Sabtu, 14 November 202614 Nov 2026
Tragedi Tenggelamnya Kapal S.S Vyner Brooke 1942
Alam Melayu

Tragedi Tenggelamnya Kapal S.S Vyner Brooke 1942

KETIKA
Perang dunia kedua berlangsung banyak kisah-kisah tragis yang berlaku ke atas
rakyat negara yang ditakluki Jepun telahan lagi warga-warga Eropah yakni seteru
Jepun pada waktu itu selain masyarakat Cina. 
Untuk di Asia Tenggara misalnya seperti Malaya, Singapura, Sarawak,
Sabah dan Brunei sudah tentu warga Eropah berbangsa Inggeris mahupun Australia
menjadi golongan expatriate yang bekerja dibawah kerajaan Koloni British, Rajah
Brooke dan Syarikat Berpiagam North Borneo.

Mungkin
ramai tidak mengetahui mengenai satu tragedi yang berlaku kepada penumpang dan
kelasi sebuah kapal penumpang yang bernama S.S Vyner Brooke pada bulan Februari
1942.  Kapal penumpang ini pada mulanya
adalah kapal mewah yang tujuan utamanya adalah untuk kegunaan Tuan Rajah Ketiga
Sarawak iaitu Sir Charles Vyner Brooke. 
Dan ianya dibeli dibawah satu syarikat perkapalan Sarawak Steamship
Company yakni satu syarikat perkapalan yang dibentuk untuk menyelesaikan
permasalahan perkapalan di Sarawak pada tahun 1875. 

S.S
Vyner Brooke disiapkan pembuatannya pada tahun 1928 di Edinburgh, Scotland oleh
Ramage & Ferguson Limited.  Pada
waktu itu ianya mempunyai spesifikasi kapal mewah untuk keluarga Brooke malah
ketika ianya dilancarkan di dermaga Edinburgh, Ranee Sylvia Brooke yakni isteri
Tuan Rajah Sir Charles Vyner Brooke yang merasmikan.  Satu tradisi perkapalan yang mana setiap
kapal akan dilepaskan ke air dari limbungan oleh seorang wanita maka begitulah
juga S.S Vyner Brooke pada waktu itu.

Dari
benua eropah, S.S Vyner Brooke telah membelah samudera luas untuk ke destinasi
kekalnya iaitu Kuching, Sarawak untuk berbakti kepada Tuan Rajah Sarawak.  Selang beberapa tahun kemudian, S.S Vyner
Brooke telah bertukar fungsinya yang mana dari kapal mewah lantas menjadi kapal
penumpang dan kargo dengan laluannya adalah Kuching dan Singapura.  Kemudian ketika akhir saat perang dunia kedua
kian menghampiri benua asia tenggara, pihak Kerajaan British telah meminta S.S
Vyner Brooke menjadi sebahagian daripada kapal tentera mereka. 

Kisah
tragis yang menimpa penumpang dan anak kapal S.S Vyner itu bermula pada tanggal
13 Februari 1942 yang mana pada ketika itu Singapura sudahpun jatuh ke tangan
Jepun.  Atas nama survival pada masa itu,
ramai warga asing yang meninggalkan Singapura dan ini tidak terkecuali 181
penumpang S.S Vyner Brooke.  Pada hari
itu kebanyakan penumpang adalah wanita dan anak-anak kecil serta beberapa orang
tentera British yang cedera berserta 65 orang jururawat berbangsa Australia.  Mereka meninggalkan dermaga Singapura untuk
ke destinasi yang boleh menerima mereka. 

Biarpun
sudah mampu belayar dan mengelak dari beberapa siri serangan bom Jepun dari
udara namun hanya mampu bertahan beberapa jam sahaja kerana menjelang tengahari
selepas itu iaitu pada 14 Februari 1942 diketika melalui laluan laut antara
Sumatera dan Kalimantan, S.S Vyner Brooke akhirnya berjaya dijejaki oleh
pesawat tentera Jepun lantas diperangi. 
Muntahan mesingan dan bom yang bertali arus tidak mampu untuk mereka
balas akhirnya menyebabkan S.S Vyner Brooke tenggelam ke dasar laut begitu
pantas iaitu hanya 15 minit sahaja jangkahayatnya di permukaan air.

Dalam
keriuhan menyelamatkan diri itulah ada sebahagian penumpang yang berjaya
menyelamatkan diri samada menaiki sampan kecil yang ada pada kapal sebelumnya ataupun
dibawa arus ombak kerana pelampung keselamatan yang digunakan sehingga ke
bahagian pantai Pulau Bangka.  Dari 65
jururawat Australia yang menjadi penumpang hanya 53 orang yang selamat dan
daripada jumlah itu hanya 22 orang yang benar-benar tidak cedera.  Merekalah sesampai sahaja di daratan telah
melakukan tugasan mereka sebaik mungkin kepada penumpang-penumpang lain yang
terselamat.  

Umpama
kata pepatah lama, keluar dari mulut buaya masuk pula ke mulut naga kerana
hakikatnya kesemua penumpang S.S Vyner Brooke terselamat dari menjadi korban
kapal yang tenggelam namun telah dinantikan oleh tentera-tentera Jepun di
daratan iaitu di pantai Pulau Bangka. 
Biar 22 orang jururawat Australia menyisipkan lambang Palang Merah di
lengan mereka yang mana jika diikutkan peraturan, mereka tidak harus
diperlakukan sembrono kerana mereka petugas rawatan sewaktu perang tetapi Jepun
tetap dengan kezaliman mereka yang tiada taranya. 

Akhirnya
mangsa-mangsa yang terselamat tidak kira lelaki, wanita mahupun anak-anak kecil
ditangkap dan seterusnya dibawa ke sebuah bangunan yang kosong untuk menjadi
penjara sementara.  Biar ramai yang
sakit-sakit dan lapar mahupun haus, tentera Jepun langsung tidak memperdulikan
mereka. Mereka tetap diiktiraf sebagai tahanan perang Jepun dan dikasari tanpa
belas jika membantah arahan mereka. 

Dalam
pada itu cerita jururawat Australia yang terselamat dan tidak cedera lain pula
jadinya kerana mereka tidak berada di dalam kelompok tersebut.  Sebaliknya mereka dibiarkan berada di pantai
Pulau Bangka dengan kawalan hampir 15 orang tentera Jepun bersenjata.  22 orang jururawat Australia sedia menunggu
di pantai biarpun mereka ketahui bahawa akan ada hal yang lebih buruk menimpa
mereka kelak.  Biarpun ketakutan
menyelubungi diri namun untuk merayu diminta belas kasihan tidak sekali. 

Akhirnya
seorang Jeneral Jepun telah mengarahkan 22 orang jururawat Australia untuk
berjalan ke arah laut sehinggalah air laut sudah melampaui paras pinggang
mereka.  Dari arah belakang itulah
tentera Jepun telah menembak mereka dengan menggunakan senapang.  Natijahnya 21 orang jururawat Australia yang
mengenakan lambang palang merah di lengan mereka mati serta merta dan cuma
seorang sahaja yang selamat itupun kerana beliau yang hanya cedera di kaki
ditembak berpura-pura mati. 

Jururawat Australia yang
terselamat daripada 65 orang jururawat Australia yang berada di dalam pelayaran
terakhir S.S Vyner Brooke itu bernama Vivian Bullwinkel.  Beliau yang cedera di kaki telah ditemui oleh
penduduk tempatan dan bersama seorang lagi tentera Inggeris yang berjaya
meloloskan diri awal telah disembunyikan oleh penduduk tempatan.  Kedua-duanya dirawat sebaik mungkin namun
malangnya tentera Inggeris itu menemui ajal kerana cedera yang teruk sementara
Bullwinkel terus dijaga oleh penduduk tempatan sebaik mungkin biarpun terpaksa
menyamar sebagai rakyat tempatan kerana tidak mahu berita ada seorang yang
terselamat di dalam tragedi SS Vyner Brooke itu diketahui oleh tentera Jepun di
Pulau Bangka. 

Hanya setelah Jepun menyerah
kalah baharulah Bullwinkel dibenarkan kembali ke tanah asalnya.  Pada tahun 1947, Vivian Bullwinkel telah
memainkan peranannya yang penting iaitu sebagai saksi utama untuk pertuduhan
jenayah perang Jepun ke atas penumpang dan jururawat di kapal S.S Vyner Brooke
di Tokyo. 

Begitulah kisahnya tragedi
menyayat hati yang menimpa sebuah kapal mewah yang dahulunya milik Tuan Rajah
Sir Charles Vyner Brooke, rajah ketiga Sarawak yang kemudiannya menjadi kapal
kargo dan penumpang dan seterusnya menjadi kapal tentera.  Tanggal 13 Februari 1942 ianya meninggalkan
dermaga Singapura yang merupakan pelayaran terakhirnya sebelum tenggelam ke
dasar laut. Pembunuhan beramai-ramai ke atas penumpang dan jururawat Australia
yang terselamat menjadi satu bukti kezaliman tentera Jepun sewaktu Perang Dunia
Kedua berlangsung.  

Puing-puing kapal SS Vyner
Brooke masih lagi kelihatan di pantai Pulau Bangka yang sengaja dibiarkan untuk
mengenang sejarah perang dunia kedua sewaktu dahulu.

-HB-

#KamekSayangSarawak    

RUJUKAN:

  1. Kisah
    Pilu Perang Dunia Kedua. https://news.detik.com/berita/d-3236562/kisah-pilu-perang-dunia-ii-di-balik-keindahan-pantai-tanjung-kalian
  2. SS
    Vyner Brooke. https://www.wrecksite.eu/wreck.aspx?59211
  3. https://www.revolvy.com/page/SS-Vyner-Brooke
  4. SS
    Vyner Brooke, Sarawak Gazette 7, 1 November 1927. https://www.pustaka-sarawak.com/gazette/gazette_uploaded/1370909221.pdf
  5. https://www.awm.gov.au/visit/exhibitions/fiftyaustralians/5

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet