Kalau kita dengar lagu “Panggilan Haji” atau “Panggilan Kaabah”, selalunya kita terbayang musim haji.
Tapi di sebalik lagu yang sering kita anggap sebagai lagu wajib musim Raya Haji itu, ada satu kisah yang jauh lebih sayu.
Kisah sebuah pesawat haji yang tidak sempat sampai ke Jeddah.
Kisah 182 jemaah haji Indonesia yang sudah meninggalkan kampung halaman dengan niat menunaikan rukun Islam kelima, tetapi perjalanan mereka terhenti di lereng gunung Sri Lanka.
Nama tragedi itu ialah Martinair Flight 138.
Pada 4 Disember 1974, sebuah pesawat Douglas DC-8-55CF milik Martinair Holland berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya. Tujuannya ialah Jeddah, Arab Saudi. Di dalam pesawat itu ada 191 orang, terdiri daripada 182 penumpang yang merupakan jemaah haji Indonesia dan 9 anak kapal.
Pesawat ini merupakan penerbangan sewaan haji, dikendalikan oleh Martinair bagi pihak Garuda Indonesian Airways. Pada zaman itu, penerbangan haji sedang melalui fasa perubahan besar.
Dulu, ramai jemaah dari Nusantara perlu menempuh perjalanan laut yang panjang untuk sampai ke Tanah Suci. Ada yang berminggu-minggu berada di atas kapal, perlu berpisah dengan keluarga untuk tempoh yang lama.
Tetapi menjelang 1970-an, kapal terbang mula mengambil alih peranan kapal laut. Perjalanan yang dahulu memakan masa hampir sebulan boleh dipendekkan kepada beberapa jam sahaja.
Namun pada masa yang sama, teknologi penerbangan ketika itu belum semaju hari ini. Tidak semua lapangan terbang mempunyai radar lengkap. Sistem navigasi masih banyak bergantung kepada laporan kedudukan daripada juruterbang, alat navigasi dalam pesawat dan komunikasi dengan menara kawalan.
Di sinilah kisah Martinair 138 mula menjadi tragis.
Pesawat itu sepatutnya transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaranaike, Colombo, Sri Lanka untuk mengisi minyak sebelum meneruskan perjalanan ke Jeddah. Bagi para jemaah di dalam pesawat, transit ini hanyalah satu hentian sementara. Mungkin ada yang sedang membayangkan Tanah Suci.
Tiada siapa menyangka, mereka tidak akan sampai ke Jeddah.
Pesawat Martinair 138 dikendalikan oleh Kapten Hendrik Lamme, seorang juruterbang berpengalaman dari Belanda. Beliau dibantu oleh First Officer Robert Blomsma dan Flight Engineer Johannes Wijnands. Anak kapal lain termasuk pramugari dan petugas kabin dari Belanda serta Indonesia.
Dari segi rekod, kaptennya mempunyai pengalaman ribuan jam terbang. Pesawat pula ialah Douglas DC-8, antara pesawat jarak jauh yang digunakan secara meluas pada zaman itu.
Pesawat meninggalkan Surabaya sekitar jam 12.03 tengah hari waktu UTC bersamaan kira-kira malam waktu Indonesia. Penerbangan pada awalnya berjalan normal. Tiada laporan kebakaran, isyarat kecemasan atau kerosakan besar yang dilaporkan. Semuanya kelihatan seperti penerbangan haji biasa.
Sekitar jam 16.16 UTC, pesawat mula berhubung dengan kawalan trafik udara Sri Lanka. Mereka dilaporkan berada sekitar 130 batu nautika dari lapangan terbang. Menara kawalan memberi maklumat cuaca dan arahan berkaitan pendekatan ke Colombo.
Ketika itu, pesawat sedang menghampiri Sri Lanka dari arah timur. Masalahnya, antara laluan pesawat dan lapangan terbang terdapat kawasan tanah tinggi yang berbahaya. Di kawasan Maskeliya, Sri Lanka, berdiri rangkaian gunung Saptha Kanya juga dikenali sebagai Seven Virgins. Ia kawasan berbukit, berhutan tebal dan sukar dilalui.
Dalam keadaan malam tanpa radar moden seperti hari ini, ketepatan kedudukan pesawat menjadi sangat penting.
Pada jam-jam terakhir itu, Martinair 138 dipercayai tersilap menganggarkan kedudukannya berbanding lapangan terbang. Pesawat itu dibenarkan turun ke altitud lebih rendah kerana kru dan kawalan trafik udara percaya ia berada pada kedudukan yang selamat untuk pendekatan ke landasan. Namun hakikatnya, pesawat masih berada di kawasan pergunungan.
Inilah jenis tragedi yang dalam dunia penerbangan disebut sebagai controlled flight into terrain atau CFIT. Maksudnya, pesawat sebenarnya masih boleh dikawal, enjin masih berfungsi, kru masih sedar dan tidak berlaku letupan di udara. Tetapi pesawat terbang masuk ke kawasan tanah tinggi kerana kesilapan kedudukan, navigasi atau tafsiran maklumat
Bukan pesawat jatuh kerana sayap tercabut, ia masih terbang, tetapi menuju ke arah gunung yang tidak sepatutnya berada di hadapan mereka.
Beberapa minit sebelum kemalangan, kru diminta melaporkan apabila mereka sudah nampak lapangan terbang. Tetapi laporan itu tidak pernah datang.
Sekitar jam 10 malam waktu tempatan, Douglas DC-8 itu merempuh gunung kelima dalam rangkaian Saptha Kanya di kawasan Theberton Estate, Maskeliya. Pesawat menghentam lereng gunung pada ketinggian sekitar 4,355 kaki, lebih kurang 40 batu nautika dari Lapangan Terbang Bandaranaike.
Pesawat yang membawa 191 nyawa itu hancur di kawasan gunung yang gelap, terpencil dan sukar dicapai. Penduduk sekitar mendengar bunyi kuat seperti letupan dari arah gunung. Ada yang melihat cahaya api di lereng bukit. Pada mulanya, mereka tidak pasti apa yang berlaku. Dalam gelap malam dan kabus kawasan tanah tinggi, yang jelas hanya sesuatu yang besar telah menghentam gunung.
Tidak ada seorang pun terselamat.
Semua 182 jemaah haji Indonesia dan 9 anak kapal terkorban.
Tragedi ini kemudian dicatat sebagai kecelakaan udara paling buruk dalam sejarah Sri Lanka. Pada masa itu, ia juga antara nahas penerbangan paling dahsyat di dunia. Bagi Indonesia, ia menjadi luka besar kerana semua penumpang merupakan jemaah haji yang sedang menuju ke Tanah Suci.
Lebih menyedihkan, operasi mencari dan menyelamat bukan kerja mudah. Lokasi nahas berada di kawasan hutan tebal dan gunung berbatu. Pasukan penyelamat, tentera Sri Lanka, polis dan penduduk tempatan perlu meredah kawasan yang sukar untuk sampai ke lokasi. Serpihan pesawat berterabur luas. Keadaan mayat pula sangat menyayat hati kerana kesan hentaman dan kebakaran selepas pesawat terhempas.
Bagi keluarga mangsa di Indonesia, kehilangan itu pasti sukar dibayangkan. Mereka menghantar ahli keluarga dengan doa, air mata dan harapan untuk haji mabrur. Tetapi kali ini, berita yang pulang bukan berita dari Makkah.
Berita yang pulang ialah pesawat mereka terhempas di Sri Lanka.
Selepas nahas itu, siasatan rasmi dijalankan oleh pihak berkuasa penerbangan Sri Lanka dengan bantuan pihak Belanda dan Indonesia. Kesimpulan siasatan menyatakan pesawat melanggar kawasan tanah tinggi kerana kru turun di bawah altitud selamat akibat salah mengenal pasti kedudukan mereka berbanding lapangan terbang.
Antara faktor yang disebut ialah kebergantungan terhadap sistem Doppler dan radar cuaca dalam pesawat yang membuka ruang kepada salah tafsir.
Di Sri Lanka, tragedi ini masih meninggalkan kesan. Di Norton Bridge, tidak jauh dari kawasan nahas, terdapat memorial kecil untuk memperingati mereka yang terkorban. Salah satu tayar pesawat yang ditemui dari lokasi nahas turut dipamerkan sebagai tanda ingatan.
Di lereng gunung itu pula, kawasan kejadian semakin ditelan hutan dan masa. Ada cerita bahawa kubur mangsa yang dikebumikan kini sukar dikenali kerana alam sudah mengambil kembali kawasan itu.




No comments yet