Tomahawk adalah nama sejenis kapak yang asalnya digunakan oleh populasi Red Indian, masyarakat asal yang merupakan tuan sebenar tanah mereka yang tinggal di Amerika Utara.
Ia digunakan dengan meluas sebagai peralatan pelbagai guna, sebagai alat pertukangan, untuk bertani dan memburu. Tomahawk kemudiannya mendapat reputasi sebagai senjata yang merbahaya dan digeruni sejak koloni Eropah mula menjejaki tanah Amerika lewat 1500an.
Suku Pawhnee, Sioux, Apache, Comanche, Cherokee, Shawhnee dan banyak lagi suku kaum dari kalangan Red Indian ini memiliki rekabentuk dan corak hiasan serta motif tersendiri mewakili cerita, semangat, pahlawan suku kaum masing-masing pada Tomahawk mereka.
Tomahawk secara asasnya adalah kapak yang terdiri dari dua bahagian asas iaitu mata kapak dan hulu. Semasa awal penciptaannya, Tomahawk menggunakan mata kapak dari batu yang diasah tajam di kedua-dua belah, diikat menggunakan rautan tali kulit yang diikat pada hulu kayu. Terdapat juga penemuan di Great Plains, Amerika yang menunjukkan bahawa ada Tomahawk yang turut menggunakan mata dari tanduk dan rahang binatang.
Kedatangan koloni Eropah dari Sepanyol, Belanda, Perancis dan Inggeris membawa barang dagangan sebagai pencetus satu ekosistem ekonomi di Amerika Utara kemudiannya turut membawa bersama teknologi tempaan besi selain emas dan perak untuk dijadikan sebagai tukaran dalam urusan jual beli dengan masyarakat Red Indian. Besi digunakan oleh koloni Eropah ini sebagai ‘matawang’ untuk mendapatkan kulit dan bulu, makanan dan lain-lain sumber mentah seperti tanduk, daging haiwan, hasil kraftangan dan barangan eksotik lain dari masyarakat asal Amerika ini.
Keupayaan dan sifat besi yang boleh dilebur dan dibentuk selain lebih tahan lama dan tajam menjadikan ia sebagai pilihan utama untuk dijadikan mata pada sebilah Tomahawk.
Teknik lontaran Tomahawk yang juga menggunakan fulkrum tangan dan hulu kayu yang lebih ringan memastikan senjata ini lebih membinasakan dengan padanan mata besi yang lebih berat berbanding mata batu, memastikan impak lebih kuat kepada sasaran apabila Tomahawk diguna sebagai senjata. Penggunaan optimum Tomahawk berkesan dalam jarak 1-6 meter.
Tomahawk digunakan sebagai senjata kegemaran Red Indian di samping penggunaan panah (jarak jauh), sebagai pilihan utama untuk pertempuran jarak sederhana atau dekat kerana keupayaannya untuk dibaling ke arah musuh, mahupun dipegang untuk tujuan menetak atau mengilas dan memotong.
Sepanjang kempen yang dinamakan sebagai The American Indian Wars, siri konflik bersenjata masyarakat Red Indian menentang kumpulan koloni-koloni Eropah hinggalah kepada pembentukan Amerika seringkali berlaku.
Ia disebabkan oleh kedatangan koloni-koloni ini yang mengundang kemarahan Red Indian sebagai penduduk asal di benua Amerika Utara. Koloni-koloni Eropah yang datang menjajah dan menjarah ini datang untuk menjadi tuan kepada kawasan ragut ternakan, pemburuan bison yang dianggap suci oleh masyarakat Red Indian, pemburuan binatang untuk makanan yang berleluasa, pemusnahan habitat haiwan buruan, kemusnahan kawasan tanaman, dan pemencilan kawasan tempat tinggal hinggakan Red Indian di Amerika Utara ini merasa ditindas dan diketepikan akhirnya menjadi orang asing di tanah sendiri.
Koloni-koloni Eropah dan penduduk Amerika di zaman awal mereka menganggap masyarakat asal Red Indian ini sebagai gasar dan tidak bertamadun, selain disifatkan bukan manusia yang setaraf. Kekejaman koloni memuncak dan kemarahan Red Indian yang rasa terancam tambah memburukkan keadaan.
Kemuncak konflik ini membawa kepada siri pertempuran-pertempuran antara masyarakat asal Red Indian dan penjajah ini. Kepesatan aktiviti ekonomi seperti perdagangan kulit dan bulu untuk topi dan pakaian di Eropah sekitar 1600-an hingga membawa ke awal 1800-an menyaksikan juga peperangan antara koloni-koloni ini sesama mereka, dengan kedua-dua pihak bertelagah memiliki pasukan upahan yang terdiri daripada suku-suku kaum Red Indian yang bertelagah sesama mereka sejak asal. Taktik penjajah untuk pecah dan perintah memastikan Red Indian tidak akan bersatu menentang kembali, sekaligus menjaga kepentingan para kolonial.
Tomahawk yang ketika ini telah memiliki pelbagai perubahan dan versi rekabentuk dan hiasan unik kepada suku kaum juga turut mempunyai versi ‘paip’.
Tomahawk versi paip mula dicipta seawal 1700, sekalipun ia giat digunakan antara 1725-1750 ia kekal menjadi artifak berharga sehingga 200 tahun kemudian sejak ia pertama kali dicipta. Tomahawk paip ini bagaimanapun lebih bersifat sebagai barang pusaka dan khusus digunakan dalam istiadat penting masyarakat Red Indian iaitu menghisap tembakau, sekalipun masih mempunyai sebelah mata tajam dengan fungsi asal Tomahawk. Aktiviti perdagangan tembakau yang semakin meningkat antara Red Indian dan koloni-koloni menggantikan emas dan perak yang semakin sukar ditemui ketika itu juga turut menyumbang kepada peluasan aktiviti menghisap tembakau menggunakan Tomahawk ‘paip’ ini.
Penggunaan Tomahawk untuk tujuan menghisap tembakau (seperti menghisap paip) menzahirkan analogi bahawa ia adalah simbol kepada keamanan ataupun peperangan apabila berurusan dengan mana-mana Frontiersman (nama lain bagi koloni Eropah). Banyak ditulis dalam catatan koloni-koloni ini akan aktiviti menghisap tembakau bersama-sama ketua suku antaranya sebagai mukadimah sebelum urusan jual beli, rundingan bagi mengelak konflik, sebagai adat tuan rumah (Red Indian) menghormati tetamu mahupun sekadar aktiviti mengisi masa senggang para ketua puak dan pahlawan-pahlawan mereka.
Tomahawk paip memiliki calung besi atau tembaga yang berfungsi untuk menghisap tembakau yang menggambarkan keamanan pada satu sisi mata dan fungsi senjata pula sebagai tindakan untuk konflik dan peperangan pada sisi mata yang lain.
Sesungguhnya, konflik yang menumpahkan darah dan korban nyawa ini menjadi saksi penting penggunaan Tomahawk sebagai senjata dalam setiap siri pertempuran yang berlaku di benua Amerika Utara itu.
Hari ini, Tomahawk menjadi nama kepada peluru berpandu jenis cruise missile dengan nama yang sama milik Amerika. Peluru berpandu Tomahawk digunakan dalam pelbagai konflik dan peperangan di seluruh dunia sejak dicipta pada 1983.
Peluru berpandu Tomahawk lebih popular sejak digunakan dalam Operasi Desert Storm, permulaan Perang Teluk pada 1991 ke atas Iraq dalam usaha mencari senjata pemusnah atau WMD, ‘holy grail’ Amerika menzahirkan justifikasi tindakannya ke atas negara diktator Saddam Hussein itu.
59 peluru berpandu Tomahawk pernah dilancarkan dari USS Porter dan USS Ross mensasarkan bumi Syria, pastinya dengan kapasiti untuk membinasakan. Kemusnahan akibat peluru berpandu Tomahawk tersebar dari Iraq hingga ke Syria, memangsakan penduduk yang menjadi korban konflik kuasa-kuasa koloni dan keganasan baru dunia. Senjata bernama Tomahawk, kesannya merentasi zaman dan telah membunuh ramai mangsanya, baik dalam bentuk kapak mahupun peluru berpandu.
Inilah yang dinamakan penangan Tomahawk. Satu ironi.
“Amor Ducit Patriae”
RUJUKAN
1. Flintlock and Tomahawk: New England in King Philip’s War oleh Douglas Edward Leach (1958)
2. The Fur Trade and The Northwest to 1857 oleh E. E Rich (1967)
3. Tobacco: A Cultural History of How an Exotic Plant Seduced Civilization oleh Iian Gately (2002)
4. The Heart of Everything That Is: The Untold Story of Red Cloud, An American Legend oleh Bob Drury dan Tom Clavin (2013)
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih