Selama beribu-ribu tahun, gelombang bangsa nomad telah bergerak ke arah barat di sepanjang steppe Eurasia, dari sempadan China, merentasi Asia Tengah, dan migrasi ini terus berlanjutan.

Komuniti penternak pastoral ini bergerak dengan gerombolan mereka dalam kitaran bermusim antara padang rumput. Adakalanya mereka berhijrah lebih jauh untuk mencari padang rumput yang lebih hijau, atau melarikan diri daripada tekanan kuasa nomad lain.

Mereka sering berdagang dengan komuniti menetap yang bersempadan dengan wilayah steppe, mereka berdagang secara barter dengan bertukar-tukar antara produk haiwan dengan barangan pertanian dan perkilangan.

Kadang-kadang mereka menyerang, menjarah, dan merampas apa saja yang mereka boleh rampas, lalu berlari kembali ke padang rumput steppe sebelum musuh sempat mengejar mereka.

Salah satu kumpulan utama nomad steppe ialah orang Turki, suku-suku yang suka berperang ini dikenal pasti pada awal sejarah mereka sebagai orang Hun. Orang Turki tak ada banyak perbezaan dengan orang Mongol, bahkan Turki lebih tua berbanding Mongol, dan seperti Mongol, Turki juga ada empayar mereka sendiri.

Salah satu darinya ialah Empayar Kekhaganan Gokturk atau Kekhaganan Turkik pada abad ke-6 Masihi, yang terbentang dari China ke selatan Rusia. Pertelingkahan dalaman telah memecahkan dan meruntuhkan Gokturk dalam beberapa generasi.

Pada abad ke-6 Masihi, orang Turki menubuhkan Empayar Gokturk sebagai sebuah konfederasi steppe yang luas terbentang dari sempadan China ke Laut Kaspia. Ia merupakan empayar yang kekal sebagai bangsa nomad yang terbesar dalam sejarah. Penguasa baru steppe ini mahir dalam kerja besi, dan membangunkan skrip Runic.

Kemuncak kuasa Kekhaganan Gokturk.

Walau bagaimanapun, di sebalik semua perkembangan ini, konfederasi Turki ini kekal dengan budaya politik berpuak mengikut suku-suku, disusuli dengan semua keganasan dan kerapuhan yang muncul darinya.

Perebutan kuasa dan konflik dalaman antara suku-suku yang bersaing dan pihak yang menuntut hak memerintah telah memecahbelahkan Empayar Gokturk beberapa kali, ia menjadi dua pemerintahan iaitu Gokturk Timur dan Gokturk Barat, sebelum akhirnya runtuh untuk selamanya pada tahun 734.

Pada awal abad ke-8, dengan runtuhnya Empayar Gokturk, pecahan kaum Turki dari Gokturk barat yang dikenali sebagai konfederasi Oghuz, bangkit dengan semangat serigala kelabu yang legenda, menegakkan pemerintahan ke atas Asia Tengah barat.

Pada masa yang sama, kaum nomad yang lain, iaitu orang Arab dari Kekhalifahan Islam, menyapu ke timur dan utara dari semenanjunh Arab untuk menakluki Empayar Parsi. Apabila dua kuasa yang sedang bangkit itu bertembung, orang Turki tersepit dan hancur di tengah-tengahnya.

Walau bagaimanapun, hubungan perdagangan dan kebudayaan telah diwujudkan, dan sejak abad ke-9 dan seterusnya, orang Turki mula meninggalkan kepercayaan pagan dan memeluk Islam.

Walaupun orang Turki pada mulanya ditakluki dan tunduk kepada kuasa Arab, mereka tidak akan tunduk untuk jangka masa yang lama. Membuktikan pepatah “Muslim yang paling bertaqwa adalah Muslim mualaf,” di mana, orang Turki yang baru memeluk Islam akhirnya menjadi penyebar agama Islam.

Bangkit kembali daripada kekalahan dan penundukan mereka kepada orang Arab, orang Turki akhirnya akan mendapat kelebihan, dan muncul untuk menguasai dunia Arab dan Timur Tengah, serta keseluruhan dunia Islam.

Tentera Mamluk.

Orang Arab terutamanya Dinasti Ayyubiyah mengagumi sifat mempertahankan diri orang Turki. Selain daripada pengalaman dibesarkan dalam suasana mencabar dan kehidupan yang sukar di steppe, kehidupan nomad telah memberikan orang Turki semangat juang, kemahiran berkuda, dan menjadi bangsa yang terhebat sebagai pemanah berkuda.

Maka tentera-tentera Khalifah Islam mula merekrut orang-orang Turki yang menjadi hamba untuk diserap dalam barisan tentera mereka sebagai tentera hamba atau “Mamluk”.

Sebenarnya agak jarang dalam sepanjang sejarah ketenteraan, di mana tentera Khalifah Islam menggunakan tentera hamba. Orang-orang Turki yang baru memeluk agama Islam diberi status sebagai hamba terunggul negara, dan diberi hak untuk meningkatkan status melalui kenaikan pangkat.

Menjelang akhir abad ke-9, kebanyakan kuasa tertinggi dan perintah ketenteraan dalam tentera Islam, serta banyak jawatan politik berpangkat tinggi, telah dipegang oleh orang Turki Muslim.

Orang Turki pertama kali muncul sebagai pemain kuasa di Timur Tengah semasa era Kekhalifahan Abbasiyah. Bani Abbasiyah adalah dinasti turun temurun kedua yang menuntut kekuasaan ke atas empayar Islam.

Pada kemuncak kuasa mereka, mereka memerintah sebuah alam yang terbentang dari sebahagian Lautan Atlantik hingga ke sempadan China, dan dari Asia Tengah hingga ke sempadan India. Tuah mereka hilang apabila khalifah yang kurang bijaksana telah merekrut tentera upahan Turki, namun gagal mengawal mereka.

Ketibaan orang Turki bermula pada abad ke-9, dengan bantjan al Mu’tasim, anak bongsu khalifah yang paling terkenal, Harun al Rashid – sezaman dengan Charlemagne dan watak yang diromantiskan dalam dongeng 1001 Malam.

Al Mu’tasim menubuhkan tentera upahan dan tentera hamba Turki peribadi, dan membentuk mereka menjadi Pengawal Mamluk yang membantunya mengamankan kekhalifahan pada tahun 833.

Melantik tentera Turki memang amat membantu al Mu’tasim untuk jangka masa yang pendek, tetapi akhirnya akan berubah menjadi masalah untuk jangka masa yang panjang bagi para penggantinya.

Tentera upahan Turki yang pertama kali diperkenalkan oleh al Mu’tasim ini banyak terlibat dalam penjarahan dan penculikan berleluasa yang menjadikan mereka sangat dibenci oleh penduduk awam.

Gambaran tentera Mamluk.

Jadi, dalam usaha untuk mengurangkan pergeseran antara rakyat dan tenteranya, al Mu’tasim memindahkan ibu kotanya pada tahun 835 dari Baghdad ke kota yang baru di Samarra. Tindakan ini meredakan situasi untuk seketika, tetapi tidak menyelesaikan isu teras iaitu mengawal tentera Mamluk.

Isu-isu ini mencapai kemuncak pada tahun 861, dalam peristiwa yang kemudiannya dikenali sebagai “Anarki di Samarra”. Ia bermula apabila Pengawal Turki membunuh Khalifah al Mutawakkil, dan menggantikannya dengan adiknya, al Muntasir Billah.

Ia hanya permulaan tempoh huru-hara. Sebaik saja debu-debu anarki kian mendap, tentera upahan Turki telah melemahkan Khilafah Abbasiyah, dan memasuki jalan menuju kepupusan.

Membunuh Khalifah al Mutawakkil dan menggantikannya dengan adiknya hanyalah satu tindakan memanaskan badan tentera Mamluk. Khalifah al Muntasir Billah bertahan selama enam bulan, sebelum mangkat akibat penyakit misteri (dipercayai diracun).

Mereka kemudian mengadakan persidangan untuk melantik pengganti, al Musta’in. Namun al Musta’in melarikan diri pada tahun 865, tetapi tentera telah mengejar, menangkap, dan membunuhnya.

Mereka kemudiannya melantik khalifah lain, al Mu’tazz, tetapi apabila dia mula melawan, mereka menjatuhkan dan membunuhnya pada tahun 869, menggantikannya dengan boneka lain, al Muhtadi. Dia juga cuba untuk memutlakkan kuasanya, hanya untuk dibunuh oleh tentera upahan dan digantikan pada tahun 870.

Anarki ini akhirnya berakhir dengan perlantikan khalifah yang menerima peranannya sebagai boneka.

Kekhalifahan Abbasiyah tersadung selama empat abad lagi, meneruskan kelangsungan sebagai bayangan dengan khalifahnya menjadi alat mainan para bangsawan dan sultan-sultan Turki.

Penghinaan terhadap Abbasiyah ini ditamatkan pada tahun 1258, apabila kebangkitan Mongol telah memusnahkan Baghdad, dan menghukum mati Khalifah terakhir dengan menggulungnya di dalam permaidani dan menginjak-injaknya hingga mati di bawah telapak kaki kuda mereka.

Dengan kemerosotan Kekhalifahan Abbasiyah, orang Turki yang selama ini ditakluki orang Arab, mula mengambil alih dan mengisi kekosongan kuasa. Pada abad ke-11, suku Kinik, salah satu cabang yang muncul dari konfederasi Turki Oghuz telah menubuhkan Empayar Seljuk.

Semasa mereka menurunkan status Khalifah Abbasiyah di Baghdad kepada boneka, sultan-sultan Turki Seljuk selaku bangsa minoriti telah menjadi pememerintah sebuah negara Islam yang luas yang menyerap kerajaan Turki yang lain, dan menguasai jantung Muslim di Timur Tengah.

Dengan busur dan anak panah sebagai simbol kewibawaan mereka, kaum Seljuk meluaskan pemerintahan mereka ke Parsi, Mesopotamia, Syria, dan selepas menumpaskan Byzantine dalam Pertempuran Manzikert pada 1071, orang Turki kali pertama dalam sejarah telah menduduki sebahagian besar Anatolia.

Pada kemuncaknya yang tertinggi, kekuasaan Seljuk terbentang dari Anatolia barat dan Levant ke Hindu Kush di timur, dan dari Asia Tengah di utara ke Teluk Parsi di selatan. Oleh itu, kuasa Turki telah ditubuhkan di Timur Tengah, dan bermulalah transformasi mereka dari bangsa nomad menjadi bangsa yang menetap.

Kejayaan Pertempuran Manzikert menjadi titik tolak pendudukan bangsa Turki di Anatolia.

Orang Turki Seljuk berbeza daripada kebanyakan penakluk nomad sepanjang sejarah, seperti orang Hun, Avar, dan Mongol, yang pemerintahannya terbukti berusia pendek dan tidak kekal. Sebaliknya, orang Seljuk melakar sejarah yang jarang berlaku dalam budaya nomad iaitu mereka menguruskan peralihan yang berjaya daripada gaya hidup nomad kepada masyarakat tidak aktif.

Mereka berubah dari golongan penggembala dan pahlawan steppe kepada penduduk kota, melakukan pekerjaan baru seperti petani, pentadbir, pedagang, pengilang, dan tukang. Mereka membina jalan raya, masjid, sekolah, hospital, dan karavansarai.

Ilmu pengetahuan seperti sains dan astronomi berkembang pesat semasa Islam berkuasa.

Seljuk menyerap budaya orang Parsi dan Arab yang berkuasa sebelum mereka, orang Turki Seljuk mula menghargai dan menggalakkan ilmu pengetahuan, seperti kesusasteraan, seni, falsafah, dan sains.

Pada saat negara mereka merosot dan runtuh, Turki Seljuk telah menubuhkan asas kebudayaan dan identiti bangsa Turki, yang akan dibina dan diteruskan oleh orang Turki yang lain – terutamanya Turki Uthmaniyah – untuk mewujudkan negara yang lebih besar.

Walaupun orang Turki Seljuk mentadbir sebuah empayar yang menetap, orang Turki lain masih merdeka dan terus berkeliaran di steppe. Bersekutu dengan kaum nomad lain, sebahagian daripada mereka masih mengamalkan kepercayaan pagan Tengrisme.

Orang Turki yang masih berpindah-randah ini membentuk kumpulan pahlawan yang berterusan menceroboh wilayah-wilayah bangsa yang menetap. Mereka menjadi masalah yang berterusan bagi kaum Seljuk.

Golongan yang paling dominan di kalangan mereka adalah kumpulan-kumpulan yang kemudian akan dikenali sebagai “Ghazi” – sejenis gelaran untuk para pahlawan Islam terutamanya dari bangsa Turki.

Kebanyakan Ghazi adalah sukarelawan, ramai daripada mereka adalah gelandangan, tidak bertuan, pelarian, dan penganggur yang mencari kehidupan. Mereka mengabdikan kehidupan untuk memerangi musuh-musuh Islam dan meraih banyak harta rampasan semasa melakukannya.

Festival kejohanan sukan dunia nomad.

Sasaran utama mereka ialah Empayar Byzantine dan negara-negara Kristian di Kaukasus. Menjelang akhir abad ke-13, seorang ketua Ghazi dari suku Kayi, yang juga berasal dari cabang konfederasi Turki Oghuz, iaitu Osman Ghazi, muncul untuk memerintah sebuah wilayah yang bersempadan secara langsung dengan Empayar Byzantine di Anatolia.

Beylik (negeri) Osman yang masih muda mengalami pertumbuhan yang mendadak pada abad ke-14. Anak lelaki Osman, Orhan Ghazi, menawan kota Bursa di barat laut Anatolia pada tahun 1326, dan menjadikannya ibu kota negara Uthmaniyah.

Pada tahun 1354, gempa bumi memusnahkan Semenanjung Gallipoli merentasi Selat Dardanelles dari Anatolia, dan memusnahkan kubu Byzantine. Uthmaniyah dengan segera merampas dan menduduki semenanjung itu, lalu bermulalah sejarah mereka di Eropah.

Pada tahun 1387, tentera Uthmaniyah merampas kota Thessaloniki di Yunani. Pada tahun 1389, tentera Uthmaniyah menumpaskan Serb dalam Pertempuran Kosovo, dan menjadikan Empayar Uthmaniyah sebagai kuasa dominan di Balkan.

Pada tahun 1396, pada Pertempuran Nicopolis, Sultan Bayezid I menundukkan Perang Salib berskala besar yang yerakhir pada Zaman Pertengahan, yang dilancarkan untuk menghentikan pengembangan Uthmaniyah.

Negara Uthmaniyah mengalami kemunduran yang memalukan tetapi tidak lama pada awal abad ke-15 apabila dikalahkan oleh Amir Timur. Setelah sedekad tanpa pemerintah yang sah, dinasti ini bangkit semula dengan cepat.

Panji-panji Uthmaniyah abad ke-16.

Pada tahun 1453 melalui Sultan Mehmed II al Fatih, Uthmaniyah secara rasminya meningkatkan statusnya sebagai sebuah empayar dan kuasa besar dunia setelah melakukan penaklukan terbesarnya iaitu Penaklukan Konstantinopel, dan mengubahnya menjadi ibu kota baharu Empayar Uthmaniyah.

Empayar Uthmaniyah diasaskan sebagai salah satu empayar yang paling lama bertahan dalam sejarah, ia berdiri selama lebih dari 600 tahun. Pada zaman kegemilangannya, Uthmaniyah adalah salah satu kuasa besar yang paling kuat di dunia.

Tidak seperti Gokturk atau Mongol yang terdahulu, yang empayarnya runtuh dalam masa lebih kurang satu hingga dua abad sejak penubuhannya, Empayar Uthmaniyah berjaya bertahan selama enam abad.

Turkiye dan Azerbaijan antara negara identiti Turki yang berkongsi sejarah yang sama.

Pada kemuncak kekuasaannya, wilayah kedaulatan Uthmaniyah terbentang dari Algeria moden di barat ke Laut Kaspia di timur, dan dari Hungary di utara ke Yaman di selatan.

Empayar Uthmaniyah kekal berkuasa sehingga kejatuhannya pada tahun 1922, lalu digantikan dengan Republik Turki sehingga ke hari ini. Seiring peredaran zaman merentasi era kemodenan, definisi bangsa Turki semakin berubah dari masa ke semasa.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

•MALAY• •MUSLIM• •TERENGGANU• •NATIONALIST• •CONSERVATIVE•

Leave A Reply