Semua perkara terbaik di dunia ini nampak percuma tetapi itu tidak bermakna kita perlu mengorbankan masa, tenaga dan kesungguhan untuk melakukannya. Lagilah kalau ia membabitkan kemahiran atau sikap penting dalam hidup. Nampak macam susah tapi bila kita belajar, ia sebenarnya boleh menjadikan kita lebih matang dalam mengharungi kehidupan yang semakin mencabar ini.

1. Empati.

“Buat apa tolong si Man tu? Dia tu kaya, kedekut pulak tu. Tak payah tolonglah.”
“Alah, buat apa nak derma dekat rumah anak yatim tu. Bazir duit aku je.”

Kita semua pernah dengar dialog sebegini tak kira masa atau tempat. Tapi tahukah anda, ia sebenarnya menunjukkan kurang rasa empati pada orang lain. Empati mengikut definisi Kamus Dewan ialah menyelami dan memahami perasaan atau emosi orang lain. Bila mana kita belajar memahami dan menyelami perasaan orang lain tak kira sama ada manusia atau haiwan dan berbeza warna kulit, fahaman atau agama, mudah untuk kita bersimpati dan memberi bantuan kepada orang yang memerlukan. Dan bagi yang berkecimpung dalam bidang perniagaan dan perkhidmatan, ia mendorong pekerja melihat kerjaya mereka bukan setakat dapat gaji setiap bulan tetapi juga peluang untuk berbakti dan menambahbaik taraf kehidupan orang lain.

Saya tahu ada yang menolak sikap ini kerana bimbang ditipu atau dimanipulasi tetapi itu bukan alasan untuk menolak ciri ini bulat-bulat. Tanpa empati, tidakkah ia mencacatkan sisi manusiawi kita? Dan tanpa empati, tidakkah itu membuatkan kita jadi sasaran kebencian dalam kalangan manusia. Dan empati juga merupakan satu sunnah Nabi s.a.w dalam beberapa hadis. Antaranya, “Perumpamaan kaum mukmin yang bersikap saling mencintai, mengasihi dan menyayangi antara satu sama lain ibarat tubuh manusia. Jika satu anggota merasa sakit, maka anggota tubuh lain merasa sukar tidur atau demam.” (Bukhari dan Muslim). Dalam satu hadis lain, pada satu pagi, baginda duduk bersama para sahabat. Ketika itu, muncul satu kaum yang mengalami kesusahan di mana mereka tiada kasut dan daging melekat pada tulang mereka akibat kelaparan. Rasulullah s.a.w tersentuh melihat keadaan mereka dan wajah baginda serta-merta berubah. Lalu, baginda memerintahkan Bilal r.a melaungkan azan dan mengumpul para sahabat. Selesai solat, mereka mengutip derma yang banyak untuk membantu kaum tersebut. (Muslim) Allah s.w.t memandang tinggi unsur empati berdasarkan firman-Nya memuji ciri empati Nabi s.a.w dalam ayat 128, Surah At-Taubah, “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.”

2. Pengurusan tidur.

Kita semua pernah alami situasi sebegini. Kita berjaga lewat kerana menonton filem kegemaran di televisyen, iPad atau komputer riba, sibuk melayan laman media sosial atau menonton perlawanan antarabangsa. Dan pada waktu pagi, kita bangun lewat dan lambat sampai ke sekolah, kolej, universiti atau tempat kerja. Akibatnya, telinga memang panaslah dapat syarahan percuma pagi itu, kan?

Tidur lewat nampak elok tapi menurut pakar, ia sebenarnya satu pengurusan tidur yang teruk. Kenapa? Bila kita tidur lewat, ia boleh menyebabkan kita tak dapat tumpukan perhatian, menjejaskan kualiti suara, menyebabkan pening kepala dan sakit belakang, obesiti, penyebab lingkaran hitam bawah mata, penyebab penyakit dan tekanan. Dan semua kesan ini bukan saja menjejaskan kualiti kerja kita tetapi juga kualiti kehidupan kita secara keseluruhan.

Belajarlah rancang pengurusan tidur yang baik dengan mengurangkan kuantiti makanan untuk makan malam, cuba dapatkan tempoh 6.5 hingga 7.5 jam tidur, bersenam, cari waktu sesuai untuk bekerja (bagi yang bekerja bebas) dan pencahayaan yang baik. Ini bukan saja menjadikan anda lebih produktif di tempat kerja tetapi juga meningkatkan lagi kualiti kehidupan anda bersama keluarga dan rakan-rakan.

3. Pengurusan masa.

Ini saya rasa perkara paling sukar untuk orang kita, pengurusan masa. Tak kira sama ada menepati masa perjumpaan atau tertinggal tarikh penghantaran. Pengurusan masa yang buruk ini patut dihentikan kerana selain ia menjejaskan produktiviti kerja, ia juga boleh menjejaskan kualiti kehidupan kita tanpa disedari. Tak perlu jadi seperti Flash jika merasa terbeban dengan tugas anda, anda kena bijak aturkan masa untuk uruskan tugasan yang diberi. Sedikit tips pengurusan masa:

– bawa jadual dan rekodkan fikiran anda, perbualan dan aktiviti sepanjang minggu. Dengan cara ini, anda boleh tahu berapa banyak masa diluangkan untuk kerja dan berapa banyak pula masa untuk aktiviti tak berfaedah seperti rehat terlalu lama atau banyak berbual.
– letakkan keutamaan pada pekerjaan atau tugasan penting sebelum tugasan-tugasan kurang penting.
– rancang 50% daripada masa anda untuk memantapkan kualiti kerja.
– luangkan sedikit masa untuk berehat seketika. Rehat sementara ini walaupun dianggap tidak perlu, ia sebenarnya boleh mengecas bateri anda untuk lebih produktif pada sebelah petang.
– ambil 30 minit pertama setiap hari untuk rancang kerja anda.
– ambil masa 5 minit sebelum buat apa-apa tugasan untuk tentukan mana yang lebih menguntungkan pihak anda dan majikan.
– letakkan tanda ‘Jangan Ganggu’ bila anda bekerja terutama jika tugasan yang diberi terlalu banyak.
– rancang masa sesuai untuk balas e-mel atau jawab panggilan telefon. Melainkan kedua-dua perkara tersebut memerlukan respon dan tumpuan anda dengan segera, tidak perlu jawab atau balas.
– melainkan anda guna laman media sosial seperti Facebook dan Twitter untuk tujuan perniagaan, jangan gunakan ia semasa di tempat kerja.
– sentiasa ingat mustahil untuk selesaikan tugasan anda dalam masa sehari. Ingat kemungkinan 20% fikiran, aktiviti dan perbualan anda menyumbang kepada 80% daripada keputusan anda.

4. Minta tolong.

Sesetengah orang kadang-kadang terlalu ego bila mana tugas yang diberi tidak dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin. Kerana ego, silap haribulan, kalau setakat tugasan biasa, kena marah itu diterima lagi. Tapi kalau gagalkan tugasan dengan pelanggan atau klien berprofil tinggi, itu boleh jadi paku kepada keranda pekerjaan anda di tempat tersebut. Ini berdasarkan pengalaman seorang pengguna Quora bernama Louise Christy yang menceritakan sewaktu temuduga untuk satu jawatan di sebuah syarikat, penemuduganya memberitahu, “Anda tak boleh dapat kerja ini jika anda tak minta pertolongan pada masa yang anda perlukan.” Selepas mendapat kerja tersebut, Christy diberitahu orang yang pernah mengisi jawatannya itu dipecat kerana dia tidak dapat menangani tugasan tersebut tetapi enggan mengakuinya dan enggan menerima sebarang bantuan.

Satu kajian terbaru dari Sekolah Bisnes Harvard mendedahkan bila kita meminta bantuan, ia bukan memperlihatkan kita nampak tidak berkebolehan tetapi ia sebenarnya menjadikan kita nampak berkebolehan di mata orang lain. Menurut penulis kajian ini, bila mana kita meminta nasihat, kita sebenarnya mengesahkan kemahiran atau kebijaksanaan individu tersebut. Ini sekaligus membantu kita memenangi hati mereka.

5. Beri kata positif pada diri sendiri.

Ini antara teknik motivasi yang senang tapi jarang digunakan dalam kehidupan kita. Bila mana kita bagi kata-kata sebegini pada diri kita, ia sebenarnya mengubah pandangan alam kita pada persekitaran ke arah lebih baik. Dan dari situ, ia sebenarnya meningkatkan peluang kita untuk lebih berjaya. Seperti kata Shev Khera, “Tindakan positif digabungkan dengan pemikiran positif boleh menyebabkan kejayaan.” Namun jaga-jaga dengan kata-kata negatif kerana ia boleh saja melunturkan keyakinan anda dan mengubah pandangan alam kita jadi lebih gelap.

6. Konsisten.

Antara rahsia kejayaan orang-orang berjaya pada hari ini ialah mereka bersikap konsisten dalam melakukan pekerjaan mereka. Tak kiralah sama ada lakukan rutin senaman baru, menuntut ilmu atau mengawasi projek penting, menurut seorang penulis, Khaleel Syed, konsisten atau istiqamah penting untuk mengekalkan sebarang bentuk kerajaan. Tanpa ketekalan, agak sukar bagi kita mengekalkan fokus untuk terus berjaya dalam setiap bidang yang kita ceburi. Dan konsisten juga merupakan antara sunnah Rasulullah s.a.w terutama dalam perbuatan kebaikan. Ini berdasarkan sabda baginda, “Orang yang paling dikasihi Allah ialah orang yang istiqamah dalam melakukan kebaikan walaupun ianya sedikit.” (Bukhari dan Muslim)

7. Jaga hal ehwal diri sendiri.

Ianya bukan senang lebih-lebih lagi dengan gejala viral yang semakin menular hingga jadi kegilaan rakyat kita hari ini. Cakaplah apa saja, dari gelagat politikus hinggalah cerita kurang enak selebriti tempatan. Ada saja komen yang dikeluarkan sehingga ke tahap mencaci dan menghina peribadi individu terlibat. Tak salah nak jaga tepi kain orang tapi biarlah berpada-pada dan mengikut perkara betul seperti mencegah kemungkaran. Dan lihat pula kemampuan kita untuk melakukannya, kalau rasa melebihi kemampuan, jangan buat, itu saja.

Sesetengah orang yang suka jaga tepi kain orang ini menurut pakar mempunyai dalaman yang menyedihkan. Mereka sentiasa mencari salah orang lain semata-mata untuk menunjukkan mereka lebih baik daripada individu dimaksudkan. Dan mereka juga suka menghakimi orang lain secara tergesa-gesa tanpa memahami sebab sebenar. Perkara sebegini menurut Aarushi Sharma tidak akan membantu dan membazirkan masa dan tenaga saja. Belum campur lagi dosa yang muncul dari perbuatan tersebut seperti mengumpat dan memfitnah.

8. Mendengar.

Anda pasti pernah berada dalam situasi ini, anda menyatakan pandangan tentang sesuatu perkara tetapi rakan atau majikan enggan mendengar dan sebaliknya, mengeluarkan pandangan mereka pula. Kecewa jangan cakaplah, silap haribulan, ia boleh saja bertukar kepada perang mulut atau pergaduhan secara fizikal.

Belajarlah mendengar apa yang diperkatakan ahli keluarga atau rakan-rakan bila mana berbincang tentang sesuatu perkara. Ini kerana bila kita mahu mendengar pandangan orang lain, kita bukan saja membina kepercayaan antara satu sama lain dan meningkatkan kredibiliti kita. Sejarawan menceritakan kisah seorang wartawan yang pernah makan malam bersama dua Perdana Menteri Britain, William Gladstone dan Benjamin Disraeli. Kedua-duanya dianggap Perdana Menteri paling pintar tetapi mereka bertanya siapa paling pintar antara kedua-duanya. Lalu si wartawan menceritakan, bila beliau makan bersama Gladstone, beliau merasakan Gladstone lelaki paling pintar di Britain. Tetapi bila makan bersama Disraeli, beliau merasakan dirinya wanita paling pintar di Britain. Apa yang dimaksudkan wartawan tersebut ialah Gladstone bercakap tetapi Disraeli mendengar dan menganggap ia pendengar yang baik.

Selain itu, ia mewujudkan rasa empati dan hormat antara satu sama lain. Dan siapa sangka, mendengar sebenarnya cara baik mendapatkan maklumat. Seperti mana kata Yogi Berra, “Anda boleh mendengar banyak perkara jika anda mendengar.” Apa saja maklumat yang dirasakan berguna semasa mendengar boleh digunakan pada masa sekarang atau masa hadapan. Dan paling penting, mendengar sebenarnya mewujudkan sistem sokongan antara satu sama lain, amat membantu jika anda berhadapan tugasan sukar atau merasa kecewa tentang sesuatu perkara.

9. Tahu bila nak diam dan benar-benar melakukannya.

Satu kecenderungan sesetengah orang kita ialah bercakap tentang perkara-perkara yang kurang enak, kadang-kadang sampai ke tahap memualkan perut kita. Ada pula yang menyeranah di laman media sosial tentang ketidakadilan yang berlaku padanya tanpa mengetahui sebab sebenar. Menurut seorang penulis, Roshna Nazir, “Anda tidak boleh bersuara tentang apa saja berlaku di dunia yang anda rasakan tidak betul.” Dan kecenderungan sebegini dianggap tidak sihat dan hanya menyusahkan diri sendiri.

Katalah anda menulis satu status di laman media sosial dalam keadaan marah tanpa menyalurkannya pada saluran yang betul, tidakkah anda rasa menyesal jika anda ditahan pihak berkuasa atau digantung/dipecat majikan anda kerana terlalu mengikut emosi sendiri. Sesetengah masa, kita kena belajar untuk diam dan tahu menyalurkan informasi terbabit pada saluran betul.

10. Menahan gosip.

Ini satu kegemaran masa lapang sesetengah orang kita tak kira masa atau ketika. Habis semua perkara digosipkan, dari status perkahwinan seorang selebriti hinggalah status kewangan rakan sekerja sendiri. Menurut Jason T. Widjaja, perkara yang boleh menjahanamkan sesebuah hubungan ialah gosip lebih-lebih lagi jika ia dilakukan di belakang individu yang dimaksudkan.

Saya tahu ramai antara kita susah nak hentikan tabiat sebegini kerana menurut Widjaja, anda boleh saja kehilangan peluang perbualan penting, tidak dapat bergaul dengan orang penting atau terpaksa beritahu bahawa anda tidak berminat dengan arah tuju perbualan tersebut. Walaupun anda tidak bergosip, sekurang-kurangnya anda tidak kehilangan satu perkara paling berharga iaitu kepercayaan.

Bahkan perbuatan sebegini ditegah Allah s.w.t berdasarkan firman-Nya dalam ayat 12, Surah Al-Hujurat, “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” Dalam satu hadis yang diriwayatkan Abu Musa al-Ashari r.a, Nabi s.a.w ditanya siapa orang terbaik dalam kalangan Muslim. Baginda bersabda, “Orang itu ialah Muslim yang merasa selamat dari tangan dan lidahnya.” Jangan kerana lidah, hubungan silaturahim terputus, neraka pula menggamit kita kerana gagal mengawal lidah.

11. Fokus pada masa sekarang.

Sesetengah orang kita suka berkhayal dan mahu terus hidup dalam kenangan silam. Tetapi hakikatnya, perbuatan sebegitu yang disangka menaikkan tahap kegembiraan kita melakukan perkara sebaliknya. Tak salah nak berkhayal sekali-sekala tetapi buat pada masa terluang dan tidak mengganggu tumpuan kerja kita. Berdasarkan statistik yang diberi Matt Killingsworth, seorang pengkaji kegembiraan, 47% daripada responden merasa kurang gembira bila mana berkhayal atau memikirkan sesuatu yang lain selain daripada tugasan yang diberikan. Bila dapat satu tugasan, fokus dulu apa yang ada di hadapan kerana ia sebenarnya membuatkan kita lebih gembira. Mengapa saya berkata sedemikian?

Ini berdasarkan pemerhatian Killingsworth, orang yang fokus kepada berulang-alik ke tempat kerja jauh lebih gembira berbanding orang yang berkhayal, fikir perkara lain atau hidup dalam kenangan silam yang melakukan tugasan sama. Bil kita sudah selesai buat kerja, kita takkan terasa terbeban dengan tekanan dan boleh saja menaikkan moral jika kerja tersebut dipuji majikan.

12. Kawal fikiran anda.

Sesetengah masa, anda pasti perasan jika kita hendak melakukan sesuatu perkara, kita merasakan ia agak sukar. Tambah sukar jika minda kita yang memberitahu sedemikian walaupun nampak kacang pada pandangan kita. Ini boleh saja berlaku kerana trauma atau kenangan silam yang menakutkan. Belum campur lagi gangguan minda bersifat biasa-biasa seperti nak makan apa, bila nak lepak dengan kawan-kawan atau kenapa gadis idaman muncul dalam kepala. Menurut Mark Givert, kita perlu bijak mengarah minda kita secara bawah sedar. Ini kerana menurut Givert, trauma atau kenangan silam boleh saja memberi anggapan pada minda semua perkara yang kita lakukan akan berakhir sama seperti trauma tersebut. Namun, kenangan silam tidak sama dengan apa yang berlaku sekarang.

13. Belajar bahasa baru.

Kita semua anggap belajar bahasa baru ini menyusahkan dan tidak memberi manfaat apa-apa dalam kehidupan kita. Hakikatnya, kemahiran berbahasa asing bukan saja membuka hubungan baru tetapi juga peluang bertemu dengan orang baru. Dan ada satu rahsia yang tidak diketahui termasuk yang bekerja di syarikat multinasional (MNC), bos anda amat suka dan menganggap anda ada inisiatif untuk memajukan diri. Dengan perkembangan ekonomi global yang semakin berkembang, maka menjadi keutamaan untuk mana-mana syarikat melatih pekerja mereka menguasai bahasa asing terutamanya jika mereka dihantar ke cawangan baru seperti di Jepun, India, Qatar atau Perancis. Dan dengan menguasai bahasa asing, siapa sangka ia sebenarnya meluaskan lagi horizon kita pada dunia ciptaan Tuhan ini. Bak kata filsuf Austria, Ludwig Wittgenstein, “Had bahasa anda ialah had dunia anda.” Dan jangan terkejut, jika kita sudah dapat menguasai bahasa seperti Mandarin dan Arab, maka mudah pula untuk kita belajar bahasa lain. Selain itu, penguasaan bahasa asing menajamkan lagi minda dan memantapkan memori kita, mengelakkan risiko Alzheimer dan membina keyakinan diri anda.

14. Berucap di khalayak.

Tak kira siapa, sama ada diktator atau pemimpin seperti Adolf Hitler, Benito Mussolini, Barack Obama, John F Kennedy atau Datuk Seri Najib Razak, bila anda mendengar ucapan mereka, walaupun anda tidak setuju dengan polisi atau pendekatan mereka, anda pasti mengagumi keupayaan mereka berucap di khalayak ramai. Siapa tidak boleh lupa ucapan bersemangat dan berapi Hitler semasa mengumumkan polisi-polisi gila Nazi Jerman. Atau ucapan perdana menteri kita yang bersahaja tetapi mampu membuatkan ramai fokus.

Saya akui, kemahiran ini agak sukar kepada semua terutama yang bersikap pemalu atau berat mulut di khalayak ramai. Tetapi hakikatnya bila anda dapat menguasainya, anda dapat menunjukkan empati dengan orang lain. Selain itu, anda juga secara tak langsung dapat belajar mengawal perasaan dan tingkah laku semasa di khalayak. Dan siapa sangka, dengan kemahiran ucapan umum, anda sebenarnya dapat belajar dari kegagalan dan memperbaiki keperibadian kita. Dari situ, anda boleh saja mengaplikasikan keupayaan bercakap di khalayak awam dalam bidang lain. Dan dengan kelebihan sebegini, anda sebenarnya boleh saja berinteraksi dengan orang lain dengan yakin dan tanpa ragu-ragu.

Saya nak kongsikan pengalaman orang kedua terkaya di dunia, Warren Buffett. Dalam satu perbualan dengan penulis biografi beliau, Alice Schroeder, beliau amat takut memberi ucapan awam sehinggakan jika hendak naik ke pentas, beliau merasa mual. Bagi mengatasi ketakutannya itu, beliau berucap di hadapan rakan-rakan kursus ucapan di Dale Carnegie beberapa kali. Dan hasilnya, Buffett berjaya dan menganggap ijazah yang diterimanya ijazah paling penting yang pernah dimilikinya.

15. Jujur dengan orang lain.

Agak sukar untuk kita berlaku jujur kepada orang lain lebih-lebih lagi dalam memberi teguran dan maklum balas kepada setiap inisiatif yang dilancarkan. Kadang-kadang, kita terpaksa berbohong demi menjaga perasaan mereka ini. Tetapi jika teguran atau maklum balas yang diberi boleh menjadikan seseorang itu lebih baik atau menambahbaik kualiti kerjanya, maka ia perlu juga dilakukan. Tetapi perlu diingat, teguran atau maklum balas yang diberi biarlah bersifat objektif dan tidak menyerang peribadinya. Teguran biarlah bersifat peribadi dan tidak memalukan individu tersebut. Bila nak menegur, pastikan tona suara yang digunakan berhemah dan teguran bersifat konstruktif, bukan menjahanamkan. Dan ini kaedah yang digunakan Ketua Pegawai Operasi (COO) Facebook, Sheryl Sandberg dalam mengendalikan masalah di tempat kerja.

16. Jujur dengan diri sendiri.

Bukan senang untuk kita berlaku jujur kepada diri sendiri. Ya, dengan pilihan-pilihan yang kita buat, ada masa kita betul dan ada masa kita salah. Kadang-kadang bila kita salah, sukar untuk kita mengakuinya kerana keegoan kita sendiri. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IBM, Ginni Rommety, kesilapan paling buruk ialah tidak belajar dengan kesilapan diri sendiri.

Sumber:

  1. Gillett, Rachel. Akhbar The Independent. (2017). 16 skills that are ard to learn but will pay off forever. http://www.independent.co.uk/life-style/16-skills-hard-to-learn-but-will-pay-off-forever-sleep-honesty-empathy-a7867251.html  
  2. Swan, Nathan. Magnetic Speaking. 5 Ways Public Speaking Can Drastically Improve Your Life. https://magneticspeaking.com/5-ways-public-speaking-can-drastically-improve-your-life/ 
  3. Wagers, Rachel. FluentU. 9 Big Advantages of Learning a Foreign Language. http://www.fluentu.com/blog/advantages-of-learning-a-foreign-language/?nabe=4857995676876800:1
  4. TeslaIdeas.com. (2012). Idea #14 How to Listen Like Benjamin Disraeli. http://www.teslaideas.com/2012/02/14/idea-14-how-to-listen-like-benjamin-disraeli/
  5. ChangingMinds.org. Why you should listen. http://changingminds.org/techniques/listening/why_listen.htm
  6. Fern, Ashley. (2013). Elite Daily. Why You Need to Mind Your Own Business. http://elitedaily.com/life/why-you-need-to-mind-your-own-business/]
  7. Matthews, Joe, Debolt, Don dan Percival, Deb. Entrepreneur.com. How to Manage Time with 10 Tips That Work. https://www.entrepreneur.com/article/219553
  8. Siddiq al-Juyaanee, Abu Abdis Salam. Islamic Treasure. Consistency Is A Must. http://www.islamictreasure.com/2095-consistency-is-a-must/
  9. Widrich, Leo. (2012). Blog Buffer App. How Much Sleep Do We Really Need to Work Productively. https://blog.bufferapp.com/how-much-sleep-do-we-really-need-to-work-productively  
  10. Cooper, Belle Beth. (2013). LifeHacker.com. Master Your Body Clock to Eat, Sleep and Work More Efficiently. http://lifehacker.com/master-your-body-clock-to-eat-sleep-and-work-more-e-890410373
  11. Sumer, Sheima Salam. ProductiveMuslim.com. Empathy: A Trait That Can Transform Your Life. http://productivemuslim.com/empathy-transform-life/

 

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply