Dalam Bahasa Melayu tak ada istilah yang setara makna dengan “impeachment”. Sebab tu bila kita baca tajuk berita “Dewan Perwakilan AS mula siasatan rasmi” akan rasa macam “meh” sikit.
Tapi kat US, berita ni gempak. Impeachment ialah perkara yang serius. Ia merupakan proses untuk melucutkan Presiden daripada jawatannya. Istilah “pendakwaan” tak sampai maksud. Kalau Indonesia pakai “pemakzulan”, diambil daripada perkataan Arab “maʿzūl” (معزول) yang lebih dekat maknanya dengan “dethronement” atau “depose” berbanding impeachment.
Kuasa untuk memulakan impeachment ada pada Dewan Perwakilan (House of Representatives) yang merupakan “lower house” dalam Kongres US. Ahli Dewan Perwakilan akan meluluskan “Articles of Impeachment”, kira macam kertas dakwaan terhadap Presiden. Kemudian “Articles of Impeachment” ni akan dimajukan kepada Senate (“upper house”) dan Senate akan memulakan perbicaraan. Sekiranya 2/3 (67 daripada 100) ahli Senate mendapati Presiden bersalah, maka Presiden akan dibuang daripada jawatan.
Idea untuk impeach Presiden ni dicipta oleh Bapa-Bapa Pengasas (Founding Fathers) US semasa diorang menggubal Perlembagaan US pada tahun 1789. Diorang takut kalau tak ada mekanisme untuk buang Presiden, maka akan berlaku korupsi malah pemerintahan diktator. Kena ingat, Presiden US bukan macam PM Britain yang boleh diturunkan menerusi undian tidak percaya. Presiden US adalah ketua negara yang setaraf dengan raja/ratu Britain, ada kekebalan daripada dakwaan jenayah (ingat tak dulu aku kata sistem republik berpresiden seperti US ni diilhamkan oleh monarki? https://www.facebook.com/ayman.rashdan.wong/posts/10209143263458320)
Jadi diorang merujuk sejarah Rom, dan jumpa contoh di mana Consul boleh dibuang menerusi perbicaraan oleh Senate, maka diorang pun mengabadikan sistem itu dengan nama impeachment ke dalam Perlembagaan bagi membuang mana-mana Presiden yang melakukan kesalahan “treason, bribery, or other high crimes and misdemeanors”.
Sistem impeachment ni kemudian disebarkan ke negara yang mengamalkan sistem republik berpresiden sama macam US, termasuk Korea Selatan di mana Presiden Park Geun-hye dilucutkan jawatan pada tahun 2017 dan juga Indonesia di mana Presiden Abdurrahman “Gusdur” Wahid “dimakzulkan” pada tahun 2001.
Sekarang, Demokrat di US yang diketuai oleh Nancy Pelosi cuba impeach Trump atas tuduhan bersubahat dengan kuasa asing. Ceritanya, ada pemberi maklumat yang mendedahkan Trump pernah menelefon Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky (bekas pelakon siri lawak) pada Julai lepas dan mendesak Zelensky supaya menyiasat salah laku Joe Biden semasa menjadi Naib Presiden US pada zaman Obama (2009-2016).
Trump mendakwa bahawa Biden telah memberi tekanan kepada kerajaan Ukraine untuk melucutkan jawatan Viktor Shokin, Pendakwa Raya Ukraine pada 2016 selepas Shokin cuba menyiasat salah laku Hunter Biden, anak Joe Biden yang menjadi ahli lembaga di syarikat gas asli Ukraine bernama Burisma.
Trump nak jadikan isu tu sebagai modal untuk memburuk-burukkan Biden pada kempen pilihanraya presiden tahun depan, sebab Biden ialah antara calon Presiden dari Parti Demokrat. Trump ugut, kalau Zelensky tak bekerjasama, maka dia akan memberhentikan bantuan ketenteraan kepada Ukraine.
Dari hari pertama Trump jadi Presiden, Demokrat dah cuba impeach Trump atas tuduhan berkomplot dengan Rusia untuk memenangi pilihanraya presiden 2016. Tapi hasil siasatan atas tuduhan tersebut (Laporan Mueller) tidak cukup kuat untuk mendakwa Trump. Jadi Demokrat anggap isu Ukraine ni sebagai “peluru” percuma untuk tembak Trump.
Kalau impeachment ke atas Trump ni jadi (sekarang masih “impeachment inquiry”, belum lagi “impeachment proceeding”), maka Trump akan jadi Presiden US ke-3 dalam sejarah yang berdepan dengan impeachment, selepas Andrew Johnson (1868) dan Bill Clinton (1998). Johnson kena impeach sebab memecat dan melantik menteri tanpa persetujuan Senate, Clinton pula sangkut dengan skandal bersama Monica Lewinsky (tapi Clinton bukan didakwa atas skandal, sebaliknya atas sebab memberi testimoni palsu menafikan hubungannya dengan Lewinsky). Dua-dua Demokrat, dan dua-dua selamat daripada dilucutkan jawatan.
Memandangkan impeachment memerlukan 2/3 undian daripada Senate, kebarangkalian untuk Trump disabitkan kesalahan adalah rendah sebab Republikan merupakan majoriti di Senate dengan 53 kerusi.
Sebab tu Trump tak gentar, walaupun agak koyak dekat Twitter, tak habis-habis ratib “witch hunt garbage” “witch hunt scam”. Dan Trump janji dia akan public-kan transkrip telefon antara dia dan Zelensky untuk menunjukkan dia tak ugut Zelensky.
Impeachment yang pada asalnya dicipta sebagai satu mekanisme untuk menjamin integriti Presiden kini dah dijadikan sebagai senjata untuk menjatuhkan musuh politik. Selepas Republikan menguasai Dewan Perwakilan dalam pilihanraya 1994, Republikan duk nak cari peluang untuk impeach Clinton. Namun impeachment ke atas Clinton bukan saja tak berjaya menurunkan Clinton, malah menyebabkan Republikan kehilangan majoriti di Dewan Perwakilan dalam pilihanraya 2 tahun selepas itu.
Jadi, orang risau sejarah akan berulang. Walaupun Pelosi beriya-riya nak impeach Trump, orang risau benda itu akhirnya akan “backfire” dekat Demokrat.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih