MENGUAK pintu sejarah bagaimana
sekitar September hingga Disember 1967 telah berlaku satu tragedi yang
melibatkan kematian yang besar ke atas kaum Cina di Kalimantan Barat dek kerana
diusir keluar oleh masyarakat Dayak Kalimantan.
Puncanya adalah kerana wujudnya perasaan benci dan dendam dek kerana
ramai masyarakat Dayak yang mendiami wilayah persempadanan Sarawak/Kalimantan
mati dibunuh oleh komunis iaitu mereka yang menganggotai Pasukan Gerila Rakyat
Sarawak (PGRS) dan Parti Komunis Kalimantan Utara (PARAKU) ketika Konfrontasi
Malaysia Indonesia yang berlangsung dari tahun 1963 hingga 1966.
Jauh sebelum itu yakni ketika
Malaysia, sebuah negara yang baru ditubuhkan telah mendapat bangkangan yang
keras daripada jirannya iaitu Republik Indonesia. Presiden Sukarno sendiri yang telah
memutuskan hubungan diplomatik dan seterusnya mengadakan operasi ketenteraan di
sepanjang sempadan Sarawak, Sabah mahupun Brunei di Borneo. Pada ketika selain tentera mereka sendiri,
Presiden Sukarno turut mendapat sokongan daripada kaum Cina yang berfahaman
komunis samada dari Sarawak mahupun Kalimantan itu sendiri.
Kota-kota di perbatasan seperti
Sambas, Bengkayang, Ledo, Sanggau dan Putusibau dijadikan markas untuk melatih
para sukarelawan dari masyarakat Cina dari dua negara pada masa itu. Mereka sendiri dilatih oleh Tentera Nasional
Indonesia agar menjadi benteng pertahanan di dalam misi dan visi Presiden
Sukarno yang mengistiharkan “Ganyang Malaysia”. Hasilnya maka ramai masyarakat Cina yang
mempunyai ideologi yang sama seperti Presiden Sukarno turut terlibat di dalam
peperangan di perbatasan melawan Tentera-tentera Komanwel dan tentera Malaysia
sendiri.
Pada tahun 1965, Sukarno telah
kalah di dalam pilihanraya Indonesia lantas digantikan oleh Presiden
Suharto. Presiden Suharto tidak
bersetuju dengan tindakan Sukarno yang terdahulu lantas menamatkan satu perang
yang tidak perlu ke atas negara jirannya.
Pada saat itu juga pasukan separa tentera yang sebelumnya dilatih oleh
TNI sudah menjadi duri dalam daging ke atas pemerintahannya di Kalimantan. Pasukan komunis samada dari PGRS dan PARAKU
masih belum mahu berdamai dan terus-terusan dengan taktik mereka untuk
meluaskan pengaruh komunisme di Borneo.
Jadi kerana itulah perasaan dayak sebagai majoriti di Kalimantan dengan
sengaja diprovokasi oleh TNI untuk bangun menentang para komunis di negara
mereka.
Provokasi yang berterusan akhirnya
menjadi api yang cukup besar apabila masyarakat Dayak bangun dan akhirnya
mengusir keluar mana-mana masyarakat Cina yang berada di Pontianak dan kawasan
sekitarnya. Diceritakan ketika proses
pengusiran berlangsung tiada masyarakat Cina yang mampu berbuat apa-apa dan ada
antara mereka hanya membawa diri sehelai sepinggang bersama keluarga ke kawasan
mereka diusir. Mereka meninggalkan rumah
dan segala harta benda dengan berjalan kaki menuju ke Singkawang. Jika ada yang cuba untuk membantah dan
melawan masyarakat Dayak pada masa itu maka sudah tentu mautlah kata pemutus
bagi mereka.
Di Singkawang, masyarakat Cina
hidup di dalam serba-serbi kekurangan berbanding ketika mereka berada di
Pontianak. Kekurangan infrastruktur awam
seperti air malah juga bekalan makanan yang sedikit berbanding jumlah mereka
yang besar memungkinkan ramai antara mereka sakit, kelaparan dan akhirnya
menemui ajal. Menurut rekod menunjukkan sepanjang empat bulan proses pengusiran
ini berlangsung hampir 3,000 hingga 4,000 orang masyarakat Cina yang terkorban.
Menjadikan ianya satu tragedi berdarah yang melibatkan angka korban yang besar
di dalam sejarah berdirinya Republik Indonesia itu sendiri.
Dalam pada itu mungkin ramai yang
tertanya-tanya mengapa tragedi berdarah ini digelar tragedi mangkuk merah? Perlulah diketahui bahawa mangkuk merah itu
adalah satu tradisi di dalam adat masyarakat Dayak dahulukala yang terkenal
dengan perang wilayahnya. Pada ketika
itu mangkuk merah berfungsi sebagai wadah komunikasi antara masyarakat dayak
seluruh Borneo. Sebelum mereka ingin
memulakan satu peperangan akan ada ritual yang menghubungkan mereka dengan roh
nenek moyang melalui Panglima Adat.
Setelah Panglima Adat mendapat
jawapan maka baharulah mangkuk merah akan dihantar ke seluruh masyarakat dayak
yang terlibat melalui orang suruhan yang amat-amat dipercayai. Di ketika Ketua masyarakat Dayak menerima mangkuk
merah tersebut maka tindakan segera harus dilakukan dengan mengadakan mesyuarat
dengan semua anak-anak buahnya samada akan menyokong atau tidak perang itu
diistiharkan. Mereka akan bermusyawarah
dengan mengambilkira semua aspek atas perang yang akan dilakukan.
Ternyata isyarat mangkuk merah itu
diterima oleh masyarakat Dayak di Kalimantan sehingga memungkinkan mereka seia
sekata bangun mengusir kesemua masyarakat Cina di Kalimantan samada dari
kalangan rakyat biasa sekalipun. Dek
kerana itulah di dalam sejarah Kalimantan peristiwa ini dikenali dengan nama
Tragedi Berdarah Mangkuk Merah 1967.
Inilah yang tercatit di dalam
sejarah jiran tetangga kita yang mana menyaksikan dek kerana segelintir kaum
Cina punya ideologi yang berbeza sehingga sanggup membunuh kaum yang lain
sewenang-wenangnya menyebabkan keseluruhan kaum Cina yang tidak berdosa menjadi
mangsa. Natijah atas provokasi yang
melampau dan fitnah juga boleh menyebabkan ianya mampu mencarik perasaan kaum
yang lain. Keharmonian kaum yang dibina
berkurun lamanya boleh sahaja ranap di dalam satu saat.
Belajarlah daripada sejarah kerana
sejarah itu tidak pernah berbohong.
-HB-
#kameksayangsarawakbah!
Rujukan:
- Peristiwa Mangkok Merah Di Kalimantan Barat Tahun 1967 oleh Superman, Program Studi Pendidikan Sejarah IKIP-PGRI, Pontianak (PDF).https://media.neliti.com/media/publications/90056-ID-peristiwa-mangkok-merah-di-kalimantan-ba.pdf
- Tragedi Berdarah Pembantaian Mangkuk Merah. https://tirto.id/tragedi-berdarah-pembantaian-mangkuk-merah-cEUq
- The North Kalimantan Communist Party and The People’s Republic Of China by Fujio Hara (PDF) https://onlinelibrary.wiley.com/doi/epdf/10.1111/j.1746-1049.2005.tb00956.x
- Mangkok Merah, Benda Penting Suku Dayak Yang Jadi Tanda Bakal Terjadi Peristiwa Berdarah.https://www.boombastis.com/mangkok-merah-dayak/93542




No comments yet