Sepasukan pakar arkeologi percaya mereka telah menemui vertebra manusia terawal di Israel. Vertebra ini dikatakan berusia 1.5 juta tahun dan ia turut menyimpan rahsia berkenaan gelombang pergerakan manusia dari Afrika ke Eurasia pada masa silam. Tulang vertebra yang dikenali sebagai UB 10749 ini ditemui di tapak arkeologi Ubeidiyya, Lembah Jordan pada 1966.

Tulang vertebra ini dipercayai milik seorang kanak-kanak lelaki yang berusia antara enam hingga 12 tahun semasa kematiannya. Saiz vertebra membantu saintis menganggarkan ketinggiannya sekitar 1.8 hingga 2 meter – tinggi bagi kanak-kanak pada usia berkenaan. Jika kanak-kanak mampu mencapai ketinggian sedemikian, inikan pula orang dewasa yang pernah menghuni petempatan purba itu.

Penemuan tulang vertebra ini membantu saintis membandingkannya dengan artifak dan tulang yang dijumpai di tapak-tapak arkeologi lain termasuk di Eropah. Ini termasuk tapak arkeologi Dmanisi di Georgia dengan kedua-duanya menyimpan bukti gelombang pergerakan manusia ke Eropah dan Asia dari Afrika secara berperingkat.

Saintis menganggarkan penghijrahan terawal manusia ke Timur Tengah termasuk Israel bermula lebih 1.5 juta tahun lalu. Sementara gelombang migrasi manusia terawal ke Georgia dikatakan bermula 1.8 juta tahun lalu dengan perbezaan masa sebanyak 300,000 tahun. Kajian terbaru ini membabitkan pakar-pakar dari Universiti Bar-Ilan, Kolej Akademi Ono, Universiti Tulsa dan Pihak Berkuasa Antikuiti Israel.

Jadi, bagaimana saintis tahu tapak Ubeidiyya berusia 1.5 juta tahun? Ini berdasarkan penemuan rangka haiwan di Ubeidiyya dan aktiviti pentarikhan karbon membabitkan artifak dan tulang-tulang yang ditemui.

Rajah 2: Tapak arkeologi Ubeidiyya. Sumber: Dr Omry Barzilai/Pihak Berkuasa Antikuiti Israel.

Penulis kajian Dr Alon Barash percaya penghijrahan manusia dari Afrika ke Eurasia bukan bersifat sekali sahaja (one-off) tetapi dalam bentuk gelombang. Ini berdasarkan bentuk fizikal manusia yang berbeza menghuni Dmanisi dan Ubeidiyya. Dapatan mereka mendapati bekas penghuni Ubeidiyya lebih tinggi daripada manusia yang pernah menghuni Dmanisi (ketinggian sekitar 1.5 meter).

Berdasarkan penyelidikan DNA dan bukti fosil, evolusi manusia bermula di Afrika sekitar enam juta tahun lalu. Dan kira-kira dua juta tahun lalu, manusia purba – yang menghampiri tetapi belum mencapai status manusia moden – mula berhijrah dan tersebar ke seluruh pelosok Eurasia dari Afrika. Proses migrasi ini dikenali sebagai Keluar dari Afrika (Out of Africa).

Begitupun, proses ini tidak menjelaskan migrasi manusia dari Afrika ke lokasi lain secara menyeluruh. Kajian-kajian terbaru mendedahkan pergerakan kecil migrasi manusia bermula 120,000 tahun lalu sebelum disusuli dengan migrasi besar-besaran 60,000 tahun lalu.

Ini disokong dengan penemuan artifak dan rangka manusia yang sampai di Asia sebenarnya melebihi usia 60,000 tahun. Contohnya, di selatan dan tengah China, komuniti arkeologi menemui rangka manusia Homo sapiens yang berusia antara 70,000 hingga 120,000 tahun lalu. Sementara kajian lain mendapati manusia tiba di Asia Tenggara dan Australia melebihi angka 60,000 tahun lalu.

Ubeidiyya dan Dmanisi merupakan tapak arkeologi tertua yang terletak di luar benua Afrika. Di Ubeidiyya, ia sudah beberapa kali diekskavasi oleh pengkaji arkeologi dari 1960 hingga 1999. Selain tulang vertebra manusia, mereka turut menemui rangka haiwan seperti mamot dan kerbau gergasi. Turut dijumpai tulang spesies haiwan yang tidak wujud di Israel hari ini seperti babun, badak air dan zirafah.

Sementara untuk artifak pula, antara yang dijumpai ialah batu api, kapak tangan yang diperbuat daripada basalt, alat-alat memotong dan serpihan batu yang terhasil daripada flin. Baru-baru ini, kerja-kerja ekskavasi di Ubeidiyya disambung semula di mana ia diketuai oleh Profesor Miriam Belmaker (Universiti Tulsa) dan Dr Omry Barzilai (Pihak Berkuasa Antikuiti Israel). Projek ekskavasi ini dibiayai menerusi geran Yayasan Sains Kebangsaan Amerika Syarikat.

Rajah 3: Contoh alat memotong flin yang ditemui di Ubeidiyya. Sumber: Dafna Gazit/Pihak Berkuasa Antikuiti Israel.

Tambah Dr Barash lagi, wujud perdebatan dalam kalangan pengkaji arkeologi bahawa penghijrahan manusia ke Eurasia dari Afrika bersifat sekali sahaja atau dalam bentuk gelombang. Tetapi menerusi penemuan tulang vertebra Ubeidiyya, ia menjawab semua isu berbangkit berkenaan penghijrahan manusia ke Eurasia pada masa silam.

Jadi, apa yang mendorong manusia berhijrah ke Eurasia? Prof Belmaker percaya penghijrahan tersebut didorong oleh faktor iklim. Faktor sama turut digunakan bagi menentukan lokasi sesuai untuk mereka tinggal dan membina petempatan.

Berdasarkan dapatan ekskavasi di Ubeidiyya, ia lebih lembap dan bersesuaian dengan iklim Mediterranean. Sementara di Dmanisi pula, ia lebih kering dan mempunyai habitat persis savana. Ini juga menjelaskan mengapa dua kumpulan manusia yang menetap di dua lokasi itu menghasilkan budaya peralatan batu yang berbeza. Kajian ini diterbitkan dalam jurnal Scientific Reports.

RUJUKAN

Chadwick, J. (2022, 2 Februari). A spine-tingling discovery: Human vertebra dating back 1.5 MILLION years is uncovered in Israel – and suggests our ancient relatives migrated from Africa to Eurasia in waves. Daily Mail.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply