Lahir pada Disember 1953, Norman Finkelstein adalah anak kepada pasangan Yahudi yang terselamat dalam peristiwa Holocaust. Bapanya, Zacharias Finkelstein pernah berada di kem tahanan Auschwitz manakala ibunya, Maryla Husyt di kem Majdanek. Beliau menamatkan pengajian di Universiti Binghamton di New York, dan memperoleh ijazah doktor falsafah dalam bidang sains politik di Princeton. Finkelstein berpengalaman menjadi ahli fakulti di Kolej Brooklyn, Universiti Rutgers, Kolej Hunter, Universiti New York, dan yang terakhir, Universiti DePaul, dimana beliau telah dipecat dari beberapa jawatan atas pelbagai sebab terutamanya kecaman terhadap Israel.
Industri Holocaust
Finkelstein menegaskan bahawa sebenarnya Israel adalah pihak yang memulakan Perang Enam hari 1967 dan Perang Yom Kippur enam tahun kemudian. Melalui bukunya ‘The Holocaust Industry: Reflections on the Exploitation of Jewish Suffering’, beliau menyatakan bahawa orang Yahudi berminat mengenai Holocaust hanya selepas tahun 1967. Peristiwa tersebut digunakan sebagai propaganda untuk meraih wang pampasan. Tambahnya, Holocaust telah dieksploitasi untuk membenarkan pencabulan hak asasi manusia dan menghalalkan jenayah kemanusiaan oleh Israel. Akibat ‘keceluparan’nya, Finkelstein akhirnya dihalang masuk ke Israel pada 2008. Namun beliau tidak mempersoalkan halangan tersebut kerana tidak pernah menganggap Israel sebagai negara yang sah dan tidak wujud rasa nasionalisme di dalam dirinya.
Organisasi Yahudi yang mendapatkan pampasan bagi mangsa Holocaust didakwa sebagai pencuri. 95 peratus daripada wang tersebut digunakan untuk kepentingan mereka dan bukan kepada mangsa-mangsa yang terlibat. Jelas ia merupakan penghinaan terhadap penderitaan orang Yahudi yang menjadi mangsa dalam peristiwa tersebut. Dan berpunca dari perkara tersebutlah, Finkelstein berkata semua yang dilakukan dalam hidupnya, adalah merupakan satu usaha untuk mempertahankan nama baik ibu bapanya. Apa yang mereka alami menjadi sumber kemarahan moral beliau untuk menentang peperangan, perkauman dan ketidakadilan,
Finkelstein turut melancarkan peluru lisan dengan mendedahkan bahawa konflik semasa sebenarnya dicipta dengan rapi oleh kerajaan Israel, Amerika dan golongan Yahudi yang kaya. Baginya Zionis adalah Nazi dan mereka mengambil pelajaran baik daripada Nazi, iaitu percubaan untuk menghapuskan masyarakat Palestin di Israel dan wilayah yang diduduki. Yahudi Zionis diibaratkan secara dasarnya sebagai Nazi yang berjanggut dan bertopi hitam.
Sokongan Terhadap Hizbullah
Pada Mei 2007, Persatuan Pelajar-Pelajar Muslim, UC Irvine (MSU) telah menaja ucapan Finkelstein, di mana dalam ucapan tersebut beliau mendedahkan bahawa usaha keamanan banyak datang dari dunia Arab. Orang Arab menunjukkan kecenderungan yang luar biasa dalam mematuhi rundingan, namun pihak Israel yang banyak melanggar perjanjian rasmi mahupun tidak rasmi. Profesor ini yang mempunyai rancangan untuk mengajar di Turki, dengan yakin mengeluarkan kenyataan menyokong kumpulan Hizbullah, walaupun beliau tidak mempunyai sebarang kepentingan dengan mereka sebagai sebuah organisasi. Baginya setiap kejayaan Hizbullah adalah patut diraikan.
Pujian turut diberikan kepada kumpulan-kumpulan pro-Palestin dan penghormatan tertinggi kepada Perpaduan Pergerakan Antarabangsa (ISM). Sambil menceritakan kegembiraannya untuk bertemu dengan Hizbullah dan mengekalkan solidariti dengan mereka, tegasnya, rakyat mempunyai hak untuk mempertahankan negara dari penceroboh. Amerika Syarikat dan Israel tidak akan bertolak ansur dengan sebarang kebangkitan di dunia Arab dan mereka sudah bertekad, untuk meletakkan orang-orang Arab di dalam keadaan seolah ‘hamba’ dan akan memastikan mereka terus begitu.
Israel-Palestine: Harapan Masa Depan
Finkelstein berkata beliau percaya konflik Israel-Palestin hanya boleh diselesaikan jika ada kerjasama dari kedua-dua pihak terutamanya Israel. Beliau telah menerbitkan sebuah artikel mengenai bagaimana cara menyelesaikan konflik ini melalui Doktrin Anti-Keganasan oleh Mahatma Gandhi.
Finkelstein mencadangkan bahawa peluang permulaan terbaik Palestin untuk melawan kembali ialah tidak berjuang dengan cara sekarang kerana rakyat Palestin tidak mempunyai pilihan melakukan tentangan secara bersenjata. Satu-satunya taktik mereka untuk digunakan terhadap Israel yang dibelakangnya Amerika Syarikat, adalah dengan ‘pemberontakan sivil’ dan bukan melalui keganasan. Walaupun ia kedengaran begitu mudah dan mereka telah berada dalam konflik selama beberapa dekad, Tetapi hanya itu sahaja cara yang boleh dilakukan untuk mencapat keamanan. Bagaimanapun, ramai berpendapat adalah mustahil untuk melihat isu ini selesai. Beberapa anggota Pasukan Pertahanan Israel. berkata, mereka tidak mahu memberi rakyat Palestin tanah kerana mereka mahukan lebih dan tidak ingin melihat konflik tersebut diselesaikan.
Bercerita tentang harapan Yahudi, kata Finkelstein, negara Israel hari ini adalah tempat yang paling tidak selamat untuk Yahudi dalam dunia. Pembentukan negara tersebut bukanlah jawapan kepada semua permasalahan dan persoalan mereka, tetapi lebih kepada memburukkan keadaan apabila Yahudi yang tidak terlibat juga menerima tempias akibat kezaliman Israel. Sama seperti generasi muda Jerman yang perlu menanggung beban Nazisme, generasi Yahudi akan datang juga terpaksa menanggung kecaman dan kebencian dunia sebagai akibat kezaliman Israel terhadap rakyat Palestin. Beliau mengingatkan Zionis, “jika tidak mahu dituduh menjadi Nazi, mereka perlu berhenti bertindak seperti Nazi.”
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih