Beberapa hari lepas, Presiden Donald Trump mengumumkan senarai 1,333 produk buatan China yang akan dikenakan tarif maksima 25%. Alasan lelaki paling berkuasa di Amerika Syarikat ini ialah mengurangkan defisit perdagangan negara Uncle Sam itu. Tetapi sebagai tindak balas, China pula mengenakan tarif ke atas pelbagai produk Amerika Syarikat seperti kacang soya, kenderaan dan pesawat. Tetapi mengapa beliau sanggup bertindak sedemikian rupa? Dan apakah impak dari tindakan tersebut kepada negara Uncle Sam itu?
Tindakan Trump ini ada hubungkait dengan kempen American First yang dilaungkannya semasa berkempen untuk menjadi presiden pada tahun 2016. Menerusi slogan tersebut, Trump mahukan Amerika kembali sebagai sebuah kuasa perindustrian dan ekonomi, setara dengan statusnya sebagai antara kuasa besar dunia. Dan bagi beliau, ia menjustifikasikan tindakannya untuk bertindak bebas dalam soal perdagangan tanpa mengambil kira kepentingan pihak lain kerana kepentingan Amerika perlu didahulukan.
Tetapi status mereka sebagai kuasa ekonomi dunia tidak menjamin Amerika Syarikat terlindung dari kesan buruk sebarang perlaksanaan polisi ekonominya. Apa yang berlaku di sana berpunca dari asas ekonomi antarabangsa dan kemerosotan dominasi negara Uncle Sam itu dalam sistem perdagangan dunia. Mengikut prinsip ekonomi standard, semua pemain wujud dalam satu sistem yang sama. Jika salah seorang melakukan satu tindakan berbeza, ia pasti mendorong pemain lain untuk membuat langkah sama. Maka atas sebab itulah bagi sebarang perlaksanaan polisi ekonomi, sesebuah kerajaan akan memikirkan setiap aspek dan kadangkala perlu membuat keputusan sukar bagi memastikan sesebuah polisi tidak menjejaskan kedudukan ekonomi sesebuah negara. Tetapi perkara ini tidak dipertimbangkan langsung oleh pendukung American First. Mereka gagal mengambil kira tindak balas dari rakan dagang Amerika Syarikat lain terhadap dasar melindungi ekonomi mereka, kesilapan sama yang dilakukan penggubal undang-undang semasa era Kemelesetan.
Bagi pendukung American First, apa yang dilakukan Trump bukanlah sesuatu yang baru. Dan jika mengikut kronologi sejarah tarif di Amerika Syarikat, apa yang dinyatakan mereka adalah tepat. Semasa era George Washington, antara undang-undang yang diluluskan beliau sebagai presiden ialah tarif. Andrew Jackson, presiden kegemaran Trump sendiri turut bertegas mengekalkan tarif walaupun ia mencetuskan krisis undang-undang dengan Carolina Selatan di mana negeri tersebut menganggap undang-undang tarif 1828 dan 1832 sebagai melanggar undang-undang dan tidak sah dikuatkuasakan di negeri itu. Sementara Abraham Lincoln atau Honest Abe pula menyifatkan tarif sebagai penyelamat kepada perbendaharaan negara tersebut berikutan krisis Perang Saudara antara pihak Kesatuan dengan Konfederasi. William McKinley pula digelar Napoleon of Protectionism atas sebab mengenakan tarif tinggi demi melindungi ekonomi negara tersebut.
Walau apapun alasan Trump dan American First, bagi pakar-pakar ekonomi, tarif sebenarnya sudah tidak relevan dengan ekonomi hari ini. Ini kerana jika dibandingkan dengan era presiden-presiden terdahulu, tarif dilaksanakan untuk melindungi sektor domestik atau menghapuskan saingan dari luar negeri. Contoh mudah ialah pengenalan Tarif Morrill dan pindaannya semasa pentadbiran Presiden James Buchanan dan Lincoln. Tujuan ia diperkenalkan ialah menggalakkan industri tempatan dan syarikat perindustrian membayar gaji lebih tinggi kepada pekerja mereka. Antara negara yang terkesan dengan tarif ini ialah Britain yang melihat ia satu ancaman kepada perdagangan bebas. Tarif ini menjadi modal pelobi-pelobi Konfederasi untuk melobi sokongan dan pengiktirafan London pada perjuangan mereka. Dan sesetengah seperti penulis Charles Dickens menyalahkan tarif ini sebagai punca Perang Saudara berlaku. Tetapi hujah mengarut ini disanggah oleh pengasas Marxisme, Karl Marx menerusi catatannya dalam akhbar-akhbar Amerika Utara termasuk New York Tribune. Marx menyifatkan punca sebenar perang bukanlah Tarif Morrill tetapi amalan perhambaan yang berlaku di sebelah selatan.
Menurut Joseph J. Thorndike, Pengarah Projek Sejarah Cukai (Tax History Project), dua faktor yang menyaksikan tarif tidak lagi dianggap relevan. Pertama, kematangan ekonomi Amerika Syarikat selepas 150 tahun penubuhannya. Menurut beliau, dengan industri negara tersebut lebih berkemampuan bersaing di peringkat global, apa yang diperlukan mereka bukanlah kod cukai yang melindungi mereka. Tetapi sebaliknya, pemain-pemain industri memerlukan pelbagai jenis insentif dari pihak kerajaan bagi menarik lebih ramai bakal pelanggan bukan saja dari dalam negara tetapi juga di luar negara.
Kedua, faktor Perang Dunia Pertama (WWI). Menurut Thorndike, hasil kutipan tarif semasa tempoh tersebut tidak memuaskan dan tidak lagi mendatangkan hasil lumayan kepada perbendaharaan negara. Ini ditambah dengan pengenalan cukai pendapatan persekutuan pada tahun 1913 yang banyak menyumbang kepada penambahan dana negara dan perang semasa WWI. Berikutan Demokrat ketika itu menguasai kerajaan semasa WWI, mereka lebih memilih cukai pendapatan sebagai kaedah meraih dana berbanding tarif.
Tetapi selepas Republican menguasai Rumah Putih, tarif diperkenalkan bukan atas sebab ekonomi atas sebab politik. Menurut Douglas Irwin, penulis buku Trade Policy Disaster: Lessons from the 1930s, pada ketika itu, Amerika masih belum dibanjiri dengan produk import seperti hari ini. Era Kemelesetan masih belum memberi kesan besar dan tiada keperluan ekonomi untuk memperkenalkan tarif. Tetapi tindakan menaikkan tarif berkali ganda boleh dianggap satu tindakan bunuh diri. Menurut Claude Barfield, seorang cendekiawan dari Institute Perniagaan Amerika (American Enterprise Institute) menyifatkan logik di sebalik pengenalan tarif oleh Herbert Hoover dan Kongres ialah untuk melindungi golongan peladang dan ekonomi negara Uncle Sam itu.
Tetapi ramai pakar ekonomi tidak bersetuju dengan tindakan beliau kerana ia bakal menjejaskan ekonomi dunia. Tetapi nasihat mereka tidak diendahkan Hoover kerana dari segi politik, beliau tidak mampu kehilangan undi golongan yang mendapat faedah dari tarif ini. Tarif yang dinamakan Tarif Smoot-Hawley ini diluluskan dan seperti dijangka, ia mencetuskan situasi huru-hara pada ekonomi dunia. Sebagai tindak balas, negara-negara lain turut mengenakan tarif tinggi kepada Amerika Syarikat. Walaupun Tarif Smoot-Hawley bukanlah pencetus era Kemelesetan tetapi ia bertanggungjawab memanjangkan lagi krisis kemelesetan ekonomi bukan saja di Amerika tetapi juga di negara-negara lain.
Selepas melihat bagaimana Amerika terseksa dengan tarif mengarut ini, Franklin Delano Roosevelt diberi kuasa oleh Kongres untuk segera memperbaiki kerosakan polisi sebegini iaitu hak menentukan tarif. Selepas pengenalan Akta Perjanjian Perdagangan Berfaedah (Reciprocal Trade Agreements) 1934, negara Uncle Sam ini mula berunding secara individu dengan negara-negara terlibat untuk merunding polisi perdagangan dua hala sesebuah negara. Menerusi perjanjian tersebut, pentadbiran Roosevelt sedia mengurangkan tarif pada barang-barang tertentu sekiranya sesebuah negara sedia menurunkan tarif pada sesetengah barang keluaran Amerika Syarikat. Kebanyakan perjanjian sebegini dimeterai antara tahun 1935 hingga 1941. Dan selepas era Perang Dunia Kedua, presiden-presiden berikutnya sama ada dari Demokrat atau Republikan memilih jalan rundingan perdagangan dan mengurangkan halangan perdagangan serta mengelak melakukan perubahan unilateral yang dicadangkan Trump hari ini.
Dan kegagalan pentadbiran Trump belajar dari sejarah presiden silam mula menghantui Amerika Syarikat. Bagi yang mengikuti perkembangan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) membabitkan 12 negara termasuk Malaysia, pasti tahu antara janji beliau semasa kempen presiden ialah menarik diri dari perjanjian tersebut. Perjanjian ini merupakan inisiatif Presiden Barack Obama dan sekiranya ia direalisasikan, ia bakal mewujudkan blok ekonomi terbesar dunia yang menghubungkan ekonomi Washington dengan 11 lagi ekonomi negara-negara Pasifik. Dan secara tidak langsung, ia sebenarnya boleh menjadi platform kepada kewujudan blok liberal pimpinan Uncle Sam dalam menghadapi saingan ekonomi China pada orde ekonomi serantau.
Tindakan Trump menarik diri dari perjanjian itu bukan saja menyebabkan China mampu mengembangkan pengaruhnya tanpa sebarang tentangan. Bahkan, ia sebenarnya menafikan peluang syarikat-syarikat Amerika dari mengakses pasaran luar. Dan selepas 11 buah negara ini meneruskan perjanjian ini tanpa penyertaan mereka, sudah pasti 11 negara terlibat ini akan memberi keutamaan kepada syarikat-syarikat yang berpangkalan di negara-negara anggota dan bukan Amerika. Ini sekaligus menyukarkan firma-firma Amerika ini bersaing dalam pasaran mereka. Impaknya sudah mula dirasai di mana satu artikel New York Times mendedahkan pengeluar-pengeluar udang karang Amerika tidak dapat bersaing dengan pengeluar-pengeluar udang karang Kanada yang mengenakan harga lebih berpatutan selepas pemeteraian perjanjian perdagangan Kesatuan Eropah-Kanada.
Tindakan pentadbiran Trump yang keberatan menyertai mana-mana perjanjian perdagangan sebenarnya membuka ruang kepada negara-negara lain untuk membuat perjanjian yang bukan saja menguntungkan mereka. Tetapi pada masa sama, ia membolehkan mereka mengetepikan Washington dan berpotensi menjejaskan ekonomi kuasa besar dunia itu. Selain TPP, Washington sekarang ini cuba merundingkan semula terma Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA). Namun bagi penganalisis ekonomi, tindakan sebegini sebenarnya bakal memudaratkan Amerika berbanding jiran tetangganya, Mexico dan Kanada. Walaupun hakikatnya kedua-dua negara bergantung kepada ekonomi negara Uncle Sam itu tetapi kemusnahan pada NAFTA bakal menjejaskan firma-firma Amerika. Ini kerana firma-firma ini amat bergantung kepada pasaran Amerika Utara untuk memasarkan produk mereka.
Selain cuba merundingkan semula terma perjanjian perdagangan, tindakan mengenakan penalti, sekatan atau tarif kepada rakan dagang Amerika bukannya memberi manfaat tetapi lebih banyak mengundang bala. Ini kerana halangan-halangan sebegini sudah pasti mendorong syarikat-syarikat asing bekerjasama dengan negara-negara yang menggalakkan perdagangan bebas dan merosakkan peluang firma-firma Amerika dari berkembang. Dan jika melihat perkembangan ketika ini, apa yang berlaku pada era Kemelesetan bakal berulang dan berpotensi memberi kesan dahsyat kepada pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat.
Contoh paling mudah sekiranya tarif ini diteruskan ialah pengeluaran besi. Untuk pengetahuan para pembaca, industri Amerika Syarikat menggunakan lebih banyak besi berbanding menghasilkannya. Berdasarkan statistik, Amerika merupakan pengimport besi nombor satu di dunia dengan 71% daripadanya datang dari Kanada. Dan memandangkan China hanya mengeksport besi sebanyak 2% ke Amerika, ia dilihat tidak akan memberi kesan kepada mereka seperti yang diharapkan Trump.
Bagi pengusaha kacang soya pula, tarif yang dikenakan China ini boleh memberi kesan dahsyat kepada industri tersebut di Amerika Syarikat. Ini kerana Washington merupakan pengeksport terbesar kacang soya dunia dengan nilai $22.8 bilion diikuti oleh Brazil ($21 bilion), Argentina ($3.6 bilion), Kanada ($1.9 bilion) dan Paraguay ($1.8 bilion). Sementara China pula merupakan pengimport nombor satu komoditi tersebut dengan nilai $34 bilion. Jika ia diteruskan, ia memberi kesan kepada negeri-negeri pengeluar seperti Ohio, Ilinois dan Iowa. Bagi Ohio, komoditi kacang soya menyumbang kepada pendapatan eksport sebanyak $1.4 bilion ke China. Bagi para peladang, mereka bukan saja berpotensi kehilangan peluang pada peladang-peladang di Brazil tetapi ia akan menyebabkan harga kacang soya jatuh.
Apa yang direncanakan Trump itu pada dasarnya satu idea yang mahu melindungi ekonominya dari terancam. Tetapi apakah berbaloi mengorbankan kedudukan sedia ada atas dasar mahu menonjolkan maruah sebagai kuasa besar dunia dan tidak mahu bergantung kepada orang luar? Hanya masa bakal menentukan sama ada ianya berbaloi atau satu perjudian yang merosakkan legasinya sebagai presiden.
SUMBER
- Rothman, Lily. (2018). Time. President Trump Offered a History Lesson on Tariffs. Here’s What He Left Out. http://time.com/5192161/trump-tariff-history/
- Little, Becky. (2018). History. The Great Depression Lesson About ‘Trade Wars’. https://www.history.com/news/trade-war-great-depression-trump-smoot-hawley
- Campbell, Charlie. (2018). Time. China Hits Back at Trump’s Trade Tariffs With $50 Billion Hike on U.S. Goods. http://time.com/5227373/china-donald-trump-trade-war-tariffs/
- Sheldon, Ian. (2018). The Conversation. Why China’s soybean tariffs matter. https://theconversation.com/why-chinas-soybean-tariffs-matter-94476
- Hankla, Charles. (2018). The Conversation. Economic history shows why Trump’s ‘America First’ tariff policy is so dangerous. https://theconversation.com/economic-history-shows-why-trumps-america-first-tariff-policy-is-so-dangerous-92715
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih