Setiap barang legenda mesti ada cerita legenda. WD-40 pun sama. Dari bengkel motor sampai stor rumah, dari mekanik sampai pakcik DIY semua guna WD-40 ni.
Ada yang yakin benda ni boleh baiki apa saja, asal sembur.
Tapi sebenarnya, apa asal usul WD-40 ni?
WD-40 ni memang lahir dari dunia roket. Kita kena undur balik ke tahun 1953. Zaman Amerika tengah gila dengan peluru berpandu, misil dan angkasa lepas. Dalam satu makmal kecil di San Diego, sebuah syarikat bernama Rocket Chemical Company tengah buat kerja yang bunyinya tak glamour langsung iaitu cipta bahan untuk halau air dan cegah karat.
Kenapa benda ni penting?
Sebab peluru berpandu Atlas yang mereka lindungi ni sangat sensitif. Kulit luar dia nipis dan sedikit kelembapan pun boleh jadi masalah besar. Karat boleh buat sistem gagal sebelum roket sempat berfungsi.
Jadi objektif mereka masa tu bukan nak baiki roket, bukan nak tampal lubang, bukan nak buat benda canggih.
Objektif dia supaya jangan bagi air duduk atas besi.
Dan lepas 39 kali formula gagal, percubaan ke-40 akhirnya berjaya. Sebab tu namanya WD-40 yang bermaksud Water Displacement, formula ke-40. Tak lebih, tak kurang. Nama yang lurus bendul, tapi tepat.
Yang kelakar, produk ni terlalu berkesan sampai pekerja kilang sendiri mula bawa balik rumah. Guna dekat engsel pintu, tools berkarat, mesin rosak sebab lembap. Dari situ, barulah orang syarikat sedar yang benda ni bukan setakat untuk industri roket, orang biasa pun boleh guna.
Akhir 1950-an, WD-40 mula dijual kepada orang awam. Dari makmal aeroangkasa, dia turun ke kedai hardware.
Dari projek peluru berpandu, dia masuk rumah.
Dan kat sinilah mitos mula berkembang.
Sebab WD-40 boleh buat macam-macam, orang mula anggap dia “minyak ajaib”. Hakikatnya, WD-40 bukan yang terbaik untuk setiap kerja. Tapi dia cukup bagus untuk hampir semua kerja. Itulah kekuatan sebenar dia.
Buka skru degil? Boleh.
Hinge berdecit? Boleh.
Rantai moto berbunyi? Boleh.
Bila satu produk boleh masuk hampir semua situasi, otak manusia automatik naikkan dia ke level legenda.
Padahal realitinya, WD-40 tak pernah pun dicipta untuk jadi hero. Dia cuma alat sokongan. Insurans kepada besi. Pelindung senyap yang buat kerja tanpa drama.
Ironinya, produk yang asalnya wujud untuk lindungi peluru berpandu daripada rosak, akhirnya jadi barang paling biasa dalam hidup manusia. Ada dalam rumah, bengkel, stor, bonet kereta. Dari roket ke engsel pintu.
Dan mungkin itu yang buat WD-40 sebenarnya menarik sebab dia bermula dari masalah kecil yang kalau diabaikan, boleh hancurkan benda besar.




No comments yet