Salah satu perkembangan politik antarabangsa yang jadi topik hangat pada minggu lepas ialah krisis politik yang sedang melanda Israel.
Sejak 9 April 2019 yang lalu, parti-parti Israel masih tidak mampu untuk menubuhkan kerajaan berdasarkan keputusan PRU. Waktu tu Parti Likud pimpinan Benjamin “Bibi” Netanyahu dan Parti Kahol Lavan pimpinan Benjamin “Benny” Gantz masing-masing memenangi 35 kerusi. Tiada sesiapa mahu mengalah, jadi PRU diadakan sekali lagi pada 17 September minggu lepas.
Keputusannya Kahol Lavan dapat 33 kerusi, Likud pula dapat 31 kerusi. Disebabkan Parlimen Israel (Knesset) mempunyai 120 kerusi, jadi masing-masing pun tidak capai majoriti yang diperlukan (61 kerusi) untuk membentuk kerajaan.
Walaupun nama sama-sama Benjamin (nama yang popular di kalangan Yahudi, diambil dari nama Bunyamin, anak Nabi Yaakub/Jacob dan adik Nabi Yusuf/Joseph), tapi Netanyahu dan Gantz masing-masing mewakili spektrum politik yang berbeza.
Ye, Zionis pun ada banyak ragam juga. Kahol Lavan ialah parti “centrist” (tengah) atau “centre-left” yang condong ke kiri sikit. Manakala Likud ialah parti “centre-right”. Dalam konteks politik Israel, kiri ialah mereka yang lebih liberal dalam soal hubungan Israel-Palestin, manakala kanan merujuk kepada mereka yang lebih konservatif, nasionalis dan “hardline” dalam mempertahankan kepentingan negara Israel.
Malah, di bawah kepimpinan Netanyahu (2009-2019), Likud jadi semakin condong ke arah “far-right” yang diwakili oleh parti-parti “religious Zionist” (Yamina, United Torah Judaism dan Shas). Religious Zionist ialah pendukung agama Yahudi (Judaisme) ortodoks yang ultra-konservatif, mereka menganggap perjuangan Zionisme ni sebagai tuntutan agama, berbeza dengan Zionis liberal/sekular yang menganggap perjuangan Zionisme sebagai hal ehwal duniawi, tertakluk pada tuntutan masa dan keadaan.
Zionis liberal/kiri menganggap “two-state solution” (mengiktiraf Palestin sebagai negara) akan menjamin keselamatan orang Yahudi, manakala Zionis ultra/kanan pula menafikan kewujudan Palestin sebab mereka anggap seluruh Palestin (“Eretz Yisrael”) adalah hak mereka yang diberi oleh Tuhan. Malah Zionis ultra/kanan juga melihat orang Arab dalam Israel sebagai musuh dalam selimut yang lebih setia kepada Palestin.
Jadi, banyak tindakan Netanyahu yang kontroversial, dari memperluaskan penempatan haram penduduk Yahudi di Tebing Barat (kawasan yang diiktiraf oleh undang-undang antarabangsa sebagai kawasan orang Palestin), mendapatkan pengiktirafan US terhadap status Jerusalem sebagai ibu negara Israel, hingga meluluskan “Nation-State Law” pada Julai 2018 yang menakrifkan Israel sebagai negara orang Yahudi (Jewish state) adalah untuk menjayakan agenda parti-parti far-right.
Nation-State Law berpotensi menjadikan orang Arab dalam Israel sebagai second-class citizen, dan sebab itu orang Arab “all out” dalam PRU kali ini untuk menumbangkan kerajaan Netanyahu. Gabungan parti-parti Arab (Arab Joint List) mencatat keputusan yang cemerlang, menjadi gabungan/parti ke-3 besar dalam Knesset. Dan mereka bersedia untuk menyokong Gantz sebagai PM untuk meminda undang-undang tersebut dan berdamai dengan Palestin.
Tapi kalau Gantz bergabung dengan parti-parti Arab dan parti-parti Zionis kiri sekali pun, masih tak dapat capai nombor sakti 61. Ini menjadikan parti Yisrael Beiteinu pimpinan Avigdor Lieberman sebagai “kingmaker”.
Kalau ikutkan ideologi, Yisrael Beiteinu lebih dekat dengan Likud. Tapi masalahnya Lieberman ialah seorang sekular tegar yang menentang kuat parti-parti Religious Zionist. Jadi dia enggan menyertai Netanyahu kecuali Netanyahu menubuhkan kerajaan perpaduan (UG) dengan Gantz.
Demi kuasa, Netanyahu pun berundinglah dengan Gantz. Tapi Netanyahu kemukakan syarat nak kekal sebagai PM. Masih ada hati lagi nak tawar-menawar. Jadi Gantz pun menolak cadangan UG tersebut.
Kalau keadaan berterusan, maka PRU akan diadakan sekali lagi. Mengikut tren, kalau PRU diadakan sekali lagi, undi kepada Likud mungkin akan semakin kurang. Jadi, ada kemungkinan Likud dan parti-parti kanan akan menggugurkan Netanyahu untuk membentuk UG dengan Kahol Lavan. Tapi kemungkinan Netanyahu untuk kekal sebagai PM masih ada, bergantung kepada hasil tawar-menawar antara parti, dan juga campur tangan Presiden Reuven Rivlin.
Perkembangan dalaman Israel ini akan menentukan perkembangan hubungan Israel-Palestin, dan juga geopolitik rantau Timur Tengah. Sekiranya kerajaan baharu terdiri daripada Gantz dan parti-parti kiri, maka kita boleh jangkakan perkembangan positif dalam hubungan Israel-Palestin. Kali terakhir parti kiri (Labor) memerintah juga membolehkan Perjanjian Oslo ditandantangani pada 1993 dan 1995, sebelum dikacau oleh Netanyahu yang memerintah dari 1996 hingga 1999. Zaman Ehud Barak, Ariel Sharon dan Ehud Olmert (1999-2009) pun ada usaha untuk menyelesaikan masalah Israel-Palestin, sebelum dikacau oleh Netanyahu sekali lagi yang kembali menjadi PM pada 2009.
Tapi, macam Mohammad Shtayyeh (PM Palestin) kata, Gantz dan Netanyahu ni ibarat Pepsi dan Coke. Gantz mungkin akan jadi lebih terbuka kepada dialog dan rundingan, tapi dia tetap seorang Zionis yang berfikir dari sudut kepentingan negara Israel. Zionisme (gerakan untuk menubuhkan negara Yahudi di tanah Palestin) adalah punca kekacauan di Timur Tengah, Zionis liberal ke Zionis konservatif ke, sama je.
Dan berdasarkan rekod dia sebagai Ketua Turus (Chief of Staff) IDF dari 2011-2015, Gantz pun bukanlah pencinta kedamaian. Kalau Gantz membentuk kerajaan UG yang merangkumi parti kiri dan kanan, basically dasar luar Israel tak akan banyak berubah berbanding sekarang.
Yang pasti, orang Israel tengah duk pening macam mana nak keluar daripada kelumpuhan politik (political paralysis) yang sedang dialami. Dulu selalu dengar orang kata sistem demokrasi ialah ciptaan Yahudi untuk memecah-belahkan manusia. Tak betul sebenarnya. Demokrasi dicipta oleh orang Yunani dan kemudian dikembangkan oleh bangsa Anglo-Saxon (Inggeris). Cuma yang kelakarnya “demokrasi berparlimen” yang dibangga-bangga oleh bangsa Inggeris telah membawa kepada krisis Brexit, dan sekarang Yahudi pun dibuat pening olehnya.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih