Sejak beberapa hari ini tular satu berita sensasi di media sosial mengenai seorang lelaki di South Carolina yang dikatakan mati ditembak oleh pemburu.
Apa yang membuatkan berita ini meletup adalah kerana lelaki tersebut didakwa menganggap dirinya sebagai seekor rusa secara biologi atau dikenali sebagai trans-species.
Dikatakan dia sengaja memakai kostum rusa dan masuk ke dalam hutan sebelum tersilap ditembak oleh pemburu yang menyangkakan dia adalah haiwan buruan sebenar.
Berita ini serta-merta mencetuskan perdebatan hangat mengenai kegilaan dunia moden dan isu kecelaruan identiti.
Tetapi sebelum kita melatah dan menekan butang kongsi, suka untuk saya jelaskan bahawa berita spesifik mengenai penembakan ini adalah PALSU semata-mata.
Ia adalah sebuah satira internet yang dikitar semula untuk menyindir golongan tertentu dan tiada laporan polis atau pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa South Carolina mengenai insiden tragis ini.
Akan tetapi, walaupun berita penembakan itu palsu, fenomena manusia yang menganggap diri mereka sebagai haiwan adalah satu realiti yang sangat menakutkan pada hari ini.
Kewujudan golongan yang digelar sebagai Otherkin atau Therian semakin mendapat tempat di Barat.
Mereka adalah kumpulan manusia yang percaya bahawa jiwa mereka terperangkap di dalam tubuh manusia sedangkan hakikatnya mereka adalah serigala, kucing atau naga.
Di Jepun sebagai contoh, kita dikejutkan dengan kisah seorang lelaki bernama Toco yang sanggup menghabiskan ribuan ringgit menempah kostum anjing baka Collie.
Dia hidup merangkak, makan di dalam bekas anjing dan tidur di dalam sangkar semata-mata mahu memenuhi fantasi menjadi seekor anjing.
Dalam istilah psikologi klinikal, keadaan ini mungkin berkait rapat dengan Clinical Lycanthropy.
Ia adalah satu keadaan delusi psikiatri yang jarang berlaku di mana pesakit percaya bahawa dia boleh atau telah bertukar menjadi haiwan.
Apa yang membimbangkan kita adalah apabila delusi sebegini mula dinormalisasikan atas tiket kebebasan berekspresi.
Masyarakat Barat hari ini semakin keliru kerana sempadan antara biologi dan fantasi semakin kabur.
Jika dahulunya seseorang yang mengaku dirinya Napoleon Bonaparte akan dimasukkan ke hospital sakit jiwa untuk dirawat.
Tetapi hari ini, seseorang yang mengaku dirinya seekor kucing atau rusa mungkin akan diraikan sebagai individu yang berani memecahkan norma masyarakat.
Walaupun kisah lelaki rusa ditembak itu hanyalah rekaan, ia membawa satu amaran yang cukup keras kepada kita.
Jika kegilaan ini tidak dibendung, tidak mustahil satu hari nanti tragedi seperti itu benar-benar akan berlaku.
Bayangkan jika anak muda kita kelak masuk ke hutan dan meragut rumput kerana percaya mereka adalah lembu.
Pada waktu itu, kita sudah tidak boleh lagi menyalahkan pemburu jika tersalah tarik picu senapang.
Kita sebenarnya sedang menyaksikan satu krisis tamadun yang sangat serius di mana manusia semakin hilang pedoman tentang erti menjadi seorang manusia.




No comments yet