Seorang pengkaji, Uchiyama menjelaskan bahawa rakyat Jepun sendiri mempunyi sikap kurang negatif terhadap kumpulan yakuza. Sekalipun, mereka tahu yakuza adalah kumpulan sindiket jenayah atau pun kongsi gelap. Bagi mereka, kumpulan ini masih diperlukan dalam kehidupan seharian mereka.
Lagi pun, sejarah kemunculan yakuza sendiri adalah seperti cerita Robin Hood yang memperbaiki kehidupan masyarakat tapi hidup sebagai penjenayah bermaruah. Walaupun teori asal-usul yakuza menunjukkan kumpulan ini bertitik tolak dari kumpulan bakuto dan tekiya, namun, mereka memandang perjuangan kumpulan zaman lampau, machi yakko sebagai penguat semangat mereka.
Seperti yang diterangkan sebelum ini, kumpulan bakuto dan tekiya telah mempengaruhi aktiviti kumpulan yakuza dari aktiviti perjudian, adat potong jari hinggalah mengutip wang perlindungan peniaga. Apa pula sejarah machi yakko yang sangat diminati kumpulan yakuza hari ini?
Machi Yakko Dah Kisah Seorang Lelaki Bernama Chobei
Suatu masa duhulu, geng-geng samurai yang jahat (tak dinafikan ada yang baik) ini sering kali melakukan serangan terhadap pekan-pekan sekitar Jepun. Maka, satu kumpulan pemuda-pemuda pekan telah ditubuhkan untuk menghalang kecelakaan ini atau digelar machi yakko.
Penduduk pekan semestinya akan bersorak untuk mereka yang merupakan orang awam dan tak ketinggalan hamba yang bangkit melawan samurai-samurai yang mahu menganggu mereka. Mereka inilah yang dipandang sebagai wira-wira rakyat dan jaguh bagi golongan lemah.
Salah satu kisah mengenai machi yakko yang paling mendapat sambutan adalah penceritaan mengenai seorang lelaki bernama Chobei. Beliau telah menjadi broker pekerja buruh yang merekrut pekerja-pekerja untuk pembinaan jalan raya di sekitar Tokyo. Pekerja-pekerja yang diambil juga akan membaiki dinding-dinding batu di sekeliling istana shogun.
Kesempatan ini telah diambil untuk mewujudkan satu peluang menjana pendapatan lebih dengan menjalankan aktiviti judi. Beliau berjaya menarik lebih ramai pekerja dan membolehkan dia mendapatkan semula gaji pekerja-pekerjanya dengan bermain judi. Cerita si Chobei ini seolah-olah ada persamaan dengan asal-usul kemunculan bakuto yang merupakan susur galur kumpulan yakuza.
Yakuza Cuba Buktikan Mereka Berguna Untuk Masyarakat
Pada zaman lampau di Jepun, memang banyak catatan sejarah yang membuktikan bahawa penjenayah yang membantu penduduk pekan atau kampung diangkat sebagai wira. Begitu juga, sejarah asal-usul yakuza yang dikatakan ada terkait dengan peranan pahlawan-pahlawan agung Jepun yang melindungi nilai-nilai tradisi negara. Oleh sebab itu, rakyat Jepun menganggap mereka ini sebagai salah satu kumpulan patriot.
Menurut seorang pengkaji, Gragert menyatakan bahawa polis dan ilmuwan cuba memecahkan tanggapan baik orang awam terhadap yakuza. Caranya adalah dengan mencabar kesahihan hubungan sejarah kumpulan dan pahlawan agung dahulu dengan yakuza masa kini. Namun, rakyat Jepun tetap bertanggapan yakuza mempunyai sejarah agung pada zaman lampau.
Pada zaman moden ini, kumpulan yakuza sendiri telah melawan banyak dakwaan polis yang mengatakan mereka sebagai kumpulan ganas. Sebagai contoh kenyataan yang dikeluarkan oleh Shinobu Tsukasa, ketua kumpulan Yamaguchi Gumi (kumpulan yakuza paling berkuasa di Jepun) bahawa kumpulan mereka adalah kumpulan bantuan kemanusiaan jika berlaku krisis atau bencana di Jepun. Sewaktu gempa bumi Hanshin pada tahun 1995, kumpulan yakuza ini adalah pasukan pertama yang membantu mangsa di Kobe dan sekitarnya.
Kumpulan yakuza ini juga pernah terlibat menghantar bantuan dan bekalan kepada mangsa tsunami Jepun pada tahun 2011. Mengikut sejarah juga, kumpulan yakuza telah banyak membantu rakyat Jepun ketika era pasca-perang Jepun.
Persepsi rakyat jelata dan kerajaan terhadap yakuza mula berubah
Sedikit demi sedikit, persepsi kurang negatif rakyat Jepun kepada yakuza akhirnya berubah. Ini semua telah bermula selepas kerajaan Jepun memperkenalkan undang-undang Anti-Boryokudan (anti-kumpulan ganas) pada tahun 1991. Itu yang menyebabkan kumpulan yakuza berkerja keras memberitahu bahawa mereka kumpulan bantuan kemanusiaan.
Tahun demi tahun, operasi dan perniagaan kumpulan yakuza terus ditekan dengan beberapa undang-undang baru seperti undang-undang anti-dadah (Anti-Drug Provision 1992), undang-undang Hukuman Organisasi Jenayah (Organized Crime Punishment Law 2000) dan undang pemindahan kutipan jenayah (Transfer of Criminal Proceeds Privention Law 2007).
Disebalik ketegasan kerajaan dalam usaha membunuh karakter kumpulan yakuza dari segenap operasinya, sejarah terdahulu membuktikan hubungan benci dan cinta kerajaan Jepun dan kumpulan ini tidak berbelah bagi. Pada tahun 1960, sewaktu Presiden Amerika Syarikat, Dwight D. Eisenhower melawat Jepun, pihak kerajaan telah meminta bantuan ketua-ketua yakuza untuk meminjamkan puluhan ribu ahlinya sebagai pengawal keselamatan.
Tak lupa juga, skandal rasuah yang melibatkan ahli parlimen dan penjenayah yakuza sepanjang tahun 1970 hingga 1980. Persoalannya, mengapa dan bagaimana hubungan kerajaan dan yakuza boleh retak begitu sahaja beberapa tahun kemudian?
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih