Sekiranya anda dalam perjalanan ke Bukit Bendera, Pulau Pinang, anda akan melintasi struktur ini yang terletak di Bulatan Air Itam.  Sebuah tugu berbentuk lori Dodge digambarkan ditolak oleh beberapa orang lelaki yang mempunyai raut wajah Cina.  Dengan hanya tulisan Cina di tugu utama ini, kehadiran tugu ini membangkitkan kontroversi kerana disalah anggap sebagai suatu tugu yang telah dibina untuk mengagungkan pengganas komunis.

Pandangan pertama kebanyakan pengunjung.

Sejarah di Sebalik Tugu

Sejarah negara kita bukanlah sehitam dan seputih yang diinginkan kebanyakan rakyat Malaysia.  Mungkin sebab kerana bagaimana sejarah diajar di sekolah-sekolah dan bagaimana Kementerian Pelajaran menstrukturkan matapelajaran sejarah kita, maka banyak perkara yang telah diabaikan ataupun lebih tepat, kurang diberi perhatian.  Ini diburukkan lagi dengan tugu itu hampir sepenuhnya ditulis dalam Bahasa Cina.

Sebelum Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan, orang Cina yang berada di Tanah Melayu tidak diiberikan langsung hak sebagai rakyat kerana sekadar pekerja asing yang dibawa masuk ke Tanah Melayu untuk bekerja di sektor perladangan dan perlombongan.  Itu tidak menjadi masalah kepada orang Cina ketika itu kerana kepada mereka ketika itu, tanahair adalah Zhungguo atau Tongsan, bergantung kepada dialek yang dituturkan.

Taat setia mereka pula bukanlah kepada Raja-Raja Melayu di negeri mereka menyara diri, tetapi kepada kerajaan pusat di China.  Jiwa patriotisme wujud, tetapi bukan kepada Tanah Melayu.

Taat setia ini dizahirkan bukan sahaja melalui sistem sekolah vernakular yang wujud ketika itu yang menggunakan sukatan pelajaran dari China, tetapi juga dari segi penyertaan politik.  Cina di Tanah Melayu menduduki tempat teristimewa dalam sejarah China kerana menjadi antara penyumbang utama kepada usaha Dr. Sun Yat-Sen dalam Revolusi China.  Malahan, Dr. Sun Yat-Sen dipercayai menggerakkan Revolusi China dari sebuah rumah banglo yang masih berdiri hari ini di Jalan MacAlister, Pulau Pinang.

Oleh itu, apabila Perang antara China dan Jepun meletus akibat peristiwa Jambatan Marco Polo, para peniaga Cina di Tanah Melayu dan Singapura telah mengumpulkan dana untuk membantu usaha China menentang Jepun.  Dari seluruh Tanah Melayu dan Singapura, hampir 3,000 pemuda telah menjadi sukarelawan kepada Tentera Nasionalis China.  Antara mereka yang menjadi sukarelawan ini adalah Tan Chong Tee, bekas pemain badminton terkemuka dari Singapura yang kemudiannya dipilih menyertai Operation Gustavus bersama dengan Lim Bo Seng.

Namun, bilangan sebenar mungkin lebih tinggi kerana 3,000 pemuda ini adalah dari kalangan mereka yang kemudiannya menjadi sukarelawan kepada pasukan logistik kepada Tentera Nasionalis China.  Ada pemuda Cina Tanah Melayu dan Singapura yang diterima masuk dalam Tentera Nasionalis China sebagai pegawai dan anggota unit tempur kerana memiliki sijil persekolahan sekolah Cina yang diiktiraf kerajaan Nasionalis China ketika itu.

Sebagai sukarelawan unit logistik, mereka bertindak membawa lori dari sejauh Cox’s Bazaar dan Mandalay sehingga ke Kunming di China.  Mereka bukan sahaja berhadapan dengan jalan yang sukar dan belum diterokai, tetapi juga berhadapan dengan ancaman serangan dari Tentera Jepun.  Lori yang digunakan pula adalah dari jenama Dodge, dan ini dizahirkan pada tugu yang terletak di hadapan SJK(C) Kong Min Center yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga tugu tersebut.

Lori Dodge yang digunakan di jalan-jalan hutan di Burma.

Selepas tamat perang, pertubuhan-pertubuhan Cina di Pulau Pinang telah menyelongkar seluruh pulau tersebut dan menemui sehingga 800 mayat yang sama ada terbiar ataupun tak disempurnakan.  Mayat-mayat ini dikumpulkan dan dibakar sebelum abu mayat tersebut disemadikan di tugu ini. Selepas tamatnya perang, mereka yang masih hidup kemudiannya kembali ke Tanah Melayu. Terdapat juga antara mereka yang terus tinggal di situ.  Antaranya dua sepupu angkat kepada Datuk Sri Leong Chee Woh, pengasas kepada Pasukan F Cawangan Khas.

Tragedi di sebalik Tragedi

Apabila menceritakan politik Cina di Malaysia, khususnya di Semenanjung Malaysia, kita tidak boleh lari daripada menceritakan evolusi politik Cina.

Seperti disebutkan tadi bahawa taat setia Cina Tanah Melayu ketika Perang Dunia Kedua adalah kepada China.  Jadi tidak hairanlah bahawa pengaruh politik China turut meresap di kalangan penduduk Cina di Tanah Melayu.

Politik China diwarnai 2 kelompok utama yakni nasionalis yang menubuhkan Parti Nasionalis China atau Kuomintang, dan Parti Komunis China yang berfahaman komunis.  Kedua-dua parti mempunyai syak wasangka antara satu sama lain tetapi ini tidak menghalang Kuomintang untuk menerima anggota Parti Komunis China memasuki parti tersebut dalam usaha membangunkan China.

Namun, penyertaan Parti Komunis China di dalam Kuomintang itu cumalah sekadar untuk menyebar pengaruh fahaman komunisme.  Langkah tersebut selari dengan keputusan yang dibuat dalam Kongres Komunis Antarabangsa ke-enam yang turut menggariskan langkah kepada parti-parti komunis untuk bekerjasama dengan parti-parti aliran nasionalis di negara masing-masing untuk membesarkan pengaruh masing-masing sebelum menggerakkan revolusi bersenjata.

Akibatnya, anggota-anggota komunis Parti Komunis China berjaya membuka cawangan Parti Komunis Nanyang (Nanyang bermaksud Tenggara) yang memasuki Singapura dan Tanah Melayu dengan berselindung di sebalik identiti Kuomintang.

Hubungan antara Parti Komunis China dan Kuomintang merenggang sehingga tercetusnya Perang Saudara China pada tahun 1927.  Pada masa sama, Parti Komunis Nanyang dimansuhkan dan digantikan dengan Parti Komunis Malaya bagi mengembangkan usaha Commintern (Communist International) mengganggu ekonomi di Tanah Melayu, dengan harapan, gangguan ekonomi di Tanah Melayu ini akan menyebabkan lebih ramai penduduk tempatan yang berhadapan dengan kemiskinan akan mudah terpengaruh dengan ideologi komunisme.

Ini akan memudahkan usaha mereka menubuhkan sebuah kerajaan komunis di Tanah Melayu yang merdeka daripada penjajahan barat, tetapi di bawah telunjuk Communist International.  Langkah yang dikatakan dicadangkan oleh Vladimir Ilyich Lenin itu dikatakan untuk melemahkan ekonomi negara Barat yang mempunyai jajahan di Asia dan Afrika agar mengganggu ekonomi negara-negara tersebut sehinggakan boleh menghasut penduduk negara Barat bangkit bersama komunisme.

Apabila Perang Dunia Kedua meletus, Parti Komunis Malaya yang ketika itu berada di bawah Setiausaha Agung Lai Teck telah diarahkan bekerjasama dengan Tentera Berikat bagi menentang Jepun.  Tetapi pada masa sama tidak menghalang mereka untuk meluaskan pengaruh mereka di kalangan penduduk Cina tempatan.

Disebabkan kebanyakan penyokong Kuomintang sama ada telah menyertai pasukan Tentera Nasionalis China atau telah menyertai pasukan sukarelawan di Burma, bilangan anggota Kuomintang yang menjadi sukarelawan dalam Overseas Chinese Anti-Japanese Army (OCAJA) lebih sedikit berbanding mereka yang menyertai Malayan People’s Anti-Japanese Army (MPAJA).

Selepas Jepun menjajah Tanah Melayu, kedua-dua OCAJA dan MPAJA turut menjadi sebahagian daripada ketumbukan di bawah Force 136.  Namun, kegagalan Operation Gustavus menyaksikan Lim Bo Seng dan pasukan OCAJA di bawah beliau ditangkap Jepun.  Ini menyebabkan pasukan OCAJA terputus hubungan dengan Force 136.  Peluang ini diambil oleh PKM untuk menghapuskan unit-unit kecil OCAJA dengan menggunakan anggota-anggota MPAJA yang telah diindoktrinasikan dengan fahaman komunis.  Operasi-operasi anti-OCAJA yang dilaksanakan MPAJA ini dilakukan tanpa pengetahuan Force 136.  Terhapusnya ancaman OCAJA kepada MPAJA menyebabkan orang Cina yang hendak menentang Jepun hanya mempunyai satu pilihan sahaja, iaitu dengan menyertai MPAJA, dan ini adalah tragedi di sebalik tragedi.

Hari ini, sekiranya sejarah Perang Dunia Kedua dibangkitkan, kebanyakan rakyat Malaysia cuma pernah mendengar ‘usaha’ MPAJA bersama Force 136 menentang Jepun.  Tetapi sejarah unit seperti Askar Wataniah Pahang serta OCAJA terus terpendam begitu sahaja.

Begitu juga sejarah bagaimana kepimpinan MPAJA, antaranya Lai Teck dan Chin Peng pernah berunding dengan Ibrahim Yaacob untuk bergabung tenaga bagi menentang pendaratan Tentera Berikat di Morib.  Rancangan tersebut digagalkan apabila Lai Teck menolak rancangan tersebut di saat-saat terakhir.  Keputusan tersebut menyaksikan kembalinya British ke Tanah Melayu.  Chin Peng ketika itu sudahpun bersedia mengambil langkah untuk mennghapuskan anggota-anggota Force 136 yang ditumpangkan dengan pasukan MPAJA.

Namun, keputusan yang sama itu mengundang padah kepada hampir 400 orang anggota Tentera Jepun yang berpaling tadah dan menyertai PKM kerana ingin membantu PKM menentang British.  Menurut Chin Peng dalam bukunya, disebabkan 400 orang ini cuma fasih berbahasa Jepun, dan PKM tidak boleh menyembunyikan mereka, kesemua 400 orang anggota Jepun itu telah dibunuh dan dikuburkan di lokasi rahsia di hutan Perak.

MPAJA – Kontroversi 

Amat senang bagi kita melabelkan bahawa MPAJA itu adalah PKM dan PKM adalah MPAJA.  Kenyataan ini adalah bersifat kontroversi.  Bukan semua MPAJA itu adalah berfahaman komunis.  Ramai antara mereka terpaksa berjuang bersama komunis atas sebab-sebab di atas.  Dan ramai antara mereka gagal diindoktrinasikan oleh PKM sepenuhnya.  Sebaliknya, apabila tercetus Darurat pada tahun 1948, salah satu alasan yang digunakan untuk mempergunakan mereka menentang kerajaan adalah bahawa British telah menipu mereka wang yang dijanjikan sebagai gaji semasa perang.

Ramai anggota Malayan National Liberation Army (MNLA) yang menyerah diri antara tahun 1948 sehingga 1955 bukan sahaja berjaya dipulihkan kembali ke masyarakat, tetapi juga telah menyertai pasukan keselamatan untuk menghapuskan ancaman yang datang daripada rakan-rakan mereka terdahulu, sama ada sebagai anggota polis di bawah Special Operations Volunteer Force (SOVF) yang berkekuatan 2 batalion dan ditempatkan di bawah Pasukan Polis Hutan, dalam Cawangan Khas, dan juga dalam Rejimen Peninjau Persekutuan.

Dinding yang diukirkan peringatan kepada usaha mereka.


Kerakyatan 

Taat setia orang Cina selepas tamat Perang Dunia Kedua masih lagi kepada China.  Malahan, terdapat lagi orang Cina Tanah Melayu yang cuba menyertai Tentera Nasionalis China pada masa ini.  Antaranya adalah mendiang Tan Sri Yuen Yuet Leng.  Beliau telah ke negara China untuk menyertai Tentera Nasionalis China.  Tetapi setelah melihat kedaifan China ketika itu, beliau membuat keputusan untuk kembali ke Tanah Melayu.  Tidak lama selepas itu, beliau menyertai Polis Tanah Melayu yang ketika itu amat memerlukan rekrut baru.  Sebagai rekod, ketika beliau menyertai Polis Tanah Melayu, beliau belum lagi mendapat taraf kerakyatan, menjadikan Polis Tanah Melayu satu-satunya laluan kepada bukan Melayu untuk berkhidmat menentang komunis ketika itu.

Namun, dengan tumbangnya kerajaan Nasionalis di Tanah Besar China dan berpindah ke Taiwan pada tahun 1949, orang Cina di Tanah Melayu berhadapan dengan persoalan apakah China masih lagi boleh dianggap sebagai tanahair.  Realiti yang cukup pedih itu mengejutkan orang Cina untuk memikirkan taat setia mereka.

Taat setia orang Cina cuma mula berubah dari China ke Tanah Melayu selepas diberi peluang untuk mendapatkan kerakyatan dalam Persekutuan Tanah Melayu.  Peluang kerakyatan itu turut membuka peluang kepada Cina dan India untuk menyertai Angkatan Tentera Malaysia.  Bagi Tan Sri Yuen, barulah usaha beliau menentang komunis nampak berbaloi.  Malahan ketika itu, beliau sudahpun pernah ditembak sehingga parah dengan sekurang-kurangnya sebutir peluru dalam badannya ketika menerima hak kerakyatan Tanah Melayu.

Hari Ini 

Walaupun tugu-tugu ini pernah membawa kontroversi akibat disalah-ertikan, adalah afdal bagi tugu-tugu ini dibiarkan berkekalan di lokasi tersebut.  Apatah lagi tugu tersebut juga merupakan tempat persemadian terakhir 800 orang yang nama mereka sudah hilang ditelan zaman.

Tambahan pula, sejarah di sebalik tugu ini adalah sejarah yang sepatutnya dikongsikan bersama.  Apakah kerana implikasi bahawa orang Cina ketika Perang Dunia Kedua mempunyai taat setia kepada negara lain menjadi punca kisah ini tidak mendapat perhatian?  Atau adakah kerana tugu ini menyaksikan sumbangan Kuomintang yang cuba dipadamkan oleh penyokong komunisme?

Mungkin kita tidak akan dapat tahu sebab sebenarnya sampai bila-bila.

RUJUKAN:     

  1. Pemberontakan Bersenjata Komunis di Malaysia, edisi Kedua, Mohd. Reduan Haji Asli, DBP.
  2. Alias Chin Peng: My Side of History.
  3. Scorpio in the Dragon’s Playground, Datuk Dr. Leong Chee Woh.
  4. Memoirs of the Malaysian Armed Forces Veterans, MACVA.
  5. Our Man in Malaya – John Davis, Margaret Shennan.
  6. Malayan Spymaster – Memoirs of a Rubber Planter, Bandit Fighter and Spy, Boris Hembry.
  7. Red Star Over Malaya, Cheah Boon Kheng.
  8. Force 136 – Story of  a World War II Resistance Fighter, Tan Chong Tee.
  9. War of the Running Dogs: Malaya 1948 – 1960, Noel Barber.
  10. Nation Before Self: and Values that do not Die, Tan Sri Yuen Yuet Leng

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang pemalas dari Sarawak. Royalist, Federalis, pemerhati dunia pertahanan, ekonomi dan geopolitik. Seorang pengumpul buku. Memiliki PHD (permanent head damage) selepas kepalanya jatuh terhantuk di atas jalan raya. Memegang ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Sains Malaysia serta merupakan seorang Akauntan Bertauliah dari Institut Perakaunan Malaysia.

Comments are closed.