Sebut
saja mamot, ramai dapat membayangkan moyang gajah moden itu sebagai gajah besar
dan berbulu serta memiliki gading yang panjang. Mamot berevolusi dari genus
Mammuthus yang berevolusi sekitar 5.1 juta tahun lalu di Afrika. Mamot bersama sepupu
jauh mereka, mastodon pupus sekitar 10,000 tahun yang lalu dan siapa sangka,
ini kini menjadi sebahagian daripada budaya pop hari ini. Tetapi ada banyak
perkara yang kita tidak tahu tentang mamot.
1. Gading panjang itu menawan,
sayang…
Selain
dikenali dengan ciri bulunya yang tebal, mamot turut dikenali dengan gadingnya
yang panjang di mana ia boleh mencecah sehingga 15 kaki. Gading ini merupakan
sebahagian daripada tarikan seksual mamot jantan untuk menarik pasangan
betinanya. Ini kerana gading yang panjang, melengkung dan menarik dilihat satu
ciri yang membuatkan mamot betina tertarik untuk mengawan dengan mamot jantan.
Selain sebagai tarikan seksual, ia juga berperanan sebagai alat perlindungan
daripada ancaman pemangsa seperti harimau taring lengkung.
2. Jadi buruan terawal manusia
Dengan
panjang 13 kaki dan berat lima hingga tujuh tan, bagi kelompok awal Homo
sapiens, ia merupakan satu kejayaan besar sekiranya berjaya menangkap mamot.
Mamot menjadi buruan bukan saja untuk mendapatkan bulunya tetapi juga untuk
mendapatkan dagingnya yang lazat lagi berlemak. Dan wujud satu teori aktiviti
pemburuan mamot secara berkumpulan menerusi kesabaran, perancangan dan
kerjasama bagi menjatuhkan mamot merupakan faktor utama pembangunan tamadun
manusia.
3. Lukisan gua
Dari
30,000 hingga 12,000 tahun lalu, mamot menjadi subjek kegemaran manusia era
Neolitik dalam soal lukisan gua. Bukan sedikit imej haiwan hebat ini diabadikan
pada dinding-dinding gua di Eropah Barat. Lukisan-lukisan primitif ini
berkemungkinan menjadikan haiwan buruan ini sebagai azimat atau bahan sembahan
mereka. Ini kerana mereka percaya jika mamot dilukis pada dinding, maka mereka
juga berpeluang menangkapnya di dunia sebenar.
4. Bukan satu-satunya spesis
mamalia pra-sejarah berbulu
Selain
mamot, ada juga spesis mamalia pra-sejarah yang berbulu pada Zaman Ais. Salah
satu daripadanya ialah badak sumbu berbulu atau Coelodonta yang merayap di
lembah-lembah Eurasia semasa era berkenaan. Badak ini juga turut menjadi
sasaran manusia pra-sejarah bagi mendapatkan daging dan bulunya serta dikatakan
menjadi sumber inspirasi legenda unikorn. Sementara mastodon yang banyak
didapati di Amerika Utara turut menjadi buruan bagi mendapatkan bulunya tetapi
ia tidaklah sepanjang sepupu jauh mereka.
5. Bukan satu-satunya spesis
mamot
Mamot
yang kita kenali hari ini sebenarnya turut dikenali dengan nama saintifik Mammuthus
primigenius. Terdapat 12 jenis mamot yang merayap di Amerika Utara dan Eurasia
semasa Zaman Ais seperti Mammuthus trogontherii (Mamot Steppe), Mammuthus
imperator (Mamot Raja) dan Mammuthus columbi (Mamot Columbia). Tetapi semua
mamot ini tidaklah terkenal berbanding mamot berbulu yang kita kenal hari ini.
6. Spesis mamot terberat
Percayalah,
dengan berat antara lima hingga tujuh tan, anda menyangka mamot berbulu
merupakan mamot yang paling berbahaya. Hakikatnya, gelaran itu dipegang oleh
Mamot Raja di mana fosil spesis jantannya boleh mencecah 10 tan tetapi ada
berpandangan ia sebenarnya mempunyai berat 15 tan!
7. Diliputi dengan bulu dan lemak
Dengan
bulu tebal yang dimiliki mamot, bukan jaminan ia dapat menahan asakan cuaca
sejuk terutama bila suhu jatuh melampau. Justeru di sebalik bulunya yang tebal,
terdapat satu lapisan lemak setebal empat inci bagi memastikan mereka kekal
panas dan selesa. Dan seperti mana rambut manusia, bulu mamot juga mempunyai
warna berbeza dari hitam hingga perang.
8. Mamot terakhir pupus 4,000
tahun lalu
Menjelang
tahun-tahun terakhir Zaman Ais, kebanyakan mamot sudah pupus sejak 10,000 tahun
lepas akibat cuaca sejuk dan menjadi bahan buruan manusia. Tetapi satu populasi
mamot terus bertahan di Pulau Wrangel, Siberia sebelum akhirnya pupus pada 1700
SM. Memandangkan sumber makanan yang terhad, saiz mereka juga sedikit kecil
berbanding mamot berbulu sekaligus menyebabkan mereka digelar mamot kerdil.
9. Mumia mamot
Sehingga
hari ini, di sesetengah tempat yang beriklim sejuk seperti Siberia dan Alaska,
ada saja penemuan mamot dalam keadaan sudah bermumia. Ini berikutan keadaan
cuaca yang sejuk dan tersimpan dalam bentuk blok ais membolehkan struktur dan
kulit badannya masih kekal utuh. Untuk mengeluarkannya bukanlah satu usaha yang
mudah tetapi untuk mengekalkan kedua-duanya itu daripada rosak bila terdedah
kepada suhu bilik jauh lebih sukar.
10. Pengklonan mamot
Disebabkan
mamot pupus dalam tempoh tidaklah terlalu lama dan kaitannya dengan gajah
moden, wujud kemungkinan saintis mengekstrak DNA mamot dan menghasilkan fetus
untuk diletakkan dalam spesis pakiderma termasuk gajah. Proses ini dikenali
sebagai proses membalikkan semula kepupusan.




No comments yet