Zaman Viking bermula pada tahun 793 Masihi. Zaman ini dipicu oleh serangan yang dilakukan ke atas biara di Lindisfarne yang terletak di timur laut England. Lanun-lanun Scandinavia yang menggegarkan dunia Kristian ini dianggap sebagai kemurkaan Tuhan atas dosa-dosa yang dilakukan oleh penganut agama tersebut. Berasal dari Denmark, Norway dan Sweden, Viking yang turut dikenali sebagai pagan dan orang Norse (orang utara) ini bergiat di pelbagai kawasan di benua Eropah.

2 tahun selepas kejadian serangan ke atas Lindisfarne, Viking menyerang biara-biara di pesisiran timur laut Ireland sekaligus menguasai kawasan tersebut. Beberapa bandar pelabuhan dibina oleh mereka termasuklah Dublin. Di Scotland pula, Viking meraih kuasa di kawasan utara meliputi pulau-pulau seperti Shetland, Orkneys dan Hebrides serta beberapa kawasan lain. Kegiatan Viking di England mencapai masa perdananya pada pertengahan abad ke-9. Dengan kepimpinan dua orang lagendanya iaitu Halfdan dan Ivar the Boneless, mereka menjatuhkan satu demi satu kerajaan di England. Hanya Wessex yang diperintah oleh Alfred sahaja mampu bertahan. Raja Inggeris itu kemudian dikenali sebagai Alfred the Great selepas menewaskan Viking yang berada di bawah kepimpinan Guthrum pada tahun 870-an. Guthrum dan 30 orang pegawainya kemudian dibaptis menjadi Kristian.

Di tanah besar Eropah, biara Philibert menjadi mangsa pertama serangan Viking seawal tahun 799 Masihi. Keadaan politik kerajaan Frankia (kini Perancis dan Jerman) yang berpecah-belah pula memberikan peluang kepada Viking untuk meluaskan lagi aktivitinya di tanah besar Eropah. Setelah itu, mereka menyerang kawasan pesisiran Perancis seperti Nantes sebelum menyerang kawasan yang lebih ke dalam seperti Paris, Limoges, Orleans, Tours dan Nimes.

Kawasan Ukraine dan Russia moden turut ditembusi oleh Viking pada abad ke-9, meliputi kawasan seperti Novgorod dan Kiev. Viking turut menyerang Seville dan Pisa namun terpaksa berhadapan dengan kekuatan Arab di bawah kekhalifahan Bani Umayyah. Pada tahun 911, raja Frankish mengurniakan Rouen dan wilayah sekitarnya kepada ketua Viking yang bernama Rollo dengan syarat Rollo tidak memberi laluan kepada penceroboh-penceroboh lain untuk memasuki Seine. Wilayah utara Perancis itu kini dikenali sebagai Normandy atau tanah orang utara (Northmen).

Leif Erikson (kiri) & Erik the Red (kanan)

Viking turut terkenal kerana membuka koloni di pelbagai kawasan. Selain kawasan-kawasan yang telah disebutkan di atas, Viking juga membuka penempatan di Iceland pada abad ke-9. Menjelang lewat abad ke-10 pula, Erik the Red dan Viking-Viking lain berlayar ke Greenland. Legasi kejayaan pengembara lagenda Norse itu diteruskan oleh anaknya iaitu Leif Erikson. Pada tahun 1002, beliau berlayar ke pesisiran Amerika Utara dan menghuni sebuah kawasan yang dinamakan oleh beliau sendiri sebagai Vinland.
Hasil pertemuan ahli arkeologi yang bernama Anne Stine pada awal 1960-an mendapati Vinland dipercayai terletak di L’Anse aux Meadows di Newfoundland, Canada.

Sekiranya hikayat ini dapat dibuktikan tidak hanya hidup dalam saga-saga masyarakat Iceland, para sejarawan mengatakan bahawa Viking merupakan orang Eropah pertama yang berlayar dan menghuni Amerika Utara 500 tahun lebih awal berbanding Christopher Columbus. Apapun, bukti kewujudan Viking di Dunia Baru sangat sedikit dan mereka tidak menghuni kawasan itu secara tetap. Tidak seperti pada era Columbus, penempatan Viking di benua Amerika tidak dapat dilanjutkan oleh generasi mendatang memandangkan dalam beberapa dekad kemudian, era Viking menemui pengakhiran.

Seperti pahlawan-pahlawan Elbaf yang digeruni oleh masyarakat dunia One Piece akhirnya ditumbangkan seperti yang diceritakan pada masa silam Big Mom, Viking si inspirasinya turut menuju pengakhiran selepas menempa sejarah selama 3 abad. Peristiwa yang berlaku pada tahun 1066 yang melibatkan kekalahan Harald Hardrada dalam pertempuran yang berlangsung di Stamford Bridge menjadi tanda berakhirnya Zaman Viking. Pada masa itu, hampir seluruh penduduk Scandinavia telah memeluk agama Kristian. Hal ini menjadi salah satu faktor utama yang menyumbang kepada berakhirnya zaman lanun itu.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.