Wōkòu adalah kombinasi perkataan wō dalam bahasa Cina yang bermaksud kecil atau perkecil dan kòu yang bermaksud penyamun. Dalam bahasa Jepun, ia disebut sebagai Wakō sementara waegu pula bagi bahasa Korea. Wōkòu merujuk kepada lanun-lanun Jepun yang menyerang pesisiran Jepun, Cina, dan Korea. Kegiatan perlanunan mereka berlangsung dari abad ke-13 hingga abad ke-16 Masihi.
Replika Gwanggaeto Stele
Kali pertama istilah Wōkòu digunakan adalah pada abad ke-4 Masihi seperti yang terdapat di Gwanggaeto Stele, iaitu sebuah monumen yang terletak di kawasan yang kini diketahui sebagai Ji’an, Jilin, Cina. Ia digunakan untuk meraikan kegemilangan Gwanggaeto yang Agung dari Goguryeo (391-413). Monumen tersebut mencatatkan tentang kekalahan lanun-lanun Wōkòu di tangan Gwanggaeto pada tahun 404. Istilah ini kemudian digunakan semula pada abad ke-13 untuk merujuk kepada aktiviti perlanunan yang bergiat di Asia Timur.
Sebahagian sejarawan membahagikan perlanunan Wōkòu kepada dua era iaitu Wōkòu awal dan Wōkòu kemudian. Faktor utama pembezaan era ini adalah kerana pada era Wōkòu awal, lanun-lanun tersebut kebanyakannya berasal dari Jepun sementara pada abad ke-16 pula, kegiatan perlanunan di Asia Timur sudah tidak terhad hanya kepada orang-orang Jepun.
Potret Jeong Mong-Ju & Lokasi Pulau Tsushima, Pulau Iki dan Kepulauan Goto
Menjelang abad ke-14, aktiviti perlanunan menjadi masalah yang serius di perairan Korea. Antara pangkalan utama bagi para lanun ketika itu ialah Pulau Tsushima, Pulau Iki dan Kepulauan Goto. Jeong Mong-ju pernah dihantar ke Jepun untuk menangani masalah ini. History of Goryeo juga merekodkan tentang pertempuran-pertempuran laut yang berlaku pada tahun 1380. Sekitar 100 buah kapal perang dihantar ke Jinpo untuk menundukkan lanun-lanun Jepun di sana. Usaha ini berjaya membebaskan 334 orang tawanan. Pada tahun 1419 pula, Panglima Yi Jongmu mengetuai armada yang terdiri daripada 227 buah kapal dan 17 285 orang tentera menuju Pulau Tsushima. Ekspedisi-ekspedisi yang dilancarkan oleh Korea ini berjaya mengawal aktiviti perlanunan pada masa itu.
Pertempuran naval antara lanun Jepun dengan Cina & Lanun Wōkòu menyerang sebuah kampung
Kemudian, menjelang awal abad ke-16, lanun-lanun yang bergiat tidak lagi hanya terhad kepada orang Jepun. Menurut Ming Shih atau catatan Sejarah Ming, 30% Wōkòu pada abad ke-16 berasal dari Jepun sambil selebihnya beretnik Cina. Terdapat beberapa faktor yang membawa kepada perkembangan kegiatan perlanunan. Antaranya ialah korupsi para pegawai Ming, polisi Ming yang mengharamkan perdagangan dengan orang luar serta kelemahan keshogunan Jepun yang gagal mengawal pelabuhan-pelabuhan Jepun. Kebanyakan lanun ini merupakan pedagang. Disebabkan polisi tutup pintu tersebut, mereka terpaksa menubuhkan pangkalan di pelbagai tempat. Selain menjalankan aktiviti perdagangan haram, mereka juga menyerang kawasan-kawasan pesisiran daripada pangkalan tersebut. Separuh pertama abad ke-16 merupakan masa perdana bagi kegiatan mereka.
Potret Qi Jiguang & Salah sebuah gerbang Kubu Chongwu di pesisiran Fujian
Antara tokoh Cina yang bertanggungjawab menghapuskan kegiatan Wōkòu ialah Qi Jiguang. Beliau ditugaskan untuk menangani permasalahan tersebut sejak 1550-an lagi, ketika usianya masih sekitar 25an. Pada tahun 1563, Qi Jiguang memimpin tenteranya untuk menakluk semula kota Xinghua dan menghancurkan kubu terakhir Wōkòu di Fujian. Menerusi kempen yang dijalankan di antara tahun 1564 dan 1566 ini, lanun-lanun berjaya diusir dan pangkalan-pangkalan mereka kembali dikuasai oleh kerajaan. Menjelang tahun 1567, aktiviti perlanunan tidak lagi menjadi ancaman yang serius di pesisiran China. Pada tahun itu juga, polisi pengharaman perdagangan dengan orang luar dihapuskan sekaligus membenarkan ramai Wōkòu yang kebanyakannya merupakan pedagang, meraih perakuan dan kesahan di sisi pemerintahan Cina.
Ieyasu Tokugawa
Di Jepun pula, kekuatan pemerintahan di bawah Keshogunan Tokugawa (1603-1867) turut membantu penghapusan aktiviti Wōkòu. Tokugawa menjalankan kawalan yang ketat di pelabuhan-pelabuhan bagi membendung permasalahan tersebut. Pedagang-pedagang dari Eropah juga semakin bertambah di kawasan Asia Timur pada abad ke-17. Faktor-faktor ini membuatkan kebanyakan aktiviti Wōkòu berjaya dihapuskan menjelang 1700-an.




No comments yet