Bila menyebut mengenai Yamashita, bagi sejarawan dan para tentera Malaysia akan mengingati beliau sebagai orang yang menawan Tanah Melayu ketika Perang Dunia Kedua. Bagi para peguam, mereka akan ingat mengenai Yamashita Standard. Manakala kepada pemburu harta karun, mereka akan berfikir mengenai Harta Karun Emas Yamashita.
Pendahuluan
Tomoyuki Yamashita merupakan anak kepada seorang doktor di kampungnya. Beliau dilahirkan pada 8 November 1885 di Shikoku, Jepun. Sebagai anak orang yang berada, bapanya mahu Yamashita menjadi seorang pahlawan Jepun dan menghantar beliau ke sekolah tentera.
Yamashita terpilih menjadi seorang pegawai kadet di Akademi Tentera Darat Imperial Jepun pada 1902 dan ditauliahkan sebagai Leftenan Muda pada November 1905. Beliau mendapat tempat ke-16 daripada 920 orang pegawai kadet.
Semasa Perang Dunia Pertama (1914-1918), Jepun memihak kepada British dan Perancis untuk menentang Empayar Jerman. Tsingtao merupakan sebuah kawasan di tanah Cina yang merupakan jajahan Empayar Jerman. Yamashita kemudian dihantar ke sana untuk bertempur menentang tentera Imperial Jerman.
Pada tahun 1916, beliau dinaikkan ke pangkat Kapten dan menghandiri pengajian di Staff College Imperial Jepun. Beliau mendapat tempat keenam dan merupakan salah seorang penuntut terbaik. Selepas itu, beliau berkahwin dengan Hisako Nagayama namun tidak mempunyai anak.
Yamashita menjadi radikal
Pada tahun 1919-1922, Yamashita dihantar sebagai attache tentera ke Berlin untuk belajar mengenai bidang ketenteraan Eropah. Pada Februari 1922, beliau pulang ke Jepun dan dinaikkan pangkat ke Mejar.
Selepas itu, beliau berpindah ke Kementerian Peperangan dan mengusulkan agar Tentera Imperial Jepun merombak struktur pentadbiran tentera darat. Beliau mahukan tentera Jepun mengamalkan semula semangat pahlawanan Samurai dan mahu Jepun meluaskan tanah jajahannya.. Cadangannya yang radikal itu ditentang oleh orang-orang atasan di dalam Tentera Darat kerana terlalu Ultranasionalis.
Pada tahun 1922 beliau berpindah ke General Staff Imperial Jepun di Tokyo. Beliau cuba untuk melobi idea-ideanya tetapi gagal. Pada 1925 beliau dinaikkan pangkat ke Leftenan Kolonel dihantar ke Vienna, Austria pada tahun 1927.
Perpindahan Yamashita ke luar negara hasil daripada ketegangan yang berlaku antara beliau dan beberapa kumpulan (factionalism) yang mengawal tampuk pemerintahan tentera Jepun.
Yamashita merupakan ahli kumpulan Imperial Way yang mahukan Jepun menjadi lebih radikal dan lebih Ultranasionalis dalam meluaskan empayarnya serta menangkis fahaman Komunis Soviet Union. Lawan bagi kumpulan ini ialah Control Faction yang jauh lebih konservatif dan menumpukan untuk memajukan Tentera Darat Imperial Jepun terlebih dahulu.
Pada tahun 1930, kumpulan Imperial Way berjaya membawa pulang Yamashita ke Jepun dan dinaikkan pangkat ke Kolonel serta menjadi komander kepada tentera elite Rejimen Ke-3 Imperial yang mengawal perkarangan istana Maharaja Jepun. Pada Ogos 1934, beliau dinaikkan pangkat ke Major General.
Yamashita menjadi Konservatif
Pada 26 Februari 1936, satu kudeta telah dilancarkan oleh kumpulan Imperial Way terhadap kerajaan Jepun dibawah Perdana Menteri Laksamana Keisuke Okada. Kumpulan ini yang meliputi beberapa pegawai muda telah, membunuh beberapa orang penting di dalam Tentera Darat dan Kerajaan Jepun namun mereka gagal membunuh Perdana Menteri Okada.
Kumpulan ini mendapat simpati dan sokongan tidak langsung daripada beberapa panglima seperti Menteri Peperangan (War Minister) General Yoshiyuki Kawashima. bekas Menteri Peperangan General Sadao Araki dan juga Yamashita sendiri.
Namun begitu, kegagalan membunuh Perdana Menteri dan kacau bilau yang berlaku di sekitar Istana Maharaja telah membuatkan Maharaja Hirohito murka. Baginda mengarahkan ketua-ketua kudeta yang terdiri daripada para pegawai muda ini ditangkap, dibicarakan dan dihukum bunuh.
