kehidupan bermula dari zaman ini. Semua proses kehidupan kita memerlukan A.I. sebagai sambungan kehidupan kita pada masa ini, sehinggakan tanpa telefon pintar, seseorang itu berkemungkinan tidak boleh hidup dengan normal.
Dengan penguasaan kemahiran 4C ini, pelajar lebih bijak dalam percaturan dunia digital ini. Mereka dapat mengasingkan data-data yang benar dengan yang tidak benar dan mengaturcarakan A.I. untuk bekerja dengan lebih baik. Selain itu, penekanan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam PAK-21 membolehkan pelajar menjadi mahir dalam literasi pengkomputeran dan pengendalian telefon pintar mereka. Sedar atau tidak, semua laman sosial telah mewujudkan aplikasi android atau ios untuk kekal bersaing dalam dunia hari ini.
Di samping itu, penguasaan teknologi terkini dengan kemahiran PAK-21 membolehkan pelajar terkehadapan dalam pekerjaan di masa kini dan akan datang. Kebanyakan syarikat jualan sudah menggunakan aplikasi di telefon bimbit untuk memudahkan jual beli dan syarikat yang tidak menggunakan aplikasi pintar ini akan ketinggalan dalam jualan. Oleh sebab kejuruteraan perisian telefon pintar ini menjadi fenomena baharu, pelbagai peluang pekerjaan di bidang pengaturcaraan telefon pintar juga ditawarkan kepada pelajar yang kreatif dan inovatif.
Zaman revolusi perindustrian 4.0 ini menjadikan dunia yang luas ini menjadi kecil. Pelajar yang minat berniaga juga boleh menjual produk mereka ke mana-mana sahaja seluruh dunia ini dengan saiz pasaran yang sangat besar, lebih 2 billion manusia berhubung dengan kerap di atas talian dalam media sosial. Fenomena lain dalam dunia revolusi perindustrian ini ialah penghasilan video yang kreatif dan dapat menjana keuntungan yang tinggi dengan penghasilan video yang menarik perhatian orang untuk membeli produk mereka.
Di samping itu, video juga dapat menjana keuntungan di bidang pengiklanan. Seorang vlogger yang terkenal mampu mennjana pendapatan beribu-ribu ringgit, malahan beratus-ratus ribu ringgit melalui pengiklanan di video mereka. Pelajar yang mahir dengan PAK-21 dan menguasai tenologi yang baik sudah tentu mampu untuk menghasilkan keuntungan melalui nilai tambah yang ada pada diri mereka dan kemahiran berfikir yang sangat baik, seterusnya dapat meningkatkan status sosial mereka dan menjadikan mereka lebih berjaya dalam bidangyang mereka ceburi.
Sebagai kesimpulan, pembelajaran abad ke-21 perlu dititikberatkan demi menjamin kelangsungan masyarakat Malaysia yang berdaya saing, kreatif dan rasional dalam membentuk negara bangsa yang berjaya dan kompeten terhadap negara-negara lain. Guru-guru yang mengajar disarankan untuk pelbagaikan lagi kaedah pengajaran dengan mengambil berat Kaedah Pembelajaran Abad ke-21 ini. Selain itu, ibu bapa dan masyarakat umum juga perlu tahu mengambil tahu dan menggalakkan lagi pembelajaran ini diteruskan di Malaysia dalamm pembinaan generasi baharu yang asertif, berwawasan, berdaya saing dan mempunyai pemikiran kelas pertama setanding dengan negara-negara maju yang lain.
Rujukan:
- https://www.pendidik2u.my/pembelajaran-abad-ke-21-pak21
- http://woulibrary.wou.edu.my/weko/eed502/Characteristics_of_a_21st_Century_Classroom.pdf
- http://mudahmengajar.blogspot.com/2017/03/apakah-itu-pak21.html
- Pembangunan Pendidikan 2001-2010 , Kementerian Pelajaran Malaysia , 2001
- Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP), KSSM, 2016
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih