Amfiteater merupakan salah sebuah seni bina yang paling ikonik yang disumbangkan oleh tamadun Rom purba. Contoh binaan amfiteater yang paling masyhur adalah Colosseum di Rome, iaitu tempat berlangsungnya pertarungan-pertarungan gladiator yang ganas.
Amfiteater seperti ini dibina di seluruh Empayar Rom, dengan jumlah sekitar 230 buah amfiteater diketahui masih terselamat sehingga ke hari ini. Sebuah lagi contoh amfiteater yang paling mengagumkan dapat disaksikan di kota El Djem, Tunisia.
Bumi ini dianggap sebagai lokasi bersejarah yang menempatkan sisa-sisa runtuhan Rom yang paling mengagumkan di seluruh Afrika. Ia juga meraih kemasyhuran kerana hadir dalam filem epik Hollwood, ‘Gladiator’.
Sebenarnya, terdapat dua buah amfiteater yang berada di El Djem. Binaan yang lebih kecil dianggap kurang masyhur jika dibandingkan dengan struktur yang lebih besar. Keadaannya juga kurang terpelihara. Dipercayai bahawa amfiteater ini menjalani tiga fasa pembinaan yang berbeza-beza.
Ia pertama kali dibina dengan menggunakan tufa (sejenis batu kapur), kemudian dibina semula sebelum untuk buat kali ketiganya dibina lagi dengan saiznya diperbesarkan. Namun, tarikan utama bagi bandar El Djem terletak kira-kira 7.2 km arah utara dari amfiteater kecil ini dan ia dikenali sebagai Amfiteater El Djem.
Amfiteater El Djem merupakan sebuah monumen tunggal dan dibina sepenuhnya daripada bongkah-bongkah batu tanpa tapak asas. Dikatakan bahawa ia mengambil model dari binaan Colosseum di kota Rome. Walaupun Colosseum memegang gelaran sebagai amfiteater Rom yang paling besar, Amfiteater El Djem ini juga tidak jauh ketinggalan saiznya. Paksi besar amfiteater ini berukuran 148m, sementara paksinya yang lebih kecil berukuran 122m.
Tambahan lagi, baris-baris kerusinya tersusun hingga ke ketinggian mencecah 36m. Dianggarkan bahawa amfiteater ini berupaya menampung sebanyak 35 000 orang penonton pada satu-satu masa. Berikutan besarnya saiz binaan ini, tidak hairanlah jika lahir anggapan bahawa amfiteater ini dibina semasa Empayar Rom mengecap tempoh kemewahan dan keamanan. Namun pada hakikatnya, keadaan di masa pembinaan amfiteater ini tidaklah seindah itu.
Walaupun tarikh tepat pembinaan amfiteater ini tidak dapat dipastikan, dianggarkan bahawa kerja-kerja tersebut dimulakan pada tahun 238M – tahun yang dikenali sebagai ‘Tahun Enam Maharaja’ memandangkan terdapat enam individu diperakui sebagai maharaja Rom pada tahun tersebut. Amfiteater El Djem ini berkemungkinan ditaja oleh salah seorang maharaja itu – Gordian I atau cucunya, Gordian III. Tahun 238M bukanlah tahun yang aman buat Empayar Rom. Hakikatnya, pemberontakan yang berlaku di jajahan Rom di Afrika itulah yang melonjakkan Gordian I yang pada masa itu berusia 80 tahun ke kerusi takhta Rom.
Pemberontakan ini tercetus akibat ketidakpuasan hati terhadap Maximinus Thrax. Untuk membayar belanja kempennya di sempadan Danubia, Maximus terpaksa menyedut lebih banyak wang daripada golongan aristokrat dan pemilik tanah. Untuk mencapai kuota yang dimahukan oleh maharaja, sebahagian pemungut dana secara tidak bertanggungjawab membuat arahan palsu lalu mengenakan saman dan bahkan merampas harta-benda mereka.
Salah seorang daripada mereka berbuat demikian di daerah Afrika dan mati dibunuh di El Djem sekaligus membawa kepada pengisytiharan Gordian I sebagai maharaja Rom. Pengisytiharan ini diperakui oleh Senat Rom beberapa hari kemudian memandangkan mereka sendiri juga tidak lagi mengasihi Maximinus.
Namun, pemerintahan Gordian I hanya berpanjangan selama tidak kurang dari sebulan memandangkan gabenor di wilayah jiran (Numidia) yang bernama Capellianus menghantar bala tentera untuk memerangi beliau. Di kala Capellianus memiliki barisan tentera yang begitu ampuh, Gordian I hanya berupaya menghimpunkan pasukan tentera rakyat yang terdiri dari kalangan penduduk Carthage yang merupakan tanah kediamannya pada masa itu.
Capellianus dikatakan pernah membuat tuntutan makhamah terhadap Gordian I pada suatu masa dahulu dan kelangsungan pertempuran ini diandaikan sebagai lanjutan daripada dendam beliau terhadap Gordian I. Tambahan lagi, Gordian I telah pun menghantar seseorang untuk menggantikan Capellianus sebagai gabenor memandangkan Capellianus adalah pendokong setia Maximinus. Pasukan tentera Gordian I yang dipimpin oleh Gordian II dengan mudah ditewaskan dan beliau dipercayai membunuh diri. Beberapa tempoh waktu kemudian pada tahun yang sama, Gordian III ditabalkan menjadi maharaja.
Satu lagi petanda yang mengisyaratkan bahawa amfiteater ini tidak dibina pada masa kemewahan Rom adalah binaannya yang dapat dilihat tidak siap sepenuhnya. Hal ini mungkin berpunca dari kekurangan dana dan kehuru-haraan politik dalaman empayar. Makanya, walaupun Gordian I berniat untuk mendirikan sebuah amfiteater yang agung di tanah kelahirannya, atau mungkin Gordian III memasang hasrat untuk mengenang jasa datuknya dengan berdirinya monumen ini, hajat tersebut tidak direalisasikan secara sempurna.
.Walau bagaimanapun, sempurna atau tidaknya Amfiteater El Djem, ia masih merupakan tarikan pelancong utama pada hari ini. Signifikasinya terhadap nilai sejarah diperakui pada tahun 1979 apabila ia disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia.Menjelang bulan Julai 2017, dijangka lebih ramai dapat merasai sendiri pengalaman berjalan di dalam amfiteater El Djem menerusi pelaksanaan projek Google Street View yang membolehkan kita melakukan perjalanan virtual di mercu tanda dari zaman purba itu.
Pada mulanya, Google menangkap kebanyakan imej bagi projek Street View tersebut dengan menggunakan kamera-kamera yang dipasang di atas kereta-kereta mereka. Namun, kaedah sedemikian tidak sesuai bagi amfiteater ini. Maka, Google pun menghantar para pengendali kamera lintas langsung (live) merakam imej 360 degree dengan pandangan-pejalan-kaki.
DIOLAH DAN DITERJEMAHKAN DARI:
Wu Mingren. (25 Jun 2018). The Amphitheatre of El Djem: Gladiatorial Arena of Tunisia. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-africa/amphitheatre-el-djem-gladiatorial-arena-tunisia-003321
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih