Tahun 1912, Tanah Besar China. 5 hari sebelum Tahun Baru Cina, Dinasti Qing mengumumkan pembubaran kerajaannya demi memberi laluan kepada penubuhan Republik China.

Bagi menandakan kemerdekaan ini, tahun tersebut ditandakan oleh Dr Sun Yat-Sen, (pencetus revolusi anti-Qing) sebagai tahun pertama Republik (中华民国元年). Pada masa yang sama, beliau dan pejuang sehaluannya bersepakat menggunakan Kalendar Gregorian (takwim Suria) sebagai takwim rasmi China, sekaligus menggantikan Kalendar Cina (takwim Suria-Qamariah) yang telah sekian diamalkan.

Ini bermakna, Tahun Baru pada tahun depan (1913) tidak lagi jatuh pada anak bulan haribulan pertama dalam Kalendar Cina, tetapi 1 haribulan Januari.

Dalam China sahaja, perubahan ini dirasai terlalu mendadak dan mengelirukan jelata. Majoriti rakyat China adalah petani, dan Kalendar Cina menjadi rujukan mereka dalam menentukan waktu bercucuk tanam dan musim menuai, sepertimana Kalendar Piama yang diamalkan di Kedah. Bahkan, upacara-upacara keagamaan traditional Cina turut bergantung kepada perubahan musim yang ditandai dalam Kalendar Cina.

Sungguhpun demikian, terdapat juga sebahagian orang Cina baik dalam China dan di negara lain yang telah bersedia menerima sistem kalendar baru. Malah, segelintir daripadanya berpendapat mereka yang masih berpegang kepada Kalendar Cina adalah golongan kolot. Maka, tidak menghairankan pada zaman 20 hingga 30-an, Kalendar Cina dipandang sebagai ‘Kalendar Lama’ (旧历) dan ‘Kalendar yang Dimansuhkan’ (废历).

Poster Kalendar Gregorian – Cina yang diedarkan oleh kerajaan Republik China selepas Dinasti Qing digulingkan.

Kekhilafan kalendar ini turut mempengaruhi corak hidup masyarakat Cina dan Peranakan Cina di Tanah Melayu, sehinggakan sesetengah sekolah-sekolah Cina dan kedai-kedai Cina masih lagi beroperasi pada hari Tahun Baru Cina, walaupun penjajah British telah memperuntukkan 2 hari cuti Tahun Baru Cina bagi para kakitangan kerajaan yang berbangsa Cina.

Keratan akhbar daripada Kabar Ucapan Baru, sebuah berita Peranakan Cina.

Jadi, mengapakah masyarakat Cina masakini telahpun menerima kedua-dua jenis Tahun Baru?

Sebenarnya Dr Sun Yat-Sen bertekad untuk melaksanakan Kalendar Gregorian agar China dapat maju seiringan dengan kuasa besar lain seperti Barat dan Jepun (Jepun telah menerima pakai Kalendar Gregorian sejak 1873). Pada harapan Dr Sun, 1 Januari seharusnya disambut sebagai Tahun Baru China di samping Hari Memperingati Penubuhan Republik China (中华民国开国纪念日), manakala Revolusi Xinhai pada 10 Oktober yang menandakan kejayaan pertama menjatuhkan Dinasti Qing akan dikenang sebagai Hari Kebangsaan.

Namun demikian, setelah Yuan Shikai memangku jawatan Presiden, beliau pada Jun 1913 mengisytiharkan penukaran nama Tahun Baru Cina kepada Perayaan Musim Bunga (Chun Jie 春节) dengan harinya ditentukan mengikut Kalendar Cina, manakala nama Tahun Baru (Yuan Dan 元旦) dikekalkan dalam 1 Januari mengikut Kalendar Gregorian.

Yuan bertindak sedemikian agar perayaan tradisional Cina dapat terus disambut kala Kalendar Gregorian, walaupun sebahagian para sejarawan berpendapat pelaksanaan ini berkaitan dengan hasrat rahsia beliau untuk menghidupkan semula institusi diraja.

Surat daripada Encik C.H. Yin dari Kelantan kepada The Straits Times. Beliau menyatakan sokongannya untuk memansuhkan perayaan Tahun Baru Cina dan digantikan dengan Tahun Baru Kalendar Gregorian.
10 Okt 1931, hlm 18,
http://eresources.nlb.gov.sg/…/straitstimes19311010-1.2… .

Pemangku Dr Sun yakni Chiang Kai-Shek pula nekad menghapuskan sebarang sisa-sisa amalan Kalendar Cina daripada rakyatnya dengan mengharamkan sambutan Tahun Baru Cina. Sepanjang zaman 30-an, barang siapa yang bercuti, hatta mengucapkan walau satu lafaz perayaan tersebut akan dikenakan hukuman. Dipendekkan cerita, perintah ini gagal dikuatkuasakan di seluruh negara kerana bantahan daripada rakyat sendiri. Tidak dinafikan, adalah sukar untuk sebuah perayaan dengan tradisi ribuan tahun dihapuskan semudah itu.

Setelah Parti Komunis China memenangi Pe.rang Saudara (yang kemudian menubuhkan Republik Rakyat China), Kalendar Gregorian diteruskan sebagai takwim rasmi kerajaan dalam persidangan pertamanya pada 27 September 1949, dengan ‘Perayaan Musim Bunga’ disenaraikan sebagai cuti umum utama. Sebab itulah di China, Taiwan, Hong Kong dan Macao, Tahun Baru Cina secara rasminya dinamakan Perayaan Musim Bunga.

Laporan daripada Nanyang Siang Pau mengenai sekolah Cina yang memilih untuk bercuti sempena Tahun Baru Cina.
13 Feb 1937, hlm 10,
http://eresources.nlb.gov.sg/…/Article/nysp19370213-1.2.76 .

Hanya di luar China seperti Malaysia dan Singapura, ia dikenali sebagai Nongli Xinnian 农历新年 (Tahun Baru Takwim Pertanian). Di Indonesia pula, ia dikenali sebagai Tahun Baru Imlek (Imlek 阴历 daripada Bahasa Hokkien yang bererti Kalendar Qamariah). Demikianlah sejarah perubahan aliran permikiran di China yang turut mempengaruhi pengamalan takwim.

Selamat Tahun Baru 2022 kepada semua pembaca sekalian. Marilah bersama-sama kita meningkatkan tekad memperbaiki apa jua kelemahan kita demi tahun yang lebih maju. Bersama-samalah juga kita mendoakan dan membantu mereka yang sedang menghadapi cabaran baik dengan wabak Covid-19 mahupun bencana banjir.

RUJUKAN:

• 袁世凯批准正月初一过”春节” 孙中山不同意 (Yuan Shikai bersetuju 1 haribulan pertama Kalendar Cina sebagai Perayaan Musim Bunga, Sun Yat-Sen membantah), CCTV, 17 Feb 2008, http://news.cctv.com/science/20080217/100288.shtml .
.
[Rujukan daripada Perpustakaan Negara Singapura (kredit: National Library Board, Singapore)]
• Jeman Hari China, Kabar Ucapan Baru, 15 Mac 1929, hlm 16,
• C.H. Yin (5th Okt), ‘Chinese Holidays’, The Straits Times, 10 Okt 1931, hlm 18,
• 舊曆新年坤甸華校皆放假 (Sekolah Cina bercuti kala Tahun Baru Kalendar Lama)《南洋商报 • Nanyang Siang Pau》, 13 Feb 1937, hlm 10,

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Semenjak kembali kepada ad-Dīn dan melanjutkan pengajian di Universiti Perguruan Beijing (北京师范大学), kajian Islām di China menjadi penyemarak minatnya terhadap sejarah. Walaupun salasilahnya bersambung daripada Guǎngdōng, China, dirinya lebih giat menyambung titik-titik perpaduan di Nūsantara.

Leave A Reply