Timur merupakan pengasas empayar Timurid yang dahulunya memerintah sebahagian besar Asia Tengah pada hari ini. Baginda dilahirkan pada 9 April 1336 di Shahrisabz, selatan Uzbekistan. Timur dikenali sebagai Timurlane atau Timur the Lame yang bermaksud Timur Si Tempang.
Hal ini kerana kecacatan kaki kanannya yang tempang akibat dipanah sewaktu baginda mencuri kambing ketika zaman remajanya dahulu. Gelaran ini selalu disebut-sebut musuh Timur bagi mengejek susuk tubuhnya yang cacat tempang itu. Namun, keadaannya yang sedemikian rupa tidak sedikit pun menghalang Timurlane daripada menjadi salah satu penakluk agung dalam sejarah dunia.
Timurlane pada awalnya merupakan ketua kepada kaumnya yang menetap di Samarkand. Baginda menjadi amir di kawasan tersebut ketika zaman pemerintahan Illkhanat (satu daripada empat bahagian empayar Monggol) sehinggalah kejatuhan empayar tersebut setelah kematian Abu Sa’id. Mangkatnya baginda sultan menyebabkan kekacauan mula merebak ke seluruh pelosok empayar.
Masing-masing amir mahu berkerajaan sendiri dan mula berperang bagi mengambil alih takhta empayar. Ketika itu, pemerintah Kasyghar dan Badaksyan sedang giat menjarah Asia Tengah bagi menundukkan amir-amir yang lain. Timurlane tidak melawan, malah menunjukkan kesetiannya terhadap penjarah itu bagi menunggu kekuatannya sendiri kelak.
35 Tahun Berperang
Timurlane mengasaskan empayar Timurid pada 1370. Sepanjang pemerintahannya selama 35 tahun itu, hampir seluruh masa hidupnya hanya memimpin tentera bagi meluaskan empayar. Pada 1380, Timurlane telah berjaya menakluk Afghanistan, Iran dan wilayah-wilayah Kurdistan.
Baginda juga melakukan pembataian besar-besaran terhadap Baghdad pada tahun 1393. Sehingga tahun 1395, baginda telahpun berjaya meluaskan tanah jajahannya sehingga menjejaki tanah Russia dan sempat menduduki Moscow selama setahun.
Kegerunan musuh terhadap Timurlane kian jelas terpancar apabila baginda bertindak menyerang Kesultanan Delhi di India pada 1398. Timurlane memimpin sejumlah 400,000 tentera bagi menyerang India dan menawan hampir 100,000 ribu tawanan. Semuanya dibunuh! Bukan itu sahaja, kemenangan Timurlane dalam Pertempuran Ankara 1402 dengan apabila berjaya menawan Sultan Bayazid telah menjadikan baginda merupakan pemerintah paling berkuasa pada ketika itu.
Kekejaman Timurlane
Kehebatan Timurlane terserlah apabila baginda mampu mengekalkan kesetiaan pengikut-pengikut di bawahnya. Jarang sekali terdapat pemberontakan yang ditujukan terhadapnya. Hal ini kerana Timurlane berjaya menimbulkan rasa gerun terhadap musuh dan bakal musuhnya.
Apabila Timurlane berjaya memenangi sesebuah pertempuran, baginda akan mengarahkan kesemua tawanan perang dipenggal kepala mereka serta dikumpulkan kesemua kepala menjadi sebuah gunung. Hal ini berlaku setiap kali baginda menyerang sesebuah wilayah. Tindakan ini bagi memberi amaran kepada sesiapa yang mahu memberontak agar melupakan sahaja hasrat mereka jika tidak mahu dilakukan sedemikian rupa.
Pada 1401, Timurlane telah menawan Aleppo dan membunuh hampir 20,000 penduduk di situ. Baginda kemudiannya mengarahkan sebuah gunung kepala manusia dibina yang tingginya 10 hasta dan lebarnya 20 hasta. Tindakan yang sama juga berlaku ketika Timurlane membantai penduduk Baghdad, di mana 120 gunung kepala manusia dibina setelah kesemua penduduk dibunuhnya.
Sepanjang hidupnya, Timurlane telah membunuh kira-kira 17 juta nyawa yang mewakili 5% daripada populasi dunia pada ketika itu! Sememangnya cara penaklukan Timurlane sangat kejam dan brutal yang pasti membuatkan musuh-musuh kecut perut apabila berhadapan dengannya.
Timurlane, Pejuang Atau Pengkhianat?
Timurlane sememangnya beragama Islam. Namun pegangan mazhabnya masih menjadi perdebatan hingga ke hari ini. Ada yang mendakwanya seorang Sunni, ada pula yang mengatakannya sebagai Syiah yang bertarekatkan Naksyabandi.
Walaupun baginda mengakui dirinya Muslim, tetapi baginda tidak teragak-agak memerangi saudara seagamanya sendiri berbanding musuh agama yang lebih jelas. Kekejamannya tidak pernah mengenal siapa mangsanya, hatta Muslim ataupun bukan Muslim.
Baginda mendakwa dirinya sebagai The Sword of Islam kerana peranannya yang berjaya menyatu-padukan wilayah-wilayah di Asia Tengah. Baginda juga menjustifikasikan serangannya terhadap Kesultanan Delhi adalah kerana kelemahan pemimpin Islam di India yang tidak mampu membela umat Islam.
Kejamnya Timurlane ini hingga mendorong sebahagian ulama tidak mengiktiraf bangsa Mongol sebagai penjuang Islam malah dilihat sebagai penghancur kepada keadaban ketamadunan Islam. Tindakan ulama juga ada benarnya apabila melihatkan ramainya nyawa umat Islam yang terkorban akibat kekejaman Timurlane sendiri.
Namun disebalik kekejaman Timurlane, terdapat juga jasa baginda yang tidak dapat kita nafikan. Hal ini diakui sendiri oleh Ibnu Khaldun yang pernah bertemu empat mata dengan Timurlane sewaktu baginda menjadi wakil Kesultanan Mamluk.
Ibnu Khaldun mengatakan tiada pemimpin Islam yang mampu mencapai apa yang telah dikecapi oleh Timurlane apabila berjaya menyatukan wilayah-wilayah di Asia Tengah. Timurlane juga insan yang bertanggungjawab dalam memastikan syiar Islam terus kukuh di wilayah tersebut.
Timurlane juga merupakan seorang yang sangat cintakan seni. Setelah menjarah banyak wilayah, baginda bawa bersama para ulama dan ahli seni ke pusat pemerintahannya di Samarkand untuk mencantikkan kota itu.
Lihat sahaja kota Samarkand sekarang ini, sungguh indah dan betapa tingginya nilai kesenian Islam dapat ditonton oleh masyarakat seluruh dunia. Di sebalik dunia mengetengahkan kekejamannya, Timurlane juga menjadi simbol nasionalis di Uzbekistan.
RUJUKAN:
Hamka. Sejarah Umat Islam Edisi 2016.PTS Publishing.
The Turco-Mongol conqurerer Timur (1336 – 1405). http://www.silk-road.com/artl/timur.shtml
Tetalogi. 7 Fakta Timur Lenk, Keturunan Genghis Khan yang Kekejamannya Melebihi Sang Kakek. https://www.boombastis.com/fakta-timur-lenk/71612
McMahon, Colin. The Rehabilitation Of Tamerlane. https://www.chicagotribune.com/news/ct-xpm-1999-01-17-9901170256-story.html
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih