Pada 11 September lepas, saya telah menghadiri MyAqsa International Forum “100 Years of Balfour’s Disaster” yang dianjurkan oleh Yayasan MyAqsa di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Forum Antarabangsa ini adalah bersempena genap usia 100 tahun deklarasi Balfour yang telah memahat sejarah yang sangat pahit bagi penduduk Palestin bahkan dunia Islam sendiri.
Forum Antarabangsa ini dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom itu turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MyAqsa (MyAqsa), Dr Noorazman Mohd Shamsuddin, serta barisan ahli panel iaitu Shaikh Dr Nawaf Takruri, pengerusi Kesatuan Ulama’ Palestin Luar Negara, Ahli Parlimen Kuala Nerus, YB Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali At Takiri dan Ketua Unit Hak Asasi Manusia dan Pertubuhan Antarabangsa, Jabatan Peguam Negara, Salahuddin Datuk Hidayat Sharif.
11 Disember adalah tarikh genap 100 tahun juga tapak kaki British melalui General Allenby, menjejakkan kakinya ke dalam Masjid Al Aqsa.
Sejarah penjajahan Baitul Maqdis bermula dengan Perjanjian Balfour 1917 iaitu suatu pelan tindakan susulan dari perjanjian Skyes-Picot 1916 yang bertujuan mencipta peta baru negara Islam Asia Barat selepas kekalahan Uthmaniyah dalam perang dunia pertama dan memecahkan wilayah umat Islam menjadi negara-negara kecil.
Perjanjian Skyes – Picot adalah perjanjian rahsia telah dibuat oleh dua orang diplomat iaitu Sir Mark Sykes dan Picot Georges yang mewakili negara British dan Perancis semasa Perang Dunia Pertama. Sykes dan Picot telah merancang untuk membahagikan Empayar Uthmaniyah apabila berakhirnya Perang Dunia Pertama.
Perjanjian ini telah membahagikan wilayah milik umat Islam di Syria, Lubnan dan Turki untuk diletakkan dibawah ‘kawalan’ kerajaan Perancis manakala Palestin, Jordan dan kawasan sekitar Teluk Parsi dan Baghdad adalah dibawah ‘kawalan’ kerajaan British. Kawasan utara Syria dan Mesopotamia adalah dibawah pengaruh Perancis manakala Saudi dan Lembah Jordan di bawah pengaruh British walau bagaimanapun ibu kota Palestin iaitu Baitul Maqdis adalah terletak dibawah pentadbiran antarabangsa.
Sebelum saya melanjutkan penulisan ini, suka saya menegaskan bahawa isu Palestin adalah isu umat Islam sejagat. Di Malaysia, isu ini merentasi parti politik, dan apa jua perbezaan fikrah. Umat Islam Islam di negara ini telah menyuarakan kesatuan suara sejak sekian lama walau dari pelbagai latar belakang.
Firman Allah Taala dalam Surah Al Isra:
سُبۡحَٰنَ ٱلَّذِيٓ أَسۡرَىٰ بِعَبۡدِهِۦ لَيۡلٗا مِّنَ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ إِلَى ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡأَقۡصَا ٱلَّذِي بَٰرَكۡنَا حَوۡلَهُۥ لِنُرِيَهُۥ مِنۡ ءَايَٰتِنَآۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡبَصِيرُ ١
“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Al-Isra’ : 1)
Pada bulan Rejab, umat Islam akan menyambut Isra’ Mikraj dan pada malam-malam rejab ayat Surah al Isra’ akan berkemandang di masjid, surau dalam ruangan ceramah serta tazkirah. Umat Islam satu dunia akan mendengar, membaca ila masjidil aqsa dan mengambil pelajaran dari ayat tersebut. Oleh kerana itu, al Aqsa sudah suatu yang sinonim dan jati diri umat Islam.
Pengisytiharan Donald Trump mengumumkan bahawa Jurusalem adalah ibu kota Israel dan akan memindahkan Kedutaan Amerika Syarikat dari Tel Aviv ke Jurusalem pada 7 Disember lepas menunjukkan suatu cita-cita yang terang terzahir bahawa mereka bukan mahukan Palestin tetapi merampas Baitul Maqdis. Ucapan itu telah menghina dan memukul setiap hati umat Islam.
Bukan sahaja umat Islam sebenarnya, ia juga suatu penghinaan kepada orang kristian dan sebahagian penduduk yahudi yang juga tidak senang dengan tindakan Donald Trump tersebut. Satu dunia mengecam, soalnya kenapa Donald Trump begitu berani? Apakah beliau fikir menyentuh isu ini seperti ‘test market’ dalam dunia perniagaan?
Deklarasi Balfour
Setelah gagal mendapatkan Palestin dari Uthmaniyah lantaran sikap tegas Sultan Abdul Hamid yang tidak termakan pujuk rayu dan rasuah pelobi Zionis, Gerakan Zionis mengalihkan perhatian mereka kepada British. British menjadi tali penyambung harapan mendirikan Negara Yahudi dan kebetulan pada masa itu, British merupakan kuasa besar dunia.
Pihak atasan empayar Bristih memberikan sambutan persetujuan terhadap cadangan tertegaknya Negara haram yahudi kerana melihatnya cadangan itu akan memberi keuntungan kedua belah pihak.
Zionis bijak memberikan tawaran kepada British, menurut Zionis, pembentukan negara Yahudi di tengah-tengah bumi Islam Timur Tengah boleh dijadikan pengkalan penting bagi British untuk meluaskan pengaruh, dan paling penting ialah kepentingan British di Timur Tengah seperti Terusan Suez terjaga.
Perancangan Zionis menampakkan kejayaan awal apabila lahirnya Liga Bangsa-Bangsa setelah hampir selesai Perang Dunia Pertama pada tahun 1917M yang memberi mandat kepada British untuk menguasai Palestin sebagai persediaan melahirkan Negara haram Yahudi.
Zionis tidak menunggu lama, pada September tahun 1917M, Lord Arthur James Balfour, Setiausaha Luar Negeri Britain telah mengutus surat kepada Lord Walter Rothshild yang merupakan pengerusi Persekutuan Zionis – British yang menyatakan bahawa kerajaannya menyokong penuh penubuhan Negara Yahudi di Palestin.
Semenjak itu, gerakan Zionis mendapat semangat baru dan bertindak mempercepatkan proses penempatan semula orang-orang yahudi dari serata tempat ke Palestin.
Forum Antarabangsa MyAqsa – Deklarasi Balfour 1917
Forum ini ada tiga pembentangan dan setiap pembentang hanya diberikan masa 30 minit. Melihat dari masa tersebut, saya beranggapan ahli panel akan menyampaikan secara laju dan menyebutkan ‘point-point’ yang diutamakan penting kerana kekangan masa. Dalam tempoh tersebut, mungkin tidak semua sempat untuk diperkatakan. Walaupun demikian, tahniah kepada semua panelis yang telah berjaya menyampaikan dengan baik. Saya kongsikan catatan-catatan saya dari pembentangan Forum. Catatan dibawah adalah ayat penulis sendiri yang mengambil faham dari pembentangan ahli panel.
Pembetangan Pertama : “Kesan Balfour & Realiti Masa Kini” oleh Syaikh Dr Nawaf Takruri, Pengerusi Kesatuan Ulama’ Palestin Luar Negara
Antara ‘point-point’ yang disampaikan oleh Syaikh ialah:
- Pada penghujung November, kami di Palestin akan mengenang Deklarasi Balfour, iaitu suatu deklarasi yang telah memberi suatu hak kepada yang tidak berhak memiliki.
- Masjid Al Aqsa adalah tanah haram ketiga umat Islam selepas Masjid al Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah al Munawarah. Maka ia adalah tanah umat Islam, bukan milik arab, milik umat Islam sejagat.
- Isi kandungan surat Balfour kepada Lord Walter Rothschild penuh dengan bahasa penghormatan menyatakan bahawa kabinet British telah bersetuju penubuhan negara haram yahudi di tanah palestin.
- Semangat perkauman atau berpuak berlaku di mana-mana termasuk di Britain. British boleh melupakan sengketa semangat perkauman (Balfour adalah seorang scottish) demi menonjolkan orang yahudi dan menyokong penubuhan negara haram yahudi.
- Semua umat Islam di dunia ini bersama Al Aqsa, ‘mereka’ sengaja mengusik isu ini meskipun ‘mereka’ tahu ia akan mengguriskan hati umat Islam.
- Deklarasi ini telah membuahkan dua perkara, memecah belahkan umat Islam dari dalam dan menyediakan tempat untuk orang Yahudi agar berpusat di suatu tempat.
- Palestin adalah bumi kemuliaan umat Islam. Mempertahankan al Quds adalah mempertahankan kemuliaan Umat Islam. Membiarkannya adalah tidak menghiraukan kemuliaan dan menjerumus kehinaan umat Islam.
- Sekarang umat Islam diuji dengan pengisytiharan Trump apabila Trump secara rasmi mengumumkan Jurusalem sebagai ibu negara Israel dan akan memindahkan kedutaan Amerika Syarikat dari Tel Aviv ke Jurusalem.
- Ujian ini suatu proses untuk menyatukan umat Islam. Dahulu, Deklarasi Balfour berlaku selepas kekalahan Uthmaniyah disaat umat Islam tidak bersatu, lalai, maka Deklarasi Balfour telah menyedarkan umat Islam agar bangkit. Tidak mustahil, pengumuman Trump akan membangkitkan kembali kesatuan umat Islam.
- Umat Islam tiada pilihan melainkan berdepan tindakan Trump ini dengan melengkapkan diri agar melengkapi syarat mendapat kemenangan. Biar kita menang kerana menjadi hamba Allah bukan ‘memaksa’ Allah memberi kemenangan kerana kita hamba.
- Umat Islam juga mesti menginsafi bahawa tindakan Trump secara terbuka adalah bertujuan melihat bagaimana reaksi umat Islam. Beliau semestinya sudah maklum tindakan beliau akan mengundang kemarahan tetapi beliau mahu melihat sejauh mana kebangkitan umat Islam dari isu ini. Jika umat Islam masih belum bangkit dari lena, tidak mustahil akan wujudnya lagi deklarasi-deklarasi lain yang akan menghina jantung hati umat Islam.
Pembentangan Kedua : Reaksi Ummah Terhadap Balfour Oleh YB Datuk Dr Khairuddin at Takiri, Ahli Parlimen Kuala Nerus
YB Datuk telah menyebut beberapa perkara yang sangat menarik untuk dimuhasabahkan
- Palestin bukan milik orang palestin tetapi milik umat Islam. Sebarang isu berkaitan Palestin, bukan keputusan dari umat Palestin sahaja.
- Mereka berani memanaskan isu ini kerana mereka tahu reaksi umat Islam terhadap sebarang isu umat Islam mungkin hanya dalam temph 3 hari atau 1 minggu atau paling lama pun hanya sebulan. Momentum akan hilang dan semuanya kembali normal.
- Deklarasi Balfour selepas perang dunia pertama. Rentetan itu, Kesultanan Uthmaniyah ‘dipaksa’ memberikan wilayah dan tanah jajahan takluk mereka kepada kuasa-kuasa besar yang muncul.
- Ia rentetan dari perjanjian yang masyhur iaitu perjanjian Sykes-Picot 1916 yang mana bumi umat Islam dirancang diagihkan umpama kek. Palestin diserahkan kepada British, Mesir diserahkan kepada Perancis, Libya kepada Italy, Syria kepada Perancis dan ia tidak hanya berlaku di timur tengah tetapi juga di alam melayu.
- Kalau lihat deklarasi Balfour, tidak ubah mirip perjanjian Siam British tahun 1909M atau juga dikenali perjanjian Bangkok 1909. British tiada hak terhadap bumi Palestin dan menggunakan deklarasi membantu yahudi mendapatkan tanah bukan milik mereka kepada yahudi. Baik British atau Siam, kedua-duanya tidak hak terhadap Pattani telah suka suki menentukan wilayah Islam Pattani dengan menyerahkan bumi Pattani kepada Kerajaan Siam melalui perjanjian yang dimeterai 1909M. Adapun Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah diserahkan kepada British.
- Bagaimana Barat bergerak mengubah peta dunia umat Islam dengan menanamkan hasutan kepada orang Islam arab bahawa Khilafah Uthmaniyah sebenarnya menjajah tanah arab. Oleh itu, orang arab wajib membebaskan diri dari belenggu penjajahan Uthmaniyah. Akhirnya bumi umat Islam yang tiada sempadan, dipersempadankan mengikut apa yang mereka inginkan. Wujud negara baru iaitu Arab Saudi, Lubnan (dipecahkan dari Syria), Jordan dan negara-negara baru di teluk. Pembahagian Jazirah Arab, Syam kepada negara kecil-kecil adalah mukaddimah kepincangan umat Islam.
- Peta dunia umat Islam dirancangkan kembali agar dibahagikan (ubah suai) kembali selepas 100 tahun perjanjian Skyes-Picot. Dalam tempoh perancangan tersebut, umat Islam dihasut, dilagakan dengan isu perkauman, perbalahan mazhab atau lebih tepat isu ‘sectarian’. Barat melagakan umat Islam dengan isu remeh agar umat Islam tidak sempat berfikir perancangan musuh yang sebenar. Ya, mereka mahukan peta baru umat Islam selepas 100 tahun Skyes Picot.
- Bilamana terbongkarnya deklarasi Balfour, umat Islam Palestin menubuhkan gerakan rahsia untuk mengerakkan orang Islam termasuk yang mengumpul orang-orang Islam yang bekerja dengan kerajaan Britain seperti polis, tentera dan usahawan secara diam-diam bertujuan menentang penjajahan Britain dan menentang apa yang cuba diusahakan Zionis dengan bantuan Britain. Gerakan mereka telah berhasil mencetus Revolusi 1920M yang merupakan revolusi umat Islam pertama Palestin menentang Zionis.
- Perkara awal yang difatwakan oleh alim Ulama pada zaman itu ialah Haram Menjual Tanah kepada orang Yahudi. Fatwa ini dikeluarkan oleh Syaikhul Azhar, Shaikh Mustafa al Maraghi. Bukan sahaja Ulama Al Azhar, Ulama Palestin juga mengeluarkan fatwa yang sama. Begitu juga Fatwa Syaikh Rashid Redha (pengarang Tafsir al Manar) Syaikh Amin Al Qusyairi yang mengatakan orang palestin yang menjual tanah kepada orang yahudi yang mana tindakan itu menjadi sebab kepada perluasan wilayah orang yahudi adalah haram. Sebahagian Ulama’ ada yang lebih keras dengan memfatwakan orang Islam yang menjual tanah kepada yahudi boleh jatuh kufur kerana melakukan khianat yang besar. Bukan sahaja penjual, termasuk haram menjadi broker atau terlibat urusan penjualan tanah. Kenapakah fatwa itu dikeluarkan? Kerana, selepas 10 tahun deklarasi Balfour, seramai 450,000 orang yahudi telah berjaya ditempatkan di bumi Palestin. Ia adalah hasil kejayaan pembelian tanah dari umat Islam Palestin sendiri.
- YB Khairuddin menyebut, beliau lebih suka menggunakan istilah Negara Zionis berbanding negara Israel kerana Israel (bermakna Abdullah – hamba Allah) adalah laqab (gelaran) kepada Nabi Yaakub a.s. Katanya, pendapat ini beliau ambil dari Gurunya iaitu Syaikh Dr Solah Al Khalidi Jordan. Kata YB lagi, Zionis sengaja menamakan nama negara haram itu dengan Israel dengan tujuan memberitahu kepada dunia bahawa mereka adalah abnaul yaakub (anak-anak kepada Nabi Yaakub) lalu kita pada hari ini melaungkan, ‘Jahanam Israel, ‘Israel Laknatullah’ walaupun kita tidak berniat mencela Nabi Yaakub akan tetapi kita tidak sepatutnya menggunakan nama yang tidak patut disebut. Panggilan lebih tepat adalah negara haram Zionis.
- Kemudian datang lagi fatwa alim ulama’ yang telah mencetus perang besar iaitu serangan kepada orang yahudi di Palestin pada tahun 1948M. Contoh fatwa Syaikhul Azhar, Syaikh Abdul Majid Salim, “Seseorang yang menganggap dirinya dari jemaah orang Islam, jika dia membantu musuh-musuh Islam dalam apa-apa bentuk kemungkaran samada secara terus atau sebagai perantara, seseorang itu tidak lagi di kalangan orang beriman”.
- Perjanjian Oslo 1993M bermula dengan gerakan tatbiq iaitu suatu gerakan ‘musuh-musuh Islam dianggap hubungan biasa (tidak dianggap musuh lagi). Zionis sepanjang usaha mereka dalam merealisasikan Deklarasi Balfour, mereka menggerakkan gerakan tatbiq.
- Perjanjian Oslo, secara rasminya dirujuk sebagai Declaration of Principles on interim Self-Government Arrangements (Deklarasi Prinsip-Prinsip Ke Atas Persediaan Pemerintahan Sendiri Sementara) atau ringkasnya Declaration of Principles atau DOP (Deklarasi Prinsip-Prinsip). Persetujuan muktamad diterima di Oslo, Norway pada 20 Ogos 1993 dan ditandatangani secara rasmi dalam satu majlis umum di Washington D.C. pada 13 September 1993. Mahmoud Abbas menandatangani bagi pihak PLO dan Shimon Peres bagi pihak Israel. Ia disaksikan oleh Warren Cristopher dari Amerika Syarikat dan Andrei Kozyrev dari Rusia dengan kehadiran Bill Clinton (Presiden Amerika Syarikat), Yasir Arafat (Pengerusi PLO) dan Yitzhak Rabin (Perdana Menteri Israel).
Perjanjian Oslo adalah kemuncak kepada siri-siri persetujuan yang dibuat secara rahsia dan terbuka, yang dapat dikesan bermula dengan Persidangan Madrid, 1991 dan dirundingkan di antara PLO dan Israel sebagai sebahagian daripada Proses Damai untuk menyelesaikan konflik Palestin-Israel.
Mereka menggerakkan usaha normalisasi hubungan agar hubungan antara orang-orang Islam dengan Yahudi Zionis dianggap biasa-biasa sahaja. Misal lagi mudah, penjajah datang ke tanah air kita. Kita anggap biasa-biasa sahaja sedangkan mereka datang menjajah, menjarah hasil. Hingga berlaku apa-apa musibah dari penjajah atau penjajahan itu sendiri dianggap biasa sahaja. Biasa-biasa. Zionis melancarkan gerakan ini selepas melihat orang-orang palestin mula turun padang melaksanakan intifadha dan serangan ke atas mereka. Kebangkitan orang palestin menyebabkan ramai orang Yahudi terkorban dan ramai juga yang berpindah kembali ke negara sebelum seperti Britain, Russia, Amerika akibat tidak tahan serangan berterusan dari orang palestin yang bangkit berjihad.
Kerana ancaman kebangkitan dan jihad tersebut, Zionis mengubah cara mereka ke arah usaha perdamaian (amaliah salam) melalui perjanjian Oslo 1993. Amerika dan Britain mengadakan perdamaian kononnya antara orang palestin dan orang yahudi yang sebenarnya bertujuan memberi nafas baru kepada Zionis untuk bangkit kembali selepas apa yang mereka hadapi dan ia berjaya. Sebahagian pemimpin Islam menerima perdamaian tersebut. Dan kesannya boleh lihat hari ini. Selepas perjanjian itu, sebahagian negara umat Islam membenarkan kepada negara Yahudi membuka kedutaan di negara mereka. Apabila negara Islam membenarkan Yahudi membuka kedutaan, negara itu Islam telah mengiktiraf secara halus negara haram Yahudi sebagai sebuah kerajaan.
Setelah melihat Perjanjian Oslo 1993 di Washington yang bermula dengan gerakan tatbiq. Maka, wajar di insafi perhubungan dengan musuh Islam yang dianggap normalisasi akan menguburkan semangat jihad.
Tinggal hari ini, Palestin yang sering kita sebut-sebutkan, sekarang hanya merujuk kepada Gaza di sempadan mesir dan Ariha (Jericho) di sempadan Jordan. Baki lain semua dalam penguasaan Yahudi.
Theresa May, Perdana Menteri British menyatakan dengan bangganya pada 25 Oktober lepas, bahawa mereka akan meraikan sambutan 100 tahun deklarasi Balfour. Ini menunjukkan, British tidak pernah menyesal ‘menyerahkan’ Palestin kepada Yahudi.
YB menyebut lagi bahawa ucapan Trump tidak lebih untuk melihat bagaimana kesungguhan Umat Islam dalam isu Palestin. Jika respon adalah ‘biasa-biasa’ atau umat Islam menggangap ia biasa sahaja bukan isu bersama, maka diseru untuk diingatkan kembali bahawa Palestin adalah isu umat Islam bersama.
Pembentangan Ketiga : Deklarasi Balfour Dari Aspek Perundangan & Hak Asasi Manusia Oleh Tuan Salahudin Dato’ Hidayat Shariff, Ketua Unit Hak Asasi Manusia dan Pertubuhan Antarabangsa, Jabatan Peguam Negara.
Tuan Salahuddin telah menyampaikan dari kacamata seorang pengamal undang-undang berhubung isu ini, antara yang sempat saya catatkan :
- Menyentuh dua perkara iaitu apakah takrif ‘deklarasi’ dari sudut undang-undang? Disana ada juga istilah Memorandum, Konvensyen dan perjanjian. Kedua, apakah kedudukan deklarasi Balfour? Dua persoalan asas yang mesti jelas.
- Deklarasi adalah surat cara yang tidak mengikat iaitu suatu bentuk persefahaman negara lain tanpa mengikat, maksudnya tiada keupayaan undang-undang. Contohnya, deklarasi digunakan suatu negara menyatakan persetujuan tetapi tidak mahu terikat. Tetapi tidak dinafikan terdapat golongan yang mengatakan wujudnya deklarasi yang mengikat seperti deklarasi UNHCR (pengistiharan Hak Asasi Manusia Sejagat) pada tahun 1948 selepas perang dunia kedua. Golongan ini menegaskan bahawa peruntukan deklarasi UNHCR adalah mengikat walaupun surat caranya deklarasi semata-mata.
- Jika dua pendapat ini diterima pakai, kedua-duanya ada kelebihan tersendiri namun Malaysia berbeza. Malaysia tidak terikat dengan peruntukan UNHCR. Deklarasi antarabangsa tidak mengikat Malaysia.
- Berhubung deklarasi Balfour pula, ia adalah janji atau deklarasi pada oleh Kerajaan Inggeris pada tahun 1917M untuk mewujudkan sebuah negara untuk kaum Yahudi di Palestin. Deklarasi tersebut dalam bentuk surat oleh Setiausaha Luar Kerajaan British kepada ketua kaum Yahudi Zionis British yang ketika itu mewakili Persekutuan Zionis Britain.
- Surat cara deklarasi itu dari sebuah kerajaan kepada individu yang sedang mewakili sebuah Persekutuan Zionis, walaubagaimana pun, status persekutuan itu tidak dapat dipastikan samada sah atau tidak.
- Oleh kerana Deklarasi Balfour bukan surat cara yang mengikat. Kerajaan British tidak terikat dengan sebarang peruntukan namun ia digalakkan sahaja. Sekiranya kerajaan mengabaikan Deklarasi Balfour itu, tiada tindakan undnag-undang yang boleh diambil ke atas British.
- Maka, sekiranya kerajaan Britain dan kuasa besar lain tidak upaya menjalankan deklarasi tersebut, Zionis Yahudi tidak boleh dan tidak layak membuat apa-apa tindakan.
- Justeru itu, berdasarkan kedudukan Deklarasi Balfour yang tidak mengikat, deklarasi oleh Balfour itu tidak lebih kepada dokumen berbentuk politik yang tiada keupayaan undang-undang untuk dikuatkuasakan (force of laws).
- Walaupun begitu, tindakan British adalah suatu tindakan tidak berperikemanusiaan yang tidak mengambil kira hak suara orang Palestin.
- Deklarasi ini bukan hanya Bristih sebagai aktornya tetapi melibatkan juga Perancis dan Amerika Syarikat.
- Kita imbas senario ketika itu, ia berlaku selepas perang dunia pertama. Kerajaan Britain telah merancang untuk mencapai kemenangan besar di perang dunia pertama. Namun, Perang dunia pertama tidak berjalan dengan lancar seperti yang diharap oleh Britain. Walau Amerika Syarikat bersetuju menyertai pasukan bersekutu namun pada masa itu kerahan dan penyerahan bala tentera memakan masa 6 bulan sementara pihak British dan Perancis di ambang kekalahan dengan Jerman. Tambahan lagi, tentera rusia telah mula menarik diri dari perang dunia pertama. British dan Perancis bimbang Jerman akan menyerang eropah barat selepas menyerang eropah timur. Oleh itu pihak Britain merancang suatu pelan besar dan Deklarasi Balfour itu adalah sebahagian dari 3 stratergi yang dijanjikan British pada perang dunia pertama. Ketiga-tiga itu adalah :
- Sebuah tempat kebangsaan bagi orang yahudi
- Kemerdekaan arab dari Khilafah Uthmaniah (melalui gerakan nasionalisme)
- Persekutuan Zionis. (rundingan antara Zionis dan Britain telah berlangsung banyak dekad hingga membawa kepada Deklarasi Balfour).
- Ketiga – ketiga janji British kepada Perancis termeterai dalam satu perjanjian yang dipanggil perjanjian Skyes-Picot 1916 bahawa Perancis dan Negara Arab akan dipecah-pecahkan kepada kuasa-kuasa besar selepas perang dunia pertama iaitu antara Perancis dan Britain.
- Bukan satu rahsia lagi stratergi kuasa-kuasa besar adalah CONQUER AND DIVIDE
- Janji itu boleh dilaksanakan selepas kemenangan puak bersekutu terlebih dahulu dalam perang dunia pertama.
- Disamping itu, orang Yahudi telah berjaya menjawat jawatan penting dalam kerajaan Britain dan korporat termasuk di Amerika Syarikat. British mengharapkan Yahudi di Britain akan ‘deal’ dengan elit Yahudi di Amerika Syarikat untuk mendorong agar Amerika Syarikat menyertai perang dunia pertama.
- Sebelum perjanjian ini, pihak mereka telah mengambil sikap neutral dan tidak menyokong mana-mana pihak.
- Sejarah mencatakan bahawa Deklarasi Balfour dikeluar selepas Britain mendapat persetujuan dari Kerajaan Amerika Syarikat.
- Ini bermakna Deklarasi Balfour melibat 3 buah negara kuasa besar.
- Kenapakah Palestin dipilih oleh Britain untuk diberikan kepada yahudi kerana Britain sendiri ingin menjaga kepentingan mereka di Terusan Suez terus selamat dengan wujud rakan karib mereka di timur tengah. Britain bimbang Terusan Suez di Mesir akan jatuh ke tangan kuasa lain.
Bangsa Melayu Nusantara Bebaskan Palestin
Ketika sesi soal jawab, telah bangun seorang pemuda bertanya kepada Syaikh Dr Nawaf Takruri, ‘apakah peranan pemimpin arab dan bagaimanakah untuk berjihad di sana?’
Syaikh menjawab, “lihat sejarah Palestin, Salahuddin Al Ayubi penakluk Baitul Maqdis adalah orang Kurdi bukan Arab, Sultan Abdul Hamid Uthmaniyah yang menjaga Baitul Maqdis juga adalah orang Turki bukan Arab, Mungkin giliran orang Melayu Nusantara yang akan bebaskan Baitul Maqdis.”
Para hadirin bertakbir Allahuakbar!
Jawapan Syaikh Dr Nawaf bukan suatu yang mengejutkan kerana menurut Syaikh, pemimpin arab lebih menjaga kepentingan dan kedudukan masing-masing, bukannya kemaslahatan umat Islam. Maka, sebagai pembakar semangat kepada anak-anak muda yang majoroti memenuhi Forum tersebut, Syaikh menyebutkan, “Insya Allah, bangsa melayu Malaysia – Indonesia (Nusantara) akan bebaskan Baitul Maqdis.”
Pelbagai pandangan akan timbul dari kenyatan itu, tetapi tidak salah jika kita memasang cita-cita untuk bebaskan al Quds seperti mana para sahabat baginda bercita-cita membebaskan Constantinople setelah mendengar sabda Rasulullah , Komander perang pertama dan tentera yang berjaya menawan Constantinople, akan masuk Syurga, (HR Muslim)
Abu Ayyub Al Ansari antara contoh sahabat yang merebut menjadi sabdaan Baginda. Beliau adalah seorang lelaki tua dan tidak lama selepas terlibat dalam perang, beliau jatuh sakit. Wasiat akhir Abu Ayyub Al Ansari, beliau telah meminta tenteranya untuk menembusi wilayah musuh dan menanamnya di bawah dinding Contanstinople. Akhirnya beliau syahid pada tahun 674M dan di semadikan di Istanbul.
Pada tahun 1453M, 779 tahun selepas syahid Abu Ayyub Al Ansari, muncul Sultan Muhammad Al Fatih yang baru berusia 21 tahun ketika itu telah menakluk (baca: membuka) Kota Constantinople dan ia membenarkan sabdaan Baginda yang dibentangkan kepada Baginda peristiwa yang akan berlaku.
Walaupun bukan Abu Ayyub orang yang membuka Constantinople, tetapi usaha beliau bukan suatu kerugian. Beliau malah mendapat syahid dan nama beliau telah diabadikan pada sebuah masjid yang terletak di Eyup, Istanbul.
Kesimpulan
Beberapa kesimpulan dari penulis ialah seperti berikut:
- Deklarasi Balfour adalah lebih kepada retorik politik dan tidak terikat dengan mana-mana undang-undang, kebertanggungjawaban serta tidak berperikemanusiaan.
- Deklarasi Balfour juga telah berjaya mengheret Liga Bangsa – Bangsa bersatu (sekarang PBB) sehingga mengeluarkan resolusi yang membentuk negara haram zionis di atas tanah rakyat palestin
- Permasalahan Baitul Maqdis adalah masalah umat Islam sejagat tanpa mengira latar belakang kumpulan dan Oleh itu umat Islam perlu bersatu menggembleng buah fikiran, tenaga dan kekuatan bersama.
- Generasi muda perlu mengambil peranan utama dalam agenda pembebasan Al Aqsa. Generasi pejuang lama, akan berlalu pergi, kini tiba anak muda mesti menyedia diri dengan kemantapan Iman, Tasauf, Syariat sebagai barisan pengganti.
- Perpecahan umat Islam perlu ditangani dan umat Islam wajib melihat kepada isu lebih besar dan pada era ini, berhenti terlarut dalam perbalahan hal-hal furu’iah. Ulama-ulama’ mesti berperanan dalam agenda penyatuan bukan pula menjadi batu api pemecah ummah.
- Menyokong penuh pelan Yayasan MyAqsa yang akan menghimpunkan NgOs di Malaysia serta barisan terbaik peguam muslim dari dalam dan luar negara untuk mencabar Deklarasi Balfour ke Permanent People’s Tribunal (PPT) di Mahkamah Antarabangsa.
- Mungkin kalah dalam kes tersebut tetapi tiada yang mustahil disisi Allah, yang penting kita berusaha menunjukkan kepada dunia bahwa umat Islam terus nekad berusaha perjuangkan nasib dan masa depan umat Islam.
- Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) mesti bergabung suara memperjuangkan isu Palestin secara lebih tuntas.
- Trump berani mengisytiharkan berbeza dengan presiden Amerika Syarikat sebelum ini kerana mungkin beliau menjangka respon biasa-biasa sahaja dari umat Islam atau beliau sememangnya sudah tahu tetapi tetap berdegil kerana kehendak politik dan ‘test market’.
“Gendang pertembungan antara Haq dan Batil telah dipalukan oleh kedua pihak. Tahun 2018 mungkin memaparkan pelbagai skrip yang memacu perubahan besar. Pada Syariatnya, kita berjuang, Hakikatnya, kita memandang Allah jua disebalik apa jua peristiwa, Allah juga yang lebih mengetahui hikmah”.
كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلۡقِتَالُ وَهُوَ كُرۡهٞ لَّكُمۡۖ وَعَسَىٰٓ أَن تَكۡرَهُواْ شَيۡٔٗا وَهُوَ خَيۡرٞ لَّكُمۡۖ وَعَسَىٰٓ أَن تُحِبُّواْ شَيۡٔٗا وَهُوَ شَرّٞ لَّكُمۡۚ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ ٢١٦
“Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui” (al Baqarah : 216)
Sekian,
Angah Sunan, LFO
Organisasi, badan atau orang perseorangan yang berminat agar seminar atau program mereka di tulis dan kongsikan di Patriots, boleh hubungi Angah Sunan di emel angahsunan.patriots@gmail.com
Rujukan:
- Forum MyAqsa, Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 11 Disember 2017
- Berita Harian 12 Disember 2017
- https://www.thoughtco.com/balfour-declaration-1778163
- https://www.britannica.com/event/Sykes-Picot-Agreement
- http://news.bbc.co.uk/2/hi/middle_east/7385301.stm
- http://www.aqsasyarif.org.my/v3/index.php/rujukan/artikel-palestin/1053-hari-ini-13-september-adalah-ulang-tahun-perjanjian-oslo-satu-bukti-bahawa-israel-tidak-akan-mengotakan-janji
- https://www.timesofisrael.com/full-text-of-mays-speech-at-balfour-declaration-centenary-dinner/
- https://www.theguardian.com/world/2017/nov/02/may-netanyahu-balfour-declaration-israel-palestine
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih