Kita
sudah sedia maklum berkenaan dengan asal-usul kaum Yahudi adalah dari ‘Ten Lost
Tribe’, iaitu sepuluh suku kaum Yahudi yang berhijrah dari negara kelahiran
mereka, iaitu Israel, dimana salah satu kaum tersebut ialah suku kaum Yahudi
Ashkenazi.
Namun,
sebuah kajian yang diterbitkan pada tahun 2013, hasil tangan kumpulan penghasil
jurnal, Nature Communication, telah mendedahkan sesuatu yang tidak dijangka dan
agak berlainan dari apa yang diketahui umum, iaitu Yahudi Ashenazi rupa-rupanya
berasal dari Eropah, iaitu sekurang-kurangnya dari keturunan sebelah ibu!
Hal
ini bertentangan dengan apa yang sudah dipercayai oleh orang ramai, iaitu
orang-orang Yahudi tiba di benua Eropah tengah selepas Peperangan
Byzantine-Sasanian pada tahun 602-608, dan hanya mula menetap di Jerman ketika
zaman pertengahan.
BERKENAAN YAHUDI
ASHKENAZI
Istilah
Yahudi Ashkenazi dipakai pada hari ini bagi menerangkan tentang orang Yahudi
yang telah membina masyarakat yang berasaskan agama di Eropah tengah dan timur,
dimana ‘Ashkenaz’ merujuk kepada penduduk Jerman.
Menurut
Universiti Hebrew, Jerusalem, sebanyak lebih-kurang 80% dari seluruh kaum
Yahudi moden mempunyai salasilah Ashkenazi, iaitu 10 juta di seluruh dunia
termasuk 2.8 juta di Israel. Tokoh-tokoh terkenal seperti Albert Einstein, Gertrude
Stein, dan Carl Sagan merupakan orang Yahudi Ashkenazi.
Yiddish,
iaitu sebuah bahasa tinggi Jerman yang menggunakan sistem tulisan Hebrew yang
dipengaruhi oleh bahasa klasik Hebrew dan Aramaic, merupakan bahasa yang
digunakan oleh mereka.
Kaligrafi dari manuskrip tertua Yiddish, Mahzor Worms. Gambar diambil dari upload.wikimedia.org.
Salah
seorang daripada 17 pengarang jurnal kajian pada tahun 2013 tersebut, iaitu Profesor
Martin Richards, seorang archaeogenetisis atau pakar sejarah genetik manusia
dari University Huddersfield, England, menyatakan bahawa sememangnya kaum
Yahudi Ashkenazi telah menetap di Eropah selama beberapa abad.
Namun
hasil penyelidikan yang menggunakan sampel DNA menyingkapkan bahawa kaum Yahudi
tersebut sebenarnya penduduk tempatan Eropah yang telah memeluk agama Judaism, bukan
para individu yang meninggalkan Israel dan Timur Tengah sekitar 2,000 tahun
yang lalu.
PERIHAL DNA DARI
SEBELAH IBU
Kajian
sebelumnya mendapati bahawa 50-80% dari DNA Ashkenazi dari belah bapa berasal
dari kawasan sekitar barat daya Asia atau Near East. Berdasarkan dari maklumat
tersebut, ramai pihak menyangka bahawa kawasan Israel dan Near East merupakan
tanah kelahiran purba mereka.
Namun pada tahun 2013, penyelidikan tersebut mendedahkan 80% dari keturunan ibu kaum Yahudi Ashkenazi berasal dari Eropah, dimana hanya terdapat segelintir yang mempunyai genetik asal dari Near East.
Seperti yang dinyatakan oleh Profesor Richards, “Hal ini mencadangkan bahawa walaupun para lelaki Yahudi berhijrah dari Palestine ke Eropah sejak 2,000 tahun lepas, mereka nampaknya telah berkahwin dengan perempuan-perempuan Eropah.”
Sebuah pasangan dari Worms, Jerman, dengan lencana kuning. Lelaki itu memegang beg duit dan bawang putih, gambaran seorang Yahudi. Gambar diambil dari upload.wikimedia.org.
Yahudi
Ashkenazi, secara jelas mempunyai genetik homogenous, dimana ianya di dalam
kumpulan genetik yang sama dengan leluhur dari Poland, Rusia, Hungary, Lithuania,
atau mana-mana tempat yang pernah diduduki oleh kebanyakan orang-orang Yahudi.
Ya, mereka semua berkongsi etnik yang sama, dan salasilah keluarga mereka
kebanyakannya adalah dari perempuan Eropah.
Terdapat sebuah persoalan berkenaan bagaimana mungkin mereka hanya mempunyai sebuah kumpulan genetik? Ia kerana mereka tidak berkahwin dengan orang luar dari kawasan mereka secara besar-besaran, walau dengan kaum Yahudi yang tinggal di luar Eropah. Para penyelidik mendedahkan yang kaum Yahudi Ashkenazi telah mengamalkan isolasi sebegini selama 1,000 tahun.
Ternyata
bahawa kebanyakan dari penduduk Eropah telah menganut agama Judaism pada awal
tahun Diaspora, atau tahun keluarnya kaum Yahudi dari tanah kelahiran mereka, merupakan
orang perempuan Eropah. Hal ini telah membantu memberi penjelasan lanjut
berkenaan mengapa orang Ashkenazi boleh menjejak garis keturunan perempuan
mereka ke Barat dan Selatan Eropah.
PENYAKIT
KETURUNAN YANG BERKAITAN
Perkahwinan
secara isolasi yang diamalkan oleh para lelaki Yahudi terhadap perempuan
Eropah, telah menyebabkan 1 daripada 3 orang Yahudi Ashkenazi menjadi pembawa
kepada beberapa penyakit genetik, termasuk penyakit Gaucher. Beberapa ratus
tahun dahulu, mutasi genetik berlaku bagi segelintir orang Yahudi Ashkenazi.
Gambar
berikut merupakan bagaimana penyakit Gaucher diwariskan:-
Carrier: Pembawa. Unaffected: Bukan pembawa. Gambar diambil dari gaucherdisease.org.
Sebilangan
dari kecelaruan genetik merupakan sebuah perkara biasa bagi masyarakat Yahudi
Ashkenazi. Berikut merupakan penyakit genetik yang biasa dihidapi oleh mereka:-
1)
Penyakit Gaucher (1 daripada 10)
Seperti
yang dinyatakan diatas, penyakit Gaucher merupakan salah sebuah penyakit genetik
yang biasa berlaku bagi mereka. Penyakit ini berlaku akibat glucocerebroside,
sejenis molekul yang terdapat di dalam glukosa, terkumpul secara tidak normal di
sel dan sebahagian organ dan merosakkannya.
2)
Cystic Fibrosis (1 daripada 24)
Biasanya,
sel di dalam peparu dan sistem penghadaman menghasilkan lapisan nipis mukus yang
licin, namun bagi pengidap penyakit ini, lapisan tersebut menjadi lebih tebal
dan likat, sekaligus mampu merosakkan organ dalaman terutamanya paru-paru.
3)
Penyakit Tay-Sachs (1 daripada 27)
Mutasi
yang tidak normal pada gene HEXA menyebabkan penyakit ini, dimana sel-sel saraf
merosot secara progresif di kedua-dua saraf tunjang dan organ otak.
4)
Familial Dysautonomia (1 daripada 31)
Kebiasaannya
simptom penyakit ini telah ada apabila bayi dilahirkan. Ianya digambarkan oleh
perubahan saraf di sistem saraf autonomik, dimana ia bertanggungjawab bagi
fungsi badan secara spontan seperti degupan jantung, tekanan darah, dan
penghadaman.
5)
Spinal Muscular Atrophy (1 daripada 41)
Penyakit
ini terdapat beberapa jenis, namun kesemuanya menjejaskan kawalan pergerakan
otot kerana kekurangan sel saraf yang khusus, iaitu motor neuron di kedua-dua
saraf tunjang dan stem otak.
RUMUSAN
Seorang jejaka Yahudi Ortodoks dengan rambut gaya tradisi payot. Gambar diambil dari shutterstock.com.
Perkahwinan
campur antara orang Yahudi lelaki dan penduduk perempuan Eropah yang menukar
agama mereka ke Judaism telah melahirkan kaum Yahudi Ashkenazi. Namun,
disebabkan perkahwinan isolasi yang diamalkan mereka, maka sebahagian dari
mereka merupakan pembawa ataupun pengidap penyakit genetik.
Richards
merumuskan bahawa “Asal-usul Ashkenazim merupakan salah sebuah dari beberapa persoalan
besar yang masih dicari sehingga kini, dan masih belum jumpa lagi penyelesaiannya
secara muktamad.”
Dengan
kata lain walaupun kita dapati bahawa keturunan Yahudi Ashkenazim dipengaruhi
oleh keturunan sebelah ibu, masih banyak misteri yang masih belum dijumpai
berkenaan dengannya, menunggu untuk dirungkaikan oleh para arkeologi dan archaeogenetisis.
RUJUKAN
1) Gillan, J. (2018, April 19). Where are Ashkenazi Jews from? Their Origins May Surprise You. Diambil pada 26 Ogos 2019 dari https://www.ancient-origins.net/human-origins-science/ashkenazi-jews-their-origins-may-surprise-you-009924?fbclid=IwAR39xWi5gWVOCV6XW_1giRFc2Zx4Njuk3uI0sXpd71buzO4Q_sPmz9fxGKI
2) Ghose,T. (2013, Oktober 08). Surprise: Ashkenazi Jews Are Genetically European. Diambil pada 26 Ogos 2019 dari https://www.livescience.com/40247-ashkenazi-jews-have-european-genes.html
3) Costa et al. (2013, Oktober 8). A substantial prehistoric European ancestry amongst Ashkenazi maternal lineages. Nature Communications. Diambil pada 26 Ogos 2019 dari https://www.nature.com/articles/ncomms3543
4) Xue, J., Lencz, T., Darvasi, A., Pe’er, I., Carmi, S. (2017, April 4). The time and place of European admixture in Ashkenazi Jewish history. Diambil pada 26 Ogos 2019 dari https://journals.plos.org/plosgenetics/article?id=10.1371/journal.pgen.1006644
5) Kaplan, K. (2014, September 9). DNA ties Ashkenazi Jews to group of just 330 people from Middle Ages. Diambil pada 26 Ogos 2019dari https://www.latimes.com/science/sciencenow/la-sci-sn-ashkenazi-jews-dna-diseases-20140909-story.html
6) The 5 Most Common Ashkenazi Genetic Diseases. 2017, (June 14). Diambil pada 26 Ogos 2019 dari https://www.gaucherdisease.org/blog/5-common-ashkenazi-genetic-diseases/




No comments yet