Mulai 30 September 2025, rakyat Malaysia menikmati harga minyak RON95 turun ke RM1.99 seliter di bawah program BUDI95.
Menurut pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, seramai 16 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas dengan MyKad dan lesen memandu aktif layak menikmati harga ini, dengan kuota 300 liter sebulan. Kalau lebih daripada itu, harga ikut pasaran iaitu sekitar RM2.60 seliter.
BUDI95 ni merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan nak perkemaskan tadbir urus kewangan negara. Dulu subsidi minyak Malaysia dikritik sebab “tiris” yang mana warga asing pun boleh isi minyak subsidi sampaikan ada yang menjual minyak Malaysia ke negara jiran.
Jadi subsidi yang sepatutnya bantu rakyat biasa, akhirnya dinikmati oleh orang yang tak perlu bantuan. BUDI95 cuba potong jalan ini dimana hanya rakyat Malaysia yang ada lesen memandu aktif boleh dapat harga subsidi.
Orang asing? Bayar ikut harga pasaran.
Kalau nak banding dengan sejarah, sejak tahun 1983 kerajaan dah mula eksperimen dengan harga siling petrol. Tahun 2008, ketika harga minyak dunia naik gila-gila, kerajaan terpaksa hentikan subsidi penuh dan perkenalkan subsidi bersasar.
Itu pun ramai rakyat marah sebab tiba-tiba minyak jadi mahal, barang lain pun ikut naik. Sejak tu, isu subsidi minyak memang jadi senjata politik paling tajam setiap kali pilihan raya.
Bezanya dengan BUDI95, kerajaan cuba main “game” lebih telus. Subsidi ni bukan nak kekal sampai kiamat, tapi lebih kepada langkah sementara untuk kurangkan beban rakyat marhaen, sementara bajet negara disusun semula untuk kesihatan, pendidikan dan prasarana.
“Negara mana orang asing dapat subsidi macam rakyat sendiri?”
Logiknya mudah, rakyat bayar cukai, jadi rakyat yang patut dapat manfaat.
Tapi tak semua sempurna. Ada satu kelemahan sistem BUDI95 yang ramai dah mula rasa sendiri.
Bayangkan pagi-pagi kau isi minyak, tap MyKad kat pam dengan semangat nak tengok beza harga. Sistem memang laju terus sahkan kau layak atau tak. Kalau kau guna credit card atau debit, terus jalan tanpa masalah.
Masalah datang bila minyak mula mengalir. Apa yang keluar kat skrin pam? Harga penuh RM2.60 seliter.
Kelam-kabut la tengok angka tu naik.
Dalam kepala terus fikir: “Eh, aku tak dapat subsidi ke ni?” Padahal bila tengok resit barulah lega yang harga sebenar dah tolak subsidi.
Kelemahan ni nampak remeh, tapi sebenarnya mengelirukan. Kalau indikator harga pam auto-adjust tunjuk terus RM1.99 selepas tap MyKad, lagi jelas. Orang yakin subsidi tu memang jalan, tak ada was-was.
Buat masa ni, kalau kau isi guna prepaid, cash di kaunter, atau apps macam Setel dan TnG eWallet, isu ni kurang timbul. Tapi untuk pengguna biasa, pengalaman kat pam boleh jadi “kejutan” bila nampak harga penuh keluar dulu.
Jadi wajarkah cara subsidi minyak Malaysia? Dari satu sudut, ya sebab rakyat lega, kos hidup ringan, kerajaan nampak prihatin.
Tapi di sudut lain, subsidi macam ni mahal dan ada kelemahan teknikal yang kalau tak ditambah baik, boleh timbulkan salah faham.




No comments yet