Tentu sekali tiap kali haiwan bernama unta ini disebut, kita akan mula terbayang haiwan berkaki panjang dan berbonggol ini merentasi padang pasir yang tandus dan panas. Namun, ramai yang tidak tahu bahawa moyang terawal unta ternyata jauh sekali berbeza asal-usulnya daripada unta moden (genus Camelus).
Keluarga Camelidae berasal dari Amerika Utara ketika epok Eosen iaitu sekitar 45 juta tahun dahulu dan berpecah kepada sekurang-kurangnya 20 genera pada awal Miosen. Nun jauh di High Arctic, Kanada pada 3.5 juta tahun pernah hidup suatu spesies unta (genus Paracamelus) yang telah beradaptasi dengan ekosistem sejuk di sana.
Ketika itu, bentuk muka bumi agak berbeza jika daripada hari ini. Terdapat suatu jambatan darat yang menghubungkan Alaska dan Russia. Tambahan lagi, pada masa itu, manusia purba pertama yang dinamakan Australopithecus mula wujud di Afrika. Unta-unta gergasi yang mendiami Artik ini agak menyerupai unta-unta yang ada di padang pasir hari ini.
Menurut
suatu kajian yang diterbitkan dalam Nature Communications, para
penyelidik mempunyai bukti bahawa unta pernah hidup sejauh kawasan paling utara
Kanada yang kini menjadi habitat bagi beruang kutub, serigala kelabu dan
karibu. Siapa sangka ciri-ciri yang membolehkan unta beradaptasi di padang
pasir turut membantu moyangnya untuk beradaptasi di kawasan yang mengalami
musim sejuk yang sukar.
Sebelum
penemuan terkini, saintis hanya tahu bahawa spesies unta yang telah pupus
pernah mendiami kawasan utara hingga ke Yukon, Kanada. Walau bagaimanapun, semasa
menjalankan kerja-kerja eskavasi di Pulau Ellesmere yang terletak 750 batu
utara dari kawasan penemuan unta Yukon, penyelidik memjumpai 30 serpihan tulang
berukuran di antara 0.5 hingga 3 inci. Natalia Rybczynski dari Muzium
Semulajadi Kanada yang mengetuai ekspedisi berkata, “Ia mengambil masa selama
tiga musim lapangan untuk mencari semua tulang-belulang yang kami ada ketika
ini. Di lapangan, serpihan tulang-belulang ini hanya kelihatan seperti serpihan
tembikar. Mungkin juga cuma fosil kayu.”
Unta Yukon Sumber: www.cbc.ca
Setelah
serpihan itu disusun semula seperti kepingan teka-teki, anggota kaki bertelapuk
menyerupai unta purba mula kelihatan. Selepas itu, penyelidik menggunakan teknik
yang dikenali sebagai collagen fingerprinting untuk menganalisa tisu
penghubung daripada tulang yang mereka akan bandingkan dengan spesimen unta
Yukon dan unta ponok tunggal (Camelus dromedarius) dan unta baktria (Camelus
bactrianus). Ujian-ujian tersebut mengesahkan bahawa serpihan
tulang-belulang itu rupa-rupanya milik unta Artik.
Unta baktria (Camelus bactrianus) Sumber: cn-animals.fandom.com
Berdasarkan saiz kaki unta Artik, saintis mnyimpulkan bahawa ia beranggaran 30 peratus lebih besar daripada unta-unta padang pasir moden. Kendatipun demikian, ia kelihatan amat serupa – dan itu bukan sekadar kebetulan, menurut Rybczynski. “Ada beberapa ciri yang dilihat pada unta moden yang mungkin amat membantu bagi unta High Arctic,” jelas beliau.
“Misalnya, kaki yang bertapak luas dan rata berguna untuk berjalan di atas pasir juga berguna untuk berjalan di atas salji. Bukan itu sahaja, bonggol berfungsi untuk simpanan lemak barangkali amat penting untuk haiwan itu untuk menempuh musim sejuk yang panjang, gelap dan dingin. Tambahan lagi, unta mempunyai mata yang besar yang sesuai untuk melihat dalam cahaya rendah”.
Selama tempoh hidup unta Pulau Ellesmere, suhu Artik adalah 2 hingga ke 3°C lebih panas daripada hari ini menurut Rybczynski. Namun demikian, suhu sedemikian masih sejuk dan di bawah paras beku di hutan yang menjadi habitat unta ini malah separuh tahun dalam kegelapan 24-jam. Beberapa eskavasi awal di tapak tersebut mencadangkan bahawa unta Artik berkongsi habitat dengan badgers, deerlets, memerang dan kuda berkuku tiga.
Sekitar tiga hingga lima juta tahun lalu, mereka melintasi jambatan darat Bering ke Eurasia dan akhirnya bermigrasi ke selatan. Di samping itu, ada sebahagian pula meneruskan migrasi menuju ke Amerika Selatan lalu berevolusi kepada llama dan alpaka sekitar tiga juta tahun dahulu. Menjelang zaman ais, unta di Amerika Utara akhirnya pupus keseluruhannya.
Alpaka dan llama
Sumber: Alpaca Direct
RUJUKAN
Carr, K. E.
(2019). Where do camels come from? Retrieved from https://quatr.us/central-asia/where-do-camels-come-from.htm
Cohen, J.
(2018). Giant Ancient Camel Roamed the Arctic. Retrieved from https://www.history.com/.amp/news/giant-ancient-camel-roamed-the-arctic
Rybczynski, N.,
Gosse, J. C., Harington, C. R., Wogelius, R. A., Hidy, A. J., & Buckley, M.
(2013). Mid-Pliocene warm period deposits in the High Arctic yield insight into
camel evolution. Nature Communications, 4:1550. doi: 10.1038/ncomms2516




No comments yet