Pada 23 May 2019, berlaku kejadian percubaan bunuh oleh wanita berusia 21 tahun terhadap teman lelakinya di bangunan kediamannya yang terletak di Shinjuku Ward, Jepun. Pada 3.50 pm, wanita bernama Takaoka Yuka membawa pisau dapur dan menikam temannya sekitar umur 20 hingga 30 tahun di bahagian abdomen.

Takaoka Yuka yang berada dalam tahanan polis.

Kejadian berlaku di tingkat 5 bangunan kediaman, setelah tikaman kedua, mangsa berjaya melarikan diri ke tingkat bawah. Takaoka kemudian menelefon pihak polis bagi melaporkan kejadian tersebut. Setelah pihak polis datang, mangsa hampir nyawa-nyawa ikan dengan dua tikaman manakala Takaoka duduk di tepi mangsa.

Mangsa dibawa ke hospital bagi rawatan lanjut dan pihak polis telah menangkap Takaoka bagi siasatan lanjut. Takaoka ketika ditahan menyatakan: “Saya juga nak mati”.

Kes cubaan membunuh ini amat aneh secara keseluruhannya. Penjenayah menikam mangsa kemudian melaporkan kepada pihak polis untuk menyerah diri. Dalam siasatan awal, motif cubaan pembunuhan ini adalah ketaksuban cinta Takaoka terhadap teman lelakinya sehingga merasa ingin membunuhnya. Berikut ada nota-nota tinggalan Takaoka yang penuh dengan ayat hiragana ‘Suki’, yang bermaksud suka.

Dikatakan penjenayah menulis hiragana ‘suki’ menggunakan darah.
Di buku nota ini tertulis: “Mamo-kun, saya suka kamu sehingga saya rasa nak membunuhmu.”

Membunuh kerana sukakan pasangan? Ini kes aneh pernah saya baca. Namun apa yang menarik dalam kes ini adalah reaksi netizen terutamanya para otaku, iaitu seseorang yang mempunyai minat mendalam terhadap budaya Jepun terutamanya anime, manga, dan permainan video. Otaku menyifatkan kelakuan Takaoka ini mengambil karakter Yandere.

Yandere adalah karakter fiksyen untuk wanita di mana dia berwatakan baik, mengambil berat, innocent, serta bermacam kelakuan baik namun apabila masuk bab percintaan, dia boleh menjadi seseorang yang psikopat, kejam, dan taksub dengan pasangannya. Apabila pasangannya didekati wanita lain, bunuh adalah cara terbaik untuk menghilangkan cemburu wanita Yandere ini. Apabila hubungan mereka mencapai suatu tahap yang kritikal, pembunuhan terhadap pasangan berkemungkinan besar terjadi, seterusnya menamatkan hidupnya, konon cinta mereka adalah abadi sepenuhnya.

Pemikiran Yandere adalah bersifat narsistik kerana dasar ketaksubannya untuk memiliki pasangannya secara kekal dan tidak mahu pasangannya berhubung dengan wanita lain bagi mengetahui bahawa dia satu-satunya milik si Yandere sendiri. Wanita Yandere dikaitkan dengan kepelbagaian personality bagi memahami perubahan kelakuan yang dialaminya apabila masuk hal percintaan.

Menurut US Department of Health and Human Services, karakter Yandere adalah kesakitan mental yang boleh mencederakan sesiapa, di mana ia boleh bertindak ganas atau paling teruk melakukan jenayah terhadap orang lain. Terma Yandere ini kemudian kerap digunakan dalam dunia media Jepun seperti industri manga dan anime pada 1980 dan Yandere termasuk dalam jenis karakter pada awal 2000-an.

Kembali kepada kes Takaoka, otaku melihat ke-yandere-an Takaoka sama seperti watak Gasai Yuno dari anime Future Diary (Mirai Nikki). Gasai Yuno terkenal dengan ke-yandere-nya dalam kalangan otaku sendiri sehingga muncul sebuah meme mengaitkan dengan Takaoka yang semakin popular tular di media sosial Facebook.

Meme yang semakin popular dalam media sosial.

Yang menarik perhatian saya adalah galeri cosplay Takaoka ini. Bila dikaitkan dengan sifat Yandere Takaoka, saya dapat mengagak bahawa dia cuba menghayati personaliti Yandere sehingga ia memakan dirinya. Selaku otaku dia mesti mengetahui hal Yandere ini. Atau mungkin juga dia sememangnya seorang psikopat sejak dulu lagi, taksub dengan percintannya.

Galeri foto Takaoka sebagai cosplayer mungkin dari latar belakang inilah yang mendorongnya untuk menghayati karakter Yandere.

Bagi saya, kewujudan karakter fiksyen Yandere ini lahir dari realiti itu sendiri terutamanya dalam kisah-kisah percintaan yang bertepuk sebelah tangan dan seterusnya si wanita menamatkan riwayat pasangan dan dirinya bagi mengekalkan kesucian cinta mereka. Bukti yang jelas adalah dari kisah lagenda Jepun iaitu Kiyohime.

Kiyohime adalah anak perempuan kepada tuan tanah atau ketua kampong bernama Shoji yang tinggal di kawasan sungai Hidaka. Keluarga Kiyohime amat kaya sehingga membuka tempat penginapan untuk para sami yang mengembara ke biara untuk bertafakur.

Suatu hari, sami yang berwajah kacak bernama Anchin telah jatuh cinta dengan Kiyohime. Namun atas tanggungjawabnya sebagai sami, Anchin harus menjauhkan diri bagi bertemu cintanya lagi. Kiyohime mengamuk dan berdendam dengan Anchin yang dia anggap telah melupakan percintaan mereka. Tiba di Sungai Hidaka, Anchin meminta pemilik bot untuk menumpang dan menyeberang sungai tersebut. Kiyohime datang dan terjun ke sungai setelah melihat Anchin berada di pertengahan sungai. Kemarahan semakin mendadak sehingga Kiyohime menjelma ke bentuk ular atau naga.

Anchin yang melarikan diri tiba di biara bernama Dojo-ji dan meminta bantuan para sami. Para sami tersebut menyembunyikan Anchin ke dalam sebuah loceng besar bernama Bonsho. Namun malang menimpa Anchin, Kiyohime dalam bentuk naga dapat menghidu bau Anchin dalam Bonsho. Dia mengelilingi Bonsho itu dan mengetuk beberapa kali dengan ekornya, seterusnya membakar loceng besar itu sehingga Anchin meninggal dunia.

Lukisan penjelmaan Kiyohime oleh Yoshitoshi Tsukioka

Inilah kisah lagenda Kiyohime yang penuh tragis dalam percintaan. Di Barat juga terdapat kisah yang hampir serupa iaitu kisah mengenai tokoh mitologi bernama Brynhild ataun Brunhild. Kisah Brynhild ada dua versi iaitu versi Norse dan Jerman. Dalam versi Norse Brynhild adalah seorang malaikat pelindung atau Valkyrie kepada bapa dewa Odin manakala dalam versi Jerman, Brynhild adalah ratu Iceland.

Walaupun ada dua versi namun penceritaannya hampir sama. Brynhild tinggal di Gunung Hindarfjall yang dikeliling oleh api. Brynhild sebenarnya dihukum oleh dewa Odin kerana dia melanggar peraturan sehingga Odin murka. Suatu ketika, raja Burgundy iaitu Gunnar ingin melamar Brynhild maka dia meminta bantuan Sigurd iaitu pemburu naga bagi menunaikan hajatnya. Tiba di Gunung Hindarfjall, Gunnar tidak boleh melintasi api. Maka, Sigurd memberanikan diri melintasi api sebagai wakil Gunnar.

Namun syarat untuk mengahwini Brynhild adalah seseorang yang mampu melintasi api. Maka, Sigurd adalah orangnya namun dia telah berkahwin dan terpaksa menyamar bagi memenuhi syarat Brynhild. Mereka berdua kemudian tidur bersama dengan Sigurd memacakkan pedangnya di tengah-tengah katil sebagai sempadan menjaga kehormatan Brynhild. Keesokkan paginya, mereka bertukar cincin sebagai perikatan perkahwinan mereka. Gunnar dan Sigurd pulang dengan berita dan menempatkan Brynhild ke istana Gunnar.

Gudrun, isteri Sigurd dan adik Gunnar mandi bersama Brynhild di suatu kolam. Mereka berdua bersaing suami siapa yang paling berani. Namun apabila Brynhild menyatakan suaminya mampu menyeberang api, Gudrun menjelaskan perkara sebenarnya dan memulangkan cincin yang Brynhild berikan. Brynhild merasakan cintanya dikhianati mengamuk dan memaksa semua kerabat diraja berkumpul di istana. Sigurd menjelaskan perkara sebenarnya namun Brynhild masih tidak mempercayai kata-kata Sigurd. Malah Brynhild dengan berani mengarahkan Gunnar membunuh Sigurd. Gunnar membunuhnya dan merasa hampa. Brynhild merasa gembira yang amat atas pembunuhan tersebut dan segera mencapai pisau, seterusnya membunuh diri.

Brunnhild (1897) oleh Gaston Bussière

Byrnhild sebenarnya teramat sedih kerana cintanya hanya semata-mata Sigurd dan merasakan cintanya tidak suci lagi atas pengkhianatan Sigurd. Ini yang mendorong Brynhild membunuh diri. Kemudian mereka dikubur secara bersebelahan.

Watak mitologi Kiyohime dan Brynhild semakin popular dalam permainan video Jepun terutamanya Fate/Grand Order (FGO). Mereka berdua dimanifestasikan sebagai Servant iaitu roh yang membantu Master dalam Perang Holy Grail.

Kedua-dua Servant ini ditanam dengan karakter Yandere: Kiyohime menganggap Master sebagai Anchin dan mengekori Master supaya tidak curang kepadanya dan Brynhild yang masih sayangkan Sigurd sehingga apabila Sigurd hadir dalam bentuk Servant, Brynhild wajib membunuhnya.

Kiyohime dari game FGO.
Brynhild dari game FGO.

RUJUKAN:

Andersson, Theodore M. (1980). The Legend of Brynhild. Ithaca, NY: Cornell University. 

 “Japanese woman likes man so much, she ‘couldn’t help’ but stab him in the tummy”.  Retrieved 26 May 2019. https://mothership.sg/2019/05/japanese-woman-stab-man/

Ueda Akinari (6 August 2012). Ugetsu Monogatari or Tales of Moonlight and Rain (Routledge Revivals): A Complete English Version of the Eighteenth-Century Japanese collection of Tales of the Supernatural. Routledge. pp. 252. Retrieved 26 May 2019.

“What Does Yandere Mean?” Retrieved 26 May 2019. https://www.dictionary.com/e/fictional-characters/yandere/

“Woman Stabs Male Acquaintance at Shinjuku Residence”. Retrieved 26 May 2019. https://www.google.com/…/woman-stabs-male-acquaintance…/amp/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang ulat buku dan pejuang alam sekitar. Penulis yang rajin tulis tentang flora dan fauna serta sejarah dunia. Dan tak terkecuali peminat Fate.

Comments are closed.