Bagi penonton filem yang pernah menonton filem Titanic, semua tahu bahawa watak Jack dan Rose itu adalah watak fiksyen semata-mata. Filem Titanic digambarkan sebagai ibarat kisah Romeo dan Juliet di alam moden berjaya meluluhkan hati-hati mereka yang menonton filem ini.
Di dalam filem Titanic, seutas rantai berlian biru dijadikan sebagai plot penceritaan cerita ini. Rantai ini dipercayai tenggelam bersama-sama kapal Titanic ketika malam kejadian dan dipercayai rantai ini merupakan antara yang termahal di dunia.
Beli novel terbaru keluaran The Patriots di Shopee kami: http://bit.ly/TerhempasnyaShopee
Walaupun watak Rose dan rantai itu hanya sekadar fiksyen semata-mata, penceritaan ini hampir sama dengan salah seorang penumpang sebenar di atas Titanic. Penumpang ini turut memakai antara rantai yang termahal di dunia di malam kejadian dan juga terselamat dari malam tersebut.
Kate Florence Phillips merupakan salah seorang penumpang kelas kedua di atas Titanic. Kate menaiki Titanic bersama pengurus syarikat tempat pekerjaan merangkap kekasihnya, Henry Samuel Morley. Henry merupakan salah seorang dari pemilik L Morley Confectioners dan telah berkahwin serta mempunyai seorang anak.
Kate dan Morley telah bertunang secara diam-diam dan membuat keputusan untuk berhijrah ke Los Angeles, Amerika Syarikat untuk memulakan kehidupan baru. Mereka menaiki Titanic dengan menggunakan nama palsu, Encik dan Puan Marshall.
Gambar lakaran Kate dan tunangnya, Henry Morley
Pada malam kejadian, Henry dan Kate berjaya menaiki dek dan ketika itu hanya sebuah bot keselamatan sahaja yang tinggal, iaitu bot keselamatan #11. Pada malam itu, Kate hanya memakai pakaian malam dan hanya membawa kunci kerana dia tidak tahu sebenarnya apa yang terjadi.
Henry memegang erat tangan Kate supaya tidak terlepas. Setelah tiba di bot keselamatan #11, Kate telah ditarik dan dibawa masuk ke dalam bot. Di dalam keriuhan itu, Morley sempat mengalungkan seutas rantai berlian biru ke leher Kate. Rantai itu merupakan tanda hadiah perkahwinan buat Kate dari Morley. Rantai biru itu bernama Love Of The Ocean. Ironinya, nama rantai ini hampir sama dengan rantai yang terdapat di dalam filem Titanic, iaitu Heart Of The Ocean.
Kate Winslett sebagai Rose Dawson
Jika dibandingkan kisah Kate Florence dengan Rose Dawson, jalan cerita mereka hampir sama. Kedua-dua individu ini memakai rantai berlian yang mempunyai warna yang sama, iaitu biru. Mereka juga bercinta dengan individu dari darjat yang berbeza. Jika di dalam filem, Rose Dawson berasal dari golongan yang berada manakala Jack Dawson merupakan lelaki miskin. Di dalam kisah Kate pula, berlaku sebaliknya.
Beli buku terbaru keluaran The Patriots di Shopee kami: http://bit.ly/KisahKlasikShopee
Kedua-dua individu ini juga turut mengucapkan selamat jalan kepada pasangan masing-masing. Tetapi, di dalam kisah Rose, Rose memanjat semula ke dalam kapal dari keselamatan kerana tidak sanggup berpisah dengan Jack Dawson. Namun apa yang pasti, tiada lukisan Kate memakai rantai di atas sofa sebagaimana yang dilakukan oleh Rose.
Berbalik kepada kisah Kate, setelah berjaya diselamatkan dan menuju ke New York, Kate akhirnya pulang semula ke pangkuan keluarganya di Worchester, England. Pada Januari 1913, Kate telah melahirkan seorang anak perempuan yang diberi nama, Ellen Mary. Kate sering mengatakan Ellen adalah anak perempuan hasil hubungan bersama Morley.
Kate bersama anaknya, Ellen Mary.
Namun, Ellen tidak mendapat layanan yang baik dari ibunya itu. Kate dikatakan sering memukul Ellen dan mengabaikan kebajikan Ellen sehingga menyebabkan hubungan mereka renggang. Kate pula akhirnya berkahwin lain dan turut mempunyai seorang anak perempuan. Namun, di akhir-akhir hayat Kate, suaminya turut meninggalkan Kate kerana Kate dipercayai menghidap masalah mental sehinggalah membawa kepada kematiannya pada 27 Mac 1964.
RUJUKAN:
Newsroom, T. (2017, December 15). Why great-grandparents’ romance may have inspired Titanic Movie. Belfast News Letter. Retrieved April 5, 2022, from https://www.newsletter.co.uk/lifestyle/why-great-grandparents-romance-may-have-inspired-titanic-movie-1063787
Titanica, E. (2021, March 14). Kate Florence Phillips : Titanic survivor. Encyclopedia Titanica. Retrieved April 5, 2022, from https://www.encyclopedia-titanica.org/titanic-survivor/kate-phillips.html
Caroll, L. (2022, January 30). The real woman who wore Rose’s necklace on the Titanic. Medium. Retrieved April 5, 2022, from https://historyofyesterday.com/the-real-woman-who-wore-roses-necklace-on-the-titanic-d7adefa7403a?_branch_match_id=1039888312395353803&_branch_referrer=H4sIAAAAAAAAA8soKSkottLXz8nMy9bLTU3JLM3VS87P1Q%2BzyAvMLk5Ji8hPAgAZSy%2F3IwAAAA%3D%3D&gi=3694108f6a2d




No comments yet