Apabila Tentera Kwantung Jepun melancarkan serangan ke atas Manchuria pada 18 September 1931, ia bukan saja peluang kepada pihak tentera untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam negara Matahari Terbit itu. Tetapi ia juga membuka pintu kepada Perang Dunia Kedua (WWII) melalui insiden Pearl Harbor dan akhirnya, kekalahan memalukan negara tersebut dalam kancah perang itu.

Selepas berita serangan diketahui masyarakat dunia, Liga Negara-Negara (League of Nations) menubuhkan satu suruhanjaya diketuai Earl Kedua dari Lytton, Victor Bulwer-Lytton untuk menyiasat krisis di Manchuria. Ironinya, penubuhan suruhanjaya ini dicadangkan oleh pihak Jepun sendiri. Selepas suruhanjaya mendapati serangan Jepun itu bukanlah mempertahankan diri seperti didakwa mereka, Jepun menarik diri dari organisasi tersebut dan mengukuhkan lagi kedudukan mereka di Manchuria. Manchuria dinamakan semula sebagai Manchukuo di mana ketua negaranya ialah bekas Maharaja Dinasti Qing, Pu Yi.

Beberapa tahun selepas itu, China dan Jepun sekali lagi terlibat dalam satu pertempuran kecil di Jambatan Marco Polo berhampiran Beijing. Ini menyebabkan kedua-duanya mengisytiharkan perang antara satu sama lain sekaligus menyaksikan Perang China-Jepun Kedua dan merupakan teater perang paling lama dalam WWII. Insiden itu juga mendorong pihak tentera mengadakan doktrin orde dunia baru dan slogan Kawasan Kemakmuran Bersama Asia Timur Raya. Slogan ini menjadi tema mereka semasa melancarkan proses perluasan wilayah jajahan mereka antara tahun 1941 hingga 1942. Tetapi apa punca di sebalik semua ini?

Pada pertengahan abad ke-19, Jepun menyaksikan Keshogunan Tokugawa tumbang dan kuasa maharaja dikembalikan. Semasa tempoh dikenali sebagai Tempoh Pembaharuan Meiji, negara tersebut menyaksikan proses pemodenan radikal di mana dari situ juga timbul keinginan kuasa, harta dan prestij. Keinginan-keinginan ini timbul berikutan kepimpinan Jepun mahu mengembalikan semula kehormatan negara Matahari Terbit itu selepas ia menjadi mangsa perjanjian berat sebelah antara kuasa-kuasa Barat dengan negara itu. Perjanjian-perjanjian sebegitu bukan saja merugikan Jepun dari segi kewangan tetapi ia menyebabkan Jepun dipandang hina sebagai sebuah lagi negara yang tidak bertamadun mengikut persepsi negara atas angin.

Dan ini diterjemahkan dengan kejayaan Tokyo dalam Perang China-Jepun Pertama antara 1894 hingga 1895. Kejayaan ini membolehkan Jepun mula bertapak di tanah besar Asia. Dan pada masa sama, ini memaksa China mengiktiraf kemerdekaan Semenanjung Korea dan menyerahkan Formosa (Taiwan) dan Semenanjung Liaotung kepada Jepun. Tetapi ini menimbulkan kegusaran dalam kalangan Jerman, Perancis dan Rusia di mana mereka menganggap penjajahan Jepun di Liaotung akan mengancam keselamatan China.

Tekanan tiga negara tersebut memaksa Tokyo meninggalkan semenanjung tersebut dan membayar pampasan 30 juta tahil sebagai pampasan kepada China. Selepas Tokyo meninggalkan Liaotung, ketiga-tiga negara ini mengambil kesempatan dengan Rusia menguasai semenanjung tersebut dan Jerman menguasai Wilayah Shandong. Britain dan Perancis pula merebut pelabuhan-pelabuhan strategik China dengan menggunakan pelbagai alasan untuk menjustifikasi pendudukan mereka. Tokyo yang merasa tertipu tidak akan membiarkan dirinya diperdayakan kuasa-kuasa ini pada masa akan datang. Dan ini mendorong Jepun membentuk pakatan dengan Britain pada tahun 1902 untuk mengekang campur tangan kuasa asing terutama Rusia.

Selepas Jepun mengalahkan Rusia dalam Perang Rusia-Jepun antara 1904 hingga 1905, kejayaan mereka amat mengagumkan kuasa-kuasa Barat dan menarik perhatian kelompok nasionalis Asia. Kelompok ini melihat Jepun sebagai pemimpin semulajadi untuk gerakan membebaskan negara mereka dari cengkaman penjajahan kolonial. Melalui Perjanjian Portsmouth, ia membenarkan Jepun mendominasi Semenanjung Korea dan meningkatkan pengaruh mereka di Manchukuo. Walau bagaimanapun, cita-cita Jepun terhadap China masih belum padam dan ini bertentangan dengan polisi Pintu Terbuka 1899 yang diperkenalkan oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Hay yang mahu melindungi China dari dieksploitasi mana-mana kuasa koloni. Di sebalik tekanan Washington yang mahu Jepun kembali pada statusnya sebelum perang, agak sukar untuk mereka melakukannya.

Selepas Semenanjung Korea diilhak secara rasmi pada tahun 1910, Jepun mula mengalihkan tumpuannya pada bahagian selatan negara tersebut iaitu negara-negara kepulauan Pasifik dan Asia Tenggara. Pada mulanya, kehadiran mereka di rantau-rantau tersebut hanya sebagai pedagang atau pengembara tetapi selepas Perang Dunia Pertama (WWI), sesetengah tokoh berpengaruh mendesak Tokyo melebarkan pengaruh mereka di situ berbanding ke sebelah utara iaitu Manchuria, Semenanjung Korea dan China. Jika mereka mara ke sebelah selatan, mereka boleh mendapat akses kepada bekalan bahan mentah diperlukan untuk keperluan industri mereka.

Maka atas sebab itulah dan ditambah dengan penyertaan mereka dalam pihak Bersekutu semasa WWI, Jepun mendapat banyak kawasan yang pernah dijajah Jerman. Wilayah-wilayah ini ialah Tsingtao di Semenanjung Shantung, China dan kawasan Micronesia. Bagi Jepun, mendapat wilayah-wilayah ini membolehkan mereka akhirnya memasuki sebuah kelab eksklusif iaitu kelab kuasa-kuasa besar dunia. Dan paling penting, mereka tidak lagi akan dikenakan perjanjian-perjanjian yang bersifat berat sebelah. Sebarang cita-cita untuk pengembangan wilayah hilang buat sementara waktu tetapi semua itu berubah selepas pada akhir dekad 20-an dan awal dekad 30-an.

Ini kerana pada akhir 20-an, Jepun menyokong idea ekonomi liberal tetapi malangnya ia gagal direalisasikan berikutan permulaan krisis Great Depression yang melanda dunia terutama kuasa-kuasa Barat. Dan untuk memastikan ekonomi mereka terjaga, mereka meletakkan penghadang ekonomi pada sektor perdagangan Jepun. Ramai orang Jepun turut melihat struktur Liga Bangsa-Bangsa lebih banyak memihak kepada kuasa-kuasa Barat kerana mereka yang mengawal sumber dunia. Dan kuasa-kuasa sama ini juga bertanggungjawab mengekang emigrasi Jepun dengan menggubal undang-undang anti-imigrasi Asia pada dekad yang sama. Atas sebab-sebab inilah, timbullah idea hakko ichiu atau idea awal kepada Kawasan Kemakmuran Bersama Asia Timur Raya dan retorik Asia Untuk Orang Asia.

