Pada hari ini, hanya puing-puing runtuhan sahaja yang dapat membuktikan signifikasi yang pernah dipegang oleh Kubu Beni Hammad dalam sejarah Algeria. Kota ini mengecapi kegemilangan sebagai sebuah kubu kuat merangkap ibu kota bagi sebuah dinasti sebelum kemudiannya ia ditinggalkan oleh para penghuninya yang mencari kehidupan di kota lain. Kota perkubuan yang pernah berdiri megah ini pada akhirnya menerima nasib yang malang apabila sebahagian daripadanya dihancurkan.

PENGASAS KOTA PERKUBUAN BENI HAMMAD

Tapak yang turut dikenali sebagai al-Qal’a Beni Hammad ini merupakan sebuah kota perkubuan yang terletak berhampiran dengan bandar Maadid, di belahan Maghreb, Algeria. Ia berjarak kira-kira 225km (140 batu) arah tenggara dari Algiers, ibu kota Algeria moden. Al-Qal’a Beni Hammad dan Algiers sememangnya berkongsi pertalian sejarah. Pada separuh kedua kurun ke-10 Masihi, Algeria yang merupakan sebahagian daripada Ifriqiyya pada waktu itu, berada di bawah kekuasaan Kekhalifahan Fatimiyah.

Tatkala Fatimiyah memindahkan ibu kota mereka dari Mahdia (di Tunisia) ke Kaherah, salah seorang penyokong tempatan mereka, iaitu Bullugin ibn Ziri, dilantik sebagai wakil pemerintah. Bulluggin inilah yang kelak menubuhkan kota Algiers dan mengasaskan Dinasti Ziriyyah (Zirid).

Kota Perkubuan Beni Hammad, Algeria

Selepas Bulluggin meninggal dunia pada tahun 984 Masihi, kedudukannya diambil-alih oleh salah puteranya yang bernama al-Mansur ibn Bullugin. Salah seorang adik-beradik al-Mansur, iaitu Hammad ibn Bulluggin, diberikan jawatan sebagai gabenor di Maghreb tengah. Hammad inilah yang bertanggungjawab menubuhkan Kota Perkubuan Beni Hammad yang berperanan sebagai ibu kota pentadbirannya.

Kemudian, dari kota inilah Hammad meningkatkan pengaruhnya dengan melebarkan kekuasaannya ke kawasan sekitar. Pada tahun 995 Masihi, al-Mansur meninggal dunia dan pucuk kepimpinan diwariskan kepada Badis ibn Mansur, puteranya.

Pertumbuhan kuasa Hammad di rantau Maghreb tengah mula menimbulkan kerisauan dalam hati anak saudaranya, dan sememangnya kerisauan ini munasabah. Hal ini kerana pada tahun 1014 Masihi, Hammad memeluk agama Sunni-Islam sekaligus menjadi penyokong Kekhalifahan Abbasiyah yang merupakan seteru kepada Fatimiyah. Dalam erti kata lain, Hammad secara efektif menubuhkan dinastinya yang tersendiri.

Sebagai susulan, Ziriyyah pun mengisytiharkan perang ke atas Hammadiyyah dan menyerang kota itu pada tahun 1017. Walau bagaimanapun, Hammadiyyah berupaya menangkis kepungan yang dilakukan sekaligus meraih kemerdekaan daripada Ziriyyah.

PEMERINCIAN SENI BINA KOTA PERKUBUAN BENI HAMMAD

Sebagai ibu kota Dinasti Hammadiyah, Kota Perkubuan Beni Hammad diperindahkan oleh para pemerintahnya. Salah satu struktur paling menyerlah dalam kota ini adalah Masjid Jamek. Masjid ini merupakan masjid kedua terbesar di Algeria (masjid terbesar ialah Masjid Mansourah) dan kemasyhurannya dipacu lagi apabila ia memiliki minaret kedua tertua di negara berkenaan (menara tertua ialah minaret Masjid Sidi Boumerouane). Dewan solat Masjid Jamek ini mengandungi 13 buah laluan dan 8 ruang di setiap satu laluan.

Panorama Masjid Jamek Kairouan di Tunisia. Masjid Jamek di Kota Perkubuan Beni Hammad mempunyai reka bentuk yang hampir serupa

Satu lagi struktur yang menonjol di kota itu adalah Dal al-Bahr (bermaksud ‘Tasik Istana’) yang berfungsi sebagai kediaman pemerintah. Dal al-Bahr merupakan sebuah kompleks kediaman yang dipisahkan oleh sejumlah astaka dan taman bunga.

Nama istana ini diambil bersempena kolam berbentuk empat segi yang terdapat dalam kompleks berkenaan. Kolam yang berukuran 67 x 47 meter (220 x 154 kaki) ini mempunyai satu tanjakan, di mana di tanjakan itu lazim diadakan persembahan teater dan acara-acara sukan. Dal al-Bahr dan Masjid Jamek adalah bukti kegemilangan yang pernah dikecapi oleh Dinasti Hammadiyah.

Model miniatur yang menggambarkan semula rupa bentuk kota

 HANCURNYA KOTA PERKUBUAN BENI HAMMAD DAN PENGIKTIRAFAN KE ATASNYA

Namun, kegemilangan ini menuju pengakhirannya pada tahun 1090. Menjelang 1045, emir Dinasti Ziriyyah, iaitu al-Mu’izz menumpahkan kesetiaan kepada Abbasiyah setelah sebelumnya berpihak kepada Fatimiyah. Sebagai tindak balas terhadap perkara itu, Fatimiyah menghantar sepasukan tenter4 yang terdiri daripada suku Arab nomad, iaitu Bani Hilal, bagi menyer4ng Ziriyyah.

Pada tahun 1090, Bani Hilal ini menghadirkan anc4man terhadap Kota Perkubuan Beni Hammad sekaligus mengakibatkan para penghuninya memilih untuk meninggalkan kota. Pada tahun 1152, pemerintah terakhir Dinasti Hammadiyah, iaitu Yahia, menyerah kepada al-Muwahiddun yang berpangkalan di Maghribi. Para pemerintah al-Muwahiddun kemudiannya bertindak menghancurkan sebahagian kota perkubuan tersebut.

Pada hari ini, runtuhan Kota Perkubuan Beni Hammad dijadikan sebagai destinasi pelancongan. Tepat pada tahun 1980, tapak tersebut diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, yang antara faktornya adalah kerana ia berdiri sebagai bukti “kegemilangan tamadun Hammad; dan memperagakan sebuah seni bina yang asli di Afrika Utara.”

RUJUKAN :

Wu Mingren. (7 Ogos 2018). Beni Hammad Fort: Ruins Attest the Dreams of a Medieval Algerian Islamic Dynasty. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/ancient-places-africa/beni-hammad-fort-0010507


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.