Dalam tamadun Mesir Purba juga tidak akan lari dari kisah-kisah lagenda tentang firaun sama ada benar atau mitos, demi menaikkan nama firaun tertentu atau sembunyikan wajah firaun sebenar.
Antara firaun yang terkenal dengan kisah lagendanya ialah Ratu Nitocris, iaitu firaun wanita pertama dan terakhir dalam Dinasti Keenam (2345 SM – 2181 SM). Sumber pertama yang mengisahkan tentang ratu ini ditemui dalam Senarai Raja Turin yang dicatat pada Dinasti Ke-19 (1292 SM–1189 SM).
Nama Nitocris direkodkan sebagai antara firaun yang memerintah pada Dinasti Keenam dengan nama ‘Nitiqreti’.
Dari senarai ini ada tokoh mempercayai kewujudan ratu ini, seperti paderi Mesir bernama Manetho yang hidup pada 300 SM dan Herodotus, sejarawan Yunani kuno yang terkenal.
Menurut Manetho, Ratu Nitocris adalah firaun wanita yang sangat berani, sangat jelita dengan wajah halus dan merah pipinya. Dikatakan juga ratu ini pernah membina piramid sendiri.
Herotodus juga pernah mencatatkan tentang Ratu Nitocris dalam bukunya berjudul Histories. Beliau juga ada merekodkan bagaimana ratu ini menjadi seorang firaun.
Dalam catatan Histories, Nitocris dilantik menjadi firaun baru bagi menggantikan abangnya yang telah dibunuh oleh para ahli konspirasi. Nitocris kemudian melaksanakan misi balas dendam dengan menyediakan bilik bawah tanah.
Bilik bawah tanah itu bersambung dengan parit dari sungai yang mampu mengisi seluruh bilik itu. Nitocris mengadakan pesta dan mengajak para ahli kospirasi. Sedang mereka asyik berpesta, baginda lemaskan mereka semua dengan mengisikan bilik dengan air sungai.
Dari kisah Herodotus ini, memang membuatkan kita yakin bahawa Ratu Nitocris ini pernah wujud. Tapi, tidak ada satupun catatan atau manuskrip lain yang menyokong kewujudan ratu ini. Adakah Herodotus ini sekadar buat cerita je?
Sebenarnya mengikut kajian para ahli kaji Mesir Purba (Egyptology), Ratu Nitocris merujuk kepada firaun bernama Netjerkare Siptah yang memerintah sebagai firaun lelaki terakhir dalam Dinasti Keenam. Baginda memerintah hanya tiga tahun saja kemudian dinasti ini digulingkan oleh kebangkitan para pegawai gabenor Mesir bernama nomarch.
Setakat ini jelah kisah lagenda Ratu Nitocris. Mungkin Herodotus dan Manetho tersilap menafsirkan Senarai Raja Turin sehingga wujudnya ratu mitos bernama Nitocris!




No comments yet