Serangan Jepun di Manchuria pada tahun 1931 dilihat memenuhi konteks ini dan dijustifikasikan atas alasan untuk menyelamatkan Jepun daripada mengalami krisis ekonomi yang dahsyat. Tiga faktor yang menyumbang kepada krisis tersebut ialah kekurangan bahan mentah di negara asal, populasi rakyat mereka yang semakin berkembang dan dunia dibahagikan kepada beberapa blok ekonomi. Dan bagi menambah perit pengasingan dari dunia luar, Jepun juga diancam krisis politik. Perdana Menteri Jepun dari parti politik terakhir, Inukai Tsuyoshi dibunuh pada Mei 1931 oleh pelampau-pelampau berhaluan kanan. Parti-parti politik terselamat tetapi tidak lagi berkuasa berikutan pembentukan kabinet perpaduan kebangsaan yang menamatkan terus janji demokrasi pada dekad 20-an.

Dan pada Februari 1936, selepas pihak tentera menggagalkan cubaan rampasan kuasa, perpaduan negara semakin condong ke arah Jepun. Dan pada bulan Mei tahun sama, peraturan yang melarang pegawai tentera dilantik sebagai menteri kabinet dimansuhkan. Ini membolehkan kabinet melantik mana-mana pegawai yang berkelayakan untuk menjawat jawatan menteri ketenteraan. Undang-undang ini menjadi kunci kepada tentera untuk memveto mana-mana usul kabinet dan membuka ruang kepada rampasan kuasa. Fumimaro Konoe mengambil alih jawatan sebagai Perdana Menteri pada tahun 1940 dan memperkenalkan partinya, Persatuan Bantuan Pemerintahan Diraja dengan tujuan membuang elemen perpecahan dalam kalangan parti-parti politik dan meningkatkan keberkesanan usaha perang Jepun di China. Tetapi lama-kelamaan, parti tersebut gagal menjadi pengimbang kepada pengaruh tentera dan Konoe terpaksa meletak jawatan pada tahun 1941. Ini membuka ruang kepada Hideki Tojo dilantik sebagai Perdana Menteri baru Jepun dan sekaligus, mengetuai rejim tentera.

Bagi kumpulan berhaluan kanan pula, walaupun wujud peningkatan dalam kumpulan ini, mereka tidaklah seradikal seperti rakan-rakan mereka di Jerman atau Itali. Mereka masih menerima reformasi ekonomi dan politik sederhana serta prinsip pemulihan kuasa maharaja. Mereka juga tidak melakukan apa-apa yang menjurus kepada rampasan kuasa. Tetapi mereka gagal bertahan berikutan wujudnya ancaman, pembunuhan dan propaganda yang mengecam idea-idea liberal. Gabungan peristiwa luar negara dan dalam negara menjadi satu campuran toksik yang menjahanamkan Jepun pada akhir WWII.

Selepas rejim Nazi Jerman dan Kesatuan Soviet memeterai perjanjian anti-serangan pada tahun 1939, ia merupakan satu detik yang mengejutkan pelampau-pelampau berhaluan kanan. Dan selepas kempen Blitzkrieg Jerman membantu mereka menguasai sebahagian besar Eropah termasuk Perancis pada tahun 1940, Jepun mula gusar Nazi Jerman akan melancarkan kempen mendapatkan kawalan politik di Indochina dan Hindia Timur Belanda (Indonesia moden). Wilayah-wilayah yang disebut ini merupakan kunci kepada bekalan bahan mentah dan sumber manusia ke dan dari tanah besar China. Dan Jepun ada sebab kukuh tidak mahu pengaruh Nazi Jerman ada di wilayah-wilayah ini sekaligus, menjejaskan usaha perang mereka.

Ini mendorong Menteri Luar, Yosoe Matsuoka mencadangkan pembentukan Pakatan Tiga Negara (Tripartite Pact) antara Itali, Jepun dan Jerman. Pakatan ini dibentuk secara rasmi pada September 1940. Pada masa sama, Jepun juga sedar mereka dikepung oleh Amerika, Britain, China dan Belanda. Maka amat penting bagi mereka meneruskan operasi mereka ke sebelah selatan dan ini bermaksud masuk ke kawasan Indochina yang dikuasai Perancis. Jepun boleh menarik nafas lega kerana Rejim Vichy yang diketuai Marshal Philippe Petain membenarkan mereka menggunakan Indochina sebagai tapak serangan ke atas negara-negara Asia Tenggara. Selain itu, Tokyo turut berunding dengan Hindia Timur Belanda untuk meningkatkan eksport minyak ke Jepun sekiranya bekalan minyak dari Amerika terputus.

Jepun turut sedar, lambat-laun Rusia akan kembali menjadi duri dalam daging kepada mereka. Hubungan Soviet-Jepun boleh dianggap tegang selepas tahun 1936 di mana Jepun memeterai Perjanjian Anti-Komunis dengan Nazi Jerman. Dan titik paling buruk hubungan dua hala dua negara ini ialah Perang Sempadan Soviet-Jepun yang membunuh lebih 30,000 tentera Soviet dan 20,000 tentera Jepun. Sedar bahawa konflik dengan Soviet hanya akan memakan sumber penting yang lebih diperlukan di  tempat lain, mereka memeterai perjanjian anti-serangan pada 13 April 1941. Ironinya, sebulan selepas perjanjian tersebut dimeterai, sekutu Jepun, Nazi Jerman melancarkan Operasi Barbarossa untuk menguasai lebensraum (kawasan kehidupan) untuk orang Jerman seperti dibayangkan Adolf Hitler dalam memoirnya, Mein Kampf.

Menjelang Jun 1941, rundingan Tokyo dengan Betawi menemui jalan buntu dan pada 2 Julai tahun sama, Jepun meneruskan kemaraan mereka ke selatan sambil membuat persiapan rahsia menyerang Soviet. Tidak hairanlah mengapa pihak Soviet meletakkan ramai askar mereka di sebelah Timur Jauh kerana bimbang tatkala mereka digempur tentera Wehrmacht di sebelah barat, Jepun akan menyerang dari sebelah timur. Pada bulan sama, selepas Jepun menguasai Indochina, Amerika Syarikat mengenakan sekatan minyak ke atas Tokyo. Pada awal September, Maharaja Hirohito semakin bimbang dengan pendekatan ketenteraan setiap kali berunding dengan Washington. Dan selepas Setiausaha Negara Cordell Hull menghantar memorandum menggesa Tokyo berundur dari China sepenuhnya, ia sebenarnya memberi lesen kepada pelampau-pelampau Jepun untuk bertindak lebih keras. Mereka berhujah nota tersebut merupakan satu ancaman tetapi Hull tidak pula mengetepikan keinginan berunding dan mencari jalan penyelesaian. Sikap pelampau keras yang diketuai Tojo ini membuka ruang kepada serangan ke atas Pearl Harbor pada 7 Disember 1941. Ironinya, dua hari sebelum itu, Nazi Jerman dipaksa berundur 200 kilometer dari Moscow selepas tewas dalam Pertempuran Moscow.

Dan seperti yang dijangka, serangan tersebut ibarat mengejutkan gergasi dari tidur yang lena. Jepun yang mempunyai kekurangan dari segi sumber diperlukan untuk berhadapan dengan gergasi ini membayar harga yang mahal akibat kesilapan pemimpin-pemimpin mereka. Mereka menyangka selepas kempen pendek di China dan Rusia, perang yang akan dilalui itu juga akan berakhir dalam masa singkat dan memihak kepada mereka. Tetapi sebaliknya, ia menjadi mimpi ngeri untuk tahun-tahun seterusnya sekaligus membawa kepada kekalahan teruk Jepun dalam WWII.

SUMBER

Townsend, Susan. BBC. (2011). Japan’s Quest for Empire 1931-1945. http://www.bbc.co.uk/history/worldwars/wwtwo/japan_quest_empire_01.shtml


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.