Suatu
keganjilan sedang berlaku di United Kingdom apabila tumbuhan eksotik prasejarah
iaitu spesies cycad mampu tumbuh di negara empat musim itu buat pertama kali
dalam 60 juta tahun. Kisahnya bermula apabila Taman Botani Ventnor di Isle of
Wight memulakan suatu eksperimen membiakkan tumbuh-tumbuhan prasejarah akhirnya
berjaya menghasilkan kon jantan dan betina yang boleh menghasilkan biji benih.
Cycas revoluta yang mempunyai kon jantan Sumber: Wikimedia Commons
Walau
bagaimanapun, berita itu tidak disambut baik oleh para ahli botani memandangkan
mereka percaya bahawa perubahan iklim merupakan punca “kebangkitan semula”
tumbuhan yang berasal dari Jepun itu. Ia sebenarnya menunjukkan bahawa
peningkatan suhu boleh mengubah persekitaran dengan pantas. Dua tumbuhan cycad
spesies Cycas revoluta itu merupakan spesies tumbuhan purba yang hidup
sejak 280 juta tahun dahulu.
Cycad
dahulunya pernah hidup di Britain jutaan tahun lampau berdasarkan fosil
tumbuhan terbabit yang dijumpai di dalam lapisan batu (strata) Jurasik
yang mengunjur dari Isle of Wight ke persisiran Dorset, di era sewaktu iklim
bumi masih mengandungi kandungan gas karbon dioksida pada tahap tertinggi
secara semula jadi.
Cycas revoluta yang mempunyai kon betina
Sumber: Wikimedia Commons
Satu
tumbuhan yang ditanam di luar Ventnor telah menghasilkan kon jantan tujuh tahun
lalu manakala tahun ini tumbuhan lain pula mengeluarkan kon jantan seakan bunga
dan kon-kon betina, lantas memberi peluang kepada saintis untuk memindahkan debunga
dan menghasilkan biji benih.
Menurut
Chris Kidd, kurator Taman Botani Ventnor, “Buat pertama kali dalam 60 juta
tahun di UK, kami memperolehi kon jantan dan kon betina pada masa yang sama.
Ini merupakan petanda kukuh perubahan iklim sedang berlaku, bukan melalui bukti
imperikal oleh saintis tetapi oleh tumbuh-tumbuhan.”
Beliau menambah bahawa gelombang haba pada musim panas lepas dan rekod suhu melampau pada tahun ini telah menyebabkan tumbuhan tersebut menghasilkan kon di samping musim sejuk yang tidak seberapa turut membantu.
Beliau mengatakan bahawa rekod yang disimpan di taman botani itu menunjukkan julat suhu tertinggi pada Januari 100 tahun lalu lebih rendah berbanding julat suhu terendah terkini pada bulan yang sama.
Hasilnya, taman seluas 27 hektar (67 ekar), dengan iklim lebih sederhana daripada bahagian lain Britain kecuali Kepulauan Scilly, sedang tumbuh tumbuhan beriklim sederhana yang sebelumnya mustahil untuk hidup disebabkan musim sejuk Britain.
“30
tahun lepas kami tidak mungkin membesarkan tumbuh-tumbuhan ini. Walau
bagaimanapun, tumbuh-tumbuhan ini telah hidup di luar yakni di dalam taman
selama 15 tahun, melalui kitaran semula jadi mereka,” ujar Kidd lagi.
Cycas revoluta
Sumber: Wikimedia Commons
Cycad
merupakan tumbuhan purba yang hidup sejak sebelum kehadiran tumbuhan berbunga. C.
revoluta dipercayai didebungakan oleh kumbang di negara asalnya, Jepun. Di
taman botani pula, kedudukan tumbuhan yang mengandungi kon jantan agak jauh
daripada yang betina. Oleh sebab itu, debunganya dipindahkan menggunakan tangan
dalam tempoh lebih kurang seminggu.
Spesies cycad terdiri daripada tiga keluarga, dan yang masih hidup hanya beberapa spesies purba dan sebahagian besar jurai leluhur telah pupus disebabkan sekadar melalui perubahan kecil sejak tempoh Jurasik. Spesies ini dianggap sebagai “fosil hidup”.
Semua cycad merupakan tumbuhan asal kawasan beriklim panas di dunia dan tidak tumbuh di Eropah dan Antartika meskipun spesimen fosil era Jurasik yang menyerupai tumbuhan pada hari ini boleh ditemui di kedua-dua benua tersebut.
Cycad
di Malaysia
Tumbuhan prasejarah cycad tidaklah asing di Malaysia. Tumbuhan purba ini amat sesuai hidup dalam iklim panas dan lembap sepanjang tahun di sini. Salah satu spesies unik cycad yang hyper-endemik di Semenanjung Malaysia ialah Cycas cantafolia atau nama Melayunya, paku emas.
Dalam kalangan Orang Asli, ia digelar sebagai paku berlagu kerana pokok ini mengeluarkan bunyi di kala ditiup angin justeru nama saintifiknya dalam Bahasa Latin juga memberi maksud “pokok palma yang bernyanyi”.
RUJUKAN
Barkham, P.
(2019). Global heating: ancient plants set to produce in UK after 60m years.
Retrieved from https://www.theguardian.com/environment/2019/aug/22/global-heating-ancient-plants-set-to-reproduce-in-uk-after-60m-years
BH Online (2006). Pulihara
Bukit Tukau, Bukit Reban Kambing. Retrieved from https://www.bharian.com.my/node/147284




No comments yet