Elam merupakan salah sebuah tamadun unggul yang pernah wujud pada zaman purba. Ia terletak di wilayah Ilam dan Khuzestan, Iran. Secara dasarnya, tamadun ini bukanlah sebuah kerajaan atau entiti politik yang dibentuk menerusi kesatuan etnik.
Akan tetapi, tamadun Elam berdiri sebagai sebuah federasi atau gabungan pelbagai suku berbeza yang masing-masing mentadbir kota tersendiri seperti Susa, Anshan, dan Shimashki. Suku-suku tersebut kemudiannya disatukan sebagai sebuah empayar pada suatu tempoh yang dinamakan sebagai Zaman Pertengahan Elam.
Panggilan Elam pada asalnya adalah dialek tamadun Akkadia dan Sumeria yang diambil daripada perkataan Haltami atau Haltamti dalam bahasa pertuturan masyarakat Elam. Perkataan tersebut membawa maksud ‘bangsa dari negara yang tinggi’. Penisbahan sedemikian sememangnya sesuai lantaran tamadun Elam menempati kawasan Dataran Tinggi Irani – bermula dari lembah-lembah landai di selatan hinggalah ke puncak Pergunungan Zagros.
Sementara itu, ada juga yang cuba mengaitkan asal-usul nama tamadun Elam dengan naratif keagamaan. Menurut pendapat yang kedua ini, nama tersebut adalah bersempena salah seorang putera Sam bin Nuh, iaitu Elam. Pemerihalan tentang Elam si putera Sam bin Nuh sememangnya termaktub di dalam Tafsir at-Tabari bagi umat Islam dan Kitab Kejadian bagi penganut Kristian. Cuma, perkaitan antara tamadun Elam dan sosok tokoh bernama Elam bin Sam bin Nuh masih belum dapat dibuktikan secara tuntas.
Apa yang diketahui secara pasti, masyarakat Elam sudah pun menghuni kawasan tersebut semenjak berlangsungnya Zaman Ubaid di Mesopotamia (sekitar 5000-41000 SM). Menjelang tahun 3200 SM sehingga penghujung Zaman Pra-Dinasti di Mesir (sekitar 3150 SM) pula, mereka membangunkan kota Susa sekali gus menjadikannya salah sebuah kota paling tua di dunia – lebih awal berbanding pembinaan piramid-piramid di Giza.
Secara umum, sejarahwan moden membahagikan sejarah tamadun Elam kepada empat zaman, iaitu:
- Zaman Proto-Elam (c. 3200 – c. 2700 SM)
- Zaman Elam Lama (c. 2700 – c. 1600 SM)
- Zaman Pertengahan Elam (c. 1500 – c. 1100 SM)
- Zaman Neo-Elam atau Zaman Elam Baru (c. 1100 – c. 539 SM)
Dua milenium setengah tempoh berdirinya tamadun Elam tentunya dipenuhi dengan berbagai-bagai cerita – perkembangan, kemunduran, dan pengasimilasiannya dengan tamadun lain. Akan tetapi, sumbangan-sumbangannya yang signifikan terhadap peradaban di Timur Dekat secara khusus dan dunia silam secara umum seringkali dikesampingkan.
Tidak dapat dinafikan, nama tamadun Elam agak janggal jika dibandingkan dengan tamadun-tamadun purba lain seperti Sumeria, Akkadia, dan Assyria. Namun, keterasingannya sama sekali tidak dapat menyangkal hakikat bahawa mereka juga merupakan antara pemain utama dalam pentas sejarah di Timur Dekat sepanjang tempoh 3200 – 539 SM.
Mereka pernah meme-rangi tamadun Sumer, ditak-luki Empayar Akkadia, berpakat dan kemudian dikhianati Hammurabi dari Babylon, menubuhkan empayar yang tersendiri, terlibat dalam merun-tuhkan Empayar Neo-Assyria, dan akhirnya diserap menjadi sebahagian Empayar Achaemenid (sekitar 539 SM). Menerusi asimilasi tersebut, kebudayaannya terus bertahan, bernafas, dan menghembuskan pengaruh di bumi Parsi.
Bahkan semenjak awal sejarahnya lagi, iaitu pada Zaman Proto Elam, keunggulan karyawan dan pemahir-pemahir tukang mereka boleh dikatakan tiada tolok bandingan. Bahkan, sejarah mengenali mereka sebagai pengamal kebebasan beragama dan pemelihara kesaksamaan wanita. Kebudayaan tamadun-tamadun lain turut dihormati, walau pada masa yang sama, pe-dang dan panah terus dihu-nus bagi merebut hegemoni.
Mungkin, tumbangnya Elamais (Elymais) di tangan Empayar Sassanid pada tahun 224 Masehi menjadi bukti kekalahan tamadun Elam dalam perebutan tersebut yang sekali gus melenyapkan kewujudannya dari dunia. Namun, jejak tinggalannya masih bersemi di Parsi – sentiasa bersedia untuk dicari dan digali.
Justeru, artikel kali ini ingin berkongsikan sepuluh pengetahuan umum tentang tamadun Elam. Sebelum membuka fakta pertama, kami mulakan dengan menukil kata pujangga; “Hancur badan dikandung tanah, budi baik dikenang juga. Lebur Elam di panggung sejarah, budi baiknya kan dicanang jua.”
SISTEM TULISAN YANG MASIH BELUM DIFAHAMI SEPENUHNYA
Masyarakat Elam mempunyai sistem tulisan lelurus (linear) yang tersendiri bagi memenuhi keperluan dokumentasi mereka. Bagaimanapun sehingga hari ini, tulisan lelurus Elam masih belum dapat difahami lantaran bahasanya wujud secara terpencil tanpa ada kaitan dengan mana-mana keluarga bahasa lain. Lingkungan arkeologi juga gagal menemukan sebarang artifak yang dapat berperanan sebagai pemudah kerja-kerja penafsiran, seperti yang berlaku dalam kes penafsiran tulisan hieroglif yang dimudahkan dengan penemuan Batu Rosetta.
Bagaimanapun, masyarakat Elam mula mengguna pakai sistem tulisan kuneiform selepas interaksi yang lebih giat dijalankan dengan Sumer dan Akkad – bermula sejak c. 2700 SM sehinggalah tahun kejatuhannya, c. 224 Masehi. Sistem tulisan tersebut kemudian diwarisi oleh Empayar Achaemenid (c. 550-330 SM), dengan Darius I (memerintah 522-486 SM) memasukkan bahasa Elam sebagai salah satu dari tiga bahasa yang dimuatkan di dalam Prasasti Behistun – prasasti yang bertujuan mengabsahkan pemerintahannya.
Apapun, kesemuanya ini tidak dapat menyembunyikan hakikat bahawa tulisan lelurus Elam masih gagal difahami. Kesannya, peristiwa-peristiwa lampau yang berlaku pada Zaman Proto-Elam tidak dapat ketahui sekali gus melahirkan tompok-tompok kelompongan di dalam pemerihalan sejarah silam di Timur Dekat.
KORBAN PE-RANG PERTAMA DALAM SEJARAH
Antara implikasi langsung daripada kegagalan merungkai sistem tulisan lelurus Elam adalah hilangnya catatan terperinci tentang pe-rang pertama dalam sejarah. Sekitar tahun 2700 SM, Enemebaragesi si raja Sumeria mengangkat sen-jata dan mengerah ten-tera – mangsanya, tidak lain adalah masyarakat Elam. Dalam pepe-rangan tersebut, pasukan Sumeria memperoleh kemenangan dan segala harta rampasan diangkut pulang ke kota Sumer.
Apa yang merugikan bagi lingkungan keilmuan, peristiwa ini hanya diabadikan secara ringkas oleh tamadun Sumeria di dalam teks berjudul ‘Senarai Raja Sumeria’. Bak kata pepatah, “Sejarah ditulis oleh yang menang”. Sebaris yang ditulis, sebarislah yang kita ketahui. Bagi yang kecundang, kalah pe-rang mungkin merupakan sejarah pahit yang tidak ingin dikenang.
Justeru, pemerihalan tentang pepe-rangan dan hubungan dengan tamadun Sumeria tidak dicatatkan semula ke dalam rekod-rekod kuneiform pada era terkemudian. Satu-satunya sumber yang boleh diharapkan, hanyalah tablet-tablet lama yang diukir dengan tulisan lelurus Elam. Ibarat sumur yang diselimuti gelita, ada atau tidak air di dalamnya tidak akan dapat diketahui selagimana ia tidak disuluhi dan ditimba.
PENGELUAR HASIL SENI YANG UNIK
Hasil kesenian masyarakat Elam pada zaman-zaman awal juga terpalit dengan masalah kekaburan sejarah. Sejarahwan tidak berupaya menjelaskan daripada mana datangnya ilham kesenian mereka. Hal ini kerana barangan seramik, barangan logam, seni lukisan, dan alat perhiasan yang dihasilkan oleh masyarakat Elam pada Zaman Proto-Elam sama sekali berbeza dengan hasil seni tamadun-tamadun lain di sekelilingnya.
Ketika itu, tamadun-tamadun seperti Sumeria, Akkadia, dan Mesir Purba menekankan ciri manusia atau setidak-tidaknya, haiwan-bercirikan-manusia dalam kesenian mereka. Misalannya, Mesir Purba mencantumkan kepala kucing pada tubuh wanita bagi menghasilkan patung atau imej gambaran dewi Bastet.
Masyarakat Elam sebaliknya lebih menekankan ciri haiwan, sepertimana yang dapat dilihat pada relif di kota Susa dan patung ‘Kerbau Melutut Sambil Menjunjung Balang’ yang dihasilkan sekitar tahun 3100-2900 SM. Hanya sesudah terjalinnya interaksi rapat dengan warga Sumer, barulah hasil seni Elam menampakkan perubahan yang tentunya, mengor-bankan sentuhan asli mereka. Cuma masih, setiap hasil kesenian Elam menyerlahkan kemahiran peringkat tinggi.
PEMBANGUN KOTA SUSA, ANTARA KOTA TERTUA DI DUNIA
Tidak hanya unggul dalam menghargai nilai estetika, masyarakat Elam juga bertanggungjawab membangunkan salah sebuah kota paling tua di dunia. Menurut bukti arkeologi, kawasan berhampiran Pergunungan Zagros yang menempatkan kota Susa sudah pun menerima kehadiran manusia sejak tahun 7000 SM.
Setelah mendiami bumi tersebut selama hampir tiga ribu tahun, masyarakat setempat kemudiannya membangunkan sebuah kota yang sehingga kini dikenali sebagai kota Susa. Kota tersebut berdiri sebagai hub perdagangan yang penting pada Zaman Proto-Elam dan mencapai titik zenith-nya pada Zaman Pertengahan Elam.
Sepanjang tempoh tersebut, kota Susa diberikan perhatian khusus dan ditatang dengan minyak penuh oleh dua orang raja Elam yang terunggul, iaitu Untash-Napirisha (memerintah 1275-1240 SM) dan Shutruk-Nakhkunte (memerintah 1184-1155 SM). Kemasyhuran kota Susa banyak disumbang oleh kemajuannya dalam bidang pertanian, penghasilan barang seramik, penempaan logam, dan pengeluaran tekstil.
Bintangnya terus gemilang ketika berada di bawah naungan Empayar Achaemenid, di mana Susa dijadikan sebagai salah sebuah kota penting, di samping berperanan sebagai pusat perdagangan, pusat industri, dan pusat seni. Bermula sebagai kota yang masyhur, riwayat Susa berakhir di tangan amu-kan Monggol pada tahun 1218 Masehi yang menjadikannya padang jarak padang tekukur.
MENGAMALKAN KEPERCAYAAN POLITEISME
Masyarakat Elam menganut kepercayaan politeisme dan bertumpu pada pemujaan dewa-dewi yang mewakili kuasa semesta dan fenomena alam. Tidak seperti tamadun-tamadun masyhur yang lain, perincian tentang ritual dan amalan keagamaan masyarakat Elam hilang dari lembaran sejarah kecuali seperca cuma.
Mereka gemar mendirikan bangunan-bangunan suci di gunung-ganang, bukit-bukau, dan hutan-belantara yang dianggap keramat. Berdasarkan prasasti-prasasti yang dijumpai di Susa, ritual keagamaan masyarakat Elam banyak berkisar seputar kehidupan sesudah ma-ti dan sifat roh yang abadi.
Sementara itu, jumpaan artifak-artifak keagamaan dari zaman awal Elam pula mengisyaratkan wujudnya amalan pemujaan satu Dewi Ibunda yang seiring peredaran masa, dikembangkan identitinya menjadi Dewi Kiririsha. Dewi Kiririsha dianggap sebagai Ibu Segala Dewa-Dewi, merangkap isteri kepada dewa Insushinak dan Dewa Humban yang masing-masing merupakan dewa pelindung kota Susa dan kota Anshan.
Jemaah dewa-dewi Elam dibarisi seramai 200 dewa – setiap satunya tunduk pada telunjuk dewa tertinggi bernama Napirisha (Raja Bumi dan Raja Manusia). Masyarakat Elam juga menyerap masuk beberapa dewa Mesopotamia (khususnya Sumeria), justeru Ea, Enki, Ninhursag, Shamash, dan lain-lain, turut dipuja oleh mereka.
MENGIMARAHKAN TOLERANSI BERAGAMA
Kesemua dewa-dewi tersebut dipuja secara bebas di seluruh wilayah naungan Elam. Dalam hampir keseluruhan sejarahnya, keluasan tamadun Elam mencakupi selatan Iran dan sebahagian Iraq moden. Pun begitu, tiada bukti yang menggambarkan berlaku pemaksaan beragama dalam kalangan rakyat jelata. Sedangkan kalau hendak diikutkan, sepanjang Zaman Pertengahan Elam, raja-raja mereka giat melaksanakan dasar “Elamisasi” demi mengecapi keseragaman identiti dalam budaya dan agama.
Hal-hal seperti perteling-kahan dek kerana agama, huku-man yang diatasnamakan agama, atau kekacauan sosial yang dipicu oleh perbezaan agama – kesemuanya ini tidak tercatat dalam mana-mana rekod Elam. Bagaimanapun, lidah mana yang tak pernah tergigit. Sama ada ia berlaku namun tidak dicatat, atau ia berlaku namun berskala kecil.
Cuma, penisbahan tamadun Elam dengan toleransi beragama sedikit-sebanyak mengisyaratkan betapa keharmonian beragama dalam kalangan mereka berada pada paras yang lebih baik berbanding tamadun-tamadun lain. Sifat yang satu ini, sering disinonimkan dengan mercu keagamaan mereka, iaitu Dur-Untash, atau juga dikenali dengan nama Chogha Zanbil.
DUR-UNTASH: KUIL KEBANGGAAN TAMADUN ELAM
Dur-Untash atau ‘Kubu Untash’ dinamakan bersempena salah seorang raja paling masyhur dalam tamadun Elam, iaitu Untash-Napirisha yang berasal dari Dinasti Igihalkid (c. 1400 – c. 1200 SM). Antara jasa besar beliau adalah menaungi pembinaan ziggurat dan kompleks kuil Dur-Untash (Chogha Zanbil). Choga Zanbil bermaksud ‘gundukan bakul’. Mungkin, ia dinamakan sedemikian kerana bentuk bangunan tersebut memang seakan-akan sebuah bakul terbalik.
Pada asalnya, Chogha Zanbil dibina khusus untuk Insushinak si dewa pelindung kota Susa. Ia turut dilengkapi dengan sebuah ziggurat yang diruntuhkan pada era terkemudian bagi memberi ruang kepada sebuah projek yang dianggap lebih besar dan mulia – iaitu pembinaan kompleks kuil buat kesemua dewa tempatan.
Bagi Untash-Napirisha, kuil sebegini berpotensi menggamit kunjungan seluruh warga Elam dan tidak lagi terhad kepada warga kota Susa semata-mata. Dalam erti kata lain, ia berdiri sebagai simbol toleransi beragama yang diamalkan oleh tamadun Elam.
Cuma, malang tidak berbau dan ajal tiada siapa yang tahu. Semasa Chogha Zanbil masih dalam pembinaan, Untash-Napirisha mangkat dan sebagai akibat, projek tersebut ditamatkan tanpa sempat digunakan. Entah apa puncanya sampaikan ia tergendala, sejarahwan tidak berupaya menjelaskannya.
KESAKSAMAAN BUAT KAUM WANITA DIPELIHARA
Di samping toleransi beragama, masyarakat Elam turut memelihara kesaksamaan buat kaum wanita. Sifat ini jelas digambarkan menerusi hasil seni yang mereka tinggalkan. Misalnya, relif dan meterai silinder Elam menampilkan persamaan saiz antara imej lelaki dan wanita. Kebiasaannya bagi tamadun-tamadun purba, gambaran sebegini membawa erti kesamarataan dan kesaksamaan antara jantina.
MENUBUHKAN EMPAYAR TERSENDIRI
Sekitar tahun 1200 hingga 1100 SM, tamadun Elam diperintah oleh Raja Shutruk-Nakhkunte dari Dinasti Sutrikid. Pemerintahannya difajari oleh dasar pemulihan dan pelestarian kota-kota naungannya, terutama sekali kota Susa. Dasar ini bertujuan memperagakan kemegahan dan kekuasaannya. Tidak lama kemudian, Shutruk-Nakhkunte menubuhkan Empayar Elam.
Beliau dikenali dalam sejarah Mesopotamia sebagai penak-luk kota Sippar dan peram-pas tugu Marduk (dewa pelindung kota Babylon). Hampir setiap negara-kota yang dikunjungi beliau habis dikuasai dan hartanya pula dirampas. Antara khazanah yang diangkut kembali ke Susa termasuklah Stele Kemenangan Naram-Sin dan Prasasti Hammurabi. Walau bagaimanapun, percakaran sesama kerabat diraja mengakibatkan empayar tersebut hanya dapat bertahan selama dua generasi.
MENYERAP BUDAYA SUMER DAN DISERAP BUDAYANYA OLEH PARSI
Interaksi yang kerap terjalin dengan Sumer, sama ada dalam konteks damai mahupun konflik, banyak mempengaruhi sosiobudaya masyarakat Elam. Elemen kesenian, kepakaran pembuatan, dan unsur keagamaan Sumeria perlahan-lahan diserap menjadi budaya tempatan semenjak Zaman Elam Lama.
Bagaimanapun, pengaruh Agama Irani Awal dan Zoroastrianisme tetap mendominasi. Oleh kerana itu, kepercayaan mereka tidak lari jauh daripada penyembahan Ahura Mazda sebagai pusat semesta.
Selepas diserap menjadi sebahagian daripada Empayar Achaemenid pada 550 SM, budaya Elam disesuaikan mengikut acuan nilai-nilai Parsi dan ia terus mengalami perkembangan sehingga tahun 651 Masehi. Tahun tersebut, Empayar Sassanid tumbang di tangan umat Islam. Namun, kebudayaan Elam-Parsi tidak hilang malah tersebar di seluruh Timur Dekat.
TERJEMAHAN
Joshua J. Mark. (27 Ogos 2020). Ten Ancient Elam Facts You Need to Know. Ancient History Encyclopedia.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih