Sebut tentang tokoh perjuangan Islam, antara nama yang tidak asing bagi kita semestinya ialah Hamzah bin Abdul Mutalib, Abu Bakar As-Siddiq, Umar bin al-Khattab, Khalid bin Al-Walid serta ramai lagi sahabat-sahabat Rasulullah yang sanggup bergadai nyawa untuk mengembangkan Islam ke seluruh pelosok dunia. Kisah-kisah dan hikayat hidup mereka sudah tidak asing lagi didengari bahkan sentiasa meniti di bibir-bibir para ustaz/ustazah dalam penyampaian ceramah mereka.

Namun tahukah kita, bahawa sebenarnya terdapat ramai lagi tokoh pejuang Islam yang pernah menggemparkan dunia dengan kehandalan dan kecekapannya memimpin barisan tentera memerangi musuh. Nama mereka tercatat dalam sejarah sebagai pahlawan Islam yang tidak mudah menyerah kalah, gigih mempertahankan negara dan kesucian Islam dengan mengorbankan nyawa sendiri sehingga perkembangan pahlawan-pahlawan itu turut mendorong kepada pembentukan barisan musuh yang bertujuan untuk menyekat perkembangan agama Islam.

Dalam artikel ini, saya akan menulis tentang seorang pahlawan terhandal yang pernah wujud di Moroko yang digelar sebagai pembela maruah Islam di Afrika Utara dan Sepanyol bernama Yusuf Ibn Tashfin. Beliau merupakan pengasas bagi Dinasti Murabitun dan berasal dari bangsa Barbar yang mendiami sebahagian besar Afrika Utara. Pada mulanya, Al-murabitun adalah sebuah gerakan tarekat yang diasaskan oleh Abdullah bin Yasin, Yahya bin Umar dan Abu Bakar bin Umar. Yahya dan Abu Bakar adalah sepupu bagi Yusuf. Gerakan tersebut kemudiannya bertukar menjadi sebuah gerakan politik yang membawa kepada terdirinya Dinasti Murabitun di Afrika Utara.

Sebagai pemerintah pertama Dinasti Murabitun, Yusuf telah menawan beberapa kawasan di Afrika Utara dan menyatukan kawasan-kawasan tersebut di bawah kekuasaannya. Beliau kemudian menghantar utusan kepada Khalifah Abu Abbas daripada Bani Abbasiyyah yang berkuasa di Baghdad ketika itu untuk meminta restu dan menjadi wakil kepada Khalifah Abbasiyyah bagi memerintah di Afrika Utara.

Kekuasaannya diperkukuhkan dengan menakluk Fez pada tahun 1075. Kemudian menawan Tangier pada 1079. Gerakan ketenteraannya diteruskan lagi dengan penaklukan ke atas Tlemcen pada tahun 1080 dan seterusnya Ceuta pada 1083. Malah Yusuf dan tenteranya juga berjaya menawan Tenes dan Oran sekitar tahun 1082-83.

Tahun 1091, pemerintah terakhir kerajaan Islam di Andalusia, Al-Mu’tamid menghantar utusan kepada Yusuf dengan mengatakan bahawa Kota Seville di bawah pemerintahannya sedang diintai ancaman oleh pemerintah Kristian Castile dan Leon, iaitu Alfonso VI. Raja Alfonso VI muncul sebagai salah seorang raja Kristian yang berkuasa di Andalusia setelah wilayah Islam Andalusia menjadi lemah akibat keruntuhan empayar Bani Umaiyah. Setelah membebaskan Toledo daripada kekuasaan Islam, Raja Alfonso VI mula mengidamkan Seville. Yusuf akhirnya memimpin angkatan perang dan bergabung dengan tentera pimpinan Al-Mu’tamid pada 23 Oktober 1086 di suatu tempat bernama Zallaqa. Peperangan hebat itu telah menundukkan Raja Alfonso VI.

Tidak lama selepas itu, Yusuf mendapat tahu bahawa pemerintah-pemerintah wilayah kecil Andalusia mengamalkan gaya hidup yang mewah dan gemar berfoya-foya. Malah mengenakan cukai yang tinggi kepada rakyat serta rasuah yang berleluasa. Keadaan ini membuatkan Yusuf begitu marah. Pada tahun 1090, Yusuf kembali ke Ibera dan memecat pemerintah-pemerintah yang hidup berfoya-foya dan menyatukan wilayah Islam ke dalam satu negeri.

Semasa Yusuf menyingkirkan pemerintah-pemerintah tersebut, beliau berjanji bahawa hidup akan menjadi lebih baik dan mengenakan cukai secara adil dan berasaskan kepada tunjang Islam. Malangnya, warisnya kemudiannya berjuang di dua bahagian yang berbeza. Menentang Pemerintah Kristian di Sepanyol dan Almoahds di Afrika. Demi membayar upah tentera-tentera mereka, mereka berpaling daripada perintah Yusuf dan kembali mengamalkan cukai yang tinggi dan tidak berasaskan kepada Islam. Malah mereka gagal menambat hati penduduk tempatan dengan memerintah secara ala kadar sebagai pemilikan koloni.

Walaupun Yusuf seorang yang alim, namun warisnya kekurangan kemahiran dan pengetahuan membuatkan dinasti Murabitun yang ditubuhkan akhirnya runtuh. Yusuf mempunyai kompitansi sebagai pejuang terunggul dan memiliki angkatan perang terhandal dengan kejayaan peperangan yang membanggakan. Dalam kisah ini, pengajaran yang boleh dipelajari adalah apabila pemerintah gagal menunaikan janji, maka rakyat akan mempersoalkan mengenai kepimpinan dan membina keruntuhan. Ironinya, inilah perdebatan yang Yusuf telah gunakan untuk menggulingkan pemerintahan datuk moyangnya yang terdahulu. Namun begitu, Yusuf tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya atas kesilapan yang telah dilakukan oleh warisnya. Punca kejatuhan sebenarnya adalah disebabkan kerana kelemahan dalam polisi pentadbiran berbanding kegagalan menarik sokongan popular.

Yusuf merentasi Andalusia dengan ketumbukan 15,000 tentera, bersenjata pisau belati, pedang India dan perisai, serta paluan gendang yang membangkitkan psikologi pertempuran. Pasukan berkuda Yusuf dikatakan telah disertai 6000 pasukan dari Senegal yang menunggang kuda Arab putih. Unta juga digunakan sebagai pembawa barang-barang keperluan tentera Yusuf. Pada 23 Oktober 1086, di medan pertempuran Sagrajas, pasukan Murabitin diiringi 10,000 pejuang Andalusia bertempur dengan angkatan perang Kristian dan dianggap sebagai pertempuran terbesar pernah berlaku pada zaman itu. Apabila Yusuf pulang, pemerintah Almu’tamid menyangka bahawa dia telah mendapat kebaikan daripada Yusuf. Namun pada tahun 1090, Yusuf kembali semula ke Andalusia dan memecat pemerintah-pemerintah yang tidak mengamalkan gaya hidup Islam dan mengenakan cukai yang tinggi kepada rakyat. Malah turut membayar wang penghormatan kepada Kristian dan memberikan kebebasan dan kekuasaan kepada kaum Yahudi Andalusia di mana kejadian ini belum pernah berlaku sebelum itu.

Dengan itu juga, Yusuf telah berjaya menyatukan wilayah-wilayah Islam yang lain menjadi satu negeri dalam bahagian pentadbirannya.

Bagi menghadapi ancaman tentera Kristian, Yusuf menempatkan 20,000 orang tentera di Andalusia yang dipecahkan kepada beberapa kawasan seperti di Seville seramai 7000 orang, Granada 1000 orang, Cordova 1000 orang, di bahagian sempadan Castille 5000 orang dan di bahagian barat Andalusia 4000 orang. Di samping itu, Yusuf juga menubuhkan pangkalan tentera laut di Cadiz, Almeria dan beberapa buah pelabuhan di sepanjang laut Mediterranean.

Yusuf telah merentasi Sepanyol sebanyak empat kali dalam hidupnya. Pada tahun 1086, ekspedisinya yang pertama telah membawa kepada kejayaan memenangi peperangan menentang tentera Alfonso VI di Zallaqa. Dua tahun kemudian, pada tahun 1088, Yusuf telah dikalahkan tentera kebangkitan Kristian dan membuat keputusan bahawa satu-satunya cara untuk menguatkan tentera dan umat Islam di Sepanyol adalah dengan menyatukan wilayah-wilayah kecilnya secara paksa. Dicatatkan lagi, pada tahun 1090, Yusuf kembali lagi dengan tujuan melancarkan kempen dan memecat pemerintah-pemerintah Muslim yang gagal melaksanakan tugasan dan tanggungjawab terhadap rakyat. Ekspedisi keempatnya pada tahun 1097, berakhir dengan Dinasti Murabitun menguasai separuh daripada Semenanjung Iberia.

Yusuf jatuh sakit pada 25 September 1105 – 12 September 1106. Beliau terlalu tenat sehingga menghadirkan kerisauan kepada semua rakyat. Berita ini sampai ke pengetahuan Alfonso dan beranggapan Murabitun tidak akan mempunyai daya upaya untuk menentang mereka. Dengan tentera berjumlah 300,000 orang, dia bergerak ke Wilayah Seville. Melihat hal yang berlaku, Abu Bakar meninggalkan Wilayah Seville dan berjaga bersama tenteranya di kubu dan menanti tentera bantuan dari Granada. Apabila tentera Murabitun bergabung, serangan dilancarkan ke atas Alfonso dan mengorbankan banyak nyawa.

Selepas beberapa bulan menderita, Yusuf meninggal dunia pada tahun 1106 dengan dikelilingi dua orang anak lelakinya, Abu Tahir Tamim dan Abu Hasan Ali. Sepanjang hidupnya, Yusuf telah menunaikan janji dengan mengenakan cukai yang berpatutan dan mengikut syariah, namun warisnya gagal mempraktiskan amalan tersebut. Kerajaan Murabitun runtuh dan berpecah menjadi beberapa koloni. Mereka juga gagal menyatukan golongan elit tempatan ke dalam pentadbiran dan rusuhan berlaku dengan sangat dahsyat. Malah pada ketika itu juga terdapat ahli-ahli agama yang bersifat ekstrem dengan mengarahkan kitab-kitab karangan al-Ghazali dibakar di tempat awam dan mengenakan hukuman penjara mandatori kepada sesiapa yang menyimpan kitab karangan al-Ghazali.

Rumusan, Yusuf Ibn Tahfsin merupakan seorang pemerintah dan panglima perang Islam yang berwibawa di Afrika Utara dan Andalusia. Banyak wilayah-wilayah Islam di Afrika Utara disatukan di bawah pemerintahannya bahkan menumpaskan ancaman tentera musuh. Sepanjang tempoh Yusuf memerintah dari tahun 1061- 1106, Yusuf Ibn Tahfsin telah menjalankan tanggungjawabnya menyatupadukan pemimpin Islam dan menjalankan pemerintahan yang adil. Setelah membangunkan Dinasti Murabitun, akhirnya Dinasti ini tumbang pada tahun 1147, 41 tahun selepas kemangkatannya.

Rujukan:

Shafie Abdul Rahman, 2011. 25 Pahlawan Islam, Must Read Sdn Bhd

Anon. (nd.) ‘The March of Conquest of Yusuf B. Tafsin: Birth of the Lamtuna-banu Turjut Empire‘, Aisha Bewley’s Islamic Home Page [online] available from <https://bewley.virtualave.net/tashfin.html> [11 August 2017]

filsdekepi (nd.) ‘Yusuf Ibn Tashfin‘, ERepublik [online] available from <https://www.erepublik.com/en/article/yusuf-ibn-tashfin-682376/1/20> [11 August 2017]

“Yusuf ibn Tashufin.” Encyclopedia of World Biography. . Retrieved August 10, 2017 from Encyclopedia.com: http://www.encyclopedia.com/history/encyclopedias-almanacs-transcripts-and-maps/yusuf-ibn-tashufin

Anon. (nd.) ‘Yusuf Ibn Tashfin‘. New World Encyclopedia [online] <http://www.newworldencyclopedia.org/entry/Yusuf_ibn_Tashfin> [11 August 2017]


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang guru yang mengajar Bahasa Melayu, Sejarah dan Pendidikan Jasmani. Gemar melakukan aktiviti memanah di masa lapang. Minat terhadap bidang penulisan sehingga berjaya menerbitkan beberapa buah novel thriller bersama Karangkraf. Menjalankan khidmat bekam pada masa lapang. Bercita-cita untuk menjadi guru silat.

Leave A Reply