Yamashita kemudiannya meletak jawatan selepas Maharaja Jepun tidak lagi mempercayai beliau sebagai komander Rejimen Ke-3 Imperial. Kemudian, beliau dihantar ke Semenanjung Korea dan diberikan jawatan sebagai penasihat tentera di sana.
Pada ketika itu lah Yamashita ‘dilahirkan semula’. Beliau tidak lagi menjadi radikal dan mula mendekatkan diri dengan agama Buddha. Pada Julai 1937, Jepun menyerang China dan tercetuslah Perang China-Jepun Kedua.
Pada November 1937, beliau dinaikkan pangkat ke Lieutenant General dan menjadi penasihat kepada Tentera Kwantung, sebuah army group terbesar di tanah besar Cina. Pada ketika ini, Yamashita mahu Jepun menghentikan peperangan dengan China kerana tidak mahu Amerika Syarikat campur tangan. Cadangannya diabaikan.
Yamashita di Eropah
Disebabkan rekod Yamashita yang sering ke Eropah sebagai attache, beliau sekali lagi dihantar ke Eropah pada Disember 1940. Kali ini, beliau menjadi wakil tentera Jepun di dalam Pakatan Axis (Nazi Jerman, Itali, Jepun).
Yamashita berjumpa dengan ramai figura-figura terkenal seperti Fuhrer Adolf Hitler dan Duce Benito Mussolini. Beliau juga berjumpa dengan Galeazzo Ciano (Menteri Luar Itali), Joachim von Ribbentrop (Menteri Luar Nazi Jerman) dan Field Marshal Walter von Brauchitsch (Panglima Tentera Darat Jerman).
Di sinilah, Yamashita belajar pelbagai hal ehwal ketenteraan lebih-lebih lagi dari sudut ekonomi, industri dan strategi di dalam ketenteraan. Beliau amat terpegun dengan kemenangan Jerman keatas Perancis dan kecekapan Jerman memodenkan tentera-tenteranya.
Ketika pulang ke Jepun pada Mei 1940, Yamashita mencadangkan agar tentera Jepun segera di-mekanise-kan seperti tentera Panzer di Jerman. Beliau juga mahu mewujudkan sebuah kor payung terjun seperti Luftwaffe Jerman agar lebih mobile dan tangkas.
Namun, Menteri Peperangan ketika itu General Hideki Tojo masih lagi berdendam dengan Yamashita dek kerana Kudeta 26 Februari 1936 yang lalu. Cadangannya telah diabaikan.
Perang Dunia Kedua
Pada 6 November 1941, Yamashita dilantik menjadi komander Tentera Ke-25 Jepun (25th Army) dalam persiapan untuk menyerang Malaya dan Singapura. Pada 7 Disember 1941, Empayar Jepun mengisytihar perang terhadap Amerika Syarikat dan Great Britain.
Pada subuh 8 Disember 1941, Yamashita mengaktifkan serangan ke atas Malaya. Yamashita menyerang Malaya melalui 3 pendaratan; Singora, Pattani dan Kota Bahru. Beliau juga melancarkan serangan udara terhadap Singapura; buat pertama kalinya Singapura di bom.
Yamashita dan 25th Army mempunyai seramai 70,000 orang tentera siap untuk bertempur. Manakala lawan beliau ialah Malaya Command (III Corps dan 8th Australian Division) pimpinan Lt. General Arthur Percival seramai 140,000 orang tentera. Namun tentera British di Malaya tidak selengkap dan centralized seperti Yamashita.
Percival mengambil keputusan untuk membuat pertahanan melengah (delay defense) untuk memberi masa kepada tentera British untuk berkumpul dan organise di Singapura. Yamashita menggunakan pendekatan serangan baru iaitu Bicycle Blitzkrieg dengan mengarahkan tentera Jepun bypass tentera British dengan menggunakan basikal.
Hasil Bicycle Blitzkrieg inilah yang menyebabkan tentera Jepun mudah melalui kawasan-kawasan kampung dan separa hutan dalam objektif mereka untuk menawan Singapura.
Pada 8 Februari 1942, Yamashita tiba di Johor Bahru dan menubuhkan markas 25th Army di sana. Ketika itu, beliau sempat menghadap Sultan Johor, Sultan Sir Ibrahim al-Masyhur dan baginda berkenan untuk menjadikan istana baginda sebagai Markas Tentera Yamashita. Pada masa yang sama, Yamashita membedil Singapura dengan serangan artileri yang dahsyat, dari puncak Bukit Istana Serene, tempat Sultan Johor bersemayam.
“General Yamashita! Puncak Bukit Istana Serene akan menjadi target mudah untuk tentera British membedil posisi kita!” – kata seorang pegawai staf 25th Army.
“Tentera British tidak akan berani bedil Istana Sultan Johor” jawab Yamashita. Memang benar. Tidak ada satupun meriam British membedil Istana Bukit Serene!
Percival dan tentera British kini ‘berkampung’ di Singapura, menangkis beberapa serangan hebat oleh Yamashita. Pada 15 Februari, bekalan air, makanan, peluru sudah semakin kritikal untuk Tentera British. Yamashita juga sebenarnya sudah tidak ada lagi peluru artileri untuk menyerang kedudukan British.
Disebabkan itu, Yamashita mengarahkan tentera Jepun yang sudah mendarat di beberapa kawasan di Singapura untuk membuat serangan “all-out” di setiap kedudukan British.
Percival tidak tahu bahawa Yamashita juga mempunyai masalah lojistik yang kronik. Terdapat 80,000 tentera British dan Askar-Askar Melayu yang masih lagi mempunyai peluru dan kekuatan yang cukup untuk bertempur. Manakala, tentera Jepun di Singapura jauh lebih sedikit dan kekurangan peluru yang memaksa Yamashita mengarahkan serangan all out.
Namun, Percival membuat kesilapan dan gagal untuk melihat kelemahan Yamashita. Akhirnya, Lt. General Arthur Percival bersama-sama 50,000 tentera British menyerah kalah pada petang 15 Februari 1942 kepada Lt. General Tomoyuki Yamashita.
Harimau Malaya
Ketika berjumpa dengan Percival pada majlis penyerahan Singapura, Yamashita memberitahu:
“Serangan saya keatas Singapura adalah helah dan penipuan yang kamu tidak nampak. Saya hanya tinggal 30,000 tentera untuk menyerang dan hanya ada sebilangan kecil berada di Singapura. Kamu mempunyai jumpah 3x ganda daripada itu. Jika kamu tidak mengarahkan tentera kamu meletak senjata, sudah tentu saya akan kalah. Peluru kami tinggal sedikit dan kami sudah kehabisan bedilan. Saya sangat takut jika kamu melancarkan serangan balas besar-besaran.”
Dengan kejayaan ini, Yamashita digelar Harimau Malaya setelah menawan Singapura, kubu kuat British di Asia dalam masa 2 bulan dan 8 hari sahaja.
Namun, kejayaan Yamashita berakhir dengan pendarahan apabila beberapa pegawai dan anggota di bawah pentadbirannya melakukan beberapa siri pembunuhan kejam terhadap orang Cina seperti Penyembelihan Sook Ching yang membunuh seramai 50,000 orang Cina di Singapura.
Hal ini sudah cukup untuk melabel Yamashita sebagai penjenayah perang, walaupun Yamashita sendiri tidak tahu menahu mengenai penyembelihan serta arahan tersebut dikeluarkan. Pada ketika itu, beliau sedang berada di Filipina dan Polis Tentera Jepun Kempeitai yang membuat onar serta merencana penyembelihan tersebut tanpa pengetahuan Yamashita.
Menentang Amerika di Filipina
Pada 17 Julai 1942, Yamashita ditukarkan ke Manchuria bagi menjawat jawatan Komander First Area Army. Beliau mendapat arahan untuk menyerang Soviet Union jika Stalingrad tumbang ke tangan Jerman. Pada Februari 1943, Yamashita dinaikkan pangkat ke General.
Pada 26 September 1944, Yamashita ditukarkan lagi ke Filipina untuk memegang jawatan Komander 14th Area Army. Ketika ini, Jepun diambang kekalahan. Situasi sudah berubah. Pada 6 Januari 1945, tentera US 6th Army seramai 200,000 orang tentera mendarat di selatan Luzon.
Yamashita mempunyai 262,000 tentera Jepun untuk mempertahankan Filipina. Beliau yakin, jika Filipina berjaya dipertahankan, tentera Amerika tidak akan melancarkan serangan ke atas tanah besar Jepun.
Beliau membahagikan pertahanan tenteranya kepada tiga. Kumpulan Shimbu, 80,000 tentera di timur Luzon. Kumpulan Kembu, 30,000 tentera di utara Manila dan Kumpulan Shobu, 152,000 di timur laut Luzon.
Yamashita juga mengarahkan tentera Jepun untuk keluar daripada Manila, ibu kota Filipina. Beliau tidak mahu dan tidak mampu untuk “memberi makan” 1 juta orang awam yang ada di situ. Arahan Yamashita diakui oleh tentera-tenteranya kerana mereka juga tidak mahukan peperangan urban.
Namun pada 3 Februari 1945, Laksamana Sanji Iwabuchi mendarat di Manila bersama-sama 12,500 pasukan tentera laut. Iwabuchi tidak terikat dengan arahan dan pentadbiran Yamashita. Beliau segera mengatur kedudukan tentera lautnya di Manila untuk menangkis serangan tentera Amerika.
Ketika Yamashita cuba untuk menghalang perbuatannya, tentera Amerika sudahpun mula bertempur dengan elemen tentera laut Laksamana Iwabuchi. Maka berdarahlah Manila. Seramai 100,000 orang awam terbunuh ketiba pertempuran urban tersebut. Tentera Jepun membunuh, merogol dan menyembelih orang awam.
Disebabkan itu, Yamashita dipersalahkan lagi dan jenayah tersebut terletak di atas bahu beliau. Pertempuran Filipina berterusan sehingga 2 September 1945. Jepun telahpun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945, 8 hari setelah gugurnya bom atom di Hiroshima dan 4 hari setelah Soviet menyerang Jepun di Machuria.
Namun, Yamashita dan tenteranya di Filipina masih tidak dapat mengesahkan kesahihan deklarasi menyerah kalah Jepun. Maka, beliau bertempur sehingga panglima Amerika, Lt. General Walter Krueger datang untuk memberikan sendiri deklarasi tersebut kepada Yamashita.
Akhirnya, pada 2 September 1945, Yamashita bersama-sama lebih 80,000 tentera Jepun, menyerah kalah kepada tentera Berikat. Pada majlis tersebut, Yamashita berjumpa semula dengan lawannya ketika di Singapura iaitu Lt. General Arthur Percival di meja yang sama ketika majlis tersebut.
Pengakhiran Seorang ‘Harimau Malaya’
Selepas menyerah kalah, Yamashita diletakkan dibawah pengawasan tentera Amerika di Manila bagi menunggu perbicaraan bagi jenayah perang yang telah dilakukan oleh tentera Jepun di Malaya dan Filipina.
Bagi para peguam, perkataan Yamashita Standard adalah sangat lazim bagi mereka untuk membicarakan komander yang bertanggungjawab diatas kesalahan yang dilakukan oleh anggota-anggota bawahan.
Hal ini terjadi ketika Perbicaraan Yamashita pada 29 Oktober sehingga 7 Disember 1945. Yamashita telah dibicarakan diatas jenayah perang di mana anggota dibawah kendalian beliau telah merogol, memperkosa, membunuh dan menyembelih orang awam ketika Pertempuran Manila.
Beliau didapati bersalah kerana “gagal menentukan anak-anak buah dibawahnya” dan dihukum gantung sampai mati. Beliau menafikan segala kesalahan tersebut kerana tanggungjawab dan organisasi yang dipimpin beliau sangat besar. Beliau berpendapat, sebab kenapa beliau dibicarakan adalah kerana beliau telah kalah perang.
Pada 23 Februari 1946, Harimau Malaya, General Tomoyuki Yamashita telah menjalani hukuman gantung sampai mati. Sebelum ke tali gantung, beliau mengucapkan terima kasih kepada tentera Amerika yang telah menjaga dan melayannya dengan baik sepanjang perbicaraan.
Perbicaraan Manila telahpun dikecam oleh beberapa peguam dan pendakwaraya di Amerika kerana tidak tulus dan terburu-buru.
Epilog
Kematian Yamashita meninggalkan tanda tanya. Dimanakah terletak dan tersimpannya Harta Karun Yamashita? Sungguhpun begitu, sudah ramai cendekiawan yang menafikan kewujudan harta karun tersebut.
Khabar angin ini berlaku apabila penulis buku Amerika, Sterling Seagrave membuat kajian bahawa harta-harta di Asia Tenggara dijarah dan diambil demi untuk menampung peperangan Imperial Jepun ketika Perang Dunia Kedua.
Harta karun tersebut mungkin sudah tenggelam di laut ketika perang. Ada kemungkinan harta tersebut masih disimpan di gua-gua yang terdapat di Malaysia, Singapura dan Filipina.
Disebabkan semasa penjarahan tersebut General Yamashita merupakan panglima tentera Jepun di Singapura dan Filipina, maka harta karun tersebut dinamakan Harta Karun Emas Yamashita.
RUJUKAN:
Dunning, Brian (April 30, 2019). “Skeptoid #673: Yamashita’s Gold”
Yoji, Akashi. “General Yamashita Tomoyuki: Commander of the 25th Army”, in Sixty Years On: The Fall of Singapore Revisited. Eastern Universities Press, 2002.
Ryan, Allan A. Yamashita’s Ghost- War Crimes, MacArthur’s Justice, and Command Accountability. University Press of Kansas, 2012.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih