Allah telah mengkhususkan Nabi Muhammad s.a.w dengan sejumlah keistimewaan yang tidak diberikan kepada para Nabi sebelum Baginda. Ini  kerana kedudukan Baginda s.a.w yang sangat mulia berbanding kalangan para Rasul dan Nabi yang lain.

PERTAMA – Diantara sebahagian keistimewaan Baginda s.a.w bahawa Allah menyeru Baginda dengan sifat nubuwwah (kenabian) dan risalah (kerasulan). Kedua sifat ini adalah sifat – sifat yang paling utama yang Allah sifatkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Firman Allah :

يا أيها النبي

Telah datang seruan dengan lafaz Ya Ayyuhal Nabi ini pada 13 tempat di dalam Al-Qur’an.

Selain itu, Allah Taala juga menyeru Nabi Muhammad dengan sifat kerasulan seperti mana dalam firman Allah:

يا أيها الرسول

Telah datang seruan dengan lafaz Ya Ayyuhal Rasul pada 2 tempat dalam Surah Al Maidah.

Dan terdapat banyak lagi dalam Al-Qur’an contoh-contoh seruan atau panggilan Allah Taala kepada Nabi Muhammad s.a.w dengan menyifatkan Baginda dengan semulia-mulia sifat dan setinggi-tinggi kedudukan.

Keistimewaan panggilan itu tidak didapati pada para Rasul dan Nabi sebelum. Mereka diseru oleh Allah Taala dengan panggilan nama sahaja. Lihat ayat-ayat berikut –

Firman Allah Taala dalam Surah Al Baqarah ayat 35

وقلنا يا آدم

Firman Allah Taala dalam Surah Al Maidah ayat 110

إذ قال الله يا عيسى ابن مريم

Firman Allah Taala dalam Surah Nuh ayat 48

قيل يا نوح

Firman Allah Taala dalam Surah ayat..

يا موسى

Firman Allah Taala dalam Surah As Saffat ayat 104

وناديناه أن يا إبراهيم

Bukan kah ada ayat Al Qur’an menyebut nama ‘Muhammad’?

Ya memang benar ada ayat Al Qur’an menyebut hanya nama ‘Muhammad’, tetapi ayat itu datang dalam bentuk perkhabaran (bukan seruan), seperti firman Allah Taala dalam Surah Al-Ahzab ayat 40.

ما كان محمد أبا أحد من رجالكم ولكن رسول الله

“Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi beliau adalah Rasulullah”. (Al-Ahzab : 40)

Sesungguhnya telah datang nama Baginda dengan lafaz ‘Muhammad’ sahaja pada empat tempat di dalam Al-Qur’an.

Lanjutan itu, Allah Taala pada ayat yang lain telah melarang hamba-Nya dari memanggil Rasulullah dengan panggilan nama ‘Muhammad’ sahaja. Firman Allah Taala dalam Surah An-Nur ayat 63:

لا تجعلوا دعاء الرسول بينكم كدعاء بعضكم بعضًا

“Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu”.  (An-Nur:63)

Justeru itu, Allah melarang orang beriman memanggil Nabi mereka seperti mana mereka memanggil-manggil nama antara mereka. Ini bertujuan memuliakan kedudukan Baginda dan mengukuhkan martabat Baginda.

Sebaliknya pula, Allah Taala telah mengkhabarkan perangai ummat terdahulu bahawa mereka memanggil Rasul mereka dengan memanggil nama sahaja seperti yang dikisahkan dalam Surah Al-A’raaf ayat 138 :

قالوا يا موسى اجعل لنا إلهًا

(Bani Israil) berkata: “wahai Musa, buatlah untuk kami suatu tuhan (berhala)“. (Al-A’raaf : 138)

Demikian dalam Surah Al Maidah ayat 112:

إذ قال الحواريون يا عيسى ابن مريم

“Dan ingatlah ketika orang Hawariyyin berkata :”Wahai Isa Ibni Maryam !..”. (Al-Maidah : 112)

Demikian dalam Surah Hud ayat 53:

قالوا يا هود ما جئتنا ببينة

“Mereka berkata:”Wahai Hud ! engkau tidak membawa kepada kami sebarang keterangan (yang membuktikan kebenaranmu)”. (Hud : 53)

KEDUA – Antara keistimewaan Rasulullah lagi, adalah Allah Taala bersumpah dengan umur Nabi Muhammad s.a.w seperti yang tercatat dalam Surah Al-Hijr ayat 72:

لعمرك إنهم لفي سكرتهم يعمهون

“Demi umurmu (wahai Sayyiduna Muhammad), sesungguhnya mereka membuta tuli dalam kemabukan maksiat mereka”. (Al-Hijr : 72)

Apabila Allah bersumpah dengan umur Baginda s.a.w, ia menunjukkan ketinggian martabat Baginda disisi Allah Taala. Sekiranya Nabi Muhammad s.a.w tidak memiliki kedudukan yang tinggi di sisi Allah, Allah tidak bersumpah dengan umur Baginda s.a.w. Kehormatan yang Allah zahirkan kepada Rasulullah s.a.w ini tidak pernah berlaku kepada selain Baginda.

KETIGA – Antara keistimewaan Rasulullah s.a.w lagi adalah Allah Taala selalu mendahulukan Nabi saw kemudian baru diikuti sebutan para nabi yang lain di kebanyakkan ayat Al-Qur’an. Biar kita ambil contoh beberapa ayat,

Firman Allah dalam Surah An-Nisa’ ayat 163

إنا أوحينا إليك كما أوحينا إلى نوح والنبيين من بعده وأوحينا إلى إبراهيم وإسماعيل وإسحاق ويعقوب والأسباط وعيسى وأيوب ويونس وهارون وسليمان

“Sungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadamu (Wahai Sayyiduna Muhammad) sebagaimana kami telah berikan wahyu kepada Nabi Nuh dan nabi-nabi yang diutuskan kemudian daripadanya. Dan kami juga telah berikan wahyu kepada Nabi Ibrahim, Nabi Ismail, Nabi Ishak, Nabi Yaakub serta nabi-nabi keturunannya dan Nabi Isa, Nabi Ayub, Nabi Yunus, Nabi Harun dan Nabi Sulaiman..” (An-Nisa :163)

Firman Allah Taala dalam Surah Al Ahzab ayat 7:

وإذ أخذنا من النبيين ميثاقهم ومنك ومن نوح وإبراهيم وموسى وعيسى ابن مريم

“Dan ingatlah ketika Kami mengambil dari Nabi-Nabi perjanjian taat setia mereka dan (khasnya) dari engkau sendiri (wahai Muhammad) dan dari Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa ibni Maryam”. (Al-Ahzab : 7)

KEEMPAT – Antara keistimewaan Rasulullah s.a.w lagi adalah Nabi s.a.w menjadi IMAM bagi para anbiya’ di Baitul Maqdis. Sesungguhnya Allah Taala telah menghimpunkan jemaah para Nabi dan Nabi s.a.w telah dipilih mengimami para anbiya’. Hal ini menguatkan kelebihan dan menyatakan kemuliaan Rasulullah s.a.w.

KELIMA – Keistimewaan selanjutnya adalah bahawa Allah mengambil janji setia, beriman dan janji tolong dari sekalian Rasul kepada Rasulullah s.a.w seperti mana tercatat dalam firman Allah Taala dalam Surah Al-Imran ayat 81:

وإذ أخذ الله ميثاق النبيين لما آتيتكم من كتاب وحكمة ثم جاءكم رسول مصدق لما معكم لتؤمنن به ولتنصرنه قال أأقررتم وأخذتم على ذلكم إصري قالوا أقررنا

“Dan (ingatlah)ketika Allah mengambil perjanjian setia dari Nabi-Nabi (dengan firman-Nya); “sesungguhnya apa jua Kitab dan Hikmah yang Aku berikan kepada kamu, kemudian datang pula kepada kamu seorang Rasul yang membenarkan apa yang ada pada kamu, hendaklah kamu beriman bersungguh-sungguh kepadanya dan hendaklah kamu bersungguh-sungguh menolongnya”. Allah berfirman (bertanya kepada mereka): “Sudahkah kamu mengakui dan sudah kah kamu menerima akan ikatan janjiku secara yang demikian itu? Mereka menjawab: “Kami berikrar (mengakui dan menerimanya)”, (Al-Imran : 81)

KEENAM – Keistimewaan selanjutnya adalah bahawa Allah mencampakkan rasa ngeri dan takut terhadap hati-hati musuh apabila memandang kelibat Rasulullah s.a.w walaupun mereka melihat dari jauh. Hal ini disebut sendiri oleh Rasulullah s.a.w. Sabda Baginda:

نُصرت بالرعب مسيرة شهر

“aku ditolong dengan (dicampakkan kepada musuh) rasa takut jarak satu bulan”. HR Bukhari dan Muslim.

KETUJUH – Keistimewaan selanjutnya bahawa umat Rasulullah adalah sebaik-baik umat seperti yang dinyatakan dalam Surah Al-Imran ayat 110,

كنتم خير أمة أخرجت للناس

“Kamu (wahai umat Sayyiduna Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi umat manusia”. (Al-Imran :110)

Sabda Rasulullah s.a.w:

إنكم تتمون سبعين أمة، أنتم خيرها، وأكرمها على الله

“Sesungguhnya kalian menyempurnakan 70 umat. Kalian sebaik-sebaik umat yang paling mulia disisi Allah”. HR Tirmizi

Umat ini mencapai kemuliaan kerana ketinggian martabat Rasulullah s.a.w. Lantaran kemuliaan Baginda, umatnya dimuliakan Allah Taala.

KELAPAN – Keistimewaan selanjutnya bahawa penyakit taun dan dajjal laknatullah alaih tidak boleh masuk Kota Rasululllah yakni Madinah yang mana makam Rasulullah s.a.w berada di kota cahaya itu. Sabda Rasulullah s.a.w:

على أبواب المدينة ملائكة، لا يدخلها الطاعون، ولا الدجال

“Ada malaikat yang menjaga pintu-pintu Kota Madinah, tidak akan sesekali dapat masuk penyakit taun dan dajjal”. (HR Bukhari dan Muslim).

KESEMBILAN – Keistimewaan seterusnya kewajiban mencintai Rasulullah s.a.w bahkan mendahulukan kecintaan akan Baginda s.a.w melebihi diri, ahli keluarga, harta, dan anak seperti yang ditegaskan oleh Allah Taala dalam Surah At-Taubah ayat 24:

قل إن كان آباؤكم وأبناؤكم وإخوانكم وأزواجكم وعشيرتكم وأموال اقترفتموها وتجارة تخشون كسادها ومساكن ترضونها أحب إليكم من الله ورسوله وجهاد في سبيله فتربصوا حتى يأتي الله بأمره

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya)”. (At-Taubah : 24)

Sabda Rasulullah s.a.w:

لا يؤمن أحدكم حتى أكون أحب إليه من والده وولده والناس أجمعين

“Tidak sempurna iman seseorang hinggalah aku terlebih dia cintai melebihi ibu bapanya, anaknya dan sekalian manusia” (HR Bukhari dan Muslim).

KESEPULUH – Disamping itu, Rasulullah s.a.w adalah orang pertama yang dibangkitkan di hari kebangkitan, orang pertama masuk syurga seperti disebutkan dalam sabda Rasulullah s.a.w:

أنا سيد ولد آدم يوم القيامة، وبيدي لواء الحمد ولا فخر، وما من نبي يومئذ، آدم فمن سواه إلا تحت لوائي، وأنا أول من تنشق عنه الأرض ولا فخر

“Adalah aku pemimpin anak adam di hari kebangkitan, di tanganku panji kepujian – bukan suatu kebanggaan untuk ku (kelebihan itu), tiada para nabi pada hari tersebut bermula Adam a.s dan selain Adam melainkan semuanya berada dibawah panjiku. Bahawa aku adalah orang orang pertama dibangkitkan – bukan suatu kebanggaan untuk ku” (HR Tirmizi)

Demikian juga Sabda Rasulullah saw:

وأنا أول من يدخل الجنة يوم القيامة، ولا فخر

“Adalah aku orang pertama masuk ke dalam syurga di hari kiamat kelak – bukan suatu kebanggaan untukku (kelebihan itu)”

Sebahagian keistimewaan Rasulullah s.a.w yang disebutkan di atas adalah pengkhususan Allah hanya  kepada Rasulullah s.a.w yang tiada diberikan kepada sesiapa walaupun kepada para Rasul sebelum. Himpunan pelbagai keistimewaan Rasulullah s.a.w menzahirkan ketinggian martabat Nabi Muhammad s.a.w disisi Allah Taala.

Baginda lah insan istimewa, insan terpilih dan terbaik dari segala ciptaan.  Apa yang ditulis ini hanyalah sebahagian dari kandungan kitab-kitab besar yang lebih panjang bicaranya. Insya Allah, akan terus dikongsi. Semoga Allah melimpahkan cahaya cinta Rasul ke dalam sanubari kita. Sollu Alan Nabiy


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

ANGAH SUNAN merupakan pendakwah bebas, penerbit dan penulis prolifik. Anak Jati Pulau Manis, Terengganu ini telah menghasilkan beberapa buah buku merangkumi bidang fiqh, tauhid - tasauf, travelog sejarah dan terjemahan (arab - melayu). Selain itu, pengajar bertauliah Majlis Agama Islam Selangor ini juga pernah terlibat dalam pembikinan Dokumentari Merah Laut Sulu di Jolo, Selatan Filipina pada tahun 2015. Link FB : www.facebook.com/angahsunan

Comments are closed.