Tamadun Rom memberi impak yang bukan sedikit terhadap kemajuan tamadun manusia dalam pelbagai segi termasuk inovasi dan monumen. Dan ia tidak akan terjadi tanpa input para pemerintahnya yang hebat.

  • Julius Caesar (49-44 SM)

Tidak sah jika tidak menyebut nama Caesar bila menyebut peralihan dari Republik Rom kepada sistem monarki. Selain bertanggungjawab menakluk Sepanyol dan Gaul sekaligus meluaskan lagi jajahan takluk Rom, beliau turut bertanggungjawab menggerakkan beberapa reformasi. Antara reformasi yang diperkenalkan ialah kalendar Julian, menambah bilangan anggota Senat, mengurniakan kerakyatan Rom kepada semua penduduk jajahan takluknya dan mengagihkan kekayaan negara kepada golongan miskin.

Reformasi-reformasi ini menjadikan Caesar amat disayangi rakyat tetapi dibenci oleh golongan kelas elit. Sesetengah daripada mereka kemudian membentuk kumpulan pembu.nu.hnya diketuai Brutus sekaligus membawa kepada peristiwa Ides of March pada 44 SM. Pembu.nu.han Caesar membawa kepada pe.ra.ng saudara dan pertabalan cucu saudaranya Octavius sebagai Maharaja Augustus pada 27 SM.

  • Augustus (27 SM – 14 Masihi)

Maharaja Rom rasmi yang pertama dan dianggap sebagai pemerintah Rom paling agung oleh golongan sejarawan. Baginda bertanggungjawab menyediakan batu asas kepada era Pax Romana yang berlangsung selama 200 tahun di mana Rom berkembang maju dari segi ekonomi, pertanian dan kesenian.

Baginda turut memperkenalkan pelbagai polisi baru seperti insentif cukai kepada keluarga yang mempunyai tiga anak dan penalti kepada pasangan yang belum mempunyai cahaya mata. Polisi ini membantu menambah bilangan populasi Rom. Semasa era pemerintahan baginda juga, Augustus bertanggungjawab memulihkan monumen-monumen Rom seperti kuil-kuil dan forum-forum serta memperkukuh sistem akueduk Rom.

  • Tiberius (14-37 Masihi)

Maharaja kedua Rom ini dimasukkan dalam senarai kerana pencapaian keten.te.raannya. Walaupun dikatakan tidak menunjukkan minat terhadap kedudukannya sebagai maharaja, itu langsung tidak menafikan pencapaiannya sebagai penakluk. Semasa era pemerintahan baginda, sempadan empayar Rom diperluas sehingga ke Croatia dan Jerman.

  • Vespasian (69-79 Masihi)

Selepas kemangkatan Maharaja Nero, Rom berdepan krisis perebutan kuasa selama setahun yang dikenali sebagai Tahun Empat Maharaja. Krisis ini bagaimanapun diakhiri dengan pertabalan Vespasian sekaligus menjadi permulaan kepada Dinasti Flavian. Di bawah pemerintahannya, baginda menambahbaik sistem kewangan empayar dan menggerakkan pelbagai projek berskala besar termasuk Colosseum.

Vespasian turut menempa sejarah sebagai maharaja pertama yang mewariskan pemerintahan Rom kepada puteranya. Pertukaran ini membolehkan Dinasti Flavian memerintah Rom yang aman dan makmur selama tiga dekad tanpa sebarang gangguan.

  • Trajan (98-117 Masihi)

Bagi sejarawan, Trajan layak dimasukkan dalam senarai pemerintah Rom agung dan hebat. Merupakan sebahagian daripada Dinasti Nerva-Antonine yang mewakili Zaman Emas empayar, baginda meluaskan lagi jajahan takluk Rom dengan keluasannya mencecah 1.7 juta km persegi dengan populasi 57 juta penduduk Afrika, Asia dan Eropah.

Seperti maharaja-maharaja lain, Trajan turut meluluskan projek-projek berskala besar termasuk Kolum Trajan yang masih wujud sehingga hari ini. Baginda juga menambahbaik sistem bantuan kewangan yang diperkenalkan oleh Augustus di mana ia diperluaskan kepada rakyat jelata yang layak. Ini menjadikan sistem bantuan baginda merupakan sistem bantuan kebajikan pertama di dunia.

  • Hadrian (117-138 Masihi)

Tidak seperti maharaja lain yang dikenali sebagai pentadbir atau penakluk, Hadrian pula lebih dikenali sebagai pembina monumen. Tembok Hadrian merupakan antara inovasinya dalam mengawal sempadan empayar. Kini, Tembok Hadrian merupakan ikon kebudayaan Britain yang terkenal. Hadrian turut bertanggungjawab merevolusikan rekaan seni bina menerusi monumen-monumen seperti Pantheon.

  • Antoninus Pius (138-161 Masihi)

Semasa era pemerintahan baginda, ia dianggap sebagai era Rom yang paling makmur dan aman. Ini membolehkan Pius menambahbaik reformasi yang diperkenalkan oleh maharaja sebelumnya, Hadrian.

Tetapi sumbangan terbesarnya ialah dalam hal ehwal undang-undang. Pius memperkenalkan sistem undang-undang Rom sebagai bahan rujukan kepada banyak negara untuk membangunkan sistem undang-undang mereka sendiri termasuk Britain, Perancis dan Jerman.

  • Marcus Aurelius (161-180 Masihi)

Sebut saja nama baginda, ramai membayangkan imej mendiang Richard Harris sebagai Aurelius dalam Gladiator (2000). Baginda turut dikenali sebagai maharaja-filsuf yang berpegang kepada fahaman stoisisme sekaligus menjadikannya sebagai antara filsuf antikuiti yang paling terkenal. Buku Meditations yang dikarang Aurelius dianggap sebagai mahakaryanya yang utama.

  • Valerian (253-260 Masihi)

Baginda tersenarai dalam senarai ini bukan sebagai penakluk atau pembina monumen tetapi kerana menjadi tawanan pe.ra.ng Empayar Parsi pasca-Pertem.pu.ran Edessa. Ya, Valerian merupakan maharaja Rom pertama yang berdepan nasib sebegini sekaligus mengejutkan seluruh Empayar Rom. Dan ia tidak dibantu oleh dengan fakta bahawa baginda tidak diselamatkan sekaligus mangkat semasa dalam tawanan. Peristiwa ini turut menunjukkan orang di luar Rom bahawa ia tidak kebal dan boleh saja dikalahkan.

  • Diocletian (284-305 Masihi)

Baginda diingati kerana bertanggungjawab menamatkan tempoh ketidakstabilan politik melanda Rom sepanjang abad ketiga Masihi selama 50 tahun. Tempoh tersebut menyaksikan pe.ra.ng saudara, pemberontakan dan se.ra.ngan dari pihak luar.

Diocletian juga bertanggungjawab mengasaskan sistem tetrarki iaitu seorang maharaja di barat, seorang maharaja di timur (maharaja bertaraf Augustus) dan dua maharaja bersama (dua kaisar/Caesar). Walaupun sistem ini tidak bertahan lama, ia menjadi batu asas kepada pembahagian empayar kepada sebelah timur dan barat sekaligus memanjangkan lagi hayatnya sebagai Empayar Rom Timur/Byzantine sehingga pertengahan abad ke-15.

  • Constantine (306-337 Masihi)

Dianggap sebagai maharaja terakhir Empayar Rom Barat, baginda mencetuskan pelbagai perubahan yang mengubah Rom buat selama-lamanya. Constantine merupakan maharaja pertama yang memeluk agama Kristian dan menjadikan ia sebagai agama rasmi empayar menerusi Dekri Milan pada 313 Masihi.

Baginda juga bertanggungjawab membina ibu kota empayar di sebelah timur iaitu Byzantium sebelum dinamakan semula sebagai Constantinople. Constantinople kemudiannya menjadi ibu kota Rom Timur/Byzantine selama lebih sealaf sebelum jatuh ke tangan Mehmed II dan angkatan Turki Uthmaniyyah pada 1453.

Nota kaki

Ides of March – hari ke-74 kalendar Rom yang bersamaan dengan 15 Mac. Merupakan hari di mana penganut-penganut agama tertentu pada era Rom melaksanakan tanggungjawab keagamaan mereka. Ia juga merupakan hari akhir bagi seseorang melangsaikan hutangnya mengikut adat Rom. Dikenali kerana pada hari itulah, pembu.nu.han Julius Caesar berlaku.

Pertem.pu.ran Edessa – Pertem.pu.ran Rom-Parsi yang tercetus pada musim bunga 260 Masihi. Parsi menang selepas mengha.pu.skan sebahagian besar angkatan Valerian dan menjadikan baginda sebagai tawanan. Ada sumber mendakwa baginda dihukum bu.nu.h dengan cara menyi.at kulitnya tetapi kenyataan tersebut diragui ramai sejarawan moden. Sebaliknya, ramai percaya sesetengah ten.te.ra Rom yang terselamat termasuk Vespasian direkrut untuk membina monumen Parsi seperti Band-e-Kaisar (Empangan Caesar).

Stoisisme – falsafah Yunani yang diasaskan oleh Zeno of Citium pada abad ketiga SM.

RUJUKAN:

Randle, Aaron. (2021). 11 Roman Emperors Who Helped Mold the Ancient World. History.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.