Seperti rejim Nazi Jerman, tentera diraja Jepun (Imperial Japan) turut melakukan banyak jenayah perang ke atas orang tempatan semasa Perang Dunia Kedua (WWII). Dan seperti Tribunal Jenayah Perang Nuremberg, tribunal sama di Tokyo membicarakan ramai tokoh dan jeneral terlibat termasuk bekas Perdana Menteri, Hideki Tojo. Kebanyakan mereka didapati bersalah atas tuduhan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan dan menerima hukuman setimpal iaitu hukuman mati. Walau bagaimanapun, terima kasih kepada penyebaran mitos jenayah perang Jepun tidaklah seteruk rejim Nazi oleh pihak Amerika Syarikat dan keengganan kelompok konservatif mengakui kesilapan rejim terdahulu, masih ramai enggan menerimanya dan menganggap ia satu penipuan. Namun tiada siapa boleh menafikannya menerusi pendedahan beberapa jenayah kejam mereka semasa WWII.
1. PEMBUNUHAN BERAMAI-RAMAI PARIT SULONG
Bagi pembaca The Patriots, saya pasti anda sudah maklum berkenaan kisah ini kerana ia pernah disiarkan dalam laman sesawang kami. Secara ringkas, pada Januari 1942, semasa Pertempuran Muar berkecamuk, ahli-ahli Divisyen Kelapan Australia dan Briged Infantri India Ke-45 semakin berkurangan dan terpaksa berundur. Namun, tatkala mereka tiba di jambatan Parit Sulong, mereka dikepung oleh tentera Jepun di mana mereka mempunyai kekuatan dari segi bilangan tentera dan bekalan. Selepas kedua-dua pihak bertempur sengit selama dua hari, Divisyen Kelapan dan Briged Infantri Ke-45 kehabisan bekalan makanan dan peluru.
Anggota yang terselamat melarikan diri dan berkumpul semula di kawasan yang masih dikawal pihak Bersekutu. Sementara 150 tentera Australia dan India yang cedera tiada pilihan melainkan menyerah diri dan mengharap belas pihak musuh. Berdasarkan rekod, 300 tentera Bersekutu ditawan di situ. Banyak laporan timbul berkenaan layanan kejam tentera Jepun terhadap tawanan mereka. Ada tawanan dipukul dengan buntut senapang dan dicucuh dengan puntung rokok. Dari situ mereka diikat dengan dawai, diletakkan atas jambatan dan salah seorang daripada tawanan ini dibunuh untuk dijadikan sebagai pemberat untuk melemaskan rakan-rakan tawanan. Punca jenayah kejam ini berlaku berikutan tindakan pihak Bersekutu menyerang hendap kedudukan mereka di Jambatan Gemencheh, Negeri Sembilan yang mengorbankan ramai askar negara Matahari Terbit itu.
Jika pihak Jepun menyangka tiada saksi pada jenayah sadis ini, mereka silap. Dua bekas tentera Australia, Russell Braddon dan Leftenan Ben Hackney terselamat dan memberi keterangan berkenaan jenayah tersebut di mahkamah tentera Australia. Berikutan itu, bekas Komander Pengawal Diraja, Leftenan Jeneral Takuma Nishimura dipindahkan dari penjara Singapura ke Australia untuk dibicarakan atas jenayah tersebut. Nishimura yang didapati bersalah oleh pihak Britain berikutan penglibatannya dalam pembunuhan beramai-ramai Sook Ching, didapati bersalah atas kesalahan sama berkenaan jenayah di Parit Sulong dan dihukum gantung pada 11 Jun 1951.
2. INSIDEN SHINYO MARU
Pada 7 September 1944, sebuah kapal tentera Jepun bernama SS Shinyo Maru ditenggelamkan oleh kapal selam Amerika Syarikat, USS Paddle. Satu fakta yang diketahui krew kapal selam ini ialah ketika mereka melepaskan torpedo ke atas Shinyo Maru dan kapal-kapal pengiringnya, kapal itu membawa 750 tawanan perang ke Manila. Kehidupan di kapal-kapal seperti Shinyo Maru boleh disifatkan seperti neraka kerana keadaannya yang kotor dan layanan kejam anak kapal terhadap tawanan-tawanan perang.
Pada tarikh tersebut, apabila USS Paddle melepaskan empat torpedo tepat ke arah Shinyo Maru, kapal tersebut mula tenggelam. Anak-anak kapal yang panik diarah oleh komander yang membawa tawanan ini untuk membunuh kesemua tawanan tersebut. Sebahagian berjaya melepaskan diri dan terujun ke dalam laut tetapi mereka ditembak oleh pesawat-pesawat penyelamat Jepun yang datang menyelamatkan anak-anak kapal Jepun. Daripada 750 tawanan perang, 668 daripadanya dihukum bunuh sementara 82 berjaya melepaskan diri.
3. KEM TAWANAN PERANG SANDAKAN
Pembaca The Patriots pasti mengenali kisah ini kerana ia pernah dikongsikan oleh saudari Haslina Bujang tidak lama dahulu. Sandakan Death March merujuk kepada siri perarakan tentera yang dipaksa berjalan yang berlaku pada tahun 1945. Dan seperti di Jerman, tawanan-tawanan ini akan dipaksa berjalan sehingga mati. Bezanya, di Jerman, ini membabitkan tawanan-tawanan perang dan mangsa kekejaman rejim Nazi seperti orang Yahudi dan orang Gipsi. Di Sandakan pula, ini membabitkan tawanan-tawanan perang Australia dan Great Britain.
Pada awalnya, tawanan-tawanan ini dipaksa membina landasan kapal terbang bersebelahan kem. Mereka akan dipukul dan tidak diberi makanan dan rawatan perubatan. Kemudian apabila perang tidak lagi memihak kepada Jepun, perarakan ini ialah satu bentuk penyeksaan di mana motif pihak Jepun ialah menyeksa, melemahkan moral mereka dan akhir sekali, membunuh tawanan-tawanan ini. Berdasarkan statistik, 2,345 tawanan perang mati akibat keletihan, kelaparan dan kehausan. Mana-mana tawanan yang tertinggal akan dihukum bunuh atau dibiarkan mati.
Hanya enam tawanan berjaya melepaskan diri dari penyeksaan ini dan empat daripada mereka memberi keterangan kepada tribunal jenayah perang di Tokyo dan Rabaul. Komander asal kem, Kapten Hoshijima Susumi bersama penggantinya, Kapten Takakuwa Takuo dan timbalannya, Kapten Watanabe Genzo didapati bersalah dan digantung atau ditembak sampai mati pada 16 Mac dan 6 April 1946.
4. PEMBERONTAKAN JESSELTON
Pada tahun 1943, penduduk tempatan di Jesselton (Kota Kinabalu), Sabah melancarkan pemberontakan ke atas tentera Jepun. Pemberontakan ini diketuai pasukan gerila yang dianggotai masyarakat Suluk dan Cina. Pihak pemberontak hanya bersenjatakan lembing dan parang serta kekurangan senjata api. Tetapi ini tidak menghalang mereka bangkit menentang tirai negara Matahari Terbit.
Pihak Jepun mudah mematahkan pemberontakan ini dan sebagai tindak balas, mereka melancarkan pembunuhan beramai-ramai ke atas masyarakat Suluk. Kempen ini digerakkan oleh versi Gestapo Jepun, Kempeitai di mana mereka membunuh ramai orang Suluk dan memburu saki-baki gerila Cina. Mereka memenggal dan menikam ramai orang Suluk dengan bayonet sehingga mengakibatkan populasi orang Suluk jatuh mendadak. Dalam peristiwa tersebut, 3,000-4,000 orang mati dibunuh. Peristiwa ini dilihat ulangan Operasi Reinhard yang dilancarkan di Czechoslovakia oleh pihak Nazi Jerman ke atas penduduk tempatan sebagai tindak balas kepada pembunuhan orang nombor dua dalam Schutzstaffen (SS), Reinhard Heydrich.
Selepas perang, tribunal jenayah perang Tokyo menyifatkan peristiwa ini sebagai satu cubaan penghapusan etnik secara sistematik ke atas orang Suluk antara Februari hingga Jun 1944.
5. KAWAD MAUT BATAAN
Sama seperti Sandakan, tawanan-tawanan perang yang ditahan turut mengalami nasib yang sama pada tahun 1942. 20,000 tentera Filipina dan 1,600 tentera Amerika dipaksa berkawad dari Mariveles ke Kem O’Donell di bandar Capas. Mereka dipaksa berjalan dalam keadaan cuaca buruk dengan kurang makanan dan minuman. Ada juga yang disumbat masuk ke dalam keretapi di mana mereka terpaksa bersempit-sempit dengan suhu panas melampau. Akibatnya, ramai mati akibat kelaparan, kehausan, penyakit disentri, keletihan dan kepanasan. Jika ada yang terselamat, mereka akan ditikam dengan bayonet atau menjadi bahan latihan katana mereka. Mana yang tertinggal akan digilis dengan lori dan krew pembersih akan membunuh mana-mana tawanan yang terlalu lemah untuk berjalan.
6. PEMBUNUHAN BERAMAI-RAMAI SOOK CHING
Dendam tentera Jepun terhadap bangsa Cina bukanlah satu rahsia semasa WWII. Ini kerana di tanah besar China, mereka memberi tentangan sengit sehingga mengorbankan ramai tentera mereka. Maka tidak hairanlah selepas Singapura jatuh ke tangan Jepun, mereka melancarkan operasi pembersihan antara 18 Februari hingga 4 Mac 1942. Dalam operasi tersebut, lelaki Cina berumur antara 18-50 tahun akan dikumpulkan dan diperiksa di Pusat Pemeriksaan Sook Ching.
Mana-mana individu yang disyaki berdasarkan umur, pekerjaan, pendidikan, pemilikan harta atau penampilan fizikal akan ditahan. Mana yang terselamat akan dilabel ‘sudah diperiksa’ pada wajah, lengan atau baju mereka. Bagi yang ditahan ini, mereka akan dipaksa menaiki lori dan dibawa ke tempat hukuman. Antara tapak pembunuhan lain selain Sook Ching ialah Pulau Blakang Mati (Pulau Sentosa), Jalan Changi (Changi Road), Pantai Tanah Merah (Tanah Merah Beach), Pantai Changi (Changi Beach) dan Pantai Punggol (Punggol Beach).
Bilangan yang mati dibunuh masih lagi dipertikaikan. Pihak Jepun mendakwa hanya 5,000 orang dibunuh namun berdasarkan anggaran, 40,000 hingga 100,000 individu dibunuh. Kempen ini digerakkan oleh Kempeitai dengan bantuan tali barut yang memberi maklumat palsu demi meraih keuntungan diri sendiri.
7. PEMBUNUHAN BERAMAI-RAMAI CHANGJIAO
Seperti Nanking, Changjiao turut menjadi saksi kepada kekejaman tentera Jepun ke atas penduduk awam China. Ini berlaku pada 9-12 Mac 1943 di mana Jepun melaksanakan Dasar Tiga iaitu bunuh semua, jarah semua dan rogol semua. Peristiwa ini menyaksikan 30,000 orang mati dibunuh dengan pihak Jepun melaksanakan kempen rogol secara berleluasa membabitkan ribuan wanita. Kempen ini diketuai Shunroku Hata di mana pada ketika itu beliau merupakan ketua Pasukan Ekspedisi China.
Uno Shintaro, seorang pegawai Kempeitai yang terlibat dalam peristiwa ini menceritakan dia telah memenggal lebih 40 orang dan secara peribadi merasakan ia satu perkara yang memberi kepuasan kepadanya. Jika dia tidak memenggal kepala orang lebih dari dua minggu, dia merasakan dirinya agak lesu dan tidak bermaya.
Pada akhir perang, Hata ditahan tentera Amerika Syarikat dan dibicarakan atas jenayah perang dan kegagalan menghalang jenayah pembunuhan beramai-ramai dari berlaku. Beliau dihukum penjara seumur hidup oleh Tribunal Jenayah Perang Timur Jauh tetapi dibebaskan pada 1954. Hata meneruskan kehidupan sebagai pengerusi yayasan kebajikan bekas tentera pada 1958 dan mati pada 1962.
8. PEMBUNUHAN BERAMAI-RAMAI MANILA
Bukanlah rahsia Pertempuran Manila merupakan pertempuran paling berdarah dalam WWII dan meletakkannya sebaris dengan Guadalcanal dan Pertempuran Bulge. Namun tahukah anda, tatkala pertempuran di ibu negara Filipina ini berkecamuk, komander tentera di sana, Jeneral Tomoyuki Yamashita yang digelar Harimau Malaya mengarahkan tentera membunuh, merogol dan menyeksa orang awam. Tindakan ini diambil berikutan mahu melepaskan geram selepas gagal mengekang asakan tentera Bersekutu yang semakin hampir menguasai bandar tersebut.
Pembunuhan beramai-ramai, penyeksaan dan rogol beramai-ramai berlaku di gereja-gereja, sekolah-sekolah dan hospital-hospital. Dan pada satu ketika, sebuah hotel diambil alih dan dijadikan sebagai pusat rogol bagi tentera Jepun melampiaskan nafsu mereka. Wanita-wanita yang tidak berdosa ini, ada di antaranya berumur 12-14 tahun dibawa ke hotel tersebut dan menjadi mangsa kegelojohan tentera-tentera ini. Berdasarkan statistik, 100,000 orang awam terbunuh dan Manila jadi padang jarak, padang tekukur.
Selepas perang, Yamashita menyerah diri kepada pihak Bersekutu dan dibicarakan atas jenayah perang dan jenayah kemanusiaan. Selepas beberapa ketika, Yamashita didapati bersalah dan dihukum gantung sampai mati di penjara Laguna, Los Banos, 48 kilometer dari bandaraya Manila. Beliau digantung pada 23 Februari 1946.
9. LANDASAN KERETAPI MAUT THAILAND-BURMA
Buruh paksa bukanlah sesuatu yang asing di Jerman dan ini turut dimanfaatkan oleh sekutunya, Jepun. Jepun sedar sekiranya mereka mahu meneruskan kemaraan ke India dan merealisasikan Lingkungan Kemakmuran Asia Timur Raya jadi kenyataan, mereka perlu memikirkan cara untuk membawa tentera mereka dan Tentera Kebangsaan India ke sana. Maka timbullah idea pembinaan landasan keretapi Thailand-Burma.
Apabila projek tersebut dilaksanakan antara 1943-1944, 80,000 hingga 100,000 populasi Tanah Melayu dan 13,000 tawanan perang Bersekutu dari Britain, Australia, Belanda dan Amerika Syarikat terbunuh. Buruh-buruh ini diperlakukan dengan kasar di mana mereka dicabul, tidak diberi makan, tidak diberi rawatan perubatan dan dihukum bunuh dengan kejam. Peristiwa ini direkodkan dalam buku Pierre Boulle pada 1952 dan diadaptasi menjadi filem ‘The Bridge on the River Kwai’. Namun filem tersebut mengundang kontroversi kerana gagal memaparkan keadaan sebenar kem tahanan sekaligus tidak memaparkan penderitaan yang dialami mangsa dan mereka yang terselamat dalam peristiwa tersebut. Taktik sama turut digunakan pihak Jepun semasa membina Landasan Keretapi Sumatera dari Pekanbaru ke Muaro.
Selepas perang dan sehingga ke hari ini, tiada sebarang bentuk pampasan diberi kepada tawanan-tawanan perang dan buruh-buruh paksa yang terlibat. Sementara bagi pihak Jepun pula, antara kesalahan yang dinyatakan dalam pertuduhan tribunal jenayah perang ialah pembinaan landasan keretapi maut ini. Antara individu terlibat yang dihukum ialah Leftenan Hiroshi Abe yang memantau pembinaan di Sonkrai yang menyaksikan 3,000 tawanan perang mati. Abe dihukum mati tetapi dikurangkan kepada penjara 15 tahun.
10. KEMPEN ZHENJIANG-JIANXI
Sebagai tindak balas kepada pengeboman Pearl Harbor, pihak tentera Amerika membenarkan Operasi Doolitle yang dirancang oleh Leftenan Kolonel James ‘Jimmy’ Doolitle. Pada 18 April 1942, serangan Doolitle bermula di mana kapal terbang pengebom B25 mengebom Tokyo, Nagoya dan Yokohama. Selepas misi tersebut selesai, pesawat-pesawat ini seharus mendarat di landasan-landasan yang masih dikawal oleh pihak China. Namun, ada satu masalah, kebanyakan pangkalan ini ditawan dan dimusnahkan oleh pihak Jepun.
Ini memaksa pesawat-pesawat ini yang kehabisan minyak mendarat di Zhenjiang dan Jianxi. Di situ, mereka disembunyikan oleh orang tempatan. Tentera Jepun yang sedar akan operasi ini segera menggerakkan 40 batalion infantri dan 15-16 batalion artileri pada 15 Mei 1942. Kumpulan ini segera mencari juruterbang-juruterbang ini dan berjaya menahan lapan orang. Lapan orang juruterbang dibunuh di tempat mereka ditahan atas dakwaan jenayah kemanusiaan. 58 juruterbang lagi berjaya mengelak dari dikesan tetapi itu tidak menghalang pihak Jepun membunuh, merogol dan menjarah kampung-kampung sebagai tindak balas terhadap penduduk tempatan.
Berdasarkan statistik, kumpulan yang diketuai Hata, orang sama bertanggungjawab di sebalik pembunuhan beramai-ramai Changjiao membunuh 250,000 orang. Mereka juga turut menggunakan kesempatan ini menyebarkan senjata biologi terhadap penduduk tempatan seperti patogen kolera, tifoid dan disentri. Namun, Jepun turut membayar harga mahal akibat tindakan ini di mana mereka kehilangan 1,700 orang.
SUMBER
1. Zakaria, Badrul Kamal. (2016). Berita Harian. Parit Sulong Massacre episod hitam buat penduduk. https://www.bharian.com.my/node/119501
2. AsiaOne. (2017). Straits Times. What happened during the horrific Sook Ching Massacre in S’pore that left more than 40,000 people dead. http://stomp.straitstimes.com/singapore/what-happened-during-the-horrific-sook-ching-massacre-in-spore-that-left-more-than-40000
3. Budanovic, Nikola. (2017). War History Online. Some of the Worst Japanese Massacres of WW2. http://www.warhistoryonline.com/world-war-ii/world-war-ii.html
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih
1 Comment
Jgn lupa juga bagaimana kekejaman british, belanda dan portugis atas pejuang2 melayu yg menentang mereka.
Mereka pun penjajah yg kejam juga