Beberapa tahun sebelum kontroversi Treasure Richards yang membenci kaumnya sendiri meletus, Rachel Dolezal adalah kes pertama yang mencetuskan hiruk-pikuk mengenai isu transrasial. Transrasial merupakan istilah bagi individu yang menggunakan identiti kaum yang berlainan daripada kaum kelahirannya.

Jika Treasure Richards membenci kaum kulit hitam Afrika-Amerika, Rachel pula bertahun-tahun hidup sebagai seorang wanita kulit hitam Afrika-Amerika. Gadis Kaukasia yang lahir pada tahun 1977 dengan campuran etnik Czech, Jerman dan Swedish itu memiliki rambut perang keemasan dan bermata biru.

Namun bermula dari usia awal 20an, secara beransur-ansur wajah dan penampilan Rachel berubah menjadi wanita Afrika-Amerika. Secara umumnya, terdapat ramai individu berketurunan Afrika-Amerika yang berkulit cerah dan mempunyai paras rupa seperti Kaukasia, hasil daripada perkahwinan campur. Oleh itu tidak menghairankan jika Rachel dapat diterima dengan baik dalam masyarakat kulit hitam dan dianggap sebahagian daripada mereka tanpa rasa wasangka.

Isu identiti sebenar Rachel mula dipersoalkan pada Jun 2015, apabila seorang wartawan bertanyakan tentang gambar lelaki kulit hitam yang didakwa sebagai bapa Rachel. Gambar itu terpampang pada laman Facebook rasmi Pertubuhan Kebangsaan Untuk Kemajuan Warga Kulit Berwarna (NACCP) bahagian Spokane, Washington di mana Rachel menyandang jawatan Presiden.

Pertubuhan ini merupakan organisasi bukan kerajaan (NGO) yang bertujuan untuk memastikan kesamarataan hak-hak semua individu dari aspek politik, pendidikan, sosial dan ekonomi serta menghapuskan diskriminasi berdasarkan kaum. Ia ditubuhkan pada tahun 1909 oleh sekumpulan individu pelbagai kaum bagi mempercepatkan proses keadilan kepada masyarakat Afrika-Amerika sebagai tindakbalas terhadap legasi perhambaan.

Selepas ditanya wartawan, Rachel mengakui lelaki kulit hitam itu adalah bapanya namun tidak menjawab soalan berikutnya, iaitu sama ada dia berketurunan Afrika-Amerika. Rachel hanya membalas, “saya tak faham soalan anda“ dan meninggalkan sesi soal jawab yang disiarkan di televisyen. Rachel yang dikenali di daerah Spokane mendakwa membuat banyak laporan polis mengenai jenayah kebencian yang dihadapi namun tidak diendah pihak berkuasa.

Dalam satu laporan polis, Rachel mengatakan dia telah menerima satu bungkusan berisi surat dan gambar berunsur penghinaan terhadap kaum kulit hitam di pejabat NAACP. Ekoran kejadian itu, satu perhimpunan membantah jenayah perkauman telah diadakan di luar bangunan Majlis Perbandaran Spokane yang turut disertai Rachel. Semua perkara ini menarik minat stesen televisyen, KXLY untuk membongkar perkara sebenar sehingga menemubual Rachel bagi mendapatkan maklum balas.

Lelaki kulit hitam dalam gambar yang dikatakan bapa Rachel hanyalah kenalannya sahaja. Dalam masa sama, wartawan berjaya menjejaki ibu bapa kandung Rachel, pasangan suami isteri Kaukasia yang masih menetap di Montana, tempat kelahiran Rachel. Rachel tidak berhubung dengan ibu bapanya disebabkan masalah keluarga termasuk perselisihan faham mengenai salah laku seks abangnya. Rachel mendakwa abangnya Joshua telah mencabul dia dan adik angkat perempuan mereka.

Dalam temuramah dengan stesen televisyen, ibu bapa Rachel menjelaskan bahawa Rachel adalah keturunan Kaukasia sepenuhnya dengan mengemukakan bukti sijil kelahiran dan gambar-gambar Rachel semasa kecil hingga remaja. Selain Rachel dan abangnya, ibu bapa mereka mengambil empat orang anak angkat kulit hitam keturunan Afrika-Amerika dan Haiti. Rachel menghadiri sekolah rendah, menengah dan universiti di Mississippi yang kebanyakan pelajarnya adalah kulit hitam Afrika-Amerika. Ini bermakna Rachel sudah biasa bercampur gaul dengan masyarakat kulit hitam sejak zaman kanak-kanak lagi.

Menurut Lawrence bapa Rachel, penyerapan budaya kulit hitam di dalam diri anaknya begitu kuat sehingga Rachel berkelakuan dan bertutur seperti wanita Afrika-Amerika. Ibu bapa Rachel juga menafikan tuduhan serangan seks Joshua ke atas Rachel dan anak angkat perempuan mereka.

Selepas tamat ijazah, Rachel melanjutkan pengajian sarjana dalam bidang seni halus di Universiti Howard yang secara tradisinya adalah universiti untuk pelajar kulit hitam. Sewaktu Rachel memohon kemasukan ke Universiti Howard, pihak universiti menyangka Rachel adalah pelajar kulit hitam berdasarkan kerja seni yang dilampirkan. Portfolio hasil seni Rachel yang mengkhusus kepada lukisan potret Afrika-Amerika membantu Rachel mendapat biasiswa penuh bagi pengajiannya.

Dari situ Rachel terlibat dengan aktiviti sukarela yang memperjuangkan keadilan sosial untuk masyarakat Afrika-Amerika. Rachel hidup sebagai wanita kulit hitam secara terbuka selepas perceraian dengan suami keturunan Afrika-Amerika pada tahun 2005. Rachel mengecapi kejayaan dalam pekerjaan apabila menjadi pengajar bagi pengajian seni Afrika-Amerika dan diberi peluang menyandang pelbagai jawatan penting seperti Pengarah Pendidikan, Institut Pendidikan Hak Asasi di Idaho.

Kemelut identiti Rachel memecahkan masyarakat Amerika Syarikat kepada pengkritik dan penyokongnya daripada kedua-dua kaum. Para pengkritik termasuk adik angkatnya Ezra Dolezal menuduh Rachel melakukan blackface, iaitu perbuatan menghitamkan wajah dengan solekan yang biasa dilakukan orang kulit putih untuk menghina orang kulit hitam. Ezra berkata, perbuatan Rachel hanya menyebarluaskan lagi permusuhan dan kebencian di antara dua kaum.

Manakala seorang pakar hubungan di antara kaum, Leslie Bow menyatakan perbuatan Rachel yang membiarkan salah anggap terhadap identiti asalnya sehingga dia mendapat biasiswa dan peluang kerjaya yang disediakan untuk individu Afrika-Amerika adalah tidak beretika. Ramai orang kulit hitam mengecam Rachel kerana bagi mereka, walaupun Rachel berpenampilan seperti orang kulit hitam, Rachel tidak akan dapat memahami penderitaan dan diskriminasi yang mereka alami.

Namun Anita Thomas, profesor Psikologi Kaunseling di Universiti Loyola menegaskan tindakan Rachel, seorang wanita dewasa kulit putih yang menganggap dirinya sebagai kulit hitam dan mengamalkan budaya kaum itu adalah luar biasa. Jika ia berlaku di kalangan remaja, ia boleh difahami sebagai satu proses pencarian identiti diri, namun di kalangan dewasa, fenomena tersebut boleh dianggap sebagai asimilasi budaya sukarela.

Anita memberitahu, tiada isu kesihatan mental yang boleh dikesan yang berkaitan dengan kelakuan transrasial tersebut. Halford Fairchild, profesor Psikologi dan Pengajian Afrikana di Kolej Pitzer juga menegaskan identiti Rachel sebagai seorang kulit hitam adalah tulen pada penilaiannya kerana definisi kaum adalah terikat pada identiti politik dan bukan bersifat biologi.

Kes Rachel melahirkan perdebatan tentang adakah konsep transrasial dapat diterima dengan baik dan terbuka sebagaimana masyarakat Amerika Syarikat dapat menerima transgender. Pada waktu kisah Rachel muncul, isu Bruce Jenner bapa tiri Kim Kardashian yang menukar jantina dan identiti kepada Caitlyn Jenner turut hangat diperkatakan. Terdapat banyak reaksi yang mempersoalkan, jika seorang wanita/lelaki boleh mengakui dirinya sebagai lelaki/wanita, jadi mengapa seorang individu Kaukasia kulit putih tidak boleh melabelkan dirinya sebagai kaum kulit hitam Afrika?

Jika seseorang itu boleh menjadi transgender, mengapa orang lain tidak boleh menjadi transrasial? Pembongkaran siapa dirinya yang sebenar menyebabkan kehidupan Rachel yang selesa dan berpengaruh berubah sekelip mata. Tunduk kepada desakan, Rachel meletakkan jawatan sebagai Presiden NAACP bahagian Spokane. Dia turut dipecat daripada semua pekerjaannya dan terpaksa menyara hidup dengan mendandan rambut serta menerima bantuan kebajikan.

Tiada organisasi atau syarikat yang mahu mengambil Rachel bekerja kerana reputasinya telah tercemar sebagai penipu. Daripada seorang aktivis hak asasi tempatan yang dihormati Rachel tersungkur menjadi persona non grata. Tidak ada seorang rakan aktivis atau pemimpin dalam pertubuhan NGO yang pernah disertai tampil mempertahankan Rachel. Selain anak-anak lelaki Rachel, hanya sebilangan kecil pelanggan salun rambut Rachel yang menunjukkan simpati dan setiakawan.

Dua tahun selepas diselubungi kontroversi, dokumentari mengenai Rachel diterbit dan ditayangkan di saluran berbayar Netflix pada tahun 2017. Pada permulaan dokumentari yang berjudul The Rachel Divide, kedengaran suara Rachel mengemukakan soalan, “siapakah yang layak menentukan seseorang itu kulit hitam atau tidak? Adakah kita mempunyai hak untuk hidup berdasarkan apa yang kita rasa?”

Sepanjang kehidupannya, Dolezal menganggap dan mengakui dirinya adalah individu kulit hitam melalui kehidupannya. Dia mempunyai anak-anak berketurunan kulit hitam Afrika-Amerika. Dia mempunyai adik beradik angkat dari kaum kulit hitam Afrika-Amerika. Bekas suami dan kekasihnya juga lelaki kulit hitam Afrika-Amerika. Dia mencari nafkah dengan mendandan rambut khusus untuk wanita kulit hitam.

Rachel bersetuju dirinya digelar sebagai tranrasial dan berhujah sekiranya Caityln Jenner (Bruce Jenner) boleh merealisasikan kebenaran dalam versinya yang tersendiri, maka dia juga berhak melakukan perkara yang sama. Adakah anda setuju? Adakah Rachel seorang penipu yang bijak mengambil kesempatan, atau mengalami masalah kesihatan mental atau benar-benar seorang kulit hitam secara fizikal, mental dan emosi?

Rujukan:
• https://www.cdapress.com/archive/article-385adfeb-76f3-5050-98b4-d4bf021c423f.html
• https://www.kxly.com/news/local-news/spokane/did-naacp-president-lie-about-her-race-city-investigates_20161121042949505/176695501
• https://www.theguardian.com/us-news/2015/jun/13/rachel-dolezal-african-american-naacp-spokane
• https://www.theguardian.com/world/2015/jun/12/civil-rights-activist-rachel-dolezal-misrepresented-herself-as-black-claim-parents
• https://www.washingtonpost.com/news/morning-mix/wp/2015/06/12/spokane-naacp-president-rachel-dolezal-may-be-white/?noredirect=on&utm_term=.2bdf0f6ea94b


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Surirumah. Penulis Amatur. Jurugambar Amatur. Murid sepanjang hayat.

Comments are closed.