Sejak dari bangku sekolah, kita sentiasa diingatkan bahawa Christopher Columbus merupakan orang pertama yang menemui benua Amerika atau lebih tepat Dunia Baru walaupun pada awalnya menyangka sudah berada di benua Asia. 12 Oktober 1492 menjadi saksi kepada ketibaan beliau di Kepulauan Bahamas dan menandakan kepulauan tersebut sebagai wilayah yang dikuasai Raja Ferdinand dan Permaisuri Isabella. Baik atau buruk, ia mengubah lembaran sejarah yang diketahui pada ketika itu. Di sebalik jasanya itu, terdapat beberapa anekdot menarik berkenaan peneroka ini.

  1. BUKAN BERLAYAR UNTUK BUKTIKAN BUMI ITU BULAT

Semasa memulakan pelayaran ke sebelah Barat, Columbus melakukannya bukan untuk buktikan bahawa bumi itu bulat. Beliau tidak perlu lakukannya kerana cendekiawan-cendekiawan Yunani sudah membuktikan teori mengarut geng bumi rata (FE) sejak abad keenam Sebelum Masihi (BC). Berdasarkan pemerhatian dan pengiraan mereka berkenaan kedudukan matahari terbit dan terbenam, bayang-bayang dan aspek fizikal bumi itu sendiri, mereka menyimpulkan bahawa bumi itu bukan saja bulat tetapi juga berbentuk sfera. Dan kajian mereka ini diteruskan dan diwarisi oleh generasi-generasi seterusnya termasuklah ilmuan-ilmuan Islam dan cendekiawan-cendekiawan Eropah yang berkongsi kesimpulan sama. Maka amat mustahil dan tidak mungkin bagi Sepanyol dan Columbus untuk tidak mengetahui fakta ini.

Cerita sebenar di sebalik pelayaran ini ialah Columbus mahu membuktikan ada laluan dari sebelah Barat untuk sampai ke benua Asia. Keyakinan ini disokong berdasarkan dakwaan beliau bahawa lilitan bumi ini kecil dan ia boleh dieksploitasi untuk sampai ke Asia dari sebelah situ. Columbus cuba melobi ekspedisi ini pada tiga negara iaitu England, Portugal dan Perancis tetapi gagal berikutan kebimbangan mereka berkenaan jarak dan kos ekspedisi. Raja Ferdinand juga hampir-hampir menarik diri dari projek ini sebelum akhirnya memberi lampu hijau kepada ekspedisi Columbus.

Tetapi bagaimana mitos ini boleh tersebar? Jawapannya terletak kepada penulis kisah Sleepy Hollow, Washington Irving. Pada awal abad ke-19, Irving dijemput oleh perwakilan Amerika Syarikat ke Sepanyol, Alexander Hill Everett untuk menginap di kediamannya di Madrid. Semasa melawat bandar tersebut, beliau mendapati banyak rekod yang mencatatkan tentang kehidupan Columbus dan mahu menulis biografi berkenaan pelayar hebat ini. Tetapi sebagai seorang penulis, Irving tidak dapat menahan dirinya dari menambah elemen fiksyen pada kisah hidup Columbus iaitu ahli-ahli geografi Sepanyol memperlekeh idea Columbus bahawa bumi itu bulat. Akhirnya yang diperbodohkan ialah pembaca-pembaca karya Irving dan buku biografi tersebut mendapat sambutan hangat dalam kalangan pembaca. Bila itu berlaku, anekdot fiksyen Irving ini dianggap sebagai fakta yang masih kekal sehingga ke hari ini.

Figure 1: Irving bertanggungjawab menyebarkan mitos Columbus berlayar atas sebab buktikan bumi itu bulat.

2. BUKAN ORANG PERTAMA SEBERANG LAUTAN ATLANTIK

Jika Columbus menyangka beliau orang Eropah pertama berjaya menyeberangi Lautan Atlantik, anggapan beliau salah. Ini kerana rekod tersebut dipegang oleh pemimpin Viking, Leif Eriksson dipercayai berjaya mendarat di Newfoundland pada 1000 Masihi, 400 tahun sebelum beliau berjaya mendarat di benua Amerika. Belum dicampur lagi dengan fakta bahawa sudah banyak tamadun yang dikatakan berjaya menjejakkan kaki ke benua Amerika atau sekurang-kurangnya tahu kewujudan benua tersebut. Bilang saja siapa yang dikatakan pernah sampai ke situ dari bangsa Phoenician dan tamadun China sampailah orang-orang Celtic dan Saint Brendan dari Ireland. Malah dikatakan orang-orang dari sebelah Afrika Barat juga pernah mendarat di benua Amerika dan berinteraksi dengan orang asli Amerika. Ironinya, hari ini Amerika Syarikat mengiktiraf dan meraikan satu hari sebagai Hari Columbus dengan meriah walaupun beliau tidak pernah menjejakkan kaki ke situ sedangkan Hari Leif Eriksson yang diraikan pada 9 Oktober dipandang sepi.

3. ‘BETA TAK BAGI BERSEBAB’

Sedekad sebelum ekspedisi tersebut dilancarkan, Columbus cuba melobi sokongan raja-raja Eropah untuk membiayai ekspedisinya. Pada Columbus, ekspedisi ini boleh membuka jalan kepada penerokaan benua Asia dari sebelah Barat. Namun seperti dijangka, raja-raja England, Perancis dan Portugal enggan melayan permintaan mereka. Alasannya ialah perkiraan Columbus tersebut salah dan pelayarannya mungkin mengambil masa lebih lama dari tempoh yang dijangkanya. Penasihat-penasihat Raja Ferdinand turut membangkitkan perkara sama apabila Columbus cuba melobi ekspedisinya kepada baginda. Dan apa yang diperkatakan pengkritik-pengkritik beliau ada benarnya. Beliau lupa mengira ukuran sebenar lilitan bumi dan keluasan saiz lautan. Tetapi Columbus bernasib baik, pelayarannya itu membawanya ke Dunia Baru.

Figure 2: Raja Ferdinand sendiri ragu-ragu dengan projek Columbus sebelum diyakinkan oleh Ratu Isabella untuk menunaikan permintaan beliau.
  1. NINA DAN PINTA BUKAN NAMA SEBENAR BAGI DUA DARIPADA TIGA KAPAL COLUMBUS

Pada abad ke-15 Sepanyol, kapal-kapal biasanya dinamakan sempena nama wali atau orang suci yang berjasa kepada agama Kristian. Tetapi bagi pelayar-pelayar, mereka ada nama-nama kurang enak untuk kapal mereka. Contohnya, salah satu kapal yang digunakan Columbus semasa berlayar ke Dunia Baru iaitu Pinta yang diterjemahkan sebagai pelacur dalam Bahasa Sepanyol. Santa Clara diberi gelaran Nina sebagai tanda penghormatan kepada pemilik kapal tersebut, Juan Nino. Sementara Santa Maria pula walaupun dipanggil dengan nama rasminya, ia diberi gelaran La Gallega sempena nama wilayah Galicia di mana ia dibina.

  1. SANTA MARIA KARAM SEMASA PELAYARAN BERSEJARAH COLUMBUS

Pada 24 Disember 1492, salah seorang daripada anak kapal Santa Maria melanggar kawasan batu karang di utara perairan Hispaniola, berhampiran Cap Haitien, Haiti. Akibatnya, ini memaksa anak-anak kapal Columbus menyelamatkan saki-baki muatan Santa Maria semasa Krismas 1492. Dan ini juga memaksa Columbus kembali semula berlayar ke Sepanyol dengan Nina. Sepeninggalannya, 40 orang anak kapal yang ditinggalkan di situ membina petempatan Eropah pertama di benua Amerika iaitu La Navidad. Tetapi kisah La Navidad berakhir dengan tragis kerana apabila Columbus kembali ke situ pada musim luruh 1493, semua 40 anak kapal di situ sudah mati.

  1. KEKEJAMAN DAN SALAH URUS TADBIR

Walaupun dikenali sebagai seorang pelayar dan peneroka hebat. Columbus turut dikenali kerana bersikap zalim terhadap penduduk tempatan dan peneroka-peneroka Sepanyol di Hispaniola. Penduduk tempatan yang gagal mengutip sejumlah besar emas akan dipotong tangan. Sekiranya ada peneroka Sepanyol mahu memberontak dan menggugat pemerintahannya sebagai gabenor, siap sedialah berhadapan hukuman gantung sampai mati. Berang dengan tindakannya ditambah dengan dakwaan berlakunya salah laku pentadbiran, peneroka-peneroka ini mengadukan hal mereka kepada Raja Ferdinand. Akibatnya, sebuah suruhanjaya diraja tiba di Hispaniola dan membawa pulang Columbus dalam keadaan dirinya dirantai pada Ogos 1500. Walaupun baginda memecat Columbus dari jawatannya sebagai Gabenor Hispaniola, beliau bernasib baik kerana Raja Ferdinand membebaskannya dan sedia membiayai ekspedisi keempat yang dirancangnya.

  1. GERHANA BULAN

Empat tahun selepas insiden beliau ditahan dan dirantai, Columbus kembali semula berlayar dan pada Februari 1504, kapalnya terkandas di Jamaica. Tambah memburukkan keadaan, separuh daripada anak kapal meninggalkannya dan penduduk tempatan enggan memberi makanan kepada mereka. Tetapi hasil daripada pengetahuannya dalam bidang astronomi, Columbus tahu gerhana bulan akan berlaku pada 29 Februari 1504. Atas sebab itu, Columbus mengancam sekiranya mereka berterusan dengan pendirian mereka ini, Tuhan beliau akan murka berkenaan tindakan mereka ini dan bulan akan muncul dalam keadaan marah sebagai tanda kemurkaan-Nya. Dan seperti dijangka, gerhana bulan berlaku yang menggelapkan bulan dan menukarnya jadi merah. Bimbang akan keselamatan mereka, penduduk tempatan yang ketakutan segera memberi bekalan makanan kepada beliau dan krewnya serta merayu belas kasihan Tuhannya kepada mereka.

  1. BERLAYAR PADA MASA HIDUP DAN MATI

 Dua tahun selepas ekspedisi terakhirnya, Columbus mati dan dikebumikan di Valladolid, Sepanyol pada 1506 sebelum dipindahkan ke Seville. Atas permintaan menantu perempuannya, mayat Columbus dan anaknya, Diego dibawa menyeberangi Lautan Atlantik menuju ke Hispaniola dan dikebumikan di Gereja Santo Domingo. Selepas Perancis menawan Hispaniola pada 1795, pihak Sepanyol yang berundur segera membawa lari mayat Columbus dan mengebumikannya di Cuba sebelum dibawa pulang ke Seville selepas Perang Sepanyol-Amerika Syarikat pada 1898. Namun ada satu kejutan menanti di Santo Domingo iaitu sebuah keranda mengandungi mayat dan nama pelayar tersebut ditemui pada tahun 1877. Jadi, mana satu sebenarnya mayat Columbus? Ujian DNA yang dijalankan pada 2006 mengesahkan mayat yang dikebumikan di Seville memang milik Columbus. Namun bila para saintis mahu menguji DNA mayat yang dikebumikan di Hispaniola atau Republik Dominica, permintaan tersebut ditolak. Ramai berpandangan sebahagian jasad Columbus berada di Dunia Lama dan Dunia Baru.

  1. PERTELAGAHAN DUIT

Selepas kematian Columbus, waris-waris beliau melancarkan tindakan perundangan ke atas monarki Sepanyol dengan mendakwa monarki tidak memberi mereka wang dan keuntungan sepatutnya yang diraih hasil daripada ekspedisinya. Kebanyakan tuntutan ini dapat diselesaikan menjelang tahun 1536. Tetapi ada tuntutan mengambil masa beratus tahun untuk diselesaikan dan melibatkan beberapa generasi di mana ianya akhirnya berakhir pada ulangtahun ke-300 pelayaran Columbus ke Dunia Baru iaitu pada tahun 1790.

  1. ‘NAMAKU BANYAK’

Walaupun dikenali sebagai seorang pelayar dan pengembara, masih banyak misteri menyelubungi kehidupannya. Kebanyakan sejarawan bersetuju Columbus dilahirkan di Genoa, Itali tetapi ada juga berpandangan beliau berasal dari Sepanyol, Poland atau Greece. Namanya dalam Bahasa Itali ialah Cristoforo Colombo yang diketahui sebagai nama sebenarnya dan dalam Bahasa Sepanyol sebagai Cristobal Colon. Tetapi Columbus dan beberapa pihak merujuk dirinya sebagai Christoual, Christovam, Christoferrus de Colombo dan Xpoual de Colon. Sesetengah berspekulasi nama beliau ini diambil dari nama seorang lanun bernama Colombo.

SUMBER

  1. Klein, Christopher. (2012). History. 10 Things You May Not Know About Christopher Columbus. http://www.history.com/news/10-things-you-may-not-know-about-christopher-columbus
  2. Blakemore, Erin. (2017). History. Christopher Columbus Never Set Out to Prove the Earth was Round. http://www.history.com/news/christopher-columbus-never-set-out-to-prove-the-earth-was-round
  3. Eldridge, Alison. Britannica. 5 Unbelievable Facts About Christopher Columbus. https://www.britannica.com/list/5-unbelievable-facts-about-christopher-columbus

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.