Jumaat, 23 Oktober 202623 Okt 2026
Kronikel Dunia

Transrasial Yang Menolak Identiti Kaum Sendiri – Treasure Richard

Adakah anda pernah mengalami fasa atau perasaan di mana anda membenci
diri dan kaum sendiri? Atau lebih khusus lagi, adakah anda pernah melalui keadaan
di mana anda benci menjadi seorang Melayu dan tidak sukakan kaum Melayu itu
sendiri? Atau anda ingin memangkah kotak identiti kaum lain dan bukan kaum
kelahiran anda yang sepatutnya dalam dokumen rasmi? Anda tidak keseorangan
dalam hal ini. Terdapat beberapa kes terkenal mengenai individu yang mengalami
krisis identiti, enggan dianggap sebagai kaum asal kelahiran, sebaliknya
mengaitkan diri dengan kaum berbeza yang dipanggil sebagai transrasial. Kes
pertama melibatkan seorang remaja kulit hitam keturunan Afrika-Amerika bernama
Treasure Richards. Gadis berumur 16 tahun itu menjadi tajuk utama akhbar-akhbar
dan topik perbincangan hangat di media sosial selepas muncul dalam satu
rancangan temubual tabloid.

Rancangan tersebut membicarakan kes-kes kontroversi dan sensasi dengan
menampilkan tetamu jemputan yang terlibat dalam masalah yang dihadapi. Ia
dikendalikan oleh ahli psikologi selebriti Dr. Phil yang menamakan rancangan
wawancara tersebut dengan namanya sendiri. Dalam episod bertarikh 24 Oktober
2018, Treasure muncul bersama ibu, Monique dan abangnya Kendal, yang mendakwa
Treasure bersikap rasis terhadap kaum kulit hitam sejak berusia 5 tahun.
Menurut Monique, anak gadisnya itu tidak mahu bermain dengan anak patung kulit
hitam atau kanak-kanak kulit hitam. Treasure juga mengeluarkan kata-kata kesat
menghina kaumnya secara terbuka tanpa sebab munasabah. Antara hinaan yang
dikeluarkan Treasure ialah mengejek wajah bayi kulit hitam sebagai hodoh
seperti gorila. Berdasarkan rakaman video Youtube yang dibuat di kediamannya,
Treasure memberikan beberapa alasan mengapa dia merasakan dirinya seorang kulit
putih Kaukasia. “Saya tahu ramai orang tak setuju dengan pendapat saya. Saya
adalah orang kulit putih. Saya seorang Kaukasia kerana semua tentang diri saya
berlainan daripada kaum Afrika-Amerika. Rambut saya semulajadi lurus. Saya tak
perlukan krim pelurus sebab rambut saya tak kerinting. Hidung saya tak besar
seperti hidung orang Afrika-Amerika. Bibir saya sempurna, tak terlalu nipis,
tak terlalu tebal, sedang-sedang elok saja.” 

Treasure tidak segan silu mengakui Presiden Donald Trump adalah
idolanya selain memuja selebriti wanita berkulit putih seperti Jennifer Aniston
dan Kim Kardashian. Ku Klux Klan, pertubuhan pelampau fahaman kanan dianggap
Treasure sebagai organisasi yang bijak dan berada pada landasan yang betul.
Treasure juga menganggap Obama seorang Presiden US yang tidak membawa apa-apa
kemajuan kepada negara itu, sebaliknya memuji kepimpinan Trump. Kenyataan Treasure
dalam rakaman video di rumah yang begitu prejudis terhadap kaum Afrika-Amerika
sangat mengejutkan Dr. Phil dan semua hadirin. Di studio, sekali lagi Dr Phil
menyoal Treasure, apakah yang membuatkan Treasure percaya bahawa dia adalah
seorang kulit putih Kaukasia? Treasure menjawab dengan penuh yakin, “Saya tahu
saya seorang Kaukasia kerana bila saya bangun pagi, saya ada kehidupan yang
bagus. Rambut saya sangat sempurna, kulit saya tak hodoh. Dan saya juga tak
gemuk, iaitu salah satu ciri orang Afrika-Amerika. Mereka bercakap bahasa
ghetto yang kasar. Lagipun mereka tak bertamadun, berfikir seperti penjenayah
dan saya tak faham pemikiran mereka. Jadi saya tak sama langsung dengan mereka.
Saya berbeza daripada orang Afrika-Amerika kerana saya orang kulit putih.”

Treasure berkata dia gemar menghina kaum kulit hitam Afrika-Amerika
dengan pelbagai cercaan kerana ia membantu kaum itu untuk terus merasa rendah
diri dan kekal di kedudukan yang lemah. 
Dr. Phil membalas Treasure dengan berkata, sebagai seorang kulit putih
Kaukasia, dia sendiri tidak dapat menerima ucapan Treasure yang penuh dengan
kebencian itu. Malah abangnya Kendal menyifatkan Treasure mempunyai masalah
mental kronik yang perlu dirawat dengan segera. Video wawancara rancangan Dr.
Phil tular di semua media cetak serta elektronik dan mendapat pelbagai
tindakbalas dan ulasan daripada masyarakat. Rupa-rupanya, sikap wasangka
Treasure terhadap kaumnya berpunca daripada pembohongan ibunya sendiri. Monique
telah menipu Treasure dan Kendal bahawa mendiang suaminya yang berketurunan
Kaukasia merupakan bapa kandung mereka dan mereka berdua berdarah kacukan
Afrika-Kaukasia. Dalam rancangan itu, Monique mendedahkan yang dia terpaksa
membuat pembohongan itu kerana mendiang suaminya adalah satu-satu persona bapa (father
figure) kepada dua beradik itu. Monique memutuskan sepenuhnya hubungan dengan
bapa kandung Treasure dan Kendal yang menyebabkan mereka tidak pernah bertemu
dengan bapa kandung.

Semasa mendiang suaminya masih hidup, mereka sekeluarga mempunyai kehidupan
selesa sebagai warga kelas menengah dan tinggal di kawasan perumahan
dikelilingi masyarakat kulit putih. Keadaan berubah apabila selepas kematian
suaminya, Monique terpaksa berpindah ke kawasan perumahan yang lebih murah
untuk didiami kerana tiada punca pendapatan dan hanya bergantung kepada bantuan
kebajikan. Mereka tiga beranak berpindah ke kawasan kejiranan masyarakat
Afrika-Amerika yang padat, bising, kotor dan dipenuhi masalah sosial serta
jenayah. Pada masa yang sama Monique menceritakan perkara sebenar iaitu mereka
dua beradik bukan kacukan Afrika-Kaukasia sebaliknya berketurunan kulit hitam
Afrika-Amerika. Bermula dari situlah Monique menunjukkan kebenciannya yang
mendalam terhadap orang kulit hitam. Spirit, ahli terapi yang dijemput ke studio
untuk mengulas masalah keluarga ini, menjelaskan punca sikap perkauman Treasure
terhadap masyarakat Afrika-Amerika. Treasure tidak membenci orang kulit hitam,
tetapi hakikatnya dia membenci dirinya sendiri. Apa yang dia benci adalah
keadaan hidupnya yang berubah 360 darjah selepas kematian bapanya. Apa yang
Treasure mahukan adalah kehidupan lama yang lebih selesa terutama dari segi
ekonomi yang memberikan keyakinan diri dari aspek sosial.

Selepas Treasure tampil dalam rancangan Dr. Phil, muncul pula satu video
lain yang mendakwa dirinya adalah anak Monique dengan mendiang suami berkulit
putih. Nina Richards berkata ibu dan adik-adiknya telah dipergunakan oleh Dr.
Phil dan isu Treasure membenci orang kulit hitam adalah cerita yang direka.
Menurut Nina, Dr. Phil mengambil kesempatan ke atas ibu dan adik-adiknya dengan
menawarkan mereka bertiga percutian percuma ke Los Angeles dengan semua
perbelanjaan ditanggung untuk merakamkan episod tersebut. Kata Nina, Treasure
yang menjadi perancang isu tersebut turut berharap untuk menjadi tular dan
dikenali umum. Treasure mahu menjadi seperti Danielle Bregoli, yang tular
selepas menyertai rancangan Dr. Phil pada tahun 2016. Danielle berjaya mencipta
kerjaya sebagai selebriti Instagram dan menerima pencalonan dalam kategori
artis rap wanita terbaik untuk Anugerah Billboard Music.

Namun tuduhan Nina disangkal semula oleh Dr. Phil yang mempertahankan
bahawa episod rancangan itu bukan satu penipuan tetapi perkara yang benar-benar
terjadi. Dr. Phil memberitahu ia merupakan tanda-tanda penyakit mental yang
berpunca daripada trauma kematian ahli keluarga dan kesukaran menyesuaikan diri
dengan persekitaran baru. Apa pendapat anda? Adakah Treasure mengalami masalah
kesihatan mental atau sekadar remaja yang sedang melalui fasa perangai
menjengkelkan? Adakah anda sanggup menjadi seperti Treasure yang menghina kaum
sendiri semata-mata untuk meraih habuan kewangan dan kemasyhuran?

Rujukan:

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet