Unbroken merupakan sebuah filem perang (war film) arahan Angelina Jolie yang ditayangkan pada tahun 2014, diinspirasikan daripada kisah benar, berdasarkan novel bukan fiksyen tulisan Laura Hillenbrand, yang bertajuk Unbroken: A World War II Story of Survival, Resilience, and Redemption.

Filem Unbroken mengisarkan perjalanan hidup seorang atlet larian Olimpik yang berasal dari Amerika Syarikat sepanjang beliau menjadi askar semasa Perang Dunia ke-2, iaitu Louie Zamperini. Menerusi filem yang berdurasi selama lebih 2 jam ini, kebanyakan babak lebih difokuskan ke arah penyeksaan tentera yang menjadi tawanan Jepun dan semangat dan harapan yang mereka tonjolkan untuk terus hidup berbanding babak peperangan itu sendiri.

Seperti kebanyakan filem perang atau war film yang pernah ditayangkan di layar perak, terdapat banyak mesej atau pengajaran yang boleh kita dapati sebagai penonton. Antaranya ialah filem-filem sebegini memberikan gambaran zaman perang kepada generasi baharu yang tidak pernah mengalaminya di samping menunjukkan bahawa peperangan itu mewujudkan suatu kezaliman terhadap masyarakat dari serata dunia dan bagaimana generasi sekarang perlu mengambil iktibar daripada kesan perebutan kuasa yang dilakukan oleh nenek moyang kita pada masa lampau.

Namun begitu, filem Unbroken ini mempunyai fokus yang tersendiri iaitu survival ataupun kelangsungan hidup. Menerusi filem ini, penonton dapat menghayati sekali gus mengambil iktibar berkenaan semangat patriotisme dan juga survival skill yang ditonjolkan oleh Louie Zamperini serta tawanan perang yang lain. Unbroken juga mempamerkan bagaimana pergantungan pada diri dan pergantungan pada Tuhan mampu memberi semangat dan harapan yang begitu kuat untuk kelangsungan hidup.

Pergantungan pada diri.

Louie Zamperini, watak yang dilakonkan oleh Jack O’Connell, dahulunya merupakan seorang kanak-kanak yang bermasalah. Beliau juga sering dibuli kerana asal-usul keluarganya yang berasal dari Itali sebelum berpindah ke Amerika Syarikat.

Peraturan hidup Louie berubah apabila abangnya, Pete Zamperini yang merupakan seorang atlet larian di sekolah, memujuknya untuk sama-sama berlatih menjadi atlet larian. Pada mulanya, Louie keberatan kerana baginya, training atau latihan yang diberi oleh abangnya amat sukar. Namun begitu, Pete tidak berputus asa dan memberikan sepenuh kepercayaan terhadap adiknya di samping kata-kata semangat yang berbunyi:

‘If you can take it, you can make it.’

Kata-kata ini lah yang Louie pegang sebagai pembakar semangat sehinggalah beliau menjadi tentera semasa Perang Dunia Ke-2.

Menerusi filem Unbroken, Louie diperkenalkan sebagai seorang yang bersemangat kental. Daripada latihannya untuk menjadi atlet larian Olimpik sehinggalah pengalamannya sebagai seorang tawanan perang Jepun, semangat Louie menerusi kata-kata ‘if you can take it, you can make it’ itu juga merupakan ‘penyelamat’ dirinya dalam melalui saat-saat getir dan penuh seksa.

Melalui pergantungan pada dirinya sendiri, Louie mampu meyakinkan diri di samping memberi harapan kepada rakan seperjuangan semasa mereka terkandas di tengah lautan selama 47 hari, tanpa sumber makanan dan minuman yang mencukupi. Selain itu, Louie juga membuktikan semangat patriotisme serta daya tahan beliau yang tidak pernah luntur apabila beliau lebih sanggup melalui penyeksaan bersama tawanan perang yang lain daripada memilih untuk membelot pada negara dan peluang untuk hidup selesa.

Pergantungan pada Tuhan.

Watak yang mempamerkan pergantungan pada Tuhan di dalam filem Unbroken ini merupakan salah satu teman seperjuangan Louie, iaitu Russell Phillips atau lebih dikenali sebagai Phil. Penonton dapat melihat Phil berdoa pada Tuhan menerusi beberapa babak di mana mereka terselamat setelah kapal perang mereka terpaksa melakukan pendaratan kecemasan serta babak di mana mereka terkandas di tengah lautan setelah kapal mereka terhempas.

Menerusi filem Unbroken ini, watak Phil yang meletakkan pergantungan hidup nya pada Tuhan membuktikan bahawa Tuhan mendengar doa hamba-Nya. Di dalam babak di mana Louie, Phil dan seorang lagi rakan iaitu Mac, terpaksa melalui suasana sukar apabila rebut melanda lautan dan mereka terpaksa bertahan di atas bot pelampung, Louie berkata kepada Tuhan:

‘If you get me through this, if you answer my prayers, I swear I’ll dedicate my whole life to you. I’ll do whatever you want. Please.’

Permintaan Louie tersebut membuktikan bahawa Tuhan ingin hamba-Nya bergantung pada-Nya melebihi pergantungan terhadap yang lain. Pergantungan pada Tuhan juga merupakan suatu sumber harapan bagi mereka yang berada di dalam kesusahan. Ini kerana, disebabkan doanya itu, mereka terselamat daripada ribut tersebut dan hujan juga turun membasahi bumi di mana mereka dapat mengumpul air hujan sebagai sumber minuman.

Sebagai kesimpulan, filem Unbroken memperlihatkan hubungan di antara kepentingan pergantungan pada diri dengan pergantungan pada Tuhan. Harapan dan semangat untuk terus hidup mampu datang daripada diri sendiri dan juga Tuhan. Namun, harapan yang datang/berpunca daripada Tuhan itu mampu mengatasi segala-galanya.

Oleh itu, apabila kita menghadapi saat-saat getir dan merasakan ujian hidup itu terlalu berat untuk dilalui, prinsip ‘if you can take it, you can make it’ dalam filem Unbroken ini mampu memberikan kita semangat yang sewajarnya.

Sebagai umat Islam khususnya, kita telah sedia maklum bahawa kehidupan di dunia ini merupakan suatu ujian yang perlu kita lalui. Allah telah berfirman menerusi Surah al-Ankabut (29:2),

أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ

‘Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedangkan mereka tidak diuji lagi?’

Melalui surah al-Baqarah (2:155) pula, Allah telah berfirman bahawa:

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ

‘Dan sungguh akan Kami berikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.’

Namun begitu, kita tidak perlu khuatir dengan segala ujian yang menimpa, sesuai dengan prinsip ‘if you can take it, you can make it’, kerana melalui surah al-Baqarah (2:286), Allah telah memberi kepastian bahawa:

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

‘Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.’

Sumber rujukan dan bacaan lanjut:

– https://tafsiralquran2.wordpress.com

– http://www.virtualmosque.com/personaldvlpt/a-souls-burden/

– https://en.wikipedia.org/wiki/Unbroken_(film)


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Aku menulis kerana kalian membaca. And for that we compliment each other. Selamat membaca dan semoga terus setia; untuk aku yang bertemankan pena dan kalian yang gigih mendalami kata-kata.

Leave A Reply