Kapal pertama yang berlayar mengelilingi Afrika adalah kapal Mesir yang memulakan perjalanannya sekitar tahun 600 SM. Perlayaran tersebut bertujuan untuk mencari laluan laut ke selat Gibraltar.

Namun semasa dalam perlayaran, mereka menemukan suatu hal yang di luar jangkaan masyarakat ketika itu – iaitu petanda bahawa bumi ini tidak berbentuk rata. Sebaik sahaja tiba di penghujung selatan Afrika dan haluan perlayaran mula menghala ke arah barat, mereka mendapati kedudukan matahari di langit sudah berubah – iaitu berada di sebelah utara dan bukannya di selatan seperti sebelumnya (ketika berada di Mesir).

Penemuan ini mungkin dianggap satu hal yang kecil, namun bagi tamadun yang mempercayai bahawa bumi yang mereka huni ini berbentuk rata, ia benar-benar mencabar minda dan makanya, ramai yang enggan percaya ketika para peneroka menceritakan pengalaman mereka itu.

FIRAUN NECHO II MEMBIAYAI EKSPEDISI PENCARIAN JALAN LAUT KE SELAT GIBRALTAR

Ekspedisi mengelilingi Afrika tersebut dibiayai oleh Firaun Necho II yang memerintah Mesir pada 610 hingga 595 SM, iaitu tempoh yang cukup genting buat mereka. Di sempadan timur, Nebuchadnezzar II dari Babylon sedang rancak menjalankan kempen ketenteraan yang lambat-laun akan sampai juga di perbatasan wilayah Mesir. Sebagai makluman, itulah pep3rangan yang nantinya menggugat kewibawaan kerajaan piramid itu.


Tugu Raja Necho, 610-595SM

Justeru, sejarahwan berpendapat ekspedisi perlayaran yang dilakukan pada masa-masa segawat itu bukanlah suatu ekspedisi sembarangan. Necho II hidup pada era kehuru-haraan, justeru setiap tindakannya tentu diambil bagi tujuan melindungi rakyat jelatanya dari ancaman Babylon.

Malahan, beliau sudah terlebih dahulu melancarkan projek penggalian terusan besar dari Nil hingga ke Laut Merah, dengan harapan dapat memudahkan armada p3rangnya menyekat kemaraan Nebuchadnezzar. Namun, projek itu dihentikan atas nasihat seorang pendeta yang berpendapat, kehadiran terusan itu hanya bakal mengundang s3rangan Babylon dengan lebih cepat.

Setakat ini, tidak dijumpai sebarang catatan yang menjelaskan secara tepat tujuan Necho II melakukan ekspedisi mengelilingi Afrika. Namun apa yang diketahui, ekspedisi tersebut diberangkatkan sejurus selepas projek pembinaan terusan dibatalkan. Keadaan ini seolah-olah mengisyaratkan betapa bersungguhnya beliau cuba mencari jalan supaya dapat memanfaatkan armada p3rangnya dengan sebaik mungkin dalam pep3rangan menentang Babylon kelak.

Walaupun jika dilihat dari sudut ketenteraan, rancangannya itu bakal gagal lantaran daratan Afrika terlalu luas dan memakan terlalu banyak masa untuk dikelilingi sehingga memustahilkan Mesir untuk melakukan s3rangan mengejut ke atas pasukan Babylon sepertimana yang dirancang, akan tetapi dari sudut pengetahuan, ekspedisi ini merupakan satu pencapaian yang mengagumkan. Para pelaut tersebut menemukan sesuatu yang tidak dijangka oleh seorang pun dari mereka.


Lukisan sebuah kapal Mesir, dari Makam Menna

MANUSIA PERTAMA MENGELILINGI AFRIKA

Sebagai makluman, pelaut-pelaut yang menganggotai ekspedisi tersebut bukanlah warga Mesir. Mereka adalah warga Phoenicia, iaitu sebuah negara yang mempunyai reputasi tinggi sebagai salah satu pelaut dan peneroka terhandal di dunia.

Perlayaran ini memerlukan daya ketahanan yang tinggi. Pada zaman itu, mereka tidak dapat memuatkan bekalan yang mencukupi sepanjang perlayaran. Oleh kerana itu, mereka terpaksa melabuhkan kapal setiap kali datang musim menanam, mendirikan khemah, bercucuk tanam, dan kekal bermukim di situ sehingga tumbuhan tersebut sedia untuk dituai.

Dalam erti kata lain, mereka perlu membina sebuah petempatan di kawasan tidak berpeta selama hampir setengah tahun hanya untuk menanam tumbuhan sebagai bekal makanan. Hanya selepas menuai dan memuatkan segala makanan itu ke dalam kapal, barulah mereka boleh meneruskan perlayaran.

Kapal Phoenicia (hippos). Relif dari istana Sargon II di Dur-Sharrukin (kini Khorsabad)

Setakat ini, tidak banyak maklumat yang kita miliki berkenaan pengembaraan tersebut. Satu-satunya sumber yang boleh kita rujuk datang daripada Herodotus, seorang penulis Yunani yang hidup lebih 100 tahun sesudah perlayaran tersebut berlaku. Bagi mengisi naratif-naratif yang lompong, sejarahwan mengemukakan teori yang tersendiri.

Kononnya, para pelaut ini meluangkan tahun pertama mereka dengan mengharungi kawasan-kawasan yang memang mereka ketahui, lalu berlayar turun dari Laut Merah dan merentasi Punt, sebuah kerajaan yang lazim berdagang dengan Mesir. Kemudian, selepas meninggalkan tanah Punt, mereka memasuki kawasan yang belum dipetakan.

Di sana, berkemungkinan mereka berpeluang menyaksikan ikan paus buat pertama kali. Mereka juga mungkin sempat berlabuh dan hutan belantara Afrika dan mengutip hasil hutan. Apa yang pasti, semasa berada di belahan bumi itu, mereka menyaksikan matahari berada pada kedudukan yang lain, tidak seperti kedudukannya semasa mereka berada di Mesir.

Kapal dagang Mesir

LANGIT DI HEMISFERA SELATAN

Sebagai nota, walaupun sumber yang dirujuk berkenaan kisah perlayaran ini datang daripada Herodotus, beliau sendiri tidak mempercayai kandungan kisah yang ditulisnya itu. Memetik kata-kata beliau: “Mereka ini mengeluarkan kenyataan yang saya sendiri tidak percayai, walaupun mungkin ada orang lain yang percaya. Mana mungkin matahari boleh berada di sebelah kanan mereka (di arah utara) ketika mereka berada di penghujung selatan Libya.”

Walau bagaimanapun, Herodotus lebih telus berbanding penulis-penulis lain sezaman dengannya, di mana mereka ini dengan mentah-mentah menolak langsung kisah perlayaran tersebut. Misalnya, Ptolemy dari Rom berkeras mendakwa kononnya perlayaran mengelilingi Afrika itu mustahil kerana menurutnya, Afrika adalah sebuah daratan luas yang pantai selatannya berada di penghujung dunia.

Apapun, penolakan mereka itu mengesahkan lagi yang perlayaran tersebut benar-benar berlaku. Pada hari ini, sememangnya kita ketahui betapa bentuk bumi membuatkan matahari berada di sebelah utara jika seseorang itu berada di selatan Afrika.

Walaupun para pelaut Phoenicia yang berlayar atas perintah Firaun Necho II ini digelar oleh masyarakat mereka sendiri sebagai pembohong dan perlayaran mereka itu pula dianggap karut, pengetahuan moden membuktikan betapa mereka adalah manusia pertama yang pernah mengelilingi Afrika.

Para pelaut Mesir mendapati kedudukan matahari berbeza dengan sewaktu mereka berada. Ia merupakan salah satu petanda bahawa bumi ini tidak rata

TERJEMAHAN:

Mark Oliver. (21 September 2018). When Sailors from Ancient Egypt Discovered the World is Not Flat, No One Listened. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/history-important-events/world-not-flat-0010733


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.