Sabtu, 31 Oktober 202631 Okt 2026
Kriminologi

Trump Hampir Dibunuh Sekali Lagi!

Ah! Kurang asam betul! Punyalah liat nyawa si Trump ni.

Malam 25 April 2026, suasana di White House Correspondents’ Dinner bertukar jadi mimpi ngeri.

Majlis tahunan itu berlangsung di Washington Hilton, sebuah hotel yang bukan asing dalam sejarah gelap politik Amerika. Di hotel inilah juga Presiden Ronald Reagan pernah ditembak pada tahun 1981 oleh John Hinckley Jr. 45 tahun kemudian, tempat yang sama sekali lagi menjadi saksi kepada satu lagi kejadian yang hampir menggegarkan Amerika Syarikat. Kali ini, orang yang berada di tengah-tengah bahaya ialah Donald Trump.

Trump hadir malam itu bersama Melania Trump, Naib Presiden JD Vance, anggota kabinet, pegawai kanan pentadbiran, wartawan terkenal dan tetamu-tetamu besar lain.

Tiba-tiba, bunyi letupan kedengaran.

Pada mulanya, Trump sendiri kata dia ingat mungkin bunyi dulang jatuh. Tapi Melania dikatakan lebih cepat menangkap keadaan. Menurut Trump, isterinya terus rasa ada sesuatu yang tidak kena. Beberapa saat kemudian, semua orang mula sedar. Itu bukan bunyi dulang. Itu bunyi tembakan.

Dalam sekelip mata, ballroom yang tadi penuh dengan suasana makan malam berubah jadi kacau-bilau. Tetamu menunduk bawah meja. Ada yang tidak faham apa sedang berlaku. Ejen Secret Service terus bergerak. Trump, Melania, JD Vance dan beberapa pegawai kanan dikeluarkan dari kawasan itu. Associated Press melaporkan Trump tidak cedera, sementara seorang lelaki bersenjata api dan pisau telah ditahan selepas cuba menyerbu kawasan ballroom dan melepaskan tembakan.

Suspek yang ditahan kemudian dikenal pasti sebagai Cole Tomas Allen, 31 tahun, dari Torrance, California. Menurut laporan NBC News dan Reuters, Allen datang ke Washington dengan menaiki kereta api dari Los Angeles ke Chicago, kemudian dari Chicago ke Washington, D.C. Dia dipercayai mendaftar masuk sebagai tetamu di hotel tempat majlis itu berlangsung beberapa hari sebelum serangan. Tapi, macam mana seorang lelaki bersenjata boleh berada begitu dekat dengan majlis yang dihadiri presiden Amerika?

Pihak berkuasa berkata Allen membawa shotgun, pistol dan beberapa bilah pisau. Dia cuba melepasi pos keselamatan Secret Service untuk menuju ke ballroom. Di situlah dia bertembung dengan anggota keselamatan. Tembakan berlaku. Seorang ejen Secret Service terkena tembakan, tetapi terselamat kerana peluru mengenai vest kalis peluru. Allen pula tidak ditembak mati. Dia ditumbangkan, ditahan dan dibawa untuk pemeriksaan. Kalau beberapa saat sahaja pasukan keselamatan lambat bertindak, malam itu mungkin bertukar menjadi tragedi yang jauh lebih besar.

Allen dipercayai menghantar tulisan kepada keluarganya kira-kira 10 minit sebelum serangan. Dalam tulisan itu, dia meminta maaf kepada ibu bapa, rakan sekerja, pelajar dan orang awam atas apa yang dia akan lakukan. Tetapi dalam masa sama, dia menyatakan kemarahan terhadap pentadbiran Trump. Dia menulis bahawa pegawai pentadbiran adalah sasaran, disusun mengikut keutamaan daripada pangkat tertinggi ke bawah. Pihak penyiasat sedang meneliti sentimen anti-Trump sebagai motif utama, manakala Acting Attorney General Todd Blanche berkata suspek dipercayai menyasarkan anggota pentadbiran Trump.

Setakat laporan awal, pihak berkuasa belum memuktamadkan semua pertuduhan sebagai cubaan membunuh Trump secara khusus. Namun pegawai kanan Amerika sendiri menyatakan Trump dan pentadbirannya dipercayai menjadi sasaran. The Guardian melaporkan suspek mungkin berdepan pertuduhan cubaan membunuh Trump bergantung kepada perkembangan siasatan.

Apa yang membuatkan cerita ini makin pelik ialah latar belakang suspek. Cole Tomas Allen merupakan graduan kejuruteraan mekanikal dari California Institute of Technology atau Caltech, sebuah universiti elit yang sangat susah dimasuki. Dia pernah terlibat dalam pertandingan reka bentuk robot, pernah membangunkan prototaip brek kecemasan untuk kerusi roda, kemudian bekerja sebagai pembangun permainan video bebas dan guru sambilan. Tempat dia bekerja, C2 Education pernah menamakan dia sebagai “teacher of the month” pada Disember 2024.

Orang yang pernah mengenalinya pula menggambarkan dia sebagai sangat bijak, pendiam, sopan dan lembut. Ada bekas rakan sekolah menyifatkan dia seperti “borderline genius”. Profesor yang pernah mengajarnya pula terkejut apabila namanya dikaitkan dengan serangan ini.

Tetapi berdasarkan laporan awal, keluarga Allen sebenarnya sudah ada tanda-tanda risau. NBC News melaporkan adiknya memberitahu pihak berkuasa bahawa Allen pernah membuat kenyataan radikal dan pernah bercakap tentang mahu melakukan “sesuatu” untuk membetulkan masalah dunia. Dia juga dipercayai menyimpan senjata di rumah ibu bapanya tanpa pengetahuan mereka. Rekod menunjukkan dia membeli pistol pada 2023 dan shotgun pada 2025. Menurut pegawai, dua senjata itulah yang ditemui bersamanya pada malam kejadian.

Dalam nota yang dihantar sebelum serangan, Allen juga didakwa menulis tentang “rules of engagement” atau peraturan sasaran. Dia mahu menyasarkan pegawai pentadbiran, tetapi cuba mengelakkan orang awam, pekerja hotel dan tetamu biasa jika boleh.

Kejadian ini menjadi lebih besar kerana Trump sudah pernah melalui mimpi ngeri yang hampir sama.

Pada 13 Julai 2024, ketika kempen pilihan raya di Butler, Pennsylvania, Trump ditembak ketika sedang berucap di pentas terbuka. Peluru mengenai bahagian atas telinga kanannya. Seorang peserta perhimpunan, Corey Comperatore terbunuh ketika melindungi keluarganya. Dua lagi cedera parah. Penembak, Thomas Matthew Crooks berusia 20 tahun melepaskan lapan das tembakan dari atas bumbung bangunan berhampiran sebelum ditembak mati oleh pasukan keselamatan. FBI kemudian menyatakan peluru memang mengenai telinga Trump. Sehinggakan gambar Trump dengan muka berdarah, dikelilingi Secret Service sambil mengangkat penumbuk dan menyebut “Fight! Fight! Fight!” menjadi salah satu imej politik paling terkenal dalam sejarah moden Amerika.

Kemudian pada 15 September 2024, satu lagi cubaan berlaku di Trump International Golf Club, West Palm Beach, Florida. Ryan Wesley Routh bersembunyi berhampiran padang golf dengan senapang sebelum dikesan oleh Secret Service. Trump tidak cedera. Routh kemudian didapati bersalah dan pada Februari 2026 dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa parol, serta tambahan tujuh tahun berkaitan kesalahan senjata api.

Amerika memang ada sejarah panjang pembunuhan politik. Abraham Lincoln dibunuh pada 1865. James Garfield ditembak pada 1881. William McKinley dibunuh pada 1901. John F. Kennedy ditembak mati pada 1963. Ronald Reagan hampir dibunuh pada 1981, juga di Washington Hilton.

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet