Kalau kau rasa cerita filem Madagascar tu hanya berlaku dalam dunia animasi, kau silap. Di Tennessee, Amerika Syarikat, seekor zebra bernama Ed telah jadi bintang utama berita tempatan selepas melarikan diri dari ladang dan mencetuskan operasi menyelamat yang epik.
Lari selamba macam Alex si singa, ghaib dalam semak, akhirnya terpaksa diangkat naik helikopter macam wira yang dikejar peminat. Dalam filem ada lagu rancak “I like to move it move it”, tapi Ed lari sambil buat satu negeri kecoh tak tentu arah.
Zebra ini dipercayai peliharaan dari ladang eksotik swasta. Ya, di beberapa negeri di Amerika, zebra dibenarkan dipelihara secara sah. Tapi bila pintu kandang terbuka, naluri liar Ed kembali hidup. Dia lari jauh dari kawasan ladang, masuk kawasan awam, dan kelibat belang hitam putih dia jadi pemandangan pelik tengah bandar.
Polis, bomba, doktor haiwan, dan warga net semua bergabung nak selamatkan Ed. Akhirnya, dia berjaya dikepung dan diangkut dengan selamat menggunakan helikopter khas. Gambar dari udara nampak macam babak klimaks dalam filem animasi. Bezanya, ini kisah sebenar.
Ramai yang gelak, tapi kisah Ed ni sebenarnya dedahkan satu fakta menarik: zebra memang haiwan liar yang sangat peka dengan kebebasan. Walaupun nampak comel dan jinak dari jauh, zebra bukan kuda belang versi comel. Sifat dia jauh berbeza.
Zebra sangat susah dijinakkan, sebab dalam genetik mereka, kebebasan dan waspada terhadap manusia adalah naluri semula jadi. Sebab tu tak ada orang tunggang zebra dalam sejarah, walaupun manusia dah beribu tahun jinakkan kuda.
Zebra boleh tendang kuat, suka lari tiba-tiba, dan ada sistem komunikasi bunyi antara sesama mereka.
Zebra juga hidup dalam kumpulan. Dalam hutan savana Afrika, belang mereka bukan sekadar hiasan tetapi ia berfungsi sebagai kamuflaj dari pemangsa.
Apabila banyak zebra berdiri rapat, belang tu jadi corak mengelirukan yang buat singa susah nak fokus pada satu-satu mangsa. Saintis percaya corak belang juga bantu kawal suhu badan, halau serangga, dan kenal sesama ahli kumpulan.
Berbalik pada kisah Ed, yang menarik bukan sekadar dia lari. Tapi reaksi manusia. Ramai rasa pelik, ada yang rekod video, ramai juga berseloroh pasal “Alex dah hilang”, “Skipper suruh buat diversion”, dan paling popular: “Awim mawek”. Rupanya, watak Marty si zebra dari Madagascar ni memang hidup betul dalam bentuk Ed si zebra Tennessee.
Kita nampak benda ni lucu. Tetapi bagi Ed, dia tak tahu pun perkara ini lucu. Pasti dia sedang mencari kebebasan atau keliru apabila keluar dari kandang.
Dan kalau korang nak tahu, belang dia unik macam cap jari, tak ada dua zebra yang sama. Dia kuat, laju, dan setia dengan naluri bebas. Walaupun manusia cuba pelihara, dia tetap kembali kepada sifat asal. Sama macam fitrah kalau jiwa itu dicipta untuk bebas, jangan hairan bila ia mula lari bila dikurung terlalu lama.
Harap Ed dapat hidup tenang balik. Dan harap kita pun belajar sesuatu dari belang dia. Dalam hidup yang makin sempit dengan jadual, peraturan, dan tekanan harian, masih ada jiwa yang cuma nak lepas sekejap… rasa bebas dan hirup udara “yang penuh rasa bebas”.




No comments